AL QOYYUM ( القيوم )
ALLAH Yaa Qoyyum Yang Maha Berdiri
Sendiri lagi Maha Tegak. DIA Yaa Qoyyum mengatur segala sesuatu yang menjadi
keperluan makhlukNYA secara sempurna, terus menerus tanpa bantuan sesiapa
walaupun hambaNYA tidak berterima kasih kepadaNYA. DIA Yaa Qoyyum tidak
memerlukan ketaatan hambaNYA mahupun tidak berkurang kekuasaan dan kemuliaanNYA
sekiranya semua makhlukNYA menjauhkan diri dariNYA.
Menghayati sifat Al Qoyyum mampu menjadi
manusia tidak mudah menyerah kalah ketika berhadapan dengan pelbagai kesulitan.
Bergantung dengan kekuatan Al Qoyyum menjadikan seseorang kuat dan sentiasa
bersemangat dalam mengejar cita-cita kehidupan. Semua kesulitan adalah
kesempatan untuk jiwa tumbuh dengan segar dengan kesegaran Al Qoyyum.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Hayyu Yaa Qoyyum,
sesungguhnya Engkau Maha Hidup dan Maha Menguruskan alam ini dengan sendiri
tanpa bantuan sesiapa pun. Yaa Ahad, Engkau Maha Esa dalam penguasaanMu pada
seluruh alam dan isinya. Yaa Wahid, Engkau Maha Tunggal, tiada
berbilang-bilang, hanya Engkau satu-satunya berkuasa dalam pengurusan dan
pentadbiran alam, makhluk, manusia dan peristiwa-peristiwa. Sesungguhnya Engkau
Yaa Hayyu Yaa Qoyyum mengurus alam ini melalui makhlukMu. Alam dan manusia
mendapat cahayaMu Yaa Nuur melalui matahari, namun matahari tiada sedikitpun
berkuasa memberi cahaya, ia hanya alatMu semata-mata yang taat dan patuh kepada
perintahMu. Begitu juga Engkau Yaa Hayyu Yaa Qoyyum mengurus hamba-hambaMu yang
terlantar di hospital melalui para doktor dan jururawat. Sesungguhnya tiada
daya doktor untuk menyembuhkan melainkan daya dan kekuasaanMu sahaja jua Yaa
Salam, mereka semua hanya alatMu. Kekuasaan raja dan perdana menteri tidak
wujud pada hakikatnya, semuanya adalah kekuasaanMu semata-mata Yaa Hayyu Yaa
Qoyyum yang wujud, mereka dan kami semua adalah alatMu semata-mata.
Seluruh angin, lautan, gunung-ganang,
pasir dan segalanya di alam buana ini dalam kekuasaanMu secara mutlak Yaa Hayyu
Yaa Qoyyum. Yaa Allah Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq pancarkan cahaya makrifahMu
pada matahati kami agar kami sentiasa sedar dan nampak kekuasaanMu Yaa Hayyu Yaa
Qoyyum, jadikan kami hamba yang haqqul yakin dan bergantung harap hanya
kepadaMu, tiada lain dariMu Yaa Allah Yaa Ahad Yaa Wahid Yaa Somad.
Sesungguhnya manusia tiada daya, untuk membuka kelopak mata dan mendegup
jantung pun tiada daya, jauhi kami dari meletakkan harapan walau sebesar
zarahpun kepada manusia melainkan mengharapkanMu saja Yaa Hayyu Yaa Qoyyum Yaa
Somad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan