Allah Taala berfirman:
Ertinya : "Kaum lelaki itu adalah
pemimpin-pemimpin atas kaum wanita isteri-isterinya, kerana Allah telah
melebihkan sebahagian mereka dari yang lainnya, juga kerana kaum lelaki itu
telah menafkahkan dari sebahagian hartanya. Oleh sebab itu kaum wanita yang
solehah ialah yang taat serta menjaga dirinya di waktu ketiadaan suaminya,
sebagaimana yang diperintah untuk menjaga dirinya itu oleh Allah."
(an-Nisa':34)
Keterangan:
Menilik isi yang tersirat dalam ayat di
atas, maka Allah Taala sudah memberikan ketentuan yang tidak dapat diubah-ubah
atau sudah merupakan sunatullah, iaitu bahawa keharmonian rumahtangga itu,
manakafa lelaki dapat menguasai seluruh hal-ehwal rumahtangga, dapat mengatur
dan mengawasi isteri sebagai kawan hidupnya dan menguasai segala sesuatu yang
masuk dalam urusan rumahtangganya itu sebagaimana pemerintah yang baik, pasti
dapat menguasai dan mengatur sepenuhnya perihal keadaan rakyat. Manakala ini
terbalik, misalnya isteri yang menguasai suami, atau sama-sama berkuasanya,
sehingga seolah-olah tidak ada pengikut dan yang diikuti, tidak ada pengatur
dan yang diatur, sudah pasti keadaan rumahtangga itu menemui kericuan dan tidak
mungkin ada ketenangan dan ketenteraman di dalamnya. Ringkasnya para suamilah
yang wajib menjadi Qawwaamuun, yakni penguasa, khususnya kepada
isterinya. Ini dengan jelas diterangkan oleh Allah perihal sebab-sebabnya,
iaitu kaum lelakilah yang dikurniai Allah Taala akal yang cukup sempurna,
memiliki kepandaian dalam mengatur dan menguasai segala persoalan, juga
kekuatannyapun dilebihkan oleh Allah bila dibandingkan dengan kaum wanita, baik
dalam segi pekerjaan ataupun peribadatan dan ketaatan kepada Tuhan. Selain itu
suami mempunyai pertanggungjawab penuh untuk mencukupi nafkah seluruh isi
rumahtangga itu. Oleh sebab itu isteri itu baru dapat dianggap solehah, apabila
ia selalu taat pada Allah, melaksanakan hak-hak suami, memelihara diri di waktu
suaminya tidak di rumah dan tidak seenaknya saja dalam hal memberikan harta
yang menjadi milik suaminya itu. Dengan demikian isteri itupun pasti akan
dilindungi oleh Allah dalam segala hal dan keadaan, juga ditolong untuk dapat
melaksanakan tanggungjawabnya yang dipikulkan kepadanya mengenai urusan rumahtangganya
itu.
Adapun Hadis-hadisnya, maka di antaranya
ialah Hadisnya 'Amr bin al-Ahwash di muka dalam bab sebelum ini - lihat Hadis
no. 276.
282. Dari Abu Hurairah r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Jikalau seseorang lelaki
mengajak isterinya ke tempat tidurnya, tetapi isteri itu tidak mendatangi
ajakannya tadi, lalu suami itu menjadi marah pada malam harinya itu, maka para
malaikat melaknati(mengutuk) isteri itu sampai waktu pagi."
(Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat Imam Bukhari dan Imam
Muslim yang lain lagi, disebutkan demikian: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Apabila seseorang isteri
meninggalkan tempat tidur suaminya pada malam harinya, maka ia dilaknat oleh
para malaikat sampai waktu pagi."
Dalam riwayat lain lagi disebutkan sabda
Rasulullah s.a.w. demikian:
Ertinya : “Demi Zat yang jiwaku ada di
dalam genggaman kekuasaanNya, tiada seseorang lelakipun yang mengajak isterinya
untuk datang di tempat tidurnya, lalu isteri itu menolak ajakannya, melainkan
semua penghuni yang ada di langit yakni para malaikat sama murka pada
wanita itu sehingga suaminya rela padanya yakni mengampuni kesalahannya."
283. Dari Abu Hurairah r.a. pula
bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Tiada halal yakni haram
bagi seorang isteri untuk berpuasa sunat sedangkan suaminya menyaksikan yakni
ada, melainkan dengan izin suaminya itu dan tidak halal mengizinkan seseorang
lelaki lainpun untuk masuk rumahnya baik lelaki lain mahramnya atau bukan,
kecuali dengan izin suaminya."
(Muttafaq 'alaih)
Dan yang di atas itu lafaznya Imam
Bukhari.
284. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma
dari Nabi s.a.w. sabdanya:
Ertinya : "Semua orang dari engkau
sekalian itu adalah penggembala dan semuanya saja akan ditanya perihal
penggembalaannya. Seorang amir, adalah penggembala, orang lelaki juga penggembala
pada keluarga rumahnya, orang perempuanpun penggembala pada rumah suaminya
serta anaknya. Maka dari itu semua orang dari engkau sekalian itu adalah
penggembala dan semua saja akan ditanya perihal penggembalaannya."
(Muttafaq 'alaih)
285. Dari Abu Ali, iaitu Thalq bin Ali
r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Jikalau seseorang lelaki
mengajak isterinya untuk keperluannya(masuk ke tempat tidur), maka wajiblah
isteri itu mendatangi(mengabulkan) kehendak suaminya itu, sekalipun di saat itu
isteri tadi sedang ada di dapur."
Diriwayatkan oleh Imam-Imam Termidzi dan
an-Nasa'i dan Termidzi berkata bahawa ini adalah Hadis hasan.
286. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi
s.a.w. sabdanya:
Ertinya : "Andaikata saya boleh
menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescayalah saya akan
menyuruh isteri supaya bersujud kepada suaminya."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
287. Dari Ummu Salamah radhiallahu
'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Mana saja wanita yang
meninggal dunia sedang suaminya rela padanya tidak sedang mengkal padanya, maka
wanita itu akan masuk syurga."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
289. Dari Usamah bin Zaid radhiallahu
'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya:
Ertinya : "Saya tidak meninggalkan
sesuatu fitnah sepeninggalku nanti yang fitnah itu Iebih besar bahayanya untuk
dihadapi oleh kaum lelaki, Iebih hebat dari fitnah yang ditimbulkan oleh kerana
persoalan orang-orang perempuan."
(Muttafaq 'alaih) 30
288. Dari Mu'az bin Jabal r.a. dari Nabi
s.a.w., sabdanya:
"Tidaklah seseorang isteri itu
menyakiti pada suaminya di dunia (baik hati atau badannya), melainkan isterinya
yang dari bidadari yang membelalak matanya itu berkata: "Janganlah engkau
menyakiti ia, semoga engkau mendapat siksa Allah. Hanyasanya ia di dunia itu
adalah sebagai tamu bagimu, yang hampir sekali akan berpisah denganmu untuk menemui
kita."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
30 Syaikhal Allamah 'Alaudin berkata:
"Ibnu Khuzaimah meriwayatkan dalam kitab shahihnya diringkaskan dari
Muhammad bin Munkadir dari Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anhuma, katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Tiga macam orang yang
tidak diterima oleh Allah solat mereka dan tidak ada kebaikan mereka yang naik
ke langit iaitu hambasahaya yang melarikan diri sehingga ia kembali kepada
pemiliknya, lalu meletakkan tangannya di tangan pemiliknya tadi yakni menyerah bulat-bulat,
juga wanita yang suaminya murka padanya sehingga suaminya itu rela kembali dan
orang mabuk sehingga sedar lagi." Selesai dari hamisy atau pinggirnya sebahagian naskah
kitab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan