1) Dalam aspek ilmu pengetahuan, lazimnya kesombongan itu berlaku
apabila seseorang itu telah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat tentang
ilmu yang ada padanya. Mungkin apabila orang memberi ‘title’ ustaz, orang alim
atau sebagainya, pada anggapannya dia benar-benar telah berilmu. Lantas, orang
yang sombong inipun menganggap orang lain itu bodoh dan jahil.
Sebaliknya, haruslah disedari bahawa
menuntut ilmu pengetahuan bagi seorang muslim sebenarnya adalah untuk membawa
diri dan jiwanya kepada suatu keinsafan tentang kedudukannya sebagai seorang
hamba dan kedudukan Tuhannya sebagai Pencipta. Ilmu pengetahuan yang
dimilikinya seharusnya akan menambahkan lagi nilai ketakwaan kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA. Seiring dengan firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang
bermaksud;
“Bahawasanya yang dapat merasakan takut
kepada ALLAH dari golongan hamba-hambaNya itu ialah alim ulama.”
2) Amalan
dan peribadatan. Memang tidak
dinafikan, apabila masyarakat mengiktiraf seseorang itu sebagai orang warak dan
bertakwa, bagi mereka yang sombong dan takbur, dia akan mengira-ngira dia telah
banyak melakukan amal ibadat. Dia akan mengharapkan agar dia diberi keutamaan
dalam majlis-majlis tertentu, diraikan dan diberi puji-pujian oleh masyarakat.
3) Keturunan
atau salasilah. Tanpa sedar,
manusia lazimnya akan berbangga dengan keturunan mereka seperti daripada
kerabat diraja, golongan aristokrat, bangsawan dan sebagainya. Perasaan ini
secara tanpa sedar juga pernah dialami oleh seorang sahabat RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, yakni Abu Dzar. Beliau berkata;
“Pada suatu hari, ketika aku berada di
hadapan RASULULLAH SAW, datanglah seorang yang berkulit hitam. Lantas saya
menyapanya, “Hai anak orang hitam” Apabila RASULULLAH SAW terdengar sahaja aku
menyebut anak orang hitam, baginda menempelakku dengan mengatakan; Hai
Abu Dzar, tidak ada kelebihan bagi seseorang yang berketurunan kulit putih di
atas orang yang berketurunan kulit hitam. Alangkah menyesalnya aku apabila
telah terlanjur mengucapkannya. Lalu akupun membaringkan tubuhku dan berkata
kepada orang tersebut; Nah saudara, pijaklah pipiku ini.”
4) Kecantikan
atau ketampanan. Kesombongan
atas sebab ini amat mudah untuk diterima oleh sesiapa sahaja. Suatu anugerah
yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berikan sejak dari manusia dilahirkan. Orang yang
cantik atau tampan mudah sahaja menjadi tumpuan orang-orang yang berada di
sekelilingnya. Seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat, sudah pasti amat
mudah merasa bangga dan sombong dengan apa yang ada padanya.
5) Kesombongan amat mudah berlaku di
kalangan mereka yang berada
dan kaya. Terdapat satu kisah
yang menceritakan tentang perkara ini yang boleh dijadikan sebagai suatu
pengajaran; Abu Bakar
Al-Hazali berkata:
“Suatu hari kami bersama Hassan. Lalu
Ibn al-Ahlam datang kepada kami hendak bercukur. Dia memakai jubah sutera
tersusun di atas betis, tersingkap pula bahagian luarnya. Dia berjalan
berlenggang. Perbuatannya yang sedemikian itu dilihat oleh Hassan, lalu Hassan
pun berkata: “Sombongnya, dia memalingkan pipi dan menampakkan kebodohannya.
Engkau akan terlihat kebodohanmu dalam nikmat yang tidak disyukuri dan tidak
menggunakannya sesuai dengan perintah ALLAH serta tidak pula memberikan haknya
pada setiap yang memerlukan. Nikmat itu hak ALLAH dan dengannya syaitan
sentiasa mencari mangsa. Demi ALLAH, seseorang yang berjalan dengan wataknya
atau bergerak seperti orang gila itu lebih baik daripada ini.” Ibn al-Ahlam
mendengar lalu dia kembali dan minta maaf kepadanya. Hassan berkata, “Jangan
kau minta maaf padaku, tapi bertaubatlah kepada ALLAH. Tidakkah engkau dengar
firman ALLAH, (Yang
maksudnya berbunyi) :”Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong,
sesungguhnya engkau itu tiada dapat menembusi bumi dan tidak akan engkau sampai
setinggi gunung.”
(Al-Isra’ :37)
6) Kekuatan
dan keperkasaan tubuh. Manusia amat mudah merasa amat bangga dan sombong
apabila memiliki tubuh yang kuat dan perkasa. Kelebihan yang dimilikinya
kadang-kadang menjadi bahan untuk mengancam orang lain yang lebih lemah. Atau
untuk memaksa orang-orang yang lebih lemah menuruti kemahuannya. Di dalam hal
ini, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud;
“Orang yang paling gagah perkasa di
antara kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya pada waktu marah
dan orang yang tersabar di antara kamu semua itu ialah orang yang suka
memaafkan kesalahan orang lain padahal ia mampu untuk membalasnya.”
7) Manakala perkara yang terakhir sekali
yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali sebagai perkara yang boleh menimbulkan
kesombongan ialah pengaruh
ataupun kuasa.
Pemimpin yang tertipu dengan
perasaannya, walau di peringkat mana sekalipun kepimpinannya akan merasa bahawa
dirinya sudah cukup hebat berbanding orang lain.
Rujukan :
http://referensiagama.blogspot.com/2011/02/takabur.html
(Sanad
dan riwayat hadis…)?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan