AL MATIN ( المتين )
ALLAH Yaa Matin Yang Maha Teguh, seluruh
keteguhan yang ada di dunia ini adalah keteguhan ALLAH. KeteguhanNYAlah yang
menjadikan gunung-gunung teguh menjadi pasak bumi, kedudukan bulan, bintang dan
matahari sangat teguh, tidak bergoyang sedikitpun dalam peredaranNYA. Keteguhan
yang ada dalam setiap ciptaanNYA merupakan keteguhan Yaa Matin. Begitu juga
manusia yang teguh jiwa dan iman merupakan anugerah ALLAH Yaa Matin yang
menyebabkan manusia mampu menghadapi apa jua dugaan hidup dengan penuh
keteguhan dan kesabaran.
Menghayati ALLAH Al Matin menjadikan kita
seorang hamba yang teguh pendirian demi menegakkan kebenaran. Keteguhan Al Matin
yang mengalir dalam diri kita akan menjadikan kita seorang yang tabah dan mampu
memberikan motivasi agar manusia lain juga merasa tabah dalam menghadapi
ujianNYA serta tetap teguh dalam perjuanganNYA.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Matin Yang Maha Teguh.
Sesungguhnya Engkaulah yang mencipta alam buana yang teguh ini. Planet-planet
berputar di atas orbit dengan teguh, gunung-ganang diteguhkan olehMu Yaa Matin
sebagai pasak bumi, bangunan-bangunan dibangunkan dengan teguh olehMu Yaa
Matin. Sekiranya Engkau mengambil balik daya keteguhan ini, akan runtuh dan
hancurlah segalanya.
Yaa Matin, Engkaulah yang meneguhkan
tubuh ini sehingga dapat berdiri teguh di atas bumiMu ini yang Engkau teguhkan.
Sekiranya Engkau menarik balik daya keteguhanMu ini, akan lumpuh dan
tersungkurlah kami. Sekiranya bumi ini Engkau tarik daya keteguhanMu, akan
retaklah bumi ini dan runtuhlah dan tumbanglah segala bangunan dan kehidupan.
Ketika Engkau menarik balik daya keteguhan pada langit, akan runtuhlah langit
ini dan hancurlah bumi dan isinya.
Allahumma Yaa Matin, teguhkanlah hati ini
yang sering tidak yakin kepadaMu, teguhkanlah hati yang sentiasa ragu dengan
kasihsayangMu, kebijaksanaanMu, kehebatanMu. Hati yang sering resah gelisah ini
apabila menerima ujianMu, teguhkanlah ia Yaa Allah Yaa Matin. Yaa Matin, teguhkanlah
perjalanan kami menuju kepadaMu dalam mencari redhaMu, teguhkanlah hati ini
dalam memegang prinsip-prinsip yang telah Engkau gariskan dalam Al Quran dan
Hadist.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan