AL MAJID ( المجيد )
ALLAH Yaa Majid yang Maha Mulia
memuliakan hamba pilihanNYA sehingga DIA mampu mengkayakan seorang hamba tanpa
harta, dicukupkan segala keperluan tanpa usaha dan dimuliakan tanpa susah
payah. Sebaliknya DIA juga mampu menimpakan musibah secara mendadak. Disebabkan
kemuliaan itu hak ALLAH Yaaa Majid, manusia tidak boleh berbangga apabila
dipuji kerana segala sifat baik dan terpuji itu adalah sifat ALLAH Yaa Majid.
Penghayatan kepada sifat Al Majid ialah
dengan mempamerkan sifat dan budi pekerti mulia, suka menolong, prihatin dan
mudah memaafkan.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Majiid, sesungguhnya Engkau
Maha Memberi Kemuliaan, Engkau memuliakan hambaMu dengan memberi pelbagai
kurniaan harta, pangkat, gelaran dan Engkau muliakan hamba-hambaMu dengan memberi
sifat-sifat mulia, sifat kebaikan, suka menziarah, suka menderma, suka
membimbing, suka membuka kesulitan manusia lain. Yaa Majid, seringkali
kemuliaan di Akhirat itu Engkau kurniakan melalui kehinaan dan cemuhan dari
manusia di dunia ini.
Sesungguhnya hamba-hamba yang Engkau
pilih untuk menyampaikan kebenaran dan mencegah kemungkaran, akan dimusuhi oleh
syaitan jin dan syaitan manusia. Namun, itulah jalan para nabi, para rasul,
syuhada, solihin dan siddiqin. Yaa Allah Yaa Majid Yaa Karim Yaa Dzal Jalaali
Wal Ikram, kurniakan kami kemuliaan di dunia, di alam barzah dan alam akhirat.
Bangkitkan kami di akhirat nanti bersama golongan yang mulia dari kalangan para
Nabi, para Rasul, Syuhada', Solihin dan siddiqin. Yaa Majid, muliakan kami di
dunia ini dengan membuka jalan mereka yang dimuliakan olehMu Yaa Majid bagi
kami mengikut jejak langkah mereka, bangkit di pagi-pagi hari menangis sujud
kepadaMu menginsaf diri sebagai hamba dan khadamMu yang dhaif lagi lemah, dan
di siang hari berlari secepat kuda perang untuk perjuangan agamaMu.
Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin, kurniakan kami jiwa yang
perkasa, kuat dan teguh untuk berada di atas jalan kemuliaanMu ini, Yaa ‘Alim Yaa
Hakim Yaa Rashid kurniakan kami kebijaksanaan untuk kami melaksanakan tugas
mulia ini. Yaa Baaqi' Yaa Majid, kekalkan kami dalam kemuliaanMu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan