Di antara manusia yang mendapat umur yang sangat panjang di dunia ini
adalah Nabi Nuh as. Al-Quran mengatakan bahawa dia pernah hidup di sekitar
kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun. Sepanjang masa itu Nabi Nuh
telah menyeru mereka pada jalan Allah SWT, namun hanya sedikit dari mereka yang
kemudian mengikuti jalannya. Melihat kaumnya yang sengaja mengingkari agama
Allah SWT, bahkan sering mengganggunya, Nabi Nuh memohon kepada Allah SWT agar
ditimpakan bencana kepada mereka. Allah SWT mengabulkan permohonannya.
Nabi Nuh diperintahkan untuk membuat kapal besar yang boleh memuat semua
jenis makhluk hidup. Allah SWT akan menurunkan hujan yang sangat lebat dan
mengalirkan banjir yang sangat besar sehingga tidak satu pun dari mereka yang
kafir akan tertinggal.
Tiba waktunya apa yang ditentukan oleh Allah SWT. Bersama semua
pengikutnya dan segenap pasangan makhluk melata lain Nabi Nuh naik ke atas
kapal. Hujan mulai turun membasahi bumi. Nabi Nuh memperhatikan satu persatu
dari mereka yang hadir di kapal. Tiba-tiba matanya memandang seorang lelaki tua
yang tidak dikenalnya.
“Siapa anda?” tanya Nabi Nuh ingin tahu.
“Aku Iblis,” jawabnya.
Dasar Iblis, dia tahu saja bagaimana cara masuk ke dalam kapal Nabi
kekasih Allah itu. Dia boleh hadir di mana saja dia mahu. Bukan kerana dia
makhluk ajaib, tetapi dia memang sangat gigih memperjuangkan usahanya.
“Mengapa engkau mahu ikut kami?” tanya Nabi Nuh lagi.
“Aku bukan mahu ikut kapalmu dan ingin selamat bersamamu. Aku hanya
ingin mengganggu hati para pengikutmu. Biarlah tubuh mereka bersamamu asal hati
mereka bersamaku,” jawab Iblis terus terang.
Iblis memang tidak pernah menyembunyikan niat jahatnya untuk
mencelakakan manusia. Fikirnya, semua manusia sudah tahu siapa dia. Sejak zaman
Adam sampai hari kiamat. Mengapa harus berbohong lagi, kerana tidak semua yang
manusia ketahui pasti akan diikuti.
“Keluarlah dari kapalku, wahai musuh Allah!” kata Nabi Nuh kepada Iblis.
Iblis tidak menjawab apakah mahu keluar atau akan tetap di sana. Sebelum
Nabi Nuh, Allah SWT juga pernah mengusirnya keluar dari syurga. Tetapi, dia
masih saja membangkang perintah Allah SWT dan terus berusaha menggoda Adam
sampai berhasil.
Dia hanya berkata, “Wahai Nuh, aku menyimpan lima strategi yang
dengannya aku akan boleh mencelakakan umat manusia. Aku akan sebutkan padamu
yang tiga, tapi akan menyembunyikan darimu dua lainnya.” Kemudian Allah
mewahyukan pada Nuh agar tidak usah mendengarkan yang tiga, tapi dengar saja
dua yang lainnya.
“Aku tidak berminat mendengar tiga strategi yang akan engkau sebutkan
itu, tapi sebutkan dua strategi yang engkau sembunyikan dariku,” jawab Nuh.
Iblis berkata, “Wahai Nuh aku akan berusaha membinasakan manusia dengan
dua cara: pertama, dengan cara menanamkan sifat dengki dalam hati mereka; dan
kedua dengan cara menanamkan sifat serakah dalam jiwa mereka. Kerana dengki
maka aku dilaknat oleh Allah dan dijadikannya sebagai syaitan yang terkutuk.
Dan kerana serakah maka Adam menghalalkan segala makanan di syurga sehingga dia
dikeluarkan. Dengan dua sifat ini, kami semua dikeluarkan dari syurga.
Setelah kapal Nabi Nuh mendarat dengan segenap penumpangnya, tiba-tiba
si Iblis datang lagi menghampirinya. Dengan suara yang amat merdu dia berkata
pada Nuh, “Aku sangat berterima kasih padamu, lebih dari semua makhluk yang ada
di bumi ini.”
“Terima kasih dari apa?” tanya Nabi Nuh ingin tahu.
“Permohonanmu agar orang-orang kafir itu dicelakakan telah dikabulkan
oleh Allah. Dengan cara itu bererti engkau telah meringankan bebanku,” kata
Iblis.
“Wahai Nuh, jangan sekali-kali engkau mendengki kerana ia telah menghantarku
pada keadaan seperti ini. Dan jangan sekali-kali engkau serakah kerana ia telah
menghantar Adam seperti yang dialaminya.”
Allah SWT berfirman: ''Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang
kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan
pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat
dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan Tuhanmu sentiasa mengawal serta
mengawas tiap-tiap sesuatu."
(Saba 21)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan