AL BAAQI’ (الباقي )
ALLAH Yaa Baaqi’ Yang Maha Kekal akan tetap kekal, tidak akan hancur dan musnah. Sebaliknya makhluq ciptaanNYA akan pasti hancur dan musnah satu hari nanti dan bersifat fana’. DIA Yaa Akhir tidak ada pengakhiran.
Menghayati sifat Yaa Baaqi’ akan menjadikan seorang hamba itu insaf tentang kefana’an dan kehancuran diri dan dunia ini yang akan menjadikannya sentiasa ingat akan kematian dan pengakhiran yang akan dihadapinya dan hari-hari pertemuan dengan ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dan dengan itu akan memberi semangat kepadanya untuk taat kepada perintah ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dan menjauhi setiap laranganNYA. Menghayati sifat Al Baaqi’ juga akan melahirkan insan yang berusaha bersungguh-sungguh membuat kebaikan dan kebajikan akan dapat memberi manfaat yang berkekalan walaupun selepas kematiannya.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Baaqi’ yang Maha Kekal, hanya Engkau yang kekal, yang lain dariMu akan musnah, hilang dan fana'. Yaa Baaqi, kami semua akan musnah, mati dan meninggalkan segalanya walaupun suami/isteri dan anak-anak yang disayangi, kami akan pergi meninggalkan harta benda dan wang ringgit walau jutaan. Tiada sesuatu yang kekal di dunia ini melainkanMu Yaa Allah Yaa Baaqi’.
Yaa Allah Yaa Baaqi’, hanya cintaMu yang kekal, cinta manusia akan musnah dan hilang. Maka, oleh itu kami memilih untuk mencintaiMu Yaa Baaqi Yaa Wadud. Kami insaf, hati ini dicipta olehMu Yaa Khaliq hanya untuk satu cinta, oleh itu kami memilih cintaMu dan mengeluarkan cinta manusia ke genggaman kami. Cinta manusia tidak kekal, ia seumpama fatamorgana, pada hakikatnya tidak wujud sama sekali, hanya persangkaan dan tipudaya syaitan semata-mata.
Cinta sejati yang kekal abadi adalah cintaMu Yaa Wadud Yaa Baaqi’. Yaa Allah Yaa Baaqi’, hanya Engkau yang kekal, wang ringgit dan hartabenda yang ada pada kami akan musnah dan hilang, ia semua seperti fatamorgana yang tidak pernah wujud, makin dikejar makin hilang. Maka Yaa Allah Yaa Baaqi’ Yaa Wadud, kekalkan cintaMu di hati kami, kekalkan iman kepadaMu di hati kami Yaa Baaqi Yaa Mukmin. Kekalkan kami dalam kebenaranMu Yaa Baaqi’ Yaa Haq. Kekalkan kami dalam kebaikanMu Yaa Baaqi’ Yaa Barr, kekalkan kami dalam perlindunganMu Yaa Baaqi’ Yaa Hafiz Yaa Muhaimin.
Kekalkan kami dalam bimbinganMu, Yaa Baaq’i Yaa Haadi. Kekalkan roh kami dalam mandian cahaya makrifatMu agar setiap saat kami dapat merasai kehadiranMu dalam hidup kami, agar kami kekal dalam ingatan kepadaMu, sesungguhnya setiap kehendak itu adalah kehendakMu Yaa Qodir, setiap peristiwa itu ciptaanMu Yaa Khaliq, setiap yang berlaku itu agendaMu Yaa Baari', setiap sakit itu tanda cintaMu Yaa Wadud. Yaa Qobidh, setiap kesempitan dunia itu adalah untuk kelapangan akhirat kami Yaa Basith. Yaa Allah Yaa Baaqi Yaa Nuur kekalkan kami dalam cahaya MakrifahMu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan