Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Surah ini terdiri dari 227 ayat termasuk golongan surah-surah Makkiyah. Dinamakan Asy Syu'araa' (kata jamak dari Asy Syaa'ir yang bererti penyair) diambil dari kata Asy Syuaraa' yang terdapat pada ayat 224, iaitu pada bahagian terakhir surah ini, di kala Allah s.w.t. secara khusus menyebutkan kedudukan penyair- penyair. Para penyair-penyair itu mempunyai sifat-sifat yang jauh berbeza dengan para rasul-rasul; mereka diikuti oleh orang-orang yang sesat dan mereka suka memutar balikkan lidah dan mereka tidak mempunyai pendirian, perbuatan mereka tidak sesuai dengan tidak mempunyai pendirian, perbuatan mereka tidak sesuai dengan apa yang mereka ucapkan. Sifat-sifat yang demikian tidaklah sekali-kali terdapat pada rasul-rasul. Oleh kersna demikian tidak patut bila Nabi Muhammad s.a.w. dituduh sebagai penyair, dan al Quran dituduh sebagai syair, al Quran adalah wahyu Allah, bukan buatan manusia.
Pokok isinya:
1. Keimanan: Jaminan Allah akan kemenangan perjuangan rasul-rasulNya dan keselamatan mereka. Al Quran benar- benar wahyu Allah yang dibawa turun ke dunia oleh Malaikat Jibril a.s. (Ruuhul amiin); hanya Allah yang wajib disembah.
2. Hukum-hukum: Keharusan memenuhi takaran dan timbangan; larangan mengubah syair yang berisi cacian-cacian, khurafat-khurafat, dan kebohongan-kebohongan.
3. Kisah-kisah: Kisah-kisah Nabi Musa a.s. dengan Firaun; kisah Nabi Ibrahim a.s. dengan kaumnya; kisah Nabi Nuh a.s. dengan kaumnya; kisah Nabi Shaleh a.s. dengan kaumnya (Tsamud); kisah Nabi Hud a.s. dengan kaumnya (Ad), kisah Nabi Luth a.s. dengan kaumnya; kisah Nabi Syu'aib a.s. dengan penduduk Aikah.
4. Dan lain-lain: Kebinasaan suatu bangsa atau umat disebabkan mereka meninggalkan petunjuk-petunjuk agama; tumbuh-tumbuhan yang beraneka ragam dan perubahan-perubahannya adalah bukti adanya Tuhan Yang Maha Esa; petunjuk-petunjuk Allah bagi pemimpin agar berlaku lemah lembut terhadap pengikut-pengikutnya; turunnya kitab al Quran dalam bahasa Arab sudah disebut dalam kitab- kitab suci dahulu.
MUHAMMAD S.A.W. TIDAK USAH BERSEDIH HATI TERHADAP KEINGKARAN KAUM MUSYRIKIN
1. Thaa Siim Miim[1073]
[1073]. Lihat no. [10]. Ialah huruf-huruf abjad yang terletak pada permulaan sebahagian dari surah-surah al Quran seperti: alif laam miim, alif laam raa, alif laam miim shaad dan sebagainya. Di antara ahli-ahli tafsir ada yang menyerahkan pengertiannya kepada Allah kerana dipandang termasuk ayat-ayat mutasyaabihaat, dan ada pula yang menafsirkannya. Golongan yang menafsirkannya ada yang memandangnya sebagai nama surat, dan ada pula yang berpendapat bahawa huruf-huruf abjad itu gunanya untuk menarik perhatian para pendengar supaya memperhatikan al Quran itu, dan untuk mengisyaratkan bahawa al Quran itu diturunkan dari Allah dalam Bahasa Arab yang tersusun dari huruf-huruf abjad. Kalau mereka tidak percaya bahawa al Quran diturunkan dari Allah dan hanya buatan Muhammad s.a.w. semata-mata, maka cubalah mereka buat semacam al Quran itu.
2. Inilah ayat-ayat al Quran yang menerangkan.
3. Boleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, kerana mereka[1074] tidak beriman.
[1074]. Maksudnya: penduduk Mekah
4. Jika kami kehendaki nescaya Kami menurunkan kepada mereka mukjizat dari langit, maka sentiasa kuduk-kuduk mereka tunduk kepadanya.
5. Dan sekali-kali tidak datang kepada mereka suatu peringatan baru[1075] dari Tuhan Yang Maha Pemurah, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya.
[1075]. Maksudnya: Ayat-ayat al Quran yang baru diturunkan.
6. Sungguh mereka telah mendustakan (al Quran), maka kelak akan datang kepada mereka (kenyataan dari) berita-berita yang selalu mereka perolok-olokkan.
7. Dan apakah mereka tidak memperhatikan bumi, berapakah banyaknya Kami tumbuhkan di bumi itu pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang baik?
8. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat suatu tanda kekuasaan Allah. Dan kebanyakan mereka tidak beriman.
9. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
KISAH NABI MUSA A.S.
Perintah Tuhan kepada Nabi Musa a.s untuk menyeru Firaun
10. Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu menyeru Musa (dengan firmanNya): "Datangilah kaum yang zalim itu,
11. (iaitu) kaum Firaun. Mengapa mereka tidak bertakwa?"
12. Berkata Musa: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan aku.
13. Dan (kerananya) sempitlah dadaku dan tidak lancar lidahku maka utuslah (Jibril) kepada Harun[1076].
[1076]. Maksudnya: agar Harun itu diangkat menjadi rasul untuk membantunya.
14. Dan aku berdosa terhadap mereka[1077], maka aku takut mereka akan membunuhku."
[1077]. Musa mengatakan dia berdosa terhadap orang-orang Mesir adalah menurut anggapan orang-orang Mesir itu, kerana sebenarnya Musa tidak berdosa sebab dia membunuh orang Mesir itu tidak dengan sengaja. Selanjutnya lihat surah al Qashash ayat 15.
15. Allah berfirman: "Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan),
16. Maka datanglah kamu berdua kepada Firaun dan katakanlah olehmu: "Sesungguhnya Kami adalah Rasul Tuhan semesta alam,
17. lepaskanlah Bani Israil (pergi) beserta kami."
Soal jawab antara Musa a.s. dan Firaun
18. Firaun menjawab: "Bukankah kami telah mengasuhmu di antara (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu[1078].
[1078]. Nabi Musa a.s. tinggal bersama Firaun kurang lebih 18 tahun, sejak kecil.
19. dan kamu telah berbuat suatu perbuatan yang telah kamu lakukan itu[1079] dan kamu termasuk golongan orang-orang yang tidak membalas guna.
[1079]. Maksudnya: ialah perbuatan Nabi Musa a.s. membunuh orang Qibti. Selanjutnya lihat surat al Qashash ayat 15.
20. Berkata Musa: "Aku telah melakukannya, sedang aku di waktu itu termasuk orang-orang yang khilaf.
21. Lalu aku lari meninggalkan kamu ketika aku takut kepadamu, kemudian Tuhanku memberikan kepadaku ilmu serta Dia menjadikanku salah seorang di antara rasul-rasul.
22. Budi yang kamu limpahkan kepadaku itu adalah (disebabkan) kamu telah memperbudak Bani Israil."
23. Firaun bertanya: "Siapa Tuhan semesta alam itu?"
24. Musa menjawab: "Tuhan Pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang di antara keduanya (Itulah Tuhanmu), jika kamu sekelian (orang-orang) mempercayaiNya."
25. Berkata Firaun kepada orang-orang sekelilingnya: "Apakah kamu tidak mendengarkan?"
26. Musa berkata (pula): "Tuhan kamu dan Tuhan nenek-nenek moyang kamu yang dahulu."
27. Firaun berkata: "Sesungguhnya Rasulmu yang diutus kepada kamu sekelian benar-benar orang gila."
28. Musa berkata: "Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya: (Itulah Tuhanmu) jika kamu mempergunakan akal."
29. Firaun berkata: "Sungguh jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan."
30. Musa berkata: "Dan apakah (kamu akan melakukan itu) kendatipun aku tunjukkan kepadamu sesuatu (keterangan) yang nyata?"
31. Firaun berkata: "Datangkanlah sesuatu (keterangan) yang nyata itu, jika kamu adalah termasuk orang-orang yang benar."
32. Maka Musa melemparkan tongkatnya, lalu tiba-tiba tongkat itu (menjadi) ular yang nyata.
33. Dan ia menarik tangannya (dari dalam bajunya), maka tiba-tiba tangan itu jadi putih (bersinar) bagi orang-orang yang melihatnya.
34. Firaun berkata kepada pembesar-pembesar yang berada sekelilingnya: Sesungguhnya Musa ini benar-benar seorang ahli sihir yang pandai,
35. ia hendak mengusir kamu dari negerimu sendiri dengan sihirnya; maka kerana itu apakah yang kamu anjurkan?"
36. Mereka menjawab: "Tundalah (urusan) dia dan saudaranya dan kirimkanlah ke seluruh negeri orang-orang yang akan mengumpulkan (ahli sihir),
37. nescaya mereka akan mendatangkan semua ahli sihir yang pandai kepadamu."
38. Lalu dikumpulkan ahli-ahli sihir pada waktu yang ditetapkan di hari yang ma'lum[1080],
[1080]. Iaitu di waktu pagi di hari yang dirayakan.
39. dan dikatakan kepada orang banyak: "Berkumpullah kamu sekelian.
40. semoga kita mengikuti ahli-ahli sihir jika mereka adalah orang-orang yang menang[1081]"
[1081]. Maksudnya: ialah bahawa mereka mengharapkan benar-benar ahli sihir itulah yang akan menang.
41. Maka tatkala ahli-ahli sihir datang, merekapun bertanya kepada Firaun: "Apakah kami sungguh-sungguh mendapat upah yang besar jika kami adalah orang-orang yang menang?"
42. Firaun menjawab: "Ya, kalau demikian, sesungguhnya kamu sekelian benar-benar akan menjadi orang yang didekatkan (kepadaku)."
43. Berkatalah Musa kepada mereka: "Lemparkanlah apa yang hendak kamu lemparkan."
44. Lalu mereka melemparkan tali temali dan tongkat-tongkat mereka dan berkata: "Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya kami benar-benar akan menang."
45. Kemudian Musa menjatuhkan tongkatnya maka tiba-tiba ia menelan benda-benda palsu yang mereka ada-adakan itu[1082].
[1082] Maksudnya: tali temali dan tongkat-tongkat yang dilemparkan ahli sihir itu yang terbayang seolah-olah menjadi ular, semuanya ditelan oleh tongkat Musa yang benar-benar menjadi ular.
46. Maka tersungkurlah ahli-ahli sihir sambil bersujud (kepada Allah),
47. mereka berkata: "Kami beriman kepada Tuhan semesta alam,
48. (iaitu) Tuhan Musa dan Harun."
49. Firaun berkata: "Apakah kamu sekelian beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya dia benar-benar pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu maka kamu nanti pasti benar-benar akan mengetahui (akibat perbuatanmu); sesungguhnya aku akan memotong tanganmu dan kakimu dengan bersilangan[1083] dan aku akan menyalibmu semuanya."
[1083] Maksudnya: memotong tangan kanan dan kaki kiri atau sebaliknya.
50. Mereka berkata: "Tidak ada kemudaratan (bagi kami); sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami,
51. sesungguhnya kami amat menginginkan bahawa Tuhan kami akan mengampuni kesalahan kami, kerana kami adalah orang-orang yang pertama-tama beriman."
Perintah Tuhan kepada Musa a.s. untuk menyelamatkan Bani Israil dari Firaun dan pembinasaan Firaun
52. Dan Kami wahyukan (perintahkan) kepada Musa: "Pergilah di malam hari dengan membawa hamba-hambaKu (Bani Israil), kerana sesungguhnya kamu sekelian akan disusuli."
53. Kemudian Firaun mengirimkan orang yang mengumpulkan (tenteranya) ke kota-kota.
54. (Firaun berkata): "Sesungguhnya mereka (Bani Israil) benar-benar golongan kecil,
55. dan sesungguhnya mereka membuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita,
56. dan sesungguhnya kita benar-benar golongan yang selalu berjaga-jaga."
57. Maka Kami keluarkan Firaun dan kaumnya dari taman-taman dan mata air,
58. dan (dari) perbendaharaan dan kedudukan yang mulia[1084],
[1084]. Dengan pengejaran Firaun dan kaumnya untuk menyusul Musa dan Bani Israil, maka mereka telah ke luar dari negeri mereka dengan meninggalkan kerajaan, kebesaran, kemewahan dan sebagainya.
59. demikianlah halnya dan Kami anugerahkan semuanya (itu) kepada Bani Israil[1085].
[1085]. Maksudnya Allah akan memberikan kepada Bani Israil kerajaan yang kuat, kerasulan dan sebagainya di negeri yang telah dijanjikan (Palestin).
60. Maka Firaun dan bala tenteranya dapat menyusuli mereka di waktu matahari terbit.
61. Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: "Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul."
62. Musa menjawab: "Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku."
63. Lalu Kami wahyukan kepada Musa: "Pukullah lautan itu dengan tongkatmu." Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.
64. Dan di sanalah Kami dekatkan golongan yang lain[1086].
[1086]. Yang dimaksud: Golongan yang lain ialah Firaun dan kaumnya. Maksud ayat ialah di bahagian yang terbelah itu Allah memperdekatkan antara Firaun dan kaumnya dengan Musa dan Bani Israil.
65. Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang besertanya semuanya.
66. Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain itu.
67. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar merupakan suatu tanda yang besar (mukjizat) dan tetapi adalah kebanyakan mereka tidak beriman.
68. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
69. Dan bacakanlah kepada mereka kisah Ibrahim.
70. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah yang kamu sembah?"
71. Mereka menjawab: "Kami menyembah berhala-berhala dan kami sentiasa tekun menyembahnya."
72. Berkata Ibrahim: "Apakah berhala-berhala itu mendengar (doa)mu sewaktu kamu berdoa (kepadanya)?
73. atau (dapatkah) mereka memberi manfaat kepadamu atau memberi mudarat?"
74. Mereka menjawab: "(Bukan kerana itu) sebenarnya kami mendapati nenek moyang kami berbuat demikian."
75. Ibrahim berkata: "Maka apakah kamu telah memperhatikan apa yang selalu kamu sembah,
76. kamu dan nenek moyang kamu yang dahulu?
77. kerana sesungguhnya apa yang kamu sembah itu adalah musuhku, kecuali Tuhan Semesta Alam,
78. (iaitu Tuhan) Yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjuki aku,
79. dan Tuhanku, Yang Dia memberi makan dan minum kepadaku,
80. dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkan aku,
81. dan Yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali),
82.dan Yang amat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada hari kiamat."
83. (Ibrahim berdoa): "Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh,
84. dan jadikanlah aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian,
85. dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang mempusakai syurga yang penuh kenikmatan,
86. dan ampunilah bapaku, kerana sesungguhnya ia adalah termasuk golongan orang-orang yang sesat,
87. dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan,
88. (iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna,
89. kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih,
90. dan (di hari itu) didekatkanlah syurga kepada orang-orang yang bertakwa,
91. dan diperlihatkan dengan jelas neraka Jahim kepada orang-orang yang sesat,"
92. dan dikatakan kepada mereka: "Di manakah berhala-berhala yang dahulu kamu selalu menyembah(nya)
93. selain dari Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong diri mereka sendiri?"
94. Maka mereka (sembahan-sembahan itu) dijungkirkan ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang sesat,
95. dan bala tentera iblis semuanya.
96. Mereka berkata sedang mereka bertengkar di dalam neraka:
97. "demi Allah: sungguh kita dahulu (di dunia) dalam kesesatan yang nyata,
98. kerana kita mempersamakan kamu dengan Tuhan semesta alam."
99. Dan tiadalah yang menyesatkan kami kecuali orang-orang yang berdosa.
100. Maka kami tidak mempunyai pemberi syafaat seorangpun,
100. Maka kami tidak mempunyai pemberi syafaat seorangpun,
101. dan tidak pula mempunyai teman yang akrab,
102. maka sekiranya kita dapat kembali sekali lagi (ke dunia) nescaya kami menjadi orang-orang yang beriman."
103. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.
104. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
KISAH NABI NUH A.S. DENGAN KAUMNYA
105. Kaum Nuh telah mendustakan para rasul.
106. Ketika saudara mereka (Nuh) berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?
107. Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu,
108. maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.
109. Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakkan-ajakkan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam.
110. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku."
111. Mereka berkata: "Apakah kami akan beriman kepadamu, padahal yang mengikuti kamu ialah orang-orang yang hina?"
112. Nuh menjawab: "Bagaimana aku mengetahui apa yang telah mereka kerjakan?
113. Perhitungan (amal perbuatan) mereka tidak lain hanyalah kepada Tuhanku, kalau kamu menyedari.
113. Perhitungan (amal perbuatan) mereka tidak lain hanyalah kepada Tuhanku, kalau kamu menyedari.
114. Dan aku sekali-kali tidak akan mengusir orang-orang yang beriman.
115. Aku (ini) tidak lain melainkan pemberi peringatan yang menjelaskan."
116. Mereka berkata: "Sungguh jika kamu tidak (mahu) berhenti hai Nuh, nescaya benar-benar kamu akan termasuk orang-orang yang direjam."
117. Nuh berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah mendustakan aku;
118. maka itu adakanlah suatu keputusan antaraku dan antara mereka, dan selamatkanlah aku dan orang-orang yang mukmin besertaku."
119. Maka Kami selamatkan Nuh dan orang-orang yang besertanya di dalam kapal yang penuh muatan.
120. Kemudian sesudah itu Kami tenggelamkan orang-orang yang tinggal.
121. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.
122. Dan sesungguhnya Tuhanmu Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
KISAH NABI HUD A.S.
123. Kaum Aad telah mendustakan para rasul.
124. Ketika saudara mereka Hud berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?
125. Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu,
126. maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.
127. Dan sekali-kali aku tidak minta upah kepadamu atas ajakkan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam.
128. Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main[1087],
[1087]. Maksudnya: untuk bermewah-mewah dan memperlihatkan kekayaan.
129. dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?
130. Dan apabila kamu menyiksa, maka kamu menyiksa sebagai orang-orang kejam dan bengis.
131. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.
132. Dan bertakwalah kepada Allah yang telah menganugerahkan kepadamu apa yang kamu ketahui.
133. Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak, dan anak-anak,
134. dan kebun-kebun dan mata air,
135. sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar."
136. Mereka menjawab: "Adalah sama saja bagi kami, apakah kamu memberi nasihat atau tidak memberi nasihat,
137. (agama kami) ini tidak lain hanyalah adat kebiasaan orang dahulu.
138. dan kami sekali-kali tidak akan diazab."
139. Maka mereka mendustakan Hud, lalu Kami binasakan mereka. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.
140. Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
KISAH NABI SHALEH A.S.
141. Kaum Tsamud telah mendustakan rasul-rasul.
142. Ketika saudara mereka, Shaleh, berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?
143. Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu,
144. maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku
145. Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakkan itu, upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam.
146. Adakah kamu akan dibiarkan tinggal di sini (di negeri kamu ini) dengan aman,
147. di dalam kebun-kebun serta mata air,
148. dan tanam-tanaman dan pohon-pohon kurma yang mayangnya lembut.
149. Dan kamu pahat sebahagian dari gunung-gunung untuk dijadikan rumah-rumah dengan rajin;
150. maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku;
151. dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melewati batas,
152. yang membuat kerosakkan di muka bumi dan tidak mengadakan perbaikan."
153. Mereka berkata: "Sesungguhnya kamu adalah salah seorang dari orang-orang yang kena sihir;
154. Kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti kami; maka datangkanlah sesuatu mukjizat, jika kamu memang termasuk orang-orang yang benar."
155. Shaleh menjawab: "Ini seekor unta betina, ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu mempunyai giliran pula untuk mendapatkan air di hari yang tertentu.
156. Dan janganlah kamu sentuh unta betina itu dengan sesuatu kejahatan, yang menyebabkan kamu akan ditimpa oleh azab hari yang besar."
157. Kemudian mereka membunuhnya, lalu mereka menjadi menyesal,
158. maka mereka ditimpa azab. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat bukti yang nyata. Dan adalah kebanyakan mereka tidak beriman.
159. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
KISAH NABI LUTH A.S. DENGAN KAUMNYA
160. Kaum Luth telah mendustakan rasul-rasul,
161. ketika saudara mereka, Luth, berkata kepada mereka: mengapa kamu tidak bertakwa?"
162. Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu,
163. maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.
164. Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakkan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semeta alam.
165. Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia,
166. dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas."
167. Mereka menjawab: "Hai Luth, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti, benar-benar kamu termasuk orang-orang yang diusir"
168. Luth berkata: "Sesungguhnya aku sangat benci kepada perbuatanmu."
169. (Luth berdoa): "Ya Tuhanku selamatkanlah aku beserta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan."
170. Lalu Kami selamatkan ia beserta keluarganya semua,
171. kecuali seorang perempuan tua (isterinya), yang termasuk dalam golongan yang tinggal.
172. Kemudian Kami binasakan yang lain.
173. Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu) maka amat buruklah hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu.
174. Sesunguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat bukti-bukti yang nyata. Dan adalah kebanyakan mereka tidak beriman.
175. Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
KISAH NABI SYU'AIB A.S.
176. Penduduk Aikah[1088] telah mendustakan rasul-rasul;
[1088]. Yang dimaksud dengan Penduduk Aikah ialah penduduk Madyan iaitu kaum Nabi Syu'aib a.s.
177. ketika Syu'aib berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?
178. Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu.
179. maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku;
180. dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakkan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam.
181. Sempurnakanlah takaran dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang merugikan;
182. dan timbanglah dengan timbangan yang lurus.
183. Dan janganlah kamu merugikan manusia pada hak-haknya dan janganlah kamu merajalela di muka bumi dengan membuat kerosakkan;
184. dan bertakwalah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan umat-umat yang dahulu."
185. Mereka berkata: "Sesungguhnya kamu adalah salah seorang dari orang-orang yang kena sihir,
186. dan kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti kami, dan sesungguhnya kami yakin bahawa kamu benar-benar termasuk orang-orang yang berdusta.
187. Maka jatuhkanlah atas kami gumpalan dari langit, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.
188. Syu'aib berkata: "Tuhanku lebih mengetahui apa yang kamu kerjakan."
189. Kemudian mereka mendustakan Syu'aib, lalu mereka ditimpa 'azab pada hari mereka dinaungi awan. Sesungguhnya azab itu adalah 'azab hari yang besar.
190. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.
191. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
AL QURAN DIBAWA TURUN OLEH JIBRIL KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W DALAM BAHASA ARAB
Perintah memberi peringatan kepada keluarga dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin
192. Dan sesungguhnya al Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam,
193. dia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril),
194. ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan,
195. dengan Bahasa Arab yang jelas.
196. Dan sesungguhnya al Quran itu benar-benar (tersebut) dalam Kitab-kitab orang yang dahulu.
197. Dan apakah tidak cukup menjadi bukti bagi mereka, bahawa para ulama Bani Israil mengetahuinya?
198. Dan kalau al Quran itu Kami turunkan kepada salah seorang dari golongan bukan Arab,
199. lalu ia membacakannya kepada mereka (orang-orang kafir); nescaya mereka tidak akan beriman kepadanya.
200. Demikianlah Kami masukkan al Quran ke dalam hati orang-orang yang durhaka.
201. Mereka tidak beriman kepadanya, hingga mereka melihat azab yang pedih,
202. maka datanglah azab kepada mereka dengan mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya,
203. lalu mereka berkata: "Apakah kami dapat diberi tangguh?"
204. Maka apakah mereka meminta supaya disegerakan azab Kami?
205. Maka bagaimana pendapatmu jika Kami berikan kepada mereka kenikmatan hidup bertahun-tahun,
206. Kemudian datang kepada mereka azab yang telah diancamkan kepada mereka,
207. nescaya tidak berguna bagi mereka apa yang mereka selalu menikmatinya.
208. Dan Kami tidak membinasakan sesuatu negeripun, melainkan sesudah ada baginya orang-orang yang memberi peringatan;
209. untuk menjadi peringatan. Dan Kami sekali-kali tidak berlaku zalim.
210. Dan al Quran itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan.
211. Dan tidaklah patut mereka membawa turun al Quran itu, dan merekapun tidak akan kuasa.
212. Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar al Quran itu.
213. Maka janganlah kamu menyeru (menyembah) tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang diazab.
214. Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat,
215. dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.
216. Jika mereka mendurhakaimu maka katakanlah: "Sesungguhnya aku tidak bertanggungjawab terhadap apa yang kamu kerjakan,"
217. Dan bertawakallah kepada (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang,
218. Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk solat),
219. dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.
220. Sesungguhnya Dia adalah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Syaitan turun kepada pembohong-pembohong, dan peringatan kepada penyair-penyair.
221. Apakah akan Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun?
222. Mereka turun kepada tiap-tiap pendusta lagi yang banyak dosa,
223. mereka menghadapkan pendengaran (kepada syaitan) itu, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang pendusta.
224. Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.
225. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah[1089],
[1089]. Yang dimaksud dengan ayat ini ialah bahawa sebahagian penyair-penyair itu suka mempermainkan kata-kata dan tidak mempunyai tujuan yang baik yang tertentu dan tidak punya pendirian.
226. dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan(nya)?
227. kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.
Sebahagian besar surah Asy Syu'araa' menerangkan kisah nabi-nabi dengan umatnya masing-masing. Mereka mengalami penderitaan dan permusuhan dari kaumnya, tetapi pada akhirnya mereka mendapat kemenangan, dan lawan-lawan mereka mengalami kehancuran.
Kisah-kisah ini diceritakan olah Allah untuk menghibur hati Rasulullah s.a.w. dan kaum muslimin; kerana kelak mereka akan mendapat kemenangan sebagaimana para rasul zaman dahulu itu.
HUBUNGAN SURAH ASY SYU'ARAA' DENGAN SURAH AN NAML
1. Surat An Naml melengkapi surah Asy Syu'araa' dengan menambahkan ke dalamnya kisah nabi-nabi yang tidak terdapat dalam surah Asy Syu'araa', iaitu kisah Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s.
2. Juga terdapat pada surah An Naml tambahan-tambahan uraian kisah Nabi Luth a.s. dan Nabi Musa a.s. yang keduanya ada diceritakan dalam surat Asy Syu'araa.
3. Masing-masing dari kedua surat ini memuat sifat al Quran dan menerangkan bahawa al Quran itu benar-benar diturunkan dari sisi Allah s.w.t.
4. Kedua surah ini sama-sama menghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. yang mengalami bermacam-macam penderitaan dan permusuhan dari kaumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan