Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Surah
Maryam terdiri atas 98 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyah, kerana
hampir seluruh ayatnya diturunkan sebelum Nabi Muhammad s.a.w. hijrah ke
Madinah, bahkan sebelum sahabat-sahabat beliau hijrah ke negeri Habsyi. Menurut
riwayat Ibnu Mas'ud, Ja'far bin Abi Thalib membacakan permulaan surah Maryam
ini kepada raja Najasyi dan pengikut-pengikutnya di waktu ia ikut hijrah
bersama-sama sahabat-sahabat yang lain ke negeri Habsyi.
Surah ini dinamai Maryam, kerana surat ini mengandung kisah Maryam, ibu Nabi Isa a.s. yang serba ajaib, iaitu melahirkan puteranya lsa a.s. sedang ia sebelumnya belum pernah dikahwini atau dicampuri oleh seorang lelakipun. Kelahiran Isa a.s. tanpa bapa, merupakan suatu bukti kekuasaan Allah s.w.t. Pengutaraan kisah Maryam sebagai kejadian yang luar biasa dan ajaib dalam surah ini, diawali dengan kisah kejadian yang luar biasa dan ajaib pula, iaitu dikabulkannya doa Zakaria a.s. oleh Allah s.w.t., agar beliau dianugerahi seorang putera sebagai pewaris dan pelanjut cita-cita dan kepercayaan beliau, sedang usia beliau sudah sangat tua dan isteri beliau seorang yang mandul yang menurut ukuran ilmu biologi tidak mungkin akan terjadi.
Pokok-pokok isinya:
1. Keimanan:
Allah berbuat sesuatu menurut yang dikehendakiNya, kendatipun menyimpang dan hukum-hukum alam; Isa a.s. bukan anak Allah kerana mustahil Allah mempunyai anak; Jibril a.s. turun kepada rasul-rasul membawa wahyu atas perintah Allah; di hari kiamat orang kafir menghadap Allah sendiri-sendiri semua manusia akan menghadap Tuhan sebagai hamba.
2. Kisah-kisah:
Allah mengabulkan doa Zakaria a.s. untuk memperoleh anak, sekalipun usia beliau sudah sangat tua dan isteri beliau seorang yang mandul; kisah kelahiran Isa a.s. tanpa bapa; kisah Ibrahim a.s. dengan bapanya; Musa a.s. seorang yang dipilih oleh Allah; Ismail a.s. seorang yang benar dalam janjinya; Idris a.s. seorang yang sangat kuat kepercayaannya.
3. Dan lain-lain:
Ancaman
terhadap orang yang meninggalkan solat dan mengikuti hawa nafsunya serta kabar
gembira untuk orang-orang yang telah taubat dan mengerjakan amal-amal yang soleh;
keadaan di syurga; membiarkan orang yang sesat setelah diberi petunjuk
bergelimang dalam kesesatannya adalah sunnah Allah.
KISAH
NABI ZAKARIA a.s. DAN NABI YAHYA a.s.
Sebab
Zakaria berdoa memohon keturunan
1. Kaaf Haa Yaa 'Ain
Shaad[897].
[897]. Lihat no. [10]. Ialah
huruf-huruf abjad yang terletak pada permulaan sebahagian dari surah-surah al
Quran seperti: alif laam miim, alif laam raa, alif laam miim shaad dan sebagainya.
Di antara ahli-ahli tafsir ada yang menyerahkan pengertiannya kepada Allah kerana
dipandang termasuk ayat-ayat mutasyaabihaat, dan ada pula yang menafsirkannya.
Golongan yang menafsirkannya ada yang memandangnya sebagai nama surah, dan ada
pula yang berpendapat bahawa huruf-huruf abjad itu gunanya untuk menarik
perhatian para pendengar supaya memperhatikan al Quran itu, dan untuk
mengisyaratkan bahawa al Quran itu diturunkan dari Allah dalam Bahasa Arab yang
tersusun dari huruf-huruf abjad. Kalau mereka tidak percaya bahawa al Quran
diturunkan dari Allah dan hanya buatan Muhammad s.a.w. semata-mata, maka cubalah
mereka buat semacam al Quran itu.
2. (Yang dibacakan ini
adalah) penjelasan tentang rahmat Tuhan kamu kepada hambaNya, Zakaria,
3. iaitu tatkala ia
berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut.
4. Ia berkata "Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku
telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau,
ya Tuhanku.
5. Dan sesungguhnya aku
kuatir terhadap mawaliku[898] sepeninggalku, sedang isteriku
adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang
putera,
[898]. Yang dimaksud oleh Zakaria
dengan mawali ialah orang-orang yang akan mengendalikan dan melanjutkan
urusannya sepeninggalnya.Yang dikuatirkan Zakaria ialah kalau mereka tidak
dapat melaksanakan urusan itu dengan baik, kerana tidak seorangpun di antara
mereka yang dapat dipercayainva, oleh sebab itu dia meminta dianugerahi seorang
anak.
6. yang akan mewarisi aku dan mewarisi
sebahagian keluarga Yaaqub; dan jadikanlah ia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai."
Terkabulnya
doa Zakaria sebagai bukti kekuasaan Allah
7. Hai Zakaria,
sesungguhnya Kami memberi kabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak
yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang
serupa dengan dia.
8. Zakaria berkata:
"Ya Tuhanku, bagaimana akan ada anak bagiku, padahal isteriku adalah
seorang yang mandul dan aku (sendiri) sesungguhnya sudah mencapai umur yang
sangat tua."
9. Tuhan berfirman:
"Demikianlah." Tuhan berfirman: "Hal itu adalah mudah bagiKu;
dan sesunguhnya telah Aku ciptakan kamu sebelum itu, padahal kamu (di waktu
itu) belum ada sama sekali."
10. Zakaria berkata:
"Ya Tuhanku, berilah aku suatu tanda." Tuhan berfirman: "Tanda
bagimu ialah bahawa kamu tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga
malam, padahal kamu sihat."
11. Maka ia keluar dari
mihrab menuju kaumnya, lalu ia memberi isyarat kepada mereka; hendaklah kamu
bertasbih di waktu pagi dan petang.
Pengangkatan
Yahya sebagai Nabi dan sifat-sifat keutamaannya
12. Hai Yahya, ambillah[899]
Al Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan kami berikan kepadanya hikmah[900]
selagi ia masih kanak-kanak,
[899]. Maksudnya: pelajarilah Taurat
itu, amalkan isinya, dan sampaikan kepada umatmu.
[900]. Maksudnya: kenabian. Atau pemahaman Taurat dan pendalaman agama.
[900]. Maksudnya: kenabian. Atau pemahaman Taurat dan pendalaman agama.
13. dan rasa belas
kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (dan dosa). Dan ia adalah
seorang yang bertakwa,
14. dan seorang yang
berbakti kepada kedua orang tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong lagi
durhaka.
15. Kesejahteraan atas
dirinya pada hari ia dilahirkan dan pada hari ia meninggal dan pada hari ia
dibangkitkan hidup kembali.
KISAH
MARYAM DAN NABI ISA a.s.
Kehamilan
Maryam tanpa sentuhan seorang lelaki
16. Dan ceritakanlah
(kisah) Maryam di dalam al Quran, iaitu ketika ia menjauhkan diri dari
keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur,
17. maka ia mengadakan
tabir (yang melindunginya) dari mereka; lalu Kami mengutus roh Kami[901]
kepadanya, maka ia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia yang sempurna.
[901]. Maksudnya: Jibril a.s.
18. Maryam berkata:
"Sesungguhnya aku berlindung dari padamu kepada Tuhan Yang Maha pemurah,
jika kamu seorang yang bertakwa."
19. Ia (jibril) berkata:
"Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang utusan Tuhanmu, untuk memberimu
seorang anak lelaki yang suci."
20. Maryam berkata:
"Bagaimana akan ada bagiku seorang anak lelaki, sedang tidak pernah
seorang manusiapun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang pezina!"
21. Jibril berkata:
"Demikianlah." Tuhanmu berfirman: "Hal itu adalah mudah bagiKu;
dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat
dari Kami; dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan."
22. Maka Maryam
mengandungnya, lalu ia menyisihkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang
jauh.
Kelahiran
Nabi Isa a.s.
23. Maka rasa sakit akan
melahirkan anak memaksa ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia berkata:
"Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang
yang tidak bererti, lagi dilupakan."
24. Maka Jibril
menyerunya dari tempat yang rendah: "Janganlah kamu bersedih hati,
sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu.
25. Dan goyanglah pangkal
pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang
masak kepadamu,
26. maka makan, minum
dan bersenang hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah:
"Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pemurah,
maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusiapun pada hari ini."
Tuduhan
terhadap Maryam dan pembelaan Nabi Isa a.s. kepada ibunya
27. Maka Maryam membawa
anak itu kepada kaumnya dengan menggendongnya. Kaumnya berkata: "Hai Maryam,
sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang amat mungkar.
28. Hai saudara
perempuan Harun[902], ayahmu sekali-kali bukanlah seorang
yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang pezina,"
[902]. Maryam dipanggil saudara
perempuan Harun, kerana ia seorang wanita yang soleh seperti kesolehan Nabi
Harun a.s.
29. maka Maryam menunjuk
kepada anaknya. Mereka berkata: "Bagaimana kami akan berbicara dengan anak
kecil yang masih di dalam ayunan?"
30. Berkata Isa:
"Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku al Kitab (Injil) dan Dia
menjadikan aku seorang nabi,
31. dan Dia menjadikan
aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan
kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup;
32. dan berbakti kepada
ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka.
33. Dan kesejahteraan
semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal
dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali."
34. Itulah Isa putera
Maryam, yang mengatakan perkataan yang benar, yang mereka berbantah-bantahan
tentang kebenarannya.
35. Tidak layak bagi
Allah mempunyai anak, Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka
Dia hanya berkata kepadanya: "Jadilah," maka jadilah ia.
36. Sesungguhnya Allah
adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahIah Dia oleh kamu sekelian. Ini adalah
jalan yang lurus.
Pertentangan
pendapat tentang Isa a.s.
37. Maka berselisihlah
golongan-golongan (yang ada) di antara mereka[903]. Maka
kecelakaanlah bagi orang-orang kafir pada waktu menyaksikan hari yang besar.
[903]. Iaitu: Orang-orang Yahudi dan
Nasrani atau antara sesama Yahudi atau sesama Nasrani.
38. Alangkah terangnya
pendengaran mereka dan alangkah tajamnya penglihatan mereka pada hari mereka
datang kepada Kami. Tetapi orang-orang yang zalim pada hari ini (di dunia)
berada dalam kesesatan yang nyata.
39. Dan berilah mereka
peringatan tentang hari penyesalan, (iaitu) ketika segala perkara telah
diputus. Dan mereka dalam kelalaian dan mereka tidak (pula) beriman.
40. Sesungguhnya Kami
mewarisi bumi[904] dan semua orang-orang yang ada di atasnya,
dan hanya kepada Kamilah mereka dikembalikan.
[904]. Mewarisi bumi maksudnya:
setelah alam semesta ini hancur semuanya, maka Allah-lah yang kekal.
KISAH
NABI IBRAHIM A.S. DENGAN BAPANYA
41. Ceritakanlah (Hai
Muhammad) kisah Ibrahim di dalam al Kitab (al Quran) ini. Sesungguhnya ia
adalah seorang yang sangat membenarkan[905] lagi seorang
Nabi.
[905]. Maksudnya: ialah Ibrahim a.s.
adalah seorang nabi yang amat cepat membenarkan semua hal yang ghaib yang
datang dari Allah.
42. Ingatlah ketika ia
berkata kepada bapanya; "Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang
tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun?
43. Wahai bapaku, sesungguhnya
telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu,
maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.
44. Wahai bapaku,
janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu durhaka kepada Tuhan
Yang Maha Pemurah.
45. Wahai bapaku,
sesungguhnya aku kuatir bahawa kamu akan ditimpa azab dari Tuhan Yang Maha
Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan."
46. Berkata bapanya:
"Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, hai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti,
maka nescaya kamu akan kurajam, dan tinggalkanlah aku buat waktu yang
lama."
47. Berkata Ibrahim:
"Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memintakan ampun bagimu
kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.
48. Dan aku akan menjauhkan
diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa
kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada
Tuhanku."
49. Maka ketika Ibrahim
sudah menjauhkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah,
Kami anugerahkan kepadanya Ishak, dan Yaaqub. Dan masing-masingnya Kami angkat
menjadi nabi.
50. Dan Kami anugerahkan
kepada mereka sebahagian dari rahmat Kami dan Kami jadikan mereka buah tutur
yang baik lagi tinggi.
KISAH
BEBERAPA NABI YANG LAIN
51. Dan ceritakanlah
(hai Muhammad kepada mereka), kisah Musa di dalam al Kitab (al Quran) ini.
Sesungguhnya ia adalah seorang yang dipilih dan seorang rasul dan nabi.
52. Dan Kami telah
memanggilnya dari sebelah kanan gunung Thur dan Kami telah mendekatkannya
kepada Kami di waktu dia munajat (kepada Kami).
53. Dan Kami telah
menganugerahkan kepadanya sebahagian rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun
menjadi seorang nabi.
54. Dan ceritakanlah
(hai Muhammad kepada mereka) kisah Ismail (yang tersebut) di dalam al Quran.
Sesungguhnya ia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang
rasul dan nabi.
55. Dan ia menyuruh
ahlinya[906] untuk bersolat dan menunaikan zakat, dan ia
adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya.
[906]. Sebahagian ahli tafsir
berpendapat bahawa yang dimaksud dengan ahlinya ialah umatnya.
56. Dan ceritakanlah
(hai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris (yang tersebut) di dalam al Quran.
Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi.
57. Dan Kami telah
mengangkatnya ke martabat yang tinggi.
58. Mereka itu adalah
orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi dari keturunan
Adam, dan dari orang-orang yang Kami angkat bersama Nuh, dan dari keturunan
Ibrahim dan Israil, dan dari orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan
telah Kami pilih. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada
mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.
59. Maka datanglah
sesudah mereka, pengganti (yang buruk) yang menyia-nyiakan solat dan
memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan,
60. kecuali orang yang
bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan
tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun,
61. iaitu syurga 'Adn
yang telah dijanjikan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah kepada hamba-hambaNya,
sekalipun (syurga itu) tidak nampak. Sesungguhnya janji Allah itu pasti akan
ditepati.
62. Mereka tidak
mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi
mereka rezekinya di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang.
63. Itulah syurga yang
akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.
64. Dan tidaklah kami
(Jibril) turun, kecuali dengan perintah Tuhanmu. KepunyaanNya-lah apa-apa yang
ada di hadapan kita, apa-apa yang ada di belakang kita dan apa-apa yang ada di
antara keduanya, dan tidaklah Tuhanmu lupa.
65. Tuhan (yang
menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka
sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadat kepada-Nya. Apakah kamu
mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?
AZAB
BAGI ORANG ORANG YANG MENENTANG PARA NABI DAN PAHALA BAGI ORANG-ORANG YANG
MENTAATINYA
66. Dan berkata manusia:
"Betulkah apabila aku telah mati, bahawa aku sungguh-sungguh akan
dibangkitkan menjadi hidup kembali?"
67. Dan tidakkah manusia
itu memikirkan bahawa sesungguhnya Kami telah menciptakannya dahulu, sedang ia
tidak ada sama sekali?
68. Demi Tuhanmu,
sesungguhnya akan Kami bangkitkan mereka bersama syaitan, kemudian akan Kami
datangkan mereka ke sekeliling Jahanam dengan berlutut.
69. Kemudian pasti akan
Kami tarik dari tiap-tiap golongan siapa di antara mereka yang sangat durhaka
kepada Tuhan Yang Maha Pemurah.
70. Dan kemudian Kami
sungguh lebih mengetahui orang-orang yang seharusnya dimasukkan ke dalam
neraka.
71. Dan tidak ada
seorangpun dari padamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu
adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.
72. Kemudian Kami akan
menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim
di dalam neraka dalam keadaan berlutut.
73. Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang terang (maksudnya), nescaya
orang-orang yang kafir berkata kepada orang-orang yang beriman: "Manakah
di antara kedua golongan (kafir dan mukmin) yang lebih baik tempat tinggalnya
dan lebih indah tempat pertemuan(nya)?"
74. Berapa banyak umat
yang telah Kami binasakan sebelum mereka[907], sedang mereka
adalah lebih bagus alat rumahtangganya dan lebih sedap di pandang mata.
[907]. Maksudnya: umat-umat yang
mengingkari Allah seperti kaum 'Aad dan Tsamud.
75. Katakanlah:
"Barangsiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah Tuhan yang Maha
Pemurah memperpanjang tempoh baginya[908]; sehingga apabila
mereka telah melihat apa yang diancamkan kepadanya, baik siksa mahupun kiamat,
maka mereka akan mengetahui siapa yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah
penolong-penolongnya."
[908]. Maksudnya: memanjangkan umur
dan membiarkan mereka hidup dalam kesenangan.
76. Dan Allah akan
menambah petunjuk kepada mereka yang telah mendapat petunjuk. Dan amal-amal soleh
yang kekal itu lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik
kesudahannya.
77. Maka apakah kamu
telah melihat orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami dan ia mengatakan:
"Pasti aku akan diberi harta dan anak."
78. Adakah ia melihat
yang ghaib atau ia telah membuat perjanjian di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah?
79. sekali-kali tidak,
Kami akan menulis apa yang ia katakan, dan benar-benar Kami akan memperpanjang
azab untuknya,
80. dan Kami akan
mewarisi apa yang ia katakan itu[909], dan ia akan datang
kepada Kami dengan seorang diri.
[909]. Maksudnya: Allah akan mengambil
kembali harta dan anak-anaknya sehingga ia menemui Tuhan seorang diri saja.
81. Dan mereka telah
mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi
pelindung bagi mereka,
82. sekali-kali tidak.
Kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan
(pengikut-pengikutnya) terhadapnya, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan
menjadi musuh bagi mereka.
83. Tidakkah kamu lihat,
bahawasanya Kami telah mengirim syaitan-syaitan itu kepada orang-orang kafir
untuk menghasung mereka berbuat maksiat dengan sungguh-sungguh?
84. maka janganlah kamu
tergesa-gesa memintakan siksa terhadap mereka, kerana sesungguhnya Kami hanya
menghitung datangnya (hari siksaan) untuk mereka dengan perhitungan yang
teliti.
85. (Ingatlah) hari
(ketika) Kami mengumpulkan orang-orang yang takwa kepada Tuhan Yang Maha
Pemurah sebagai perutusan yang terhormat,
86. dan Kami akan
menghalau orang-orang yang durhaka ke neraka Jahanam dalam keadaan dahaga.
87. Mereka tidak berhak
mendapat syafaat kecuali orang yang telah mengadakan perjanjian di sisi Tuhan
Yang Maha Pemurah[910].
[910]. Maksudnya: mengadakan
perjanjian dengan Allah ialah menjalankan segala perintah Allah dengan
beriman dan bertakwa kepadaNya.
KEPALSUAN
AJARAN BAHAWA TUHAN MEMPUNYAI ANAK
88. Dan mereka berkata:
"Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak."
89. Sesungguhnya kamu
telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar,
90. hampir-hampir langit
pecah kerana ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh,
91. kerana mereka mendakwakan
Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak.
92. Dan tidak layak bagi
Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.
93. Tidak ada seorangpun
di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah
selaku seorang hamba.
94. Sesungguhnya Allah
telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang
teliti.
95. Dan tiap-tiap mereka
akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri.
96. Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah[911]
akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang.
[911]. Dalam surah Maryam ini nama
Allah Ar Rahmaan banyak disebut, untuk memberi pengertian bahawa, Allah
memberi ampun tanpa perantara.
97. Maka sesungguhnya
telah Kami mudahkan al Quran itu dengan bahasamu, agar kamu dapat memberi kabar
gembira dengan al Quran itu kepada orang-orang yang bertakwa, dan agar kamu
memberi peringatan dengannya kepada kaum yang membangkang.
98. Dan berapa banyak
telah Kami binasakan umat-umat sebelum mereka. Adakah kamu melihat seorangpun
dari mereka atau kamu dengar suara mereka yang samar-samar?
Surah
Maryam mengemukakan hal-hal yang perlu diperhatikan oleh manusia apabila mereka
memikirkan kejadian-kejadian di alam semesta dalam hubungan dengan Penciptanya;
ada kejadian yang terjadi sesuai dengan sunnah Allah dan dapat difikirkan oleh
manusia; dan ada pula kejadian yang luar biasa, aneh lagi ajaib yang tidak
sampai fikiran manusia kepadanya. Kejadian-kejadian yang luar biasa ini terjadi
pada orang-orang yang telah dipilih oleh Allah, dan dikemukakan kepada manusia
agar mereka percaya kepada Allah Maha Pencipta.
HUBUNGAN SURAH MARYAM DENGAN SURAH THAAHAA
1. Surah Maryam mengemukakan kisah beberapa nabi dan rasul; ada yang secara terperinci, ada yang secara ringkas dan ada pula yang hanya disebut namanya saja, iaitu Nabi Adam a.s. Surat Thaahaa mengemukakan pula kisah beberapa orang nabi dan rasul sebagaimana halnya surah Maryam. Kisah Musa a.s. dalam surah Maryam disebut secara singkat, sedang dalam surah Thaahaa dikemukakan secara terperinci. Begitu pula kisah Adam a.s. yang hanya namanya saja disebut dalam surah Maryam, sedang dalam surah Thaahaa dikemukakan secara terperinci.
2. Menurut riwayat Ibnu Abbas, surah Thaahaa diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. setelah Allah menurunkan surah Maryam.
3. Akhir surah Maryam menerangkan bahawa al Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, sebagai kabar gembira bagi orang-orang yang takwa dan peringatan bagi orang-orang yang ingkar, sedang awal surah Thaahaa menerangkan dan menguatkannya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan