RAMADAN dan sinarnya kembali
bertandang menemui sekalian hamba kalangan umat Islam. Bulan setiap hamba
diundang menjadi tetamu ALLAH SWT dan dimuliakan olehNya. Pada bulan ini setiap
hela nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah, amalan diterima dan doa-doa
diperkenankan.
Tatkala mengingatkan imbauan silam
saat junjungan besar RASULULLAH SAW dan para sahabat amat girang serta tidak
sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun, terdetik persoalan di
manakah kita dalam meneladani dan menghayati RASULULLAH SAW di madrasah Ramadan
yang penuh keberkatan ini?
Bulan dan detik-detik yang sarat dengan
kebaikan, peluang sisa umur yang sangat indah sebelum terlena kerana adakah
masa yang paling indah daripada Ramadan untuk melakukan munajat kepada ALLAH SWT
dengan berdiri menghadap Rabb al-Izzati sambil mendengar alunan ayat-ayatNya
yang menghiasi pendengaran, membersihkan hati dan menambahkan keimanan dalam
diri?
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan
ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu
daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Surah 2, AL BAQARAH : ayat 183)
Puasa ‘madrasah’ membentuk peribadi
Muslim sejati
Matlamat puasa tidak lain adalah untuk
merawat penyakit dan kecacatan yang menimpa diri seorang muslim. Puasa merupakan madrasah membentuk peribadi
muslim yang bersifat ikhlas, sabar, melatih rohani dan jasmani.
Puasa mendidik dan membentuk muslim
bersifat sabar dalam apa jua situasi dan keadaan. Sabar yang paling kuat adalah
sabar dalam melawan kehendak nafsu ammarah dan sering mengajak tuannya ke
lembah kejahatan dengan melakukan perkara-perkara haram dan menjauhkan dirinya
daripada melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT.
Seseorang yang berpuasa yang
meneladani dan memahami anjuran RASULULLAH SAW ketika mendengar kata-kata keji
dan kurang enak dilemparkan ke atasnya akan segera berkata, “sesungguhnya
aku berpuasa.”
Sifat sabar yang dimiliki oleh setiap
muslim menjadikan amalannya di atas paksi ikhlas kerana ALLAH SWT. ALLAH SWT
menjadikan setiap pahala amalan kepada hamba-hambanya melainkan puasa kerana
puasa dinisbahkan kepadaNya dalam erti kata lain ALLAH SWT yang memberikan
ganjaran pahalanya.
Puasa
mengajar seorang muslim menjaga lidahnya dari berkata dusta, mengumpat dan
mengeluarkan kata-kata yang kesat. BAGINDA
SAW bersabda yang bermaksud,
“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan
dusta dan ghibah maka tidak ada ertinya di sisi ALLAH baginya berpuasa dari
makan dan minum.”
(riwayat al-Imam al-Bukhari)
Hadis ini adalah peringatan kepada
setiap diri agar meninggalkan perkataan dusta dan ghibah. Sabda BAGINDA SAW tidak
ada ertinya di sisi ALLAH SWT merupakan perumpamaan tertolaknya ibadah puasa
yang bercampur dengan perkataan dusta.
Seorang muslim yang berpuasa
sewajarnya membetulkan niat ikhlas kerana ALLAH SWT dalam menjalani ibadah
puasa. Selain itu, menjaga diri daripada perkara-perkara yang menyebabkan
berlakunya kecacatan terhadap puasa yang dilakukan dengan mengikut garis
panduan yang diajar oleh BAGINDA SAW.
Memelihara ikhlas adalah dengan cara
mengarahkan hati hanya kepada ALLAH SWT dan hanya mengharapkan pahala dan keredhaan
daripadaNya. Manakala ittiba’ (pengajaran) dalam puasa pula adalah dengan
mengetahui hukum-hukum puasa sehingga sah puasa yang dilakukan, mengecapi
kenikmatan dan pahala, serta jauh dari dosa.
Bagaimana mungkin seorang muslim dapat
merealisasikan ittiba’ iaitu meneladani RASULULLAH SAW dalam puasa, sementara
dia jahil terhadap puasa-puasa yang wajib sehingga membatalkan puasanya.
Puasa bukan hanya semata-semata
menahan diri dari makan dan minum. RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan
palsu dan melakukannya, maka ALLAH SWT tidak mempedulikannya dalam meninggalkan
makanan dan minumannya.”
(riwayat al-Bukhari)
Daripada hadis ini dapat difahami
bahawa berpuasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum tetapi
berpuasa adalah menjaga daripada berkata-berkata perkara yang sia-sia atau
perkara keji.
Menyingkap Ramadan RASULULLAH SAW
Ramadan merupakan nikmat kesempatan
sangat berharga yang tiada galang gantinya. Setiap malamnya ALLAH SWT
membebaskan 100,000 ribu orang dari mereka yang sudah tercatat sebagai penghuni
neraka.
Pada malam terakhirnya ALLAH SWT membebaskan
mereka tanpa batas seperti malam-malam sebelumnya.
Dr. Aid al-Qarni dalam mengajak umat
Islam meneladani peribadi RASULULLAH SAW dalam menyambut Ramadan berkata,
“Renungilah
bagaimana RASULULLAH SAW seorang Nabi yang maksum menjadi ukuran kebenaran
menyambut tamu agung ini.”
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri)
Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap
(rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan ia banyak menyebut Allah.”
(Surah 33, AL AHZAB : ayat 21)
Alangkah beruntung siapa yang setia
mengikuti petunjuk NABI MUHAMMAD SAW dan meneladani beliau dalam semua segi
dari kehidupan ini. Dan alangkah besar kerugian orang yang selalu melafazkan
sabdanya tetapi tidak mengikuti kandungan isinya.
Apabila RASULULLAH SAW melihat hilal
(anak bulan) petanda bahawa Ramadan telah tiba, BAGINDA SAW berdoa kepada ALLAH
SWT,
“Ya ALLAH, jadikanlah bulan ini bulan
keamanan dan keimanan, serta kedamaian dan keislaman bagi kami. kerana ia
adalah bulan kebaikan dan kebenaran. Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu
Engkau, ya ALLAH.”
Tambahan, menurut Aid al-Qarni hadis
di atas dapat difahami seolah-olah Nabi berkata kepada hilal,
“Wahai
hilal, engkau adalah makhluk seperti juga aku, Tuhanku dan Tuhanmu adalah ALLAH
SWT. Engkau tidak dapat mendatangkan mudarat dan tidak juga manfaat, tidak
dapat menghidupkan dan tidak pula mematikan, dan tidak dapat mendatangkan
rezeki dan mengatur segala sesuatu. Sesungguhnya merupakan kesalahan yang amat
besar sekiranya ada insan yang menyembahmu”.
RASULULLAH SAW tatkala menjelang bulan
Ramadan lebih tekun melakukan amal kebaikan seperti memperbanyak tilawah al Quran,
bersedekah, mengeratkan silaturrahim sesama muslim dan mempertingkatkan
ibadah-ibadah sunat.
Justeru, perlu ditegaskan di sini, apa
yang paling penting dan mustahak pada bulan Ramadan ialah kita mencontohi sikap
BAGINDA SAW.
Memperbanyak Tilawah
Puasa dan al Quran mempunyai kaitan
yang sangat dalam. RASULULLAH SAW memperbanyak membaca al Quran dalam Bulan
Ramadan.
RASULULLAH SAW mempunyai sifat
dermawan, dan sifat dermawan baginda terserlah pada bulan Ramadan ketika Jibril
membacakan dan mendengarkan bacaan al Quran. RASULULLAH SAW lebih dermawan dan
pemurah berbanding dengan angin yang ditiupkan.
BAGINDA SAW gemar mendengarkan al Quran
dan sering matanya berlinang ketika mendengarkan bacaan bait-bait ayat al Quran.
Ibnu Mas’ud menceritakan bahawa, suatu
hari RASULULLAH SAW memintaku membaca al Quran untuk baginda, “Ibnu Mas’ud bacalah
sesuatu dari al Quran untukku,” lalu aku membaca surah al-Nisa’ hingga ayat 41,
yang bermaksud, “Maka bagaimanakah apabila Kami datangkan seorang saksi dari
tiap-tiap umat dan Kami datangkan kamu (MUHAMMAD) sebagai saksi atas mereka
atas mereka itu sebagai umatmu.” Aku melihat kedua mata baginda basah
menitiskan air mata.
(riwayat al-Bukhari).
Abdullah bin Amr pernah bertanya
kepada RASULULLAH SAW, “Berapa
kali aku harus menghatamkan al Quran?” RASULULLAH menjawab, “khatamkanlah al Quran
dalam satu bulan”. Abdullah bin Amr berkata, “aku mampu lebih cepat dari itu.”
Jawab RASULULLAH, “jika begitu lakukanlah setiap 20 hari.” Tambah Abdullah bin
Amr, “Aku masih mampu untuk lebih cepat dari itu.” “Kalau begitu dalam 15 hari”
lalu “10 hari.” Abdullah bin Amr berkata, “aku masih lebih cepat dari itu.” RASULULLAH
menjawab, “kalau begitu lima hari.” lalu RASULULLAH tidak melanjutkan lagi.
(riwayat al-Tirmidzi).
Sebahagian ulama memahami tindakan RASULULLAH
SAW ini, sehingga mereka meninggalkan segala urusan fatwa dan
pengajian-pengajian di Bulan Ramadan. Juga menjauhkan diri daripada orang ramai
agar dapat mengkhusyukkan diri dalam beribadat kepada ALLAH SWT dengan
memanfaatkan bulan yang penuh berkah ini.
Mudarasah atau tadarus antara NABI
MUHAMMAD SAW dan malaikat Jibril terjadi pada malam hari, kerana malam tidak
terganggu oleh pekerjaan seharian.
Di malam hari, hati seseorang juga
lebih tenang dan konsisten untuk melakukan ibadah-ibadah sunat.
Rujukan :
http://www.islamituindah.my/ramadhan-bulan-kumpul-pahala-hindari-dosa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan