Jika ingin membina dunia yang lebih
aman, kembalilah ke rumah masing-masing dan sayangi keluarga kita. In Sya
Allah, apabila keluarga telah aman, masyarakat akan aman. Apabila masyarakat
aman, negeri dan seterusnya negara akan aman. Dan apabila negara-negara telah
aman, seluruh dunia akan aman. Oleh itu, apabila dunia semakin bergolak pada
saat ini, percayalah itu semua berpunca daripada pergolakan rumahtangga. Ribut
dalam cawan rumahtangga boleh mencetuskan badai di seantero dunia.
Perkara yang pertama dan utama dalam
hidup seorang lelaki bernama suami adalah keluarga. Tidak ada gunanya dia
berjaya di peringkat yang tinggi dan dalam bidang apa sahaja… sekiranya rumah
tangganya sendiri berantakan. Justeru, Allah telah awal-awal lagi mengingatkan
melalui firmanNya yang bermaksud,
“selamatkanlah dirimu dan keluargamu
daripada api neraka!”
Setiap lelaki pasti ditanya tentang
kepimpinanya. Dan kepimpinan yang pertama akan dipersoalkan di Hari Akhirat
nanti, bukan kepimpinan masyarakat, organisasi, jabatan, kabinet atau
negaranya… tetapi kepimpinan dalam keluarganya. Seorang wanita mudah masuk ke
dalam syurga walaupun tanpa suami bersamanya, tetapi seorang lelaki sangat
sukar masuk ke syurga tanpa isterinya. Seorang suami hanya layak ke syurga
apabila semua yang berkaitan isteri dan anggota keluarganya sudah dipersoalkan.
Oleh kerana itu tertib dalam usaha
membina kehidupan yang baik dimulakan dengan membaiki diri, kemudian membaiki
rumahtangga dan seterusnya pancarkanlah sinar dalam rumahtangga itu ke tengah
masyarakat. Bukankah sinar Islam itu pun bermula dari rumah Rasulullah saw? Nur
wahyu dari gua Hira’ terpancar ke dalam diri Rasulullah, kemudian menyinari
jiwa Khadijah dan kemudian dari situlah… bermulanya cahaya Islam ke dalam
masyarakat Arab di Mekah, seterusnya merebak ke Madinah dan akhirnya tersebar
ke seluruh semesta.
Justeru, sebelum kita mencari
pengiktirafan sebagai pengurus, pengarah, CEO, menteri, perdana menteri,
Presiden, raja dan sultan yang berjaya, carilah dahulu pengiktirafan dari dalam
rumahtangga sendiri. Jadilah suami yang berjaya. Tegasnya, kita belum
benar-benar diiktiraf sebagai seorang yang baik sekiranya belum menjadi suami
yang baik. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang paling baik? Dengarlah
jawapan dari Rasulullah saw ini:
“Orang yang paling baik di antara kamu
adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang
paling baik di antara kamu terhadap keluargaku.”
Mari sejenak kita layangkan fikiran dan
terbangkan rasa menjelajah rumahtangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana
manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat
besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam
baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan
hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.
Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat
malam malah menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat
acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan
bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang
sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu
dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu.
Apabila baginda bertanya kepada
isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya
menjawab tidak ada… Baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu
baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezeki untuk
dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar.
Sejarah menceritakan juga bagaimana
baginda sendiri menjahit bajunya yang koyak dan menampal kasutnya yang bocor.
Walaupun dia insan yang paling agung dan mulia, tetapi sentiasa sedia turun ke
bawah membuat kerja-kerja yang dianggap remeh dan kecil oleh lelaki-lelaki lain
yang kononnya lebih hebat dan unggul. Mereka terlupa bahawa pemimpin yang hebat
ialah mereka yang rela membuat kerja-kerja kecil tetapi dengan jiwa yang besar.
Dan Rasulullah telah membuktikan hakikat itu!
Bayangkan baginda yang sering menangis,
bimbang dan takut akan nasib umatnya di akhirat tetapi masih punya masa untuk
bergurau senda dengan isteri-isterinya. Bukan sekali baginda berlumba lari
dengan isterinya hinggakan Aisyah berkata, “Adakalanya baginda menang,
adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang
masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya
wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam
hidup-hidup.
Sikap ‘gentleman’ dan romantik baginda
bukan sahaja pada Aisyah yang jelita tetapi juga pada Saudah, seorang janda
yang telah dinikahi oleh baginda ketika telah berusia. Oleh kerana Saudah telah
tua dan kurang berdaya dan badannya yang besar, baginda sering melipatkan
lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta.
Sebagai perbandingan, ramai daripada para suami kini yang membuka pintu
kereta untuk isterinya?
Sekiranya terbayang juga kebimbangan
pada raut wajahnya ketika masuk ke rumah isterinya, baginda akan menjawab jika
isterinya bertanya kenapa? Ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah dimetrai dan
para sahabat begitu sedih sehinggakan tidak sedar akan perintah Rasulullah
supaya bercukur dan menyembelih binatang, Ummu Salamah mendengar kebimbangan
baginda itu lalu mencadangkan agar Rasulullah saw dahulu yang bercukur dan
menyembelih korban…
Mata baginda bersinar atas cadangan dan
pandangan isterinya lantas keluar semula lalu bercukur dan menyembelih kambing
tanpa berkata sepatahpun kepada sahabat-sahabatnya. Baginda ‘bercakap’ dengan
sikap seperti yang dicadangkan oleh Ummu Salamah. Dan melihat perbuatan baginda
itu, para sahabat tersentak, tersedar lalu turut bercukur dan menyembelih
binatang.
Bayangkan betapa besarnya jiwa baginda
tetapi masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika benar dan
betul, baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Tetapi jika batil dan
salah, baginda tidak akan mengalah atau berundur walaupun selangkah.
Pernah baginda dihadiahkan seekor
kambing untuk dimakan bersama keluarga. Baginda meminta Aisyah agar memberikan
daging-daging kambing kepada orang yang lebih memerlukan. Aisyah dengan segera
menunaikan perintah baginda… Cuma ditinggalkan sedikit yakni bahagian kaki
untuk Rasulullah saw. Ya, Rasulullullah gemar memakan kambing terutama bahagian
kakinya dan itulah yang dititip oleh Aisyah untuk suaminya tersayang.
Apabila tiba waktu makan, Rasulullah
bertanya apakah daging-daging kambing itu telah diberikan kepada fakir miskin?
Lantas Aisyah menjawab sudah kecuali bahagian kaki yang dimasak untuk baginda.
Baginda tersenyum gembira, namun masih sempat mengingatkan isterinya dengan
kenyataan yang penuh tarbiah dan hikmah, bahawa semua bahagian kambing
itu menjadi hak mereka di akhirat kecuali bahagian kaki itu!
Di rumah baginda sentiasa tersenyum,
ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan
berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya
lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama
dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon,
jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan
paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani
yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati.
Banyak kali baginda mengingatkan, agar
suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main
dengan isteri. Baginda bersabda:
“Bermain-main itu boleh dalam tiga hal.
Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu.”
Biasa baginda mencium isterinya, ketika
hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan
hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang
penuh kasih, kasihan dan sayang.
Baginda adalah suami yang ‘sporting’.
Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah di
mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang,
sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang
melihat keadaaan itu membentak kedua wanita tersebut, lalu Rasulullah
menampakkan wajahnya seraya berkata,
“Hai Abu Bakar, biarkanlah mereka,
sekarang adalah Hari Raya.”
Baginda minum daripada gelas yang sama
dengan isterinya. Bahkan baginda mencecahkan bibirnya pada tempat di mana
betul-betul bibir isterinya minum. Bahkan pada saat-saat akhir pemergiannya pun
baginda meminta Siti Aisyah melembutkan kayu sugi dengan menggigitnya dan
kemudian baginda minta disugikan dengan kayu sugi tersebut. Hinggakan kerana
itu Aisyah menyatakan air liurnya dan air liur baginda bertemu sehingga saat
akhir menuju kewafatannya.
Apabila baginda berada di bulan Ramadan,
sentiasa baginda akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi
kasih sayang terhadap isteri, baginda akan mengejutkan mereka untuk sama-sama
memburu kecintaan Allah. Tidak digerakkan isterinya dengan gerakan yang
kasar ataupun lengkingan suara yang tinggi, tetapi cuma disentuh dengan penuh
kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.
Jika kita ingin menjadi suami…
Contohilah seorang suami yang bergelar Rasulullah – utusan Allah yang
membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan itu bukan hanya soal hidup
bersama tetapi ‘cinta bersama’ buat selama-lamanya.
Masyhurlah kemudiannya kata-kata “marriage is loving-together, not just
living together” namun Nabi Muhammadlah suami yang membuktikan
hakikat itu dalam kehidupan berumahtangganya lebih 1400 tahun yang
lalu.Teladanilah seorang suami bernama Muhammad s.a.w
Tiada ulasan:
Catat Ulasan