Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 20 Oktober 2014

R 94 : UMAT ISLAM TELAH LALAI, SEDARLAH

“SEDARLAH wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) Hari Akhirat(yang kekal abadi kehidupannya).”
(Surah 75, AL QIAMAH : ayat 20 – 21)

Sabda Nabi s.a.w. :

"Ya Fatimah barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, ALLAH akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai serta diringankan ALLAH baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan ALLAH baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shirat."

Sebagai contohnya, rumah orang Islam manakah yang belum lagi dimasuki 'panggung wayang' (TV, Video, dan sebagainya)? Walaupun kita tidak menonton wayang di luar, tetapi kita menonton wayang di rumah-rumah kita. Sama sahaja, cuma suasananya sahaja yang sedikit berbeza. Peranan pangung-panggung wayang ini amat besar dalam merosakkan akidah umat Islam dan menjauhkah umat Islam dari agamanya sendiri.

Penyanyi, pelakon dan penghibur-penghibur adalah merupakan tukang-tukang azan syaitan, yang mana ramai di antara kita yang menyahut panggilan tersebut. Dengannya menyebabkan kita tidak menyahut tukang-tukang azan ALLAH (muadzin) untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau (ramai yang tidak mempedulikan bila azan dilaungkan).


Kita tidak berzikir untuk mengingati
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan membaca al Quran dan sebagainya, kita tidak keluar untuk menuntut ilmu yang difardhukan kepada kita kerana terpedaya dengan cerita-cerita dan hiburan yang menarik di panggung wayang kita, dan seumpamanya. TV telah menjadi rutin hidup tetap dalam hidup kebanyakan umat Islam sekarang. Rasanya kalau tidak menonton TV tidak lengkap hidup kita. Ada kekurangan pula rasanya.

R 93 : CIRI-CIRI LELAKI DAYUS YANG TIDAK DAPAT MENGHIDU BAU SYURGA

SOALAN: Ramai  lelaki kurang faham erti dayus dengan jelas. Apakah makna perkataan dan perbuatan yang menjuruskan perlakuan tersebut?
Jawapan: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiga golongan yang ALLAH tidak akan lihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan azab) mereka pada hari kiamat: Si penderhaka kepada ibubapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.”
(Riwayat Ahmad dan Al-Nasaie)

Dayus disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadis yang lain iaitu daripada Ammar bin Yasir berkata, dia mendengar daripada RASULULLAH SAW berkata:

“Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?” Berkata Nabi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”
(Riwayat Al-Tabrani)

Daripada hadis di atas, maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dengan siapa isteri dan anaknya bersama dan bertemu. Malah, ada yang membiarkan sahaja isteri dan anak perempuannya dipegang lelaki lain.
Soalan yang sama daripada sahabat mengenai siapakah dayus? Lalu jawab NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM, maksudnya:

“Apakah dayus itu wahai RASULULLAH?” Jawab Nabi: “Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, membuka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya).”
(Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi).

Tafsiran golongan ulama berkenaan istilah dayus adalah “Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”
“Cemburu lawannya dayus.” Berkata pula Al-Nuhas, “Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya daripada ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram.”
“Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) apabila dia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya dia tidak mengubahnya.”
“Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga jauh daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.” (Faidhul Qadir, Al-Munawi, 3/430)

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar, maksudnya: “ALLAH telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu daripada isterinya dan diharamkan bergaul dengannya).”
Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang dipakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki. Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrif golongan ulama mengenai erti dayus dan istilah yang hampir dengannya, maksudnya: “Al-Qawwad (istilah yang disamakan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah ’orang tengah’ kepada zina.”
“Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan dia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat.”

Cemburu dituntut Islam

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu. Sebenarnya, kita perlu fahami bahawa ia adalah tuntutan Islam dan menunjukkan suami yang bertanggungjawab.
Bergembiralah si suami yang memperoleh isteri solehah. Ini kerana, tanpa sebarang campur tangan dan nasihat daripada sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.
RASULULLAH  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud :

“Daripada tanda kebahagiaan anak Adam adalah memperoleh wanita solehah (isteri dan anak).”
(Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168)

Jika seorang bapa mengetahui perbuatan ‘ringan-ringan’ anak perempuan atau lelaki mereka dan membiarkannya, maka dia adalah dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau terlanjur sebelum kahwin dan tanpa taubat yang sebenar-benarnya, sudah pastilah rumahtangga mereka akan goyah.
Kemungkinan besar apabila telah berumahtangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan perbuatan ‘ringan-ringan’ dengan orang lain. Hanya dengan bertaubat nasuha dapat menghalang aktiviti mungkar itu daripada melepasi alam rumahtangga mereka.
Jika hal ini dibiarkan, ia akan merebak pula kepada anak mereka, seterusnya kepada zuriat mereka. Awas! Dalam hal ini, semua suami dan bapa perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka daripada dianggap sebagai dayus. Jagalah zuriat anda. Suami juga patut sekali sekala menyemak telefon bimbit dan beg isteri untuk memastikan tiada yang diragui.
Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka, demi menjaga maruah dan kehormatan isteri serta anaknya.
Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW, maksudnya:

“Berkata Ubadah bin Somit RA: Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi, lalu Nabi memberi jawapan: “Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad?
Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu daripada ku, kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji  yang ternyata dan tersembunyi.”
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Lihat betapa ALLAH SWT dan rasulNYA menginginkan golongan suami dan ayah mempunyai sifat pelindung kepada ahli keluarga daripada melakukan sebarang perkara keji dan mungkar.

Lelaki menjadi dayus apabila:

1. Membiarkan kecantikan aurat dan bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain selama mereka bekerja atau di luar rumah.
2. Membiarkan isterinya pulang lewat, serta tidak diketahui bersama siapa, serta apa yang dibuatnya ketika dia bekerja.
3. Membiarkan aurat isteri dan anak perempuan dewasanya terdedah (terselak kain) ketika menaiki apa jua kenderaan.
4. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya.
5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahramnya di rumah. Kononnya, ibubapa mereka sporting dan memahami.
6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang menjolok mata di luar rumah.
7. Membiarkan anak perempuan menyertai akademi hiburan yang boleh mempamerkan kecantikan mereka kepada jutaan manusia bukan mahram.
8. Membiarkan isteri atau anaknya menjadi pelakon dan membiarkan mereka berpelukan dengan lelaki lain. Kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon, nafsu seorang lelaki itu akan hilang? Tidak sekali-sekali!
9.  Membiarkan isteri bekerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
RAsulullah SAW bersabda “Sesiapa yang mati dibunuh kerana mempertahan kan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid.”
(Riwayat Ahmad)


http://albakriah.wordpress.com/category/isu-hangat/

Ahad, 14 September 2014

R 92 : GAMBARAN NERAKA MENURUT AL QURAN

Dicatat oleh Ahmad Firdaus Azis 

"Ya ALLAH! Sesungguhnya kami memohon akan Dikau keredhaan Engkau dan Syurga, dan kami berlindung dengan Engkau dari kemurkaan Engkau dan api Neraka."

 Syurga dan Neraka adalah makhluk yang diciptakan ALLAH SWT. Kita semua akan Berada di antara 2 tempat tersebut kelak. Kita semua akan dibangkitkan di Akhirat Kelak dan dihisab setiap gerak kerja yang dilakukan masing-masing. Firman ALLAH SWT :

فَحَاسَبْنَاهَا حِسَابًا شَدِيدًا

Maka Kami hitung amal Mereka satu Persatu dengan hitungan yang Keras Rapi.
(Surah 65  ATH THALAAQ  : 8)

 Setiap perbuatan yang dikerjakan sentiasa Dirakam dan Akan Dibentangkan di Akhirat kelak. Firman ALLAH SWT :

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنْ الْيَمِينِ وَعَنْ الشِّمَالِ قَعِيدٌ، مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).
(Surah 50  QAAF :  17,18)

Firman ALLAH SWT :

وَقَالَ قَرِينُهُ هَذَا مَا لَدَيَّ عَتِيدٌ

Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: "Inilah (Kitab catatan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan)."
(Surah 50  QAAF :  23)

 Oleh itu janganlah kita menganggap kehidupan Akan Berakhir dengan kematian di Dunia, bahkan akan bersambung di Akhirat. Kehidupan yang kekal selama-lamanya. Sama-samalah  Persiapkan Bekalan untuk ke sana...
(Kita semua akan dibangkitkan, dihimpun beramai-ramai bermula dari Nabi Adam as, dibicara di mahkamah ALLAH SWT, akan disoal setiap amal perbuatan yang dilakukan, di hitung amal masing-masing, setiap orang akan meniti titian sirat, dan akhirnya ditentukan Syurga atau Neraka).

Bila kita persoalkan Syurga atau Neraka yang diinginkan? Sudah tentu Jawapannya adalah Syurga. Tetapi sekadar mana Kesungguhan kita untuk meraih SyurgaNya dan Kewaspadaan kita untuk menjauhi Azab NerakaNya? Adakah semudah jawapan yang ditanya sahaja, tanpa memerlukan Keimanan, Ketaqwaan pada ALLAH SWT? Fikir-fikirkanlah...

Di sini akan dinyatakan sebahagian Dalil-Dalil berkaitan keadaan Penghuni NERAKA. Mudahan dengan sedikit pengetahuan ini dapat melahirkan rasa takut, bimbang dan seterusnya meninggalkan apa-apa Perbuatan yang dilarang oleh Agama.

 ALLAH SWT telah mengingatkan kepada Hamba-hambanya supaya Memelihara Diri mereka serta Keluarga dari bahaya siksaan Api Neraka. Firman ALLAH SWT:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلاَئِكَةٌ غِلاَظٌ شِدَادٌ لاَ يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada ALLAH dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(Surah 66  AT TAHRIM : 6)

 Menunjukkan siksaan Neraka tersebut amat Dahsyat, yang tidak tertanggung oleh sesiapapun yang Merasainya. Firman ALLAH SWT :

إِنَّهَا عَلَيْهِمْ مُوصَدَةٌ فِي عَمَدٍ مُمَدَّدَةٍ

Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.
(Surah 104  AL HUMAZAH  : 8,9)

Pelbagai Jenis azab yang Berbeza dirasai. Di antaranya:


1. Api Neraka Membakar Muka Mereka.

Firman ALLAH SWT :

تَلْفَحُ وُجُوهَهُمْ النَّارُ وَهُمْ فِيهَا كَالِحُونَ

Api neraka itu membakar Muka Mereka, dan tinggallah mereka di situ dengan Muka yang Hodoh Cacat.
(Surah 23  AL MUKMINUUN : 104)

2. Kulit Menjadi Masak.

Firman ALLAH SWT :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya ALLAH adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah 4  AN NISAA'  : 56)

3. Dihancurkan Apa yang ada di dalam Perut dan Pukulan Dengan Besi.

Firman ALLAH SWT :

هَذَانِ خَصْمَانِ اخْتَصَمُوا فِي رَبِّهِمْ فَالَّذِينَ كَفَرُوا قُطِّعَتْ لَهُمْ ثِيَابٌ مِنْ نَارٍ يُصَبُّ مِنْ فَوْقِ رُءُوسِهِمُ، يُصْهَرُ بِهِ مَا فِي بُطُونِهِمْ وَالْجُلُودُ، وَلَهُمْ مَقَامِعُ مِنْ حَدِيدٍ

Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak. Yang dengannya Dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka. Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka.
(Surah 22  AL HAJJ  : 19,20,21)

4. Diseret Ke Neraka Dengan Muka Mereka.

Firman ALLAH SWT :

إِنَّ الْمُجْرِمِينَ فِي ضَلاَلٍ وَسُعُرٍ ، يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ ذُوقُوا مَسَّ سَقَرَ

Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api neraka. Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): rasalah kamu bakaran api neraka.
(Surah 54  AL QAMAR : 47,48)

5. Diliputi oleh Api Neraka.

Firman ALLAH SWT :

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌ بِالْكَافِرِينَ

Dan sesungguhnya azab jahanam meliputi orang-orang yang kafir.
(Surah 9  AT TAUBAH : 49)

6. Makanan mereka adalah Zaqqum dan Ghislin.

Firman ALLAH SWT :

إِنَّ شَجَرَةَ الزَّقُّومِ، طَعَامُ الأَثِيمِ، كَالْمُهْلِ يَغْلِي فِي الْبُطُونِ، كَغَلْيِ الْحَمِيمِ

(Ingatlah), sesungguhnya pokok zaqqum. (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut. Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.
(Surah 44  AD DUKHAAN : 43,44,45,46)

Firman ALLAH SWT :

أَذَلِكَ خَيْرٌ نُزُلاً أَمْ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ، إِنَّا جَعَلْنَاهَا فِتْنَةً لِلظَّالِمِينَ، إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِي أَصْلِ الْجَحِيمِ، طَلْعُهَا كَأَنَّهُ رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ، فَإِنَّهُمْ لَآكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ

Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum? Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat). Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang; Buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan; [Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.
(Surah 37  AS SAFFAT : 62,63,64,65,66)

7. Minuman mereka adalah Air Mendidih, Nanah, Air Danur.

Firman ALLAH SWT :

وَسُقُوا مَاءً حَمِيمًا فَقَطَّعَ أَمْعَاءَهُمْ

Dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur?
(Surah 47  MUHAMMAD : 15)

Firman ALLAH SWT :
وَلاَ طَعَامٌ إِلاَّ مِنْ غِسْلِينٍ

Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur.
(Surah 69  AL HAAQQAH : 36)

Firman ALLAH SWT :

مِنْ وَرَائِهِ جَهَنَّمُ وَيُسْقَى مِنْ مَاءٍ صَدِيدٍ، يَتَجَرَّعُهُ وَلاَ يَكَادُ يُسِيغُهُ وَيَأْتِيهِ الْمَوْتُ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ وَمَا هُوَ بِمَيِّتٍ وَمِنْ وَرَائِهِ عَذَابٌ غَلِيظٌ

Di belakangnya disediakan neraka Jahanam, dan ia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka).
Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.
(Surah 14  IBRAHIM : 16,17)

 Inilah sebahagian Dalil-Dalil yang menerangkan Berkaitan Azab siksaan Neraka kelak. Moga ia memberi pengajaran pada kita Semua. Siksaan yang cukup Dahsyat di sana, Penyesalan di sana sudah tiada gunanya. Harta, Pangkat, Kedudukan, Keluarga dan segalanya sudah tidak dapat dimanfaat lagi di sana. Firman ALLAH SWT :

فَلَيْسَ لَهُ الْيَوْمَ هَاهُنَا حَمِيمٌ

Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya).
(Surah 69  AL HAAQQAH : 35)

 Justeru itu, marilah Sama-sama kita memuhasabah Diri masing-masing, Adakah kita semua sudah melaksanakan tuntutan Agama dalam kehidupan seharian. Menjaga batasan-batasanNya, Halal, Haram pada setiap sudut aspek Kehidupan. Kalau Diri sudah terjaga, lihat pula pada Keluarga & Anak-anak. Seterusnya saling mengingatkan pada Sanak-saudara, teman-teman serta masyakarat lainnya.

 Tidak dapat tidak Kita Perlu mengambil berat soal Perkara Agama. Tentang di mana Halal dan Haram dan semua Aspek Agama yang Wajib diketahui oleh tiap individu yang bergelar Muslim.

 Islam bukan Agama yang sempit, susah zalim dan sebagainya. Bahkan Islam datang sebagai Rahmat, Penyelamat bagi sekalian Manusia. Yang mencorakkan Kehidupan dengan nilai-nilai, cara-cara yang Murni, berbeza dengan Kehidupan Barat yang tiada Tamadun. Tiada Halal Haram dalam kehidupan mereka, hanyalah Mencari Dunia semata-mata. Tak diendahkan Perkara Akhirat.

 Akhirya, Sama-samalah kita saling sentiasa Peringatkan Diri, Keluarga dan Masyarakat supaya tidak terus leka, hanyut dengan segala permainan Dunia ini. Kita Pohon pada ALLAH SWT agar diistiqamah Diri dalam mentaati segala perintahNya. Diberi kekuatan Iman dalam menghadapi Ujian yang semakin hari semakin mencabar ini.

 NABI MUHAMMAD SAW mengingatkan supaya kita Berlindung dari 4 perkara dan Disuruh membacanya setiap kali selepas Tahiyyat Akhir.

أللهم إنا نعوذبك من عذاب جهنم ومن عذاب القبر ومن فتنة المحيا والممات ومن شر المسيح الدجال

Sabda NABI MUHAMMAD SAW :

إذا فرغ أحدكم من التشهد فليتعوذ بالله من أربع. من عذاب جهنم ومن عذاب القبر ومن فتنة المحيا والممات ومن شر المسيح الدجال

Apabila kamu selesai membaca tasyahhud akhir maka berlindunglah kamu dari 4 perkara. Daripada azab api neraka, azab siksaan kubur, segala fitnah kehidupan dan kematian dan kejahatan fitnah dajjal.
(Hr Bukhari Muslim)


http://sawadhanas.blogspot.com/ 

R 91 : PENTINGNYA SOLAT

Dicatat oleh Ahmad Firdaus Azis

Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga firdaus; mereka kekal di dalamnya.
(Surah 23  AL MUKMINUUN : 9,10,11) 

1.
 Solat itu tiang Agama. Penghulu segala amal yang lain. Syarat sah untuk diterima yang lain. Yang pertama akan dihisab. Tidak ada alasan bagi sesiapapun untuk meninggalkannya. Jika sakit tak mampu menunaikan dengan berdiri, boleh ditunaikan dengan duduk. Tak dapat duduk boleh secara berbaring. Tak dapat juga dengan berbaring boleh dengan isyarat. Tak ada air boleh tayammum. Terlupa habis waktu, wajib ganti. Jika musafir, boleh dijama’ (dihimpunkan). Pendek kata ibadah solat mestilah ditunaikan dalam keadaan apapun juga dan di manapun kita berada. 

2. Sesungguhnya perbuatan meninggalkan solat ini merupakan kes jenayah yang paling berat, kerana ia tonggak segala urusan agama ini. Kerana ia hubungan dari seorang hamba dengan Tuan Penciptanya. Baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan penuh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat, kefahaman dan lalu penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji. Hal ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam tiap individu.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati ALLAH adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya).
(Surah 29  AL 'ANKABUUT  : 45) 

Sabda NABI MUHAMMAD SAW yang bermaksud :

Tonggak urusan (agama) adalah Islam, dan tiang utamanya adalah solat.
(Sunan at-Tirmidzi no. 2559. Imam at-Tirmidzi berkata: Hadis Hasan Sahih) 

3.
 Solat adalah ibadat yang sebelum kebangkitan NABI MUHAMMAD SAW lagi. Dalam al Quran diceritakan yang Nabi Ibrahim as berdoa kepada ALLAH SWT untuk dirinya dan zuriatnya agar mendirikan solat sebagaimana Firman ALLAH SWT yang bermaksud : 

Wahai Tuhanku! jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
(Surah 14  IBRAHIM : ayat 40) 

Begitu juga Nabi Ismail as. 

Firman ALLAH SWT yang bermaksud :

Dan ia menyuruh ahlinya untuk bersolat dan menunaikan zakat.
(Surah 19  MARYAM :  55)  

Firman ALLAH SWT sewaktu berkata-kata dengan Nabi Musa as yang bermaksud : 

Sesungguhnya Aku ini adalah ALLAH, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Aku. Maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingatKu.
(Surah 20  THAAHAA : 14) 

ALLAH SWT berpesan kepada Nabi Isa as: 
Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup.
(Surah 19  MARYAM :  31)

4. Demikianlah perintah solat merupakan suatu perkara yang telah diwajibkan telah berkurun lamanya. Merupakan syiar seorang hamba yang patuh dan tanggungjawab penting yang telah diwajibkan juga kepada seorang Rasul pilihan ALLAH SWT. Hinggalah kepada kita sampai hari ini. 

Sabda NABI MUHAMMAD SAW :

Ajarkanlah anak kamu supaya menunaikan solat apabila sudah sampai umurnya tujuh tahun, dan pukullah jika sudah memasuki 10 tahun.
(Hr Abu Daud dan at-Tirmidzi. Imam at-Tirmidzi berkata: Hadis Hasan). 
Disuruh dalam hadis ini ialah kepada walinya. 

Daripada Imran bin al-Hushain ra, katanya: Aku ada penyakit bawasir, maka aku bertanya NABI MUHAMMAD SAW tentang bagaimana dengan solat. Lalu NABI MUHAMMAD SAW bersabda:

Solatlah berdiri, jika tak mampu dalam keadaan duduk, jika tak mampu dalam keadaan berbaring.
(Hr Bukhari) 

 Yang pertama dihisab dari hamba di hari kiamat dari amalnya ialah solat. Jika baik, maka dia telah berjaya, lulus. Dan jika rosak, maka dia telah gagal, rugi. Jika ada sesuatu yang kurang dari solatnya, lihatlah adakah ada padanya amal sunat, maka disempurnakan apa yang kurang dari solat tadi.
(Hr at-Tirmidzi, Hasan)

(Pembatas) di antara seorang muslim dan syirik dan kafir adalah meninggalkan solat.
(Hr Muslim) 

5.
 Sama-sama kita melaksanakannya dengan penuh kesempurnaan, ingatkan diri, keluarga, sanak saudara, teman-teman akan betapa pentingnya solat. Sentiasa berdoa memohon hidayah dan rahmatNya. Sama-sama kita pelihara sebaiknya solat kita, hanya 5 kali sehari. Masukkan dan jadikan dalam rutin kerja yang memang wajib bagi diri kita. Ada waktu yang khusus untuk solat dengan sempurna. Usaha jangan biar jadi hal yang membebankan. 

Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
(Surah 66  AT TAHRIM : 6) 

Inilah kejayaan yang kita inginkan, dunia dan akhirat yang berkekalan kelak. 

Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.
(Surah 20  THAAHAA : 132) 

6.
 Dalam keadaan macam mana sekalipun, peliharalah sungguh-sungguh hal solat ini. Saat terlalu lemah dan malas sangatpun, tak mampu yang lain, jangan dibiar terabai solat kita. Jika solat sudah awal lagi tak ditunai, memang tiada guna hidup kita. Kita rasa malas dan berat kerana belum memahaminya dan dosa yang banyak masih diselangi dan dibiasai. Kita tak ingin bersedia untuk menjadi hamba yang taat. Berada dalam rahmat dan redha ALLAH SWT. Janganlah diremehkan dan masih dianggap biasa dalam sering menangguh dan tidak bersedia itu. 

“Marilah sama-sama awasi selalu bagaimana dengan solat kita. Ini pengikat hubungan kita dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, yang menghidupkan kita” 



Selasa, 2 September 2014

R 90 : KITA BERTANYA, AL QURAN MENJAWAB

KITA BERTANYA : Kenapa aku diuji?
ALQURAN MENJAWAB :

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah 29, AL ANKABUT : ayat 2-3)

KITA BERTANYA : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?
AL QURAN MENJAWAB :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah 2,  AL BAQARAH : ayat 216)

KITA BERTANYA : Kenapa aku diuji seberat ini?
AL QURAN MENJAWAB :

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah 2,  AL BAQARAH : ayat 286)

KITA BERTANYA : Haruskah aku terus bersedih?
AL QURAN MENJAWAB :

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”
(Surah 3, ALI IMRAN : ayat 139)

KITA BERTANYA : Bagaimana harus aku menghadapi ujian ini?
AL QURAN MENJAWAB :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah  kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
(Surah 3,  ALI IMRAN : ayat 200)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” 
(Surah 2,  AL BAQARAH : ayat  45)

KITA BERTANYA : Apa yang aku dapat dari semua ini?
ALQURAN MENJAWAB :

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.”
(Surah 9, AT TAUBAH : ayat 111)

KITA BERTANYA : Kepada siapa mesti aku berharap?
AL QURAN MENJAWAB :

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.”
(Surah 9,  AT TAUBAH : ayat 129)

KITA BERKATA : Aku tak tahan diuji sebegini!!!
AL QURAN MENJAWAB :

“… ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”
(Surah 12,  YUSUF : ayat 87)

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala tanpa batas.”

(Surah 39, AZ ZUMAR : ayat 10)

R 89 : KISAH DI SEBALIK SOLAT 5 WAKTU

السلام عليكم
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati.
“Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.”
(Surah 2, AL BAQARAH : ayat 237)

Ali bin Abi Talib r.a berkata : “Sewaktu Rasullullah S.A.W duduk bersama para sahabat Muhajirin dan Ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi, lalu berkata: ‘Ya Muhammad, kami hendak tanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa A.S. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.’”
Lalu Rasullullah S.A.W. bersabda: ‘Silakan bertanya.’
Berkata orang Yahudi: ‘Silakan terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.’
Sabda Rasullullah S.A.W.:
Solat Zuhur – jika tergelincir ia matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada Tuhannya,
Solat Asar – itu ialah saat ketika Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi,
Solat Maghrib – itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam A.S., maka setiap mukmin yang bersolat Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.
Solat Isyak – itu ialah solat yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku,
Solat Subuh – adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbitnya, terbit di antara 2 tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir.’
Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: ‘Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan di dapati oleh orang yang solat.
Rasullullah S.A.W bersabda:
‘Jagalah waktu-waktu solat terutama solat yang pertengahan, Solat Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam, orang mukimin yang mengerjakan solat pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.’
Sabda Rasullullah S.A.W. lagi: Manakala Solat Asar, adalah saat di mana Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan solat Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.’
Setelah itu Rasullullah S.A.W. membaca ayat yang bermaksud: ‘Jagalah waktu-waktu solat terutama sekali solat yang pertengahan, Solat Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam A.S. diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan solat Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan.
‘Sabda Rasullullah S.A.W. Solat Isya’. Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan solat Isyak berjamaah, Allah S.W.T. haramkan dari terkena nyalanya api neraka dan diberinya cahaya untuk menyeberangi titi sirath.’
Sabda Rasullullah S.A.W. seterusnya Solat Subuh pula, seorang mukmin yang mengerjakan solat subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberi oleh Allah S.W.T. dua kebebasan iaitu:

1. Dibebaskan dari api neraka.

2. Dibebaskan dari nifaq.

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W maka mereka berkata: ‘Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (S.A.W). Kini katakan pula kepada kami semua kenapakah Allah S.W.T. mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?’

Sabda Rasullullah S.A.W.:

‘Ketika Nabi Adam memakan buah pohon yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam A.S. selama 30 hari. Kemudian Allah S.W.T. mewajibkan ke atas keturunan Adam A.S. berlapar selama 30 hari. Sementara izin makan di waktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah S.W.T. kepada makhlukNya.’
Kata orang Yahudi: ‘Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada kami ganjaran pahala yang diperolehi dari puasa itu.’

Sabda Rasullullah S.A.W.

‘Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T. dia akan diberi oleh Allah S.W.T tujuh perkara:

1. Akan dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh dengan makanan yang haram).
2. Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya.
3. Diberi oleh Allah sebaik-baik amal.
4. Dijauhkan dari merasa lapar dan haus.
5. Diringankan baginya siksa kubur (siksa yang sangat mengerikan).
6. Diberikan cahaya oleh Allah S.W.T pada hari Kiamat untuk menyeberang titian sirath.
7. Allah S.W.T. akan memberinya kemudian di syurga.’

Kata orang Yahudi: ‘Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakan kepada kami kelebihanmu antara semua para nabi-nabi.’
Sabda Rasullullah S.A.W.: ‘Seorang nabi mengunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat pada umat saya di hari kiamat).’
Kata orang Yahudi: ‘Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah,wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan engkau utusan Allah).’

Sumber: http://ummiadam.teratakrindu.net/

Otak manusia seperti orang sedang bersujud. Tak percaya?