Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 11 Julai 2016

R 103 : PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB SEBAGAI UMAT ISLAM DI MUKA BUMI



(1) Hendaklah kita sentiasa bermuhasabah (membuat perhitungan diri) dan membuat penelitian terhadap diri kita masing-masing untuk meningkatkan amalan yang sudah ada dan menjauhkan segala perkara-perkara yang tidak baik dan mungkar. Kita hendaklah menjauhkan diri dari golongan sesat yang sifat-sifatnya telah diterangkan oleh RASULULLAH   di dalam hadis-hadis yang telah kita sebutkan.

(2) Hendaklah kita berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, aqidah yang telah menjadi pegangan para sahabat, tabien dan para ulama, baik salaf mahupun khalaf yang datang silih berganti dari zaman ke zaman kerana golongan ini sahaja yang akan terselamat dan akan dapat memasuki syurga. Golongan yang lain dari mereka akan menjadi penghuni Neraka.

(3) Hendaklah kita berusaha mencari ilmu pengetahuan agama, terutama ilmu-ilmu yang diistilahkan oleh para ulama sebagai “Ilmu Fardhu Ain” kemudian diikuti dengan “Ilmu Fardhu Kifayah.” Setiap hari, kita sediakan waktu khusus untuk belajar ilmu-ilmu syariat, terutama daripada ulama-ulama yang  soleh yang mewarisi tugas-tugas  para Ambiya’.

Cari dan tuntutlah ilmu sebelum diangkat (dihilangkan) oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dari permukaan bumi.

(4) Hendaklah kita berusaha membersihkan hati dari sifat-sifat kotor dan sentiasa bermujahadah untuk menghilangkan sifat-sifat tercela seperti “hubbu Dunia” (cinta kepada dunia) dan “takut mati” yang menjadi sebab segala kelemahan kaum Muslimin dan sebab kemenangan musuh terhadap kita. Untuk tujuan ini kita hendaklah mempelajari dan mendalami Ilmu Akhlak ( Ilmu Tasauf ) serta menghayatinya di dalam kehidupan kita.

(5) Hendaklah kita berhati-hati di dalam mencari nafkah kehidupan supaya kita terhindar dari sumber-sumber yang tidak diredhai oleh
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Hendaklah kita menjauhkan diri dari harta-harta yang haram dan jangan melakukan kezaliman apa-apa pun terhadap hak milik orang lain kerana tubuh yang tumbuh dari makanan yang haram pasti akan dibakar dengan api neraka.

(6) Hendaklah kita mengambil berat tentang  permasalahan pendidikan keluarga, anak, isteri dan keluarga kita. Dan hendaklah kita memberikan waktu khusus untuk mentarbiah (mendidik) mereka dan berusaha supaya mereka dapat mengikuti ajaran yang telah diberikan
RASULULLAH . Jika kita tidak melakukan demikian, besar kemungkinan kita akan menjadi terjerumus pada bila-bila masa sahaja  ke dalam jurang kemaksiatan, iaitu apabila kita terpaksa menuruti kemahuan mereka yang sentiasa berlawanan dengan kehendak agama.

(7) Hendaklah kita memberikan waktu yang cukup setiap hari untuk membaca al Quran Al Karim. Bacalah al Quran sebelum diangkat dari permukaan bumi. Hendaklah kita membacanya dengan baik, serta berusaha memahami kandungannya. Ia adalah teman hidup kita di malam yang sunyi dan wirid kita ketika manusia sedang sibuk dengan berbagai urusan di waktu petang  dan di waktu orang lain sedang nyenyak tidur di tengah malam.

(8) Hendaklah kita memberikan sebahagian dari rezeki kurniaan
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kepada kita untuk diberikan kepada keluarga kita yang memerlukannya dan kepada orang  yang kurang berkemampuan, kerana sedekah itu adalah sebahagian dari bekal kita menjalani negeri akhirat yang sangat jauh dan sangat susah. Semoga dengan apa yang telah kita korbankan itu akan menjadi hitungan dalam suratan kebaikan di akhirat kelak.

(9) Hendaklah kita memahami Islam ini dengan bentuknya yang “Syumul” yang melengkapi seluruh aspek kehidupan. Dengan itu kita hendaklah mengikuti dan melaksanakan ajaran Islam di dalam semua lapangan kehidupan. Islam ketika berada di masjid, Islam ketika berada di tengah masyarakat, Islam ketika bernegara dan Islam di dalam semua lapangan kehidupan.

(10) Yang terakhir, hendaklah kita hidup untuk agama yang kita cintai ini. Kita menjadikan Islam sebagai pilihan dan berjuang untuk menyebarkannya. Kita hendaklah memberi pengorbanan sewajamya untuk Islam dipenuh usaha dan gigih memperjuangkannya. Kita hendaklah juga berhati-hati terhadap apa yang direncanakan oleh musuh-musuh Islam, apakah dari golongan Yahudi ataupun dari golongan Nasrani dan dari lain-lain golongan. Dengan demikian kita akan dapat memelihara diri dari terjerat dengan perangkap yang dipasang oleh musuh untuk menghancurkan Islam dan umat Islam.


Inilah sepuluh intisari yang dapat saya tuliskan di sini yang merupakan sebahagian dari mutiara-mutiara yang terkandung di dalam hadis-hadis yang telah saya paparkan. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dariNya dan semoga
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sentiasa melimpahkan kerahmatan kepada kita semua, RahmatNya dan KeampunanNya adalah sebagai penghapus dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan