Suatu hari RASULULLAH SAW
sedang tawaf di Kaabah, baginda mendengar seseorang di hadapannya bertawaf
sambil berzikir: “Ya Karim! Ya Karim!”
RASULULLAH SAW meniru
zikirnya “Ya Karim! Ya Karim!”
Orang itu berhenti di satu
sudut Kaabah dan menyebutnya lagi “Ya Karim! Ya Karim!” RASULULLAH SAW yang
berada di belakangnya menyebutnya lagi “Ya Karim! Ya Karim!”
Orang itu berasa dirinya
diperolok-olokkan, lalu menoleh ke belakang dan dilihatnya seorang lelaki yang
sangat tampan dan gagah yang belum pernah dilihatnya.
Orang itu berkata, “Wahai
orang tampan, apakah engkau sengaja mengejek-ngejekku, kerana aku ini Orang Badwi?
Kalaulah bukan kerana ketampanan dan kegagahanmu akan kulaporkan kepada
kekasihku, MUHAMMAD RASULULLAH.”
Mendengar kata-kata Orang Badwi itu, RASULULLAH SAW
tersenyum lalu berkata: “Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?”
“Belum,” jawab orang itu.
“Jadi bagaimana kamu
beriman kepadanya?” tanya RASULULLAH SAW.
“Saya percaya dengan mantap
atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan
perutusannya walaupun saya belum pernah bertemu dengannya,” jawab orang Arab Badwi
itu.
RASULULLAH SAW pun berkata
kepadanya: “Wahai orang Arab, ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan
penolongmu nanti di akhirat.”
Melihat Nabi di hadapannya,
dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya lalu berkata, “Tuan ini
NABI MUHAMMAD?” “Ya,” jawab NABI MUHAMMAD SAW.
Dengan segera orang itu
tunduk dan mencium kedua kaki RASULULLAH SAW.
Melihat hal itu RASULULLAH
SAW menarik tubuh orang Arab Badwi itu seraya berkata, “Wahai orang Arab,
janganlah berbuat seperti itu. Perbuatan seperti itu biasanya dilakukan oleh
seorang hamba sahaya kepada tuannya. Ketahuilah, ALLAH mengutus aku bukan untuk
menjadi seorang yang takbur, yang minta dihormati atau diagungkan, tetapi demi
membawa berita gembira bagi orang yang beriman dan membawa berita menakutkan
bagi yang mengingkarinya.”
Ketika itulah turun
Malaikat Jibril untuk membawa berita dari langit, lalu berkata, “Ya MUHAMMAD,
Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: “Katakan kepada orang
Arab itu, agar tidak terpesona dengan belas kasih ALLAH. Ketahuilah bahawa
ALLAH akan menghisabnya di Hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya,
baik yang kecil mahupun yang besar.”
Setelah menyampaikan berita
itu, Jibril kemudian pergi. Orang Arab itu pula berkata, “Demi keagungan serta
kemuliaan ALLAH, jika ALLAH akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka
hambapun akan membuat perhitungan denganNya.”
Orang Arab Badwi berkata
lagi, “Jika ALLAH akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan
memperhitungkan betapa kebesaran magfirahNya. Jika Dia memperhitungkan
kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa luasnya
pengampunanNya. Jika Dia memperhitungkan kebakhilan hamba, maka hamba akan
memperhitungkan pula betapa dermawanNya.”
Mendengar ucapan orang Arab
Badwi itu, maka RASULULLAH SAW pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata
orang Arab Badwi itu sehingga air mata meleleh membasahi janggutnya.
Lantaran itu Malaikat
Jibril turun lagi seraya berkata, “Ya MUHAMMAD, Tuhan As-Salam menyampaikan
salam kepadamu dan berfirman: “Berhentilah engkau daripada menangis, sesungguhnya
kerana tangisanmu, penjaga Arasy lupa bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga ia
bergoncang. Sekarang katakan kepada temanmu itu, bahawa ALLAH tidak akan
menghisab dirinya, juga tidak akan menghitung kemaksiatannya. ALLAH sudah
mengampunkan semua kesalahannya dan akan menjadi temanmu di syurga nanti.”
Betapa sukanya orang Arab Badwi
itu, apabila mendengar berita itu dan menangis kerana tidak berdaya menahan
rasa terharu.
Rujukan :
http://kisahislami.com/saat-penjaga-arasy-lupa-dengan-bacaan-tasbih-dan-tahmidnya/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan