Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Ahad, 10 Mac 2013

Bab 31 Mendamaikan Antara Para Manusia.


Allah Taala berfirman:

Ertinya : "Tiada kebaikannya sama-sekali dalam banyaknya pembicaraan rahsia mereka itu, melainkan orang yang memerintahkan bersedekah, menyuruh berbuat kebaikan serta mengusahakan perdamaian antara seluruh manusia." 
(an-Nisa': 114)

Allah Taala berfirman lagi:

Ertinya : "Dan berdamai itu adalah yang terbaik". Allah Taala berfirman pula: "Maka bertakwalah engkau semua kepada Allah dan damaikanlah antara sesamamu sendiri."
(al-Anfal: 1)

Juga Allah Taala berfirman:

Ertinya : "Hanyasanya kaum mukminin itu adalah sebagai saudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu."
(al-Hujurat: 10)

249. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya : "Setiap seruas tulang dari seluruh manusia itu harus memberikan sedekahnya pada setiap hari yang matahari terbit pada hari itu. Mendamaikan dengan cara yang adil antara dua orang adalah sedekah, menolong seseorang pada kenderaannya lalu mengangkatnya di tas kenderaannya itu atau mengangkatkan barang-barangnya ke sana, itupun sedekah, ucapan yang baik juga sedekah dan setiap langkah yang dijalaninya untuk pergi solat juga merupakan sedekah, menyingkirkan benda-benda yang berbahaya dari jalan termasuk sedekah pula." 
(Muttafaq 'alaih)

250. Dari Ummu Kultsum binti Uqbah bin Abu Mu'aith, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya : "Bukannya termasuk pendusta orang yang mendamaikan antara para manusia, lalu ia menyampaikan berita yang baik atau mengatakan sesuatu yang baik." 
(Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat Muslim disebutkan tambahannya demikian: Ummu Kultsum berkata: "Saya tidak pernah mendengar dari Nabi s.a.w. tentang dibolehkannya berdusta daripada ucapan-ucapan yang diucapkan oleh para manusia itu, melainkan dalam tiga hal iaitu perihal peperangan, mendamaikan antara para manusia dan perkataan seseorang suami kepada isterinya serta perkataan isteri kepada suaminya yang akan membawa kebaikan rumahtangga dan lain-lain."

251. Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: 

Ertinya : "Rasulullah s.a.w. mendengar suara pertengkaran di arah pintu, yang suara kedua orang yang bertengkar itu terdengar keras-keras. Tiba-tiba salah seorang dari keduanya itu meminta kepada yang lainnya agar sebahagian hutangnya dihapuskan dan ia meminta belas kasihannya, sedangkan kawannya itu berkata: "Demi Allah, permintaan itu tidak saya lakukan(tidak dibenarkan)". Rasulullah s.a.w. kemudian keluar menemui keduanya lalu bersabda: "Siapakah orang yang bersumpah atas Allah untuk tidak melakukan kebaikan itu?" Orang itu berkata: "Saya ya Rasulullah. Tetapi baginya orang yang berhutang tadi mana saja yang ia sukai maksudnya pemotongan sebahagian hutangnya dikabulkan dengan sebab syafaat beliau s.a.w. itu." 
(Muttafaq 'alaih)

252. Dari Abul Abbas iaitu Sahal bin Sa'ad as-Saidi r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. menerima berita bahawa antara sesama keturunan 'Amr bin 'Auf itu terjadi suatu hal yang tidak baik yakni perselisihan faham, lalu Rasulullah s.a.w. keluar menemui mereka untuk mendamaikan antara orang-orang itu dan beliau disertai beberapa orang sahabatnya. Rasulullah s.a.w. tertahan(ditahan) oleh orang-orang yang didatangi olehnya untuk diberi jamuan sebagai tamu, sedangkan solat Ashar sudah masuk waktunya. Bilal mendatangi Abu Bakar r.a. lalu berkata: "Hai Abu Bakar, sesungguhnya Rasulullah tertahan, sedangkan solat sudah masuk waktunya. Adakah Tuan suka menjadi imamnya para manusia?" Abu Bakar menjawab: "Baiklah, jikalau engkau menghendaki demikian". Bilal membaca iqamah dan majulah Abu Bakar, kemudian ia bertakbir dan orang-orangpun bertakbir pula. Di tengah solat itu Rasulullah s.a.w. datang berjalan di barisan sehingga berdirilah beliau di suatu barisan. Orang-orang banyak mulai bertepuk tangan, sedangkan Abu Bakar tidak menoleh dalam solatnya itu. Tetapi setelah para manusia makin banyak yang bertepuk-tepuk tangan, lalu Abu Bakar menoleh ke belakang, tiba-tiba tampaklah olehnya Rasulullah s.a.w. Beliau s.a.w. mengisyaratkan supaya solat diteruskan dan ia sebagai imamnya. Tetapi Abu Bakar setelah mengangkat tangannya untuk beri'tidal lalu bertahmid kepada Allah terus kembali ke belakang perlahan-lahan sampai berada di belakang terus berdiri di jajaran shaf. Rasulullah s.a.w. lalu maju, kemudian bersolat sebagai imamnya para manusia. Setelah selesai beliau s.a.w. menghadap orang-orang itu lalu bersabda: "Hai sekalian manusia, mengapa ketika terjadi sesuatu dalam solat, lalu engkau semua bertepuk tangan? Hanyasanya bertepuk tangan itu untuk kaum wanita. Barangsiapa yang terjadi sesuatu dalam solatnya, hendaklah mengucapkan: Subhanallah, maka sesungguhnya tiada seorangpun yang mendengar ketika dibacakan Subhanallah itu, melainkan ia tentu akan menoleh. Hai Abu Bakar, apakah yang menyebabkan saudara terhenti tercegah yakni tidak meneruskan melakukan solat sebagai imamnya orang banyak, ketika saya memberikan isyarat untuk meneruskannya itu?" Abu Bakar menjawab: "Kiranya tidak sepatutnyalah untuk anak Abu Quhafah ini kalau bersolat sebagai imam di sisi Rasulullah s.a.w. maksudnya Rasulullah sebagai makmumnya".

(Muttafaq 'alaih)

1 ulasan:

  1. Sesiapa yang mahu copy apa saja dalam blog ini.... saya dengan rendah hati mempersilakannya... semoga saudara-saudari mendapat munafaat.... In Sya Allah... Jika ada silap dan salah sila tegur... sesungguhnya silap dan salah adalah dari diriku sendiri.... tiada manusia yang sempurna di dalam dunia ini...

    BalasPadam