AL JABBAR ( الجبار )
ALLAH Yaa Jabbar Yang Maha Memaksa, yang
kehendakNYA tidak dapat diingkari oleh sesiapa pun. PemaksaanNYA tanda kasih
sayangNYA kepada hamba-hamba pilihanNYA kerana manusia itu sifatnya sering lupa
dan lalai. Hanya dengan pemaksaan dan kehendakNYA manusia akan ingat kepada
ALLAH Subhanahu Wata'ala ketika diri alpa.
Menghayati Al Jabbar menjadikan manusia
bersyukur dan bersikap redha kerana mengerti kehendak ALLAH Subhanahu Wata'ala
itu tanda kasih sayangNYA, untuk menyelamatkan manusia daripada kemungkaran dan
kemurkaan ALLAH Subhanahu Wata'ala. Disempitkan rezekinya atau diberikan ujian
kesakitan dan kehinaan agar manusia kembali ingat dan menginsafi setiap salah
silapnya dan berpatah balik ke jalan yang benar. ALLAH Yaa Jabbar memastikan
hambaNya bergerak di atas landasan orbit yang ditetapkanNya dengan tegas,
apabila tersasar ditarik kembali samada secara lembut atau paksaan.
Orang beriman yang menghayati nama ALLAH
Yaa Jabbar menzahirkan fitrah ini pada akhlak dan peribadinya. Setiap saat
berlapang dada dan redha akan agenda Allah Subhanahu Wata'ala meskipun tidak
disukai oleh nafsunya yang sukakan rehat dan keduniaan. Sentiasa tunduk pada
setiap arahan Allah Subhanahu Wata'ala. Istiqomah dalam menyebarkan ilmu
makrifat, menegakkan kebenaran dan mencantas kemungkaran.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Jabbar, Yaa Jabbar Yaa
Jabbar, sesungguhnya Engkau Maha Pemaksa, sekiranya kami tersasar dari jalan
kebenaranMu, Engkau memaksa kami kembali dengan sedikit ketegasanMu kerana
kasihMu kepada kami. Ketika kami bersantai-santai di dunia ini sedangkan mahligai
Syurga belum terbina dan jurang Neraka sudah terbuka, Engkau Yaa Jabbar menarik
kami untuk sujud kepadaMu dengan peristiwa-peristiwa yang memaksa kami terpisah
dengan dunia dan manusia, peristiwa kesakitan, kebangkrapan, perpisahan,
kemiskinan dan pelbagai peristiwa yang Engkau Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa
Musowwir ciptakan agar kami datang merintih dan mengadu kepadaMu Yaa Rahman Yaa
Rahim.
Ketika mata kami asyik menonton tv dan
video yang melalaikan, Engkau Yaa Jabbar mencabut sedikit nikmat penglihatan
kami agar ianya tidak terkena kotoran dosa, ketika pendengaran ini sering kami
pergunakan untuk mendengar umpat keji dan perkara dosa lagi syirik, Engkau Yaa
Jabbar mengambil nikmat pendengaran kami agar ianya tidak dikotori. Ketika kaki
ini begitu malas untuk menghidupkan sunnah ziarah menziarahi, sibuk
bersantai-santai, Engkau Yaa Jabbar mengambil nikmat kaki kami agar kami ada
masa berdamping denganMu. Ketika hati ini kosong dari cintaMu Yaa Wadud, Engkau
Yaa Jabbar memaksa kami untuk mencintaiMu dengan perpisahan dan perceraian
dengan makhluk. Ketika kami lupa kematian kami yang akan datang entahkan esok
entahkan lusa, Engkau Yaa Jabbar memaksa kami untuk membuat persiapan
menghadapinya dengan pelbagai peristiwa penyucian bagi hati kami yang kotor ini.
Terima kasih Yaa Allah Yaa Jabbar kerana kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa
Wadud, maafkan dan ampuni kami Yaa Affuw Yaa Ghafar kerana tidak mampu memaksa
nafsu kami untuk tunduk kepadaMu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan