AL AZIZ ( العزيز )
ALLAH Yaa Aziz Yang Maha Perkasa. DIA
lebih perkasa daripada seluruh makhluk di dunia ini. KeperkasaanNYA dapat
dilihat dalam penciptaan langit dan bumi serta makhlukNYA. DIA perkasa dalam
menguasai setiap makhluk ciptaanNYA seperti matahari, bulan, bintang, binatang,
gunung serta manusia. Seluruh keperkasaan makhlukNYA adalah daya keperkasaanNYA
Yaa Aziz. DIA juga mampu memperkasakan jiwa manusia agar cekal dan tabah dalam
menghadapi ujian kehidupan.
Menghayati sifat Al Aziz akan melahirkan
manusia yang cekal semangat dalam mengharungi kehidupan, tidak mudah putus asa
ketika kecewa dan berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dan
kecemerlangan. Hamba Al Aziz akan menguatkan jiwa-jiwa yang lemah dan kecewa
dengan keyakinan bahawasanya semakin dia diuji, semakin cinta ALLAH Subhanahu
Wata'ala kepadanya dan DIA reda dan sabar atas ujian itu.
BICARA HATI
Alllahumma Yaa Aziz Yang Maha Perkasa,
sesungguhnya seluruh keperkasaan dan kekuatan di alam buana ini adalah milikMu,
tiada wujud makhluk yang perkasa selain Engkau. Berputarnya alam dan isinya
adalah dengan daya keperkasaanMu, bergeraknya planet-planet di atas orbit,
memancarnya matahari, tegaknya langit, terhamparnya bumi, bergeraknya awan,
semuanya dengan daya keperkasaan dan kekuatanMu Yaa Aziz. Sedetik sahaja Engkau
cabut kekuasaan ini, lemah dan hancurlah alam ini.
Sebagaimana perkasanya alam ini Yaa Aziz,
perkasakan jiwa kami yang lemah ini. Seringkali kami lemah ketika berhadapan
dengan ujianMu, merasa gagal dan kecewa dalam hidup ini, kami lemah dengan
kata-kata dan cemuhan manusia, lemah ketika diberi tugasan dan agendaMu,
lemahnya jiwa kami untuk rukuk sujud kepadaMu khususnya di pagi-pagi hari, lemahnya
kami dalam mengawal nafsu kami, sibuk dengan agenda shopping, berborak,
menonton tv, melayari internet, whatsapp, mengejar-ngejar kekayaan dunia yang
hina ini.
Maka Allahumma Yaa Aziz, perkasa dan kuatkan iman kami
kepadaMu, kuatkan pergantungan kami hanya kepadaMu, kuatkan keyakinan kami
kepadaMu agar dapat kami hidup dengan pergantungan yang kukuh kepadaMu dan Yaa
Baaqi Yaa Mukmin Yaa Aziz, kekalkan kekuatan iman kami sehingga akhir hayat
kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan