Surah
78: 40 ayat Diturunkan di MEKAH
Tafsir
Al Azhar
“1- Dari hal apakah mereka tanya-bertanya?
2- Dari hal satu berita besar
3- Yang telah mereka perselisihkan padanya
4- Jangan! Kelak mereka akan tahu.
5- Kemudian itu; sekali-kali jangan! Kelak mereka akan tahu.”
Berita Yang Besar!
"Dari hal apakah mereka
tanya-bertanya?"
(ayat 1). Atau soal apakah yang mereka
pertengkarkan atau persoalkan di antara sesama mereka? Mengapa mereka jadi bertengkar
tidak berkesudahan?
Yang mereka tanya-bertanyakan, yang
mereka persoalkan, menjadi buah tutur di mana mereka berkumpul sesama mereka,
iaitu kaum Quraisy itu, ialah;
“Dari hal satu berita besar!"
(ayat 2).
Adalah satu berita besar bagi mereka itu
seketika Muhammad s.a.w. anak Abdullah, yang mereka kenal sejak dari masa
kecilnya sampai masa remajanya dan sekarang telah meningkat usia lebih dari
empat puluh tahun telah mengeluarkan suatu pendirian yang berbeza sama sekali
daripada apa yang mereka harapkan. Dia mengaku dirinya mendapat wahyu dari
Tuhan; Dia mengaku Malaikat Jibril diutus Allah swt menemuinya buat
menyampaikan wahyu itu. Dan wahyu-wahyu yang disampaikannya itu sangatlah
menggoncangkan masyarakat. Dia melarang
menyembah berhala yang selama ini menjadi dasar agama kaumnya. Dan diapun
mengatakan pula bahawa di belakang hari yang sekarang ini, iaitu setelah kita
mati, kita semuanya ini akan hidup kembali dalam alam lain yang bernama alam
Akhirat. Di sana akan diperhitungkan amalan manusia. Dosa yang tidak akan
diampuni, kalau tidak taubat betul-betul, ialah dosa mempersekutukan Allah swt
dengan yang lain.
Mereka tanya-bertanya, berbisik hilir
berbisik mudik, di "Darun-Nadwah" tempat mereka biasa berkumpul,
ataupun di dalam Masjid, atau di mana saja. Yang jadi berita hangat ialah soal
ini; soal Al Quran yang dinamai wahyu, soal Kiamat dan soal kebencian kepada
penyembahan berhala. Itulah semua;
"Yang telah mereka perselisihkan
padanya."
(ayat 3).
Nescaya perselisihan itu tidak akan
putus-putus. Tanya-bertanya di antara yang satu dengan yang lain tiadakan
terhenti, kerana semuanya hanya akan memperturutkan pertimbangan sendiri;
"Jangan!"
(pangkal ayat 4).
Ertinya tidaklah ada perlunya
dipertengkarkan atau mereka tanya-bertanya dalam soal yang besar itu, kerana;
"Kelak mereka akan tahu."
(ujung ayat 4).
Tegasnya kalau mereka bertengkar atau
tanya-bertanya dalam persoalan yang besar itu, sehingga keputusan tidak ada,
namun akhir kelaknya mereka pasti akan tahu juga, atau segala yang mereka
tanya-bertanyakan itu tidak lama lagi pasti menjadi kenyataan, kerqna ketentuan
yang digariskan oleh Allah swt, tidak ada tenaga manusia
yang dapat menahannya.
"Kemudian itu!"
(pangkal ayat 5).
Kemudian itu diperingatkanlah untuk
kesekian kalinya,
"Sekali-kali jangan!"
Bertengkar bertanya-tanyaan juga, kerana
tidak akan ada faedahnya menggantang asap mengkhayalkan kehendak yang telah
tertentu dari Allah dengan hanya meraba-raba dalam kegelapan jahil;
"Kelak mereka akan tahu!"
(ujung ayat 5).
Segala keragu-raguan yang menimbulkan
berbagai macam pertanyaan kian sehari akan kian sirna, sebab Al-Quran kian
sehari akan kian jelas. Menurut suatu riwayat yang dibawakan oleh ahli-ahli
tafsir, soal yang Iebih menjadi soal yang dipertanya-tanyakan di antara mereka,
terlebih dari yang lain ialah soal dibangkitkan sesudah mati itu, (yaumal
ba`ts).
Sebagai tersebut di dalam Surat 36
(Yaa-Siin) ayat 78, pernah ada di antara mereka yang memungut tulang yang telah
lapuk dari tanah, lalu bertanya kepada Nabi s.a.w.;
"Siapakah pula yang akan dapat
menghidupkan kembali tulang-belulang ini padahal dia telah lapuk?"
Sampai Nabi disuruh menjawab (ayat 79);
"Yang akan menghidupkannya ialah
yang menjadikannya pertama kali."
Kesimpulan dari ayat-ayat ini ialah, pertanyaan
yang timbul di antara sesamamu itu kelak akan terjawab dengan sendirinya,
kerana wahyu akan turun lagi dan keterangan akan bertambah lagi, dan pembuktian
akan diperlihatkan. Sebab itu bersedialah buat beriman.
“6- Bukankah telah Kami jadikan bumi itu
terbentang?
7- Dan gunung-gunung (sebagai)
pancang-pancang?
8- Dan telah Kami jadikan kamu
berpasang-pasangan?
9- Dan telah Kami jadikan tidur kamu
untuk berlepas lelah?
10- Dan telah Kami jadikan malam
(sebagai) pakaian?
11- Dan telah Kami jadikan siang untuk
penghidupan?
12- Dan telah Kami bangunkan di arah
atas kamu tujuh yang kukuh?
13- Dan telah Kami jadikan suatu pelita
yang terang-benderang?
14- Dan telah Kami turunkan dari awan
air yang bercucuran?
15- Kerana akan Kami keluarkan dengan
dia biji-biji dan tumbuh-tumbuhan
16- Dan kebun-kebun yang subur.”
Alangkah Hebatnya Penciptaan Tuhan
Dengan sepuluh ayat, dari ayat 6 sampai
ayat 16 terbukalah kepada kita bagaimana caranya Allah swt mendidik dan membawa
manusia kepada berfikiran luas, agar dia jangan hanya terkurung dalam
batas-batas fikiran sempit, sehingga dia tidak tahu jalan mana yang harus
dilaluinya supaya dia bertemu dengan jawaban soal besar yang
dipertanya-tanyakan itu.
Insafilah di mana engkau tegak sekarang,
kerana kehendak siapa engkau datang ke dalam hidup ini;
"Bukankah telah Kami jadikan bumi
itu terbentang?"
(ayat 6).
"Bumi terbentang."
– suatu ungkapan yang Maha Indah dari
Allah sendiri. Boleh juga disebut bumi terhampar, laksana menghamparkan
permadani, yang kamu Insan diberi tempat yang luas buat hidup di atas bumi yang
dibentangkan itu. Untuk siapa bumi itu, kalau bukan untuk kamu? Dan segala yang
ada di dalamnyapun boleh kamu ambil faedahnya. Maka dalam kata-kata maha ada,
yang kita ertikan terbentang itu terasalah satu penyelenggaraan dan satu
persilahan; ambillah faedahnya.
"Dan gunung-gunung (sebagai)
pancang-pancang."
(ayat 7).
Dijelaskanlah pada ayat ini kegunaan
gunung. Kalau gunung tak ada, bumi tidak akan selamat dan tidak akan terbentang
dengan baik. Kerana angin yang selalu berhembus keras akan membongkar urat dari
kayu-kayu yang tumbuh sebagai keperluan hidup itu. Dengan adanya gunung-gunung
sebagai pancang itu, kukuhlah hidup manusia. Dan misalnya habislah kayu-kayuan
yang tumbuh di lereng gunung, ketika hujan turun meluncurlah tanah, dan
keringlah bumi yang terbentang itu kerana tidak ada yang menghalanginya lagi
dan terhalanglah hidup, kerana erosi.
"Dan telah Kami jadikan kamu
berpasang-pasangan."
(ayat 8).
Berpasang-pasangan, iaitu berjantan
berbetina, berlelaki berperempuan, berpositif bernegatif, dengan demikian
itulah Allah swt menciptakan alam ini seluruhnya. Ada berlangit berbumi, ada
berawal berakhir, ada berlahir berbatin, ada berdunia berakhirat dan
seterusnya. Maka dengan demikianlah Allah Yang Maha Tunggal menciptakan seluruh
yang maujud dalam alam ini berpasang-pasangan. Yang berdiri sendiri hanya Allah!
"Dan telah Kami jadikan tidur kamu
untuk berlepas Ielah." (ayat
9).
Dengan demikian tenang kembali rohanimu
dan jasmanimu yang sibuk selalu, bagi mengumpulkan kekuatan yang baru, sehingga
tidur adalah kemestian yang tidak dapat dipisahkan dari hidup.
"Dan telah Kami jadikan malam
(sebagai) pakaian."
(ayat 10).
Menurut lbnu Jarir ath-Thabari;
"Gelap malam itu meliputi seluruh diri kamu, sehingga walaupun kamu
bertelanjang tidak berkain sehelai benang jua, namun kegelapan malam itu sudah
menjadi ganti dari pakaianmu." Dan menurut penafsiran daripada Ibnu Jubair
dan as-Suddi; "Ketenangan diri kerana nyenyak tidur untuk membangkitkan
tenaga baru untuk hari esok, serupa juga dengan mengganti pakaian yang telah
kumal dengan yang masih bersih."
"Dan telah Kami jadikan siang untuk
penghidupan."
(ayat 11).
Setelah tadi malam beristirehat berlepas
lelah, pagi-pagi badan dan jiwa menjadi segar. Setelah terasa segar mulailah
bekerja dan bergiat lagi berjalan di atas bumi yang telah terbentang itu
mencari perbekalan buat hidup, mencari rezeki, mencari makan dan minum. Itulah
yang dinamai ma'aasya; Penghidupan. Dalam kata-kata susunan lain disebut juga
ma'iisyah.
"Dan telah Kami bangunkan di arah
atas kamu tujuh yang kukuh."
(ayat 12).
"Tujuh yang kukuh."
ialah langit yang tujuh lapis. Dan
kitapun tahu cara pemakaian bahasa Arab, bahawa kalau disebut kalimat tujuh
yang dimaksud ialah banyak! Dan semua langit itu dibina oleh Allah swt dengan
kukuhnya. Ilmu pengetahuan manusia tentang alam telah membawa kepada keinsafan
bahawa memang kukuhlah bangunan angkasa luas itu, yang telah berjuta-juta dan
juta-juta tahun diciptakan oleh Dia, Yang Maha Kuasa, namun cakerawala masih
tegak teguh dengan jayanya, berdiri dengan kukuhnya. Beredarlah dalam
cakerawala itu berjuta-juta bintang dan satu di antaranya adalah bumi kita ini;
dan kitapun hidup di atas permukaan bumi, di bawah naungan langit;
"Dan telah Kami jadikan suatu
pelita yang terang-benderang."
(ayat 13).
Pelita yang terang-benderang itu, yang
hanya satu, iaitu Matahari telah memancarkan sinar yang terang-benderang,
sehingga untuk tahu bagaimana sinar terang-benderangnya, bandingkanlah kepada
malam hari, ketika matahari itu telah terbenam, telah kita ganti dengan
berjuta-juta pelita kita sendiri, namun berjuta-juta pelita itu belum juga
dapat menggantikan sinar terang benderang matahari yang meliputi alam di siang
hari.
"Dan telah Kami turunkan dari awan
air yang bercucuran." (ayat
14).
Itulah hujan yang selalu menyirami bumi;
air bercucuran ialah hujan yang lebat, yang selalu membagi-bagikan air itu
untuk hidup segala yang bernyawa. Di dalam Surat 21, al-Anbiya' ayat 30 sudah
diterangkan pula bahawa segala yang hidup di atas bumi ini, baik manusia atau
binatang, atau tumbuh-tumbuhan sekalipun sangat bergantung kepada air.
Hujanlah cara pembahagian air yang paling
merata dari Allah swt, buat mengisi sumur yang hampir kering, buat meneruskan
aliran sungai-sungai dan mengalir terus ke laut, dan dari laut itu air tadi
menguap ke udara buat menjadi awan atau mega, berkumpul untuk kembali menjadi
hujan, dan turun kembali. Demikianlah terus-menerus.
"Kerana akan Kami keluarkan dengan
dia."
(pangkal ayat 15),
iaitu dengan sebab bercucurannya air
hujan tersebut keluarlah;
Biji-biji dan tumbuh-tumbuhan."
(ujung ayat 15).
Banyaklah macamnya tumbuhan yang tumbuh
berasal dari bijinya. Seperti lada, mentimun, kacang dalam segala jenisnya,
jagung dan padi dan sebagainya. Semuanya itu dari biji atau benih. Sebelum
disinggung air dia kelihatan tidak bererti apa-apa. Tetapi setelah dia kena
air, timbullah dua helai daun yang tadinya tersimpul menjadi biji itu. Lain
pula halnya dengan berbagai tumbuh-tumbuhan yang lain; yang akan hidup kembali
setelah kena air ialah uratnya yang telah kering tadi. Air menjadikan dia
basah, dan basah mengalirkan hidup pada dirinya buat menghisap air lagi yang
ada tersimpan di dalam bumi.
"Dan kebun-kebun yang subur."
(ayat 16).
Sudah sejak manusia mengenal hidup
bercucuk tanam sebagai lanjutan dari hidup berburu di darat dan di air, kian
lama kian teraturlah cara manusia menanam dan kian jelaslah apa yang mereka
pandang patut ditanam. Mulanya hanya sekadar mencari apa yang baik untuk
dimakan. Misalnya dengan dikenal manusia gandum dan padi; lalu manusiapun
membuat kebun atau sawah yang lebih teratur; kerana akal yang telah lebih
cerdas itu didapat ialah setelah banyak pengalaman. Lama-kelamaan didapati
manusia pulalah tumbuh-tumbuhan lain yang bukan saja untuk dimakan, malahan
tumbuh-tumbuhan yang pantas ditenun jadi pakaian. Maka dikenallah kapas dan
kapuk dan idas-rumin dan kulit terap. Akhirnya pandailah manusia berkebun
kurma, berkebun anggur, berkebun jeruk, berkebun kelapa dan bersawah dan
lain-lain, sampai kita kenal manusia berkebun getah, berkebun nenas buat
diambil daunnya jadi serat rami dan benang.
Dari tiga ayat yang bertali ini, ayat 14
sampai ayat 16 kita melihat usaha manusia menyesuaikan dirinya dengan alam
pemberian Allah swt. Allah swt menurunkan hujan, manusia mengatur pengairan.
Allah swt mentakdirkan biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, manusia mengatur
kebun-kebun dan sawah dan menyusunnya menurut keadaan buminya. Inilah dia
kebudayaan. Sebab itu maka usaha perkebunan disebut juga Kebudayaan;
Agriculture. Dan Tanah Sumatera Timur sebelum Perang Dunia Kedua yang penuh
dengan perkebunan yang luas-luas itu, yang rakyatnya di bawah naungan raja-raja
dan Sultan-sultan Melayu dinamai dalam bahasa Belanda; Culmurgebied, Daerah
Kebudayaan!
“17- Sesungguhnya Hari Keputusan itu
adalah satu waktu yang telah ditetapkan.
18- (Iaitu) hari yang akan ditiup
padanya serunai sangkakala, maka akan datanglah kamu berduyun-duyun.
19- Dan akan dibukakan langit; maka
jadilah dia beberapa pintu.
20- Dan akan dihapuskan gunung-gunung;
maka jadilah dia sarab belaka.”
Hari Keputusan
Dalam ayat 6 sampai ayat 16 diuraikan
oleh Tuhan nikmatNya atas manusia di dalam alam yang ada di kelilingnya.
Bahawasanya hidup manusia dalam alam ini tidaklah dibiarkan terlantar. Sejak
dari terhampar bumi terpancangnya gunung-gunung, kejadian manusia
berpasang-pasangan, nyenyak tidur, gelap malam, terang siang, tujuh langit dan
pancaran pelita agung sang Suria dan lebatnya hujan, semuanya itu adalah nikmat
bagi manusia selama hidup di dunia ini, yang kalau manusia sedar akan dirinya,
akan tahulah dia betapa besar nikmat itu, sehinga dia dapat hidup nyaman di
atas permukaan bumi ini. Dan bahawa hidup manusia kait-berkait dengan alam
kelilingnya.
Tetapi jangan lupa! Yang awal mesti ada
akhirnya. Bumi itu tidak akan sentiasa demikian saja.
Akhir dia pasti hancur; dan yang sudah
terang terlebih dahulu berjalan meninggalkan bumi ini ialah manusia sendiri.
Kalau ajal manusia telah ditentukan, ajal bumipun telah ditentukan pula. Kalau
ajalnya datang, satu apa pun tidak ada yang sanggup bertahan.
"Sesungguhnya Hari Keputusan itu
adalah satu waktu yang telah ditetapkan."
(ayat 17).
Hari Keputusan itu ialah Hari Kiamat,
dan waktunya telah ditentukan di dalam ketentuan Allah, tidak dikurangi dan
tidak ditambah dan tidak pula ada yang mengetahui bila hal itu akan terjadi,
selain dari Allah sendiri.
"(Iaitu) hari yang akan ditiup
padanya serunai sangkakala." (Pangkal
ayat18).
Bertemulah beberapa ayat di dalam al-Quran
tentang serunai sangkakala, atau terompet atau nafiri atau apa yang dinamai
tetuang[1] yang bila ditiup akan kedengaran melengking keras suaranya. Serunai
itulah pemberitahuan bahawa Hari Keputusan itu telah mulai datang;
"Maka akan datanglah kamu
berduyun-duyun."
(Hujung ayat 18).
Dengan demikian jelaslah bahawa tiupan
serunai pertama itu adalah panggilan untuk berkumpul, sehingga datanglah
manusia berduyun-duyun, rombongan demi rombongan.
Tentang tiupan serunai sangkakala itu
Syaikh Muhammad Abduh menulis "Tiupan
dalam tafsirnya; Tiupan pada serunai tersebut adalah suatu ibarat bagaimana
Allah swt membangunkan manusia daripada mautnya di hari kiamat itu kelak, yang
dapat diambil perumpamaan yang cepat ialah tiupan bunyi terompet, sebagaimana
tersebut pada ayat 68 Surat 39, az-Zumar, demi mendengar bunyi terompet itu
merekapun bangunlah lalu memandang ke sana ke mari dalam kehidupan yang baru.
Dan kitapun wajiblah percaya bahawa meniup serunai itu memang akan kejadian,
dengan tidak perlu kita kaji pula bagaimana cara penghembusan atau peniupan itu
dan apa barangnya."
Datanglah manusia berduyun-duyun
berbondong-bondong ke tempat berkumpul yang dinamai mahsyar itu, tempat
memperhitungkan amal dan usaha semasa hidup. Keadaan pada waktu peniupan
serunai sangkakala itu sudah lain:
"Dan akan dibukakan langit; maka
jadilah dia beberapa pintu."
(ayat 19).
Dalam keadaan ilmu manusia yang seperti
sekarang ini belumlah kita dapat mengetahui bagaimana keadaan langit yang akan
terbuka itu. Sebab yang kita lihat pada langit di malam hari hanyalah
bintang-bintang yang berserak-serak berjuta-juta banyaknya. Yang kita tahu
langit yang kadang-kadang kita namakan ruang angkasa itu amat Iuas atau tinggi,
tidak ada batasnya. Kononnya, bila manusia berangkat dari titik tempat tegaknya
sekarang ini, (misalnya di rumah saya di Kebayoran), lalu berangkat secepat
cahaya mengedari "kolong" langit ini, 12 juta tahun baru sarnpai
kembali ke tempat tegak semula tadi. Apakah ini yang bernama langit pertama?
Dan apakah ini yang akan terbuka lalu terjadi beberapa pintu? Ataukah
bintang-bintang yang banyak itu gugur dan terkisar dari tempat jalannya semula,
sehingga langit ketirisan? Atau bolong? Sehingga hilanglah daya tarik yang
menimbulkan keseimbangan dalam perjalanan alam ini? Lalu semua jadi kucar-kacir
dan hancur luluh? Wallahu A`lam!
Yang sudah terang, kalau langit sudah
dibuka dan beberapa pintu sudah terjadi, maka perjalanan falak sudah berubah
sama-sekali; dan tentu itulah yang bernama permulaan kiamat.
"Dan akan dihapuskan gunung-gunung;
maka jadilah dia sarab belaka." (ayat 20).
Tadi pada ayat 7 sudah dijelaskan bahawa
gunung-gunung itu dijadikan oleh Allah swt menjadi pasak bumi, atau tiang-tiang
peneguh, pemantap, sehingga manusia dapat hidup dengan tenteram. Kalau
gunung-gunung tidak ada, bahaya besarlah yang akan menimpa. Manusia tidak akan
dapat hidup di muka bumi lagi. Sebab tidak ada lagi yang akan mendinding angin
berhembus keras. Ingat sajalah betapa kerasnya angin di laut ketika kita
belayar. Sebab tidak ada yang menghambat angin itu. Dan gunung-gunung di tanah
yang subur dapat menahan erosi, iaitu mengalirnya bunga tanah di bawah hujan
sehingga tanah menjadi kering. Maka diterangkanlah dalam ayat 20 ini,
bahawasanya setelah serunai sangkakala itu ditiup, gunung-gunungpun menjadi
hapus. Lantaran itu maka bumi menjadi rata; tak bergunung-gunung lagi. Sudah
pasti manusia tidak dapat hidup lagi dalam bumi yang tidak bergunung! Yang ada
hanyalah padang balantara belaka. Yang kelihatan oleh mata tidak gunung lagi,
melainkan sarab yang
disebut orang dalam bahasa asing
fatamorgana; iaitu bayang-bayang dari panas yang sangat teriknya, menyerupai
air yang sedang tergenang dan sangat jernih. Sehingga apabila kita haus, kita
menyangka sesampai kita di tempat itu kita akan bertemu air. Padahal setelah
datang ke sana, setitis airpun tidak akan ditemui. ltulah sarab. Dan itulah
yang telah diperumpamakan Allah swt atas orang-orang yang haus akan kebahagiaan
jiwa, padahal tidak menurut tuntunan yang diberikan Allah swt, berjalan tengah
kehausan di padang pasir, sebagai tersebut di dalam Surat 24 an-Nur, ayat 39.
Maka pada waktu itu langit tempat
bernaung telah tembus dan berlubang-lubang menjadi banyak pintu. Gunung-gunung
tempat berlindung dari dahsyatnya angin telah rata dengan tanah, sehingga
pengharapan sudah menjadi fatamorgana belaka; disangka air, rupanya hanya pasir!
“21- Sesungguhnya neraka jahanam itu
selalu mengawasi.
22- Bagi orang-orang yang durhaka,
adalah dia tempat kembali.
23- Akan tinggal mereka di sana beberapa
huqub lamanya.
24- Tidak mereka akan merasakan dingin
di sana dan tidak minuman.
25- Kecuali air mendidih dan air luka
(nanah)
26- Suatu balasan yang setimpal.
27- Kerana sesungguhnya mereka tidak
mengharap kepada perhitungan.
28- Dan mereka dustakan ayat-ayat Kami,
sebenar-benar mendusta.
29- Padahal tiap-tiap sesuatunya telah
Kami kumpulkan di dalam kitab.
30- Sekarang rasakanlah! Maka tidaklah
akan Kami tambahkan lagi, melainkan azab siksaan jua.”
Penderitaan Dalam Neraka Jahanam
Pada ayat 17 sampai 20 diterangkan
permulaan atau sebagai pendahuluan dari Hari Kiamat. Hari Kiamat ertinya Hari
Berbangkit; dinamai juga Hari Keputusan. Kerana pada waktu itulah Allah swt
akan memutuskan perkara tiap-tiap makhlukNya; yang baik dan yang buruk. Maka
mulai ayat 21 sampai 30 ini diterangkanlah akibat yang akan diterima oleh hamba
Allah yang durhaka.
"Sesungguhnya neraka jahannam itu
selalu mengawasi."
(ayat 21).
Atau selalu menunggu dan memperhatikan
orang-orang yang kufur yang akan dilemparkan ke dalamnya. Lalu pada ayat
selanjutnya diterangkanlah lebih tegas siapa yang akan masuk ke dalam itu;
"Bagi orang-orang yang durhaka,
adalah dia tempat kembali."
(ayat 22).
Thaghiin kita artikan saja secara
ringkas dengan orangorang yang durhaka, meskipun isi makna mungkin lebih jauh
dari itu. Sebab kata Thaghiin itu adalah satu sumber (mashdar) dengan thaghut,
yang bererti orang atau barang yang dipuja-puja dan diagung-agungkan sehingga
kerana itu dia sombong dan berlaku sesuka hati. Sebab itu pula maka diktator
atau orang yang bersimaharajalela kerana kekuasaan dinamai juga Thaghiyah.
Lantaran itu dapatlah difahamkan bahawa
orang yang Thaghiin, yang akan masuk ke dalam neraka jahannam itu ialah orang
yang hanya memperturutkan kemauan sendiri, tidak mau menuruti aturan yang umum;
tidak mau memakai peraturan Allah swt dan peraturan Rasul saw. Orang beriman
memakai Kitab Allah swt menjadi pedoman hidup, namun orang yang Thaghiin itu
Kitab Allahnya ialah genggaman tinjunya. lbarat orang bermain bola di tanah
lapang menurut aturan-aturan yang tertentu, namun bagi dia peraturan itu tidak
perlu; yang perlu ialah bola itu masuk, walaupun dengan dihantarkan ke muka
gawang dengan pistol di tangan kanan dan bola itu di tangan kirinyanya.
Seluruh manusia mengatakan kemasukan
bola cara demikian tidak sah namun dia sendiri mengatakan sah; sebab
dihantarkannya sendiri dengan pistol! Orang yang semacam itulah yang dalam
bahasa Arab disebut Thaghiin. Maka orang yang tidak perduli peraturan Allah swt
dan Rasul saw, hanya peraturan buatannya sendiri, orang semacam itulah yang
tempat kembalinya neraka jahanam.
"Akan tinggal mereka di sana
beberapa huqub Iamanya."
(ayat 23).
Dalam ayat 60 daripada Surat 18
(al-Kahfi) ada dituliskan bahawa Nabi Musa as mahu berjalan kaki, walaupun
sampai satu huqub; dia tidak akan berhenti sebelum bertemu dengan guru yang
dicarinya itu, (tengok dalam Juzu' 15). Maka terdapatlah erti satu huqub
menurut orang Arab ialah sekira 80 (lapan puluh) tahun.
Sekarang dalam ayat ini bertemu kata
jama' daripada huquban, iaitu ahqaba. Ertinya akan menderitalah orang yang
durhaka itu terpendam dalam neraka jahanam berkali-kali lapan puluh tahun atau
sebagai ditafsirkan oleh al-Qurthubi; "Kinayatun `anit ta'bidd";
sebagai kata ungkapan dari kekekalan. Bila telah masuk, payah akan keluar lagi.
“Tidak mereka akan merasakan dingin di
sana."
(pangkal ayat 24).
Ertinya ialah panas selalu, tidak sekali
jua merasakan dingin;
"Dan tidak minuman."
(ujung ayat 24).
Ertinya bahawa segala minuman yang akan
dapat menghilangkan dahaga tidaklah akan diberikan di sana;
"Kecuali air mendidih dan air luka
(nanah)."
(ayat 25).
Tentu haus tidak akan lepas kalau yang
disuruh minum ialah air mendidih, air menggelagak, yang akan menghanguskan
perut. Dan nanah atau air bekas luka dalam, sebangsa mala yang mengalir dari
tubuh mayat yang terlambat dikuburkan, itupun bukan melepaskan haus melainkan
menambah azab.
"Suatu balasan yang setimpal." (ayat 26).
Ertinya bahawasanya azab siksaan yang
demikian pedihnya dan dahsyatnya adalah setimpal belaka dengan dosa yang telah
dibuat selama hidup di dunia. Dosa kerana melanggar apa yang ditentukan Allah
swt. Yang disuruh tidak dikerjakan, yang dilarang tidak dihentikan. Sehingga
jalan mengelak daripada siksaan yang demikian itu, di Akhirat nanti sudah tak
ada lagi. Kalau hendak mengelakannya, maka kesempatan hanyalah ada selama ada
di dunia ini juga. Kalau bukan dengan maksud agar hamba Allah dari
sekarang jua mengelakkan azab yang seperti itu, tidaklah ada perlunya Allah swt
menerangkannya di dalam wahyu dari sekarang. Kerana pada hakikatnya lebih
mudahlah di waktu hidup di dunia ini mengelak dari dosa, daripada setelah di
Akhirat mengelakkan dari neraka.
Pada ayat yang selanjutnya diterangkan
mengapa azab sebesar itu? Dan mengapa dikatakan siksaan yang demikian adalah
azab yang setimpal?
Tuhan menjelaskan:
"Kerana sesungguhnya mereka tidak
mengharap kepada perhitungan."
(ayat 27).
Mereka tidak mempunyai harapan buat hari
depan. Mereka tidak percaya bahawa segala amalan baik ataupun buruk di dunia
ini kelak akan diperhitungkan di hadapan mahkamah Ilahi. Oleh sebab itu kalau
mereka berbuat baik, bukanlah kerana mereka mengharapkan mendapat ganjaran
pahala dari Allah, dan kalau mereka berbuat yang jahat tidaklah mereka percaya
bahawa kejahatannya itu diketahui oleh Allah swt dan akan diberi siksaan yang
setimpal. Habislah dunia hingga ini, tidak ada sambungannya lagi.
"Dan mereka dustakan ayat-ayat
Kami, sebenar-benar mendusta."
(ayat 28).
Kalau disebut kata jama' aayaatina,
ertinya bukanlah satu ayat, melainkan banyak ayat-ayat. Dalam bahasa kita
menjadi ayat-ayat Kami. Ayat ada yang bererti tanda kebesaran Tuhan, seumpama
gerhana matahari, atau anak lahir ke dunia kembar empat dan lain-lainnya. Itu
adalah ayat Allah swt iaitu tanda bahawa Allah Maha Kuasa.
Maka si Thaghiin itu tidak mau percaya
kepada Allah swt, padahal tandanya sudah kelihatan. Atau ada orang kaya-raya
tiba-tiba jatuh miskin, atau orang berpangkat sangat tinggi, tiba-tiba jatuh
tersungkur dari jabatannya; itupun ayat Allah swt. Namun si Thaghiin itu tidak
juga mau insaf. Dan ayatpun boleh diertikan perintah Tuhan yang disampaikan
oleh Rasul-rasul Allah, sejak dari Nuh sampai kepada Muhammad s.a.w.; si
Taghiin tidak juga mahu perduli. Dan Al-Quranpun tersusun daripada 6236 ayat;
itupun tidak dipercayainya! Sama sekali ayat-ayat Allah swt itu didustakannya,
atau dengan mulutnya, ataupun dengan perbuatannya, atau dengan munafiknya;
percaya mulutnya, hatinya tidak. Ini sama sekali adalah mendustakan;
sebenar-sebenar mendustakan.
"Padahal tiap-tiap sesuatunya telah
Kami kumpulkan di dalam kitab."
(ayat 29)
Ayat ini boleh diertikan dua; Pertama
tidaklah patut mereka mendustakan, kerana semuanya telah tertulis dengan jelas.
Atau tidak patut mereka mendustakan, kerana akal mereka yang murni atau yang
dinamai fithrah tidak akan menolak kebenaran dari Tuhan itu. Hati nurani
manusia tidak dapat menolak ayat-ayat Tuhan itu, kerana dia telah terkumpul
dalam kitab. Iaitu kitab-kitab suci yang dibawa Nabi-nabi, atau kitab pada alam
terbuka ini, sebagaimana telah diuraikan dalam ayat-ayat 6 sampai ayat 16 di
atas tadi.
Erti yang kedua ialah bahawa manusia
tidak akan dapat mengelakkan diri daripada perhitungan Allah swt yang sangat
teliti di Akhirat kelak. Sebab segala sesuatu yang telah dikerjakan oleh
manusia, buruknya dan baiknya, semua sudah tertulis di dalam kitab di sisi
Tuhan. Ada malaikat-malaikat yang mulia, yang disebut kiraaman kaatibiin (lihat
Surat 82, al-Infithaar, 11) yang selalu menuliskan segala sesuatu yang telah
diamalkan oleh manusia, sehingga mereka tidak memungkirinya lagi.
"Sekarang rasakanlah!"
(pangkal ayat 30).
Iaitu bila datang Hari Pembalasan
(Yaumal Jazaa!) itu. Di saat itu kelak tidaklah akan dapat manusia berlepas
diri lagi;
"Maka tidaklah akan Kami tambahkan
lagi, melainkan azab siksaan jua."
(hujung ayat 30).
Ertinya, bahawa sesampai di dalam neraka
jahanam itu janganlah mengharap azab akan dikurangi, melainkan sebaliknyalah
yang akan terjadi, iaitu penambahan azab, berlipat-ganda, dan terus, dan terus.
Ada orang yang dengan semena-mena
mencuba menggoncangkan kepercayaan Islam dengan menyebutkan bahawa ayat-ayat
yang seperti ini adalah membuktikan bahawa Allah swt yang digambarkan oleh
orang Islam itu adalah kejam! Seorang Islam yang tidak mengerti serangan
teratur yang tengah dilakukan oleh pemeluk agama lain kepada Islam untuk
menggoncang Iman kaum Muslimin, tidak dapat membantah tuduhan tersebut, lalu
merasa pula kalau-kalau Allah swt itu kejam. Padahal ayat-ayat seperti ini
sangat memberikan bukti bahawa Allah swt itu tidak kejam! Kalau kejam
semata-mata kejam, tidaklah akan diperingatkannya kepada hamba-hambaNya dengan
perantaraan Nabi-nabi-Nya, agar hamba-hambaNya ingat keadaan azab itu, supaya
si hamba menjauhkan diri daripadanya.
Kerana selama hidup di dunia inilah saat-saat yang semudah-mudahnya untuk
mengelakkan azab siksaan yang pedih itu, dengan cara mengikuti pimpinan yang
disampaikan Allah swt dan dibawakan oleh Rasul-rasul. Padahal sebelum azab
neraka di Akhirat, kerapkali manusia telah menerima panjar azab seketika di
dunia ini juga. Misalnya azab karena kusut fikiran, kacau akal, tergoncang urat
saraf dan sakit jiwa, yang semuanya itu berasal daripada sebab pelanggaran
garis-garis yang telah ditentukan oleh Tuhan.
“31- Sesungguhnya bagi orang-orang yang
bertakwa ada tempat kemenangan.
32- Taman-taman dan anggur-anggur.
33- Dan perawan-perawan muda yang sebaya.
34- Dan piala-piala yang melimpah-limpah.
35- Tidak akan mereka dengar padanya
kata-kata yang sia-sia dan tidak pula kata-kata dusta.
36- Ganjaran dari Tuhan engkau;
pemberian yang cukup tersedia.
37- Tuhan dari sekalian langit dan bumi
dan apa yang ada di antara keduanya, Yang Maha Murah.”
Tidaklah mereka berkuasa berkata-kata
kepadaNya. Nikmat Syurga Bagi Yang Bertakwa. Selalu Al-Quran mengadakan
timbalan di antara ancaman dan bujukan, atau siksaan dengan kurnia.
"Sesungguhnya bagi orang-orang yang
bertakwa ada tempat kemenangan." (ayat 31).
Ketakwaan, ertinya usaha selalu
memelihara hubungan yang baik dan mesra dengan Allah swt, sehingga hidup di
dunia diatur dengan melaksanakan perintah Ilahi yang tidak berat itu dan
menjauhi apa yang dilarang; menyebabkan selamat perjalanan hidup itu sampai
kepada akhir umur. Di Akhirat kelak telah disediakan baginya Mafaza; tempat
berdiam dari orang-orang yang telah menang dalam menegakkan kebenaran.
Tempat kemenangan itu ialah;
"Taman-taman dan
anggur-anggur."
(ayat 32).
Kebun-kebun yang subur, penuh dengan
tumbuh-tumbuhan, kembang-kembang berbagai warna disertai buah-buahan yang
lazat citarasanya adalah tempat nikmat itu. Dan di antara buah-buahan
yang banyak berbagai ragam, ada satu yang istimewa, iaitu anggur-anggur, kerana
anggur itu kecil mungil dan bijinya tidak mengganggu.
"Dan perawan-perawan muda yang
sebaya."
(ayat 33).
Taman-taman yang indah berwarna-wami,
disertai buah-buahan yang lazat cita barulah lebih bererti sebagai tempat orang
yang menang dalam perjuangan menantang hawa nafsu dalam hidup di dunia ini,
kalau di dalamnya terdapat pula gadis-gadis perawan muda, yang di dalam bahasa
Arab disebut kawa`ib sebagai jama' dari ka`ib, yang bererti gadis remaja yang
susunya masih tegang. Dan mereka banyak, sebanyak diperlukan, dan usia mereka
boleh dikatakan bersamaan belaka. Ditambah lagi;
"Dan piala-piala yang melimpah-limpah."
(ayat 34).
Oleh sebab minuman sentiasa diedarkan
dan tidak pernah kekurangan, sehingga seketika mengisikan dan tempatnya ke
dalam piala, sampai melimpah kerana penuhnya. Nescaya datang pertanyaan; "Apa di syurga ada minuman
keras?" "Tentu
bukan minuman yang menyebabkan mabuk dan hilang akal sebagai di dunia
ini". Kemudian datang lagi ayat berikutnya yang membezakan suasana syurga
dengan suasana dunia ini;
"Tidak akan mereka dengar padanya
kata-kata yang sia-sia dan tidak pula kata-kata dusta."
(ayat 35).
Tepat sekali ayat 35 ini sebagai
pengiring dari ayat 34 yang menerangkan bahawa di taman-taman dan kebun-kebun
yang indah itu dilengkapi dengan perawan-perawan jelita yang susunya masih
padat perawannya belum rosak, dan mereka banyak dan sebaya semua. Di dalam
dunia ini kalau terdapat tempat yang demikian, di sanalah bersarangnya segala
nafsu kelamin yang cabul, yang disebut sex.
Jika di dunia ini taman-taman cinta
berahi yang kaya dengan segala buah-buahan dan anggur, minuman berbagai rupa,
perempuan cantik yang menggiurkan dan menimbulkan nafsu, barulah meriah bila
orang telah mabuk-mabuk. Orang meminum tuak dan segala minuman keras ialah
untuk menghilangkan rasa malu di dalam berbuat segala macam kecabulan.
Keluarlah di sana segala perkataan kotor dan jijik. Maka suasana dalam syurga
bukanlah demikian halnya. Bila disebutkan gadis-gadis remaja dan
perawan-perawan sebaya itu, rasa seni dan keindahanlah yang tergetar, bukan
hawa nafsu kelamin. Soal syurga bukanlah semata menghidangkan pemuas kelamin
sahaja. Nafsu kelamin itu apabila telah terlepas sehabis bersetubuh, kepayahan
dan kelelahan badanlah yang tinggal. Lalu menggerutu menyesali tenaga yang
habis. Dan apabila diri telah mulai tua dan tenaga mulai hilang, walaupun
bagaimana seorang gadis remaja memperlihatkan badannya di muka si tua itu,
syahwat tidak tergerak lagi, sehingga timbullah kegemasan kerana mulai
"menghidupkan" alat yang telah mati. Di
saat demikian timbullah kemarahan dan
kemendongkolan perempuan itu, sebab nafsunya tidak dapat dilepaskan oleh si tua.
Lantaran itu sekali-kali tidaklah serupa
nikmat kediaman di syurga itu dengan "nikmat" yang dirasakan di dunia
sekarang ini. Orang tua 75 tahun kerana dia kaya-raya berbini muda usia 20
tahun di dunia ini sama dengan hidup di neraka! Yang ada dalam syurga adalah
kedamaian fikiran, ketenangan dan tenteram, tidak mendengar kata-kata sia-sia,
sebagai banyak terdengar di dunia ini dan tidak pula mendengar kata-kata
bohong, yang selalu dipergunakan orang untuk suatu kesenangan dan kemegahan
bagi sendiri. Sehingga dapat dikatakan bahawa kesenangan duniawi, barulah
didapat bila mahu korupsi!
Diingatkan sekali lagi, bahawa-semuanya
ini adalah;
"Ganjaran dan Tuhan engkau.''
(pangkal ayat 36).
Disebutkan ini agar kita dapat
memperbezakannya dengan kepelisiran di dunia, yang sebahagian besar bukan
kerana ganjaran Tuhan, melainkan ganjaran syaitan, yang akhirnya bukan nikmat,
melainkan niqmat; alangkah jauh bezanya di antara nikmat dengan niqmat;
"Pemberian yang cukup tersedia."
(hujung ayat 36).
Ertinya tidak pernah kering, tidak
pernah tohor, seimbang di antara tenaga diri yang diberikan Allah swt dengan
nikmat yang tersedia di luar diri itu. Bukan seperti yang terdapat di dunia
tadi; seumpama kepelesiran yang berganda-lipat, dengan gadis-gadis remaja yang
menggiurkan, namun bagi seorang yang usianya telah tua, hanya menyebabkan titis
air liur saja. Pada ayat 37 Allah swt menyatakan siapa diriNya dan bagaimana
luas sifat RububiyahNya;
"Tuhan dari sekalian langit."
(pangkal ayat 37).
As-Samaawaati adalah kata jama' (banyak)
dari asSamaa'. As-Samaa' ertinya satu langit. As-Samaawaati ertinya beberapa
langit. Kerana telah tersebut di dalam Al-Quran sendiri bahawa langit itu
sampai tujuh banyaknya, lalu penafsir mengertikan dengan sekalian langit atau
beberapa langit. Begitulah penterjemahan bahasa yang dapat dipakai oleh
penafsir ini. Kerana pemakaian kata jama' dari baitun yang bererti satu rumah,
jama'nya ialah buyuutun yang bererti banyak rumah. Dalam pemakaian kata
sehari-hari bahasa Indonesia dan bahasa Melayu banyak rumah disebut rumah-rumah.
Kitaabun untuk satu buku. Kutubun untuk
banyak buku; dalam bahasa kita disebut untuk banyak; buku-buku. Tetapi untuk
langit kalau banyak tidak dapat disebut ertinya menjadi langit-langit. Kerana
langit-langit ertinya bukanlah langit yang banyak, melainkan di dalam mulut
kita yang sebelah ke atas!
Itu sebabnya maka Samaawaati selalu saya
ertikan sekalian langit. Supaya ahli-ahli terjemah sama maklum adanya.
"Dan bumi dan apa yang ada di
antara keduanya."
Ertinya, bahawasanya Allah Subhanahu wa
Taala adalah Tuhan dari semuanya; Dia yang mengatur, Dia yang mentadbirkan
perjalanannya. Dan lagi; "Yang Maha Murah". Atau diertikan juga Maha
Penyayang, iaitu ertian yang kita ambil untuk nama Allah: ar-Rahman;
“tidaklah mereka berkuasa berkata-kata
kepadaNya."
(hujung ayat 37).
Ertinya, akan dirasakanlah betapa hebat
Kebesaran dan Keagungan Allah Tuhan Sarwa Sekalian Alam pada hari itu. Meskipun
hari itu hari nikmat, hari orang yang bertakwa akan menerima ganjaran dan
kurnia Ilahi, meskipun bagaimana rasa gembira, namun kebesaran Ilahi itu
menyebabkan tiada seorang juapun yang sanggup bercakap; mulut tertutup
semuanya, ditambah lagi oleh rasa terharu setelah menerima nikmat kurniaNya
yang tiada tepermanai kemuliaan dan ketinggianNya itu.
“38- Di hari yang akan berdiri Roh dan
Malaikat berbaris-baris; tidak ada yang bercakap-cakap, kecuali barangsiapa
yang diizinkan kepadanya oleh Yang Maha Murah; sedang dia adalah berkata.
39- Yang demikian itulah hari yang
benar. Maka barangsiapa yang mahu, dipilihnyalah kepada Tuhannya jalan kembali.
40- Sesungguhnya telah Kami ancam kamu
sekalian dengan azab yang telah dekat; di hari yang seseorang akan memandang
apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya, dan akan berkata orang yang
kafir; Alangkah baiknya kalau dahulu aku hanya tanah saja."
Lalu diuraikanlah di dekat penutup Surat
betapa keadaan Alam Malakut atau Kerajaan Allah dan Kehebatan kekuasaan Ilahi
di saat itu kelak.
"Di hari yang akan berdiri Roh dan
Malaikat berbaris-baris." (pangkal
ayat 38).
Menurut tafsir dari Ibnu Jarir
ath-Thabari yang dikatakan ROH dalam ayat ini ialah Malaikat Jibril sendirinya,
yang disebutkan juga Ruhul-Qudus dan Ruhul-Amin. Disebut dia terlebih dahulu
lalu diikuti dengan menyebut malaikat yang banyak; semuanya berbaris-baris
menyatakan tunduk kepada Allah; "Tidak ada yang bercakap-cakap, kecuali
barangsiapa yang diizinkan kepadanya oleh Yang Maha Murah."
Demikian hebatnya, di ayat 37 orang yang
bertakwa tak berani bercakap, sekarang di ayat 38 Roh atau Jibril dan Malaikat
yang banyakpun diam semua; Kebesaran Ilahi menyebabkan mulut terkunci, padahal
nama Tuhan yang disebut waktu itu ialah "ar-Rahman", Yang Maha Murah,
Yang Maha Penyayang;
"Sedang dia adalah berkata yang
benar."
(hujung ayat 38).
Setengah ahli tafsir mengatakan bahawa
yang dimaksud akan dikatakan Roh atau malaikat itu ialah permohonan syafaat
bagi hamba Allah, bilamana Tuhan ada berkenan mengizinkan. Untuk menghilangkan
keraguan dalam hati orang yang imannya baru saja akan tumbuh, datanglah ayat
yang selanjutnya:
"Yang demikian itulah hari yang
benar."
(pangkal ayat 39).
AI-Yaumul Haqq; Hari Benar! Hari yang
tidak usah diragukan lagi, sebagaimana hidup itu sendiri adalah Benar dan
kenyataan, dan mautpun adalah benar dan kenyataan, dan janji-janji Allah
semuanya adalah benar dan kenyataan. Semua tak usah diragukan lagi. Dia mesti
kita tempuh, dan kita mesti sampai ke sana. Kalau kebenaran hidup telah kita
lalui, kitapun melalui kebenaran maut, yang tidak diragukan lagi padanya.
Setelah itu akan sampailah ke hari itu, iaitu hari serunai sangkakala ditiup,
dan kita semuanyapun berkumpul ke sana buat diperhitungkan. Tak ada jalan lain
buat mengelak.
"Maka barangsiapa yang mahu,
dipilihnyalah kepada Tuhannya jalan kembali."
(ujung ayat 39).
Kerana sudah pasti akan ke sana juga
apakah lagi sikap yang akan diambil? Kalau memang ada kemahuan, kerana tempoh
masih ada, iaitu hidup di dunia ini, tempuhlah jalan itu dengan berani, itu
Jalan Allah! Atau jalan kembali kepada Allah swt. Kerana pada hakikatnya, semua
makhluk atau semua Anak Adam adalah datang ke dunia ini atas kehendak Allah swt
dan akan pulang kepadaNya dengan panggilanNya jua. Cuma ada manusia yang lupa,
dan lalai dan lengah, sehingga waktunya habis dengan kealpaan. Dan dengan ayat
ini kita disedarkan dengan halus oleh Tuhan "Barangsiapa yang mahu,
marilah kembali ke jalan Tuhan! Tuhan masih menerima kedatangan kembali
hamba-Nya yang lengah dan alpa itu." Kerjakanlah solat; dan dalam solat di
tiap rakaat bacalah al-Fatihah, yang terkandung di dalamnya permohonan kepada
Allah swt agar ditunjuki jalan yang lurus: "Ihdinash Shiraathal
Mustaqiim." Dan apabila jalan itu sudah didapat, jangan dilepaskan lagi,
jangan membelok lagi kepada yang lain, sebab "garis lurus ialah jarak yang
paling dekat di antara dua titik." Dan ingatlah pula bahawasanya Tuhanpun
selalu memanggil kita supaya kembali kepadaNya; "Pulanglah! Kembalilah
kepada Tuhanmu, wahai nafsu, wahai jiwa yang telah mencapai
ketenteramannya." Tuhan ingin
sekali agar kamu datang berkumpul bersama hamba-hamba Tuhan yang sama-sama
kembali, dan Tuhan ingin sekali agar semua hambaNya kembali ke dalam syurga
yang telah disediakanNya. Sebagai tersebut pada ayat yang terakhir dari Surat
89, Surat al-Fajr.
"Sesungguhnya telah Kami ancam kamu
sekalian, dengan azab yang telah dekat".
(pangkal ayat 40).
Ertinya, sebelum menghadapi hari
Perhitungan atau Hari Kiamat itu, ada hari yang lebih dekat lagi, pasti kamu
temui dalam masa yang tidak lama lagi. Hari itu ialah hari bercerai dengan
dunia fana ini, hari Malaikat-Maut mengambil nyawamu; "Di hari yang
seseorang akan memandang apa yang telah dikerjakarn oleh kedua tangannya."
Setelah nyawa bercerai dengan badan, maka lepaslah nyawa itu daripada
sangkarnya dan bebaslah dia dari selubung hidup fana ini. Maka mulailah
kelihatan jelas hari-hari dan masa lampau yang telah dilalui. Segala perbuatan
yang pernah diamalkan di sini,
buruknya dan baiknya, bekas perbuatan
tangan sendiri, semuanya kelihatan. Berbesar hati melihat bekas yang baik,
bermuram durja melihat catatan yang buruk; manusia mungkin lupa namun dalam
catatan Allah swt, setitikpun tiada yang hilang dan sebarispun tiada yang lupa;
"Dan akan berkata orang yang kafir." Iaitu orang yang di kala
hidupnya hanya menolak mentah-mentah seruan Rasul, dia melihat daftar dosa yang
dia kerjakan;
"Alangkah baiknya kalau dahulu aku
hanya tanah saja."
(hujung ayat 40).
Timbullah sesal dan keluhan, pada saat
sesal dan keluh tidak ada gunanya lagi; "Kalau
aku dahulunya hanya tanah saja, kalau aku dahulunya tidak sampai jadi manusia,
tidak tercatat dalam daftar kehidupan, tidaklah akan begini tekanan yang aku
rasakan dalam kehidupan, tidaklah akan begini tekanan yang aku rasakan dalam
hidupku di alam barzakh ini." Sesal
yang tak ada gunanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan