السلام عليكم
Sebelum
masuknya waktu Maghrib, ingin saya kongsi bersama kisah Malaikat Jibrail yang
dipetik dari satu blog untuk renungan kita bersama
selaku umat akhir zaman. In Sya Allah.
Telah
bersabda Rasulullah S.A.W bahawa,
“Sesungguhnya Allah telah menciptakan malaikat Jibrail dengan
bentuk yang sangat elok. Jibrail mempunyai 124,000 sayap dan di antara
sayap-sayap itu terdapat dua sayap yang berwarna hijau seperti sayap burung
merak, sayap itu antara timur dan barat. Jika Jibrail menebarkan hanya satu
daripada beberapa sayap yang dimilikinya, maka ia sudah cukup untuk menutup
dunia ini.”
Setelah
memandang dirinya yang nampak begitu indah dan sempurna, maka malaikat Jibrail
pun berkata kepada Allah, “Wahai Rabbku, apakah Engkau menciptakan makhluk lain
yang lebih baik daripada aku?” Kemudian Allah pun menjawab pertanyaan malaikat
Jibrail, “Tidak.” Mendengar jawapan Allah, maka malaikat Jibrail pun berdiri
dan melakukan solat dua rakaat untuk bersyukur kepada Allah. Pada setiap rakaat
solat yang dikerjakan oleh malaikat Jibrail, dia menghabiskan masa selama
20,000 tahun lamanya.
Setelah
malaikat Jibrail selesai melaksanakan solatnya, kemudian Allah pun berfirman
kepadanya, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang
bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah
yang kamu lakukan, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi
yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang
lemah dan sentiasa berdosa.
Seandainya
mereka mengerjakan solat dua rakaat walau hanya sebentar dan dalam keadaan lupa
serta serba kurang, dengan fikiran yang melayang-layang dan dosa mereka pun
besar, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu
lebih Aku sukai daripada solatmu. Hal tersebut kerana mereka telah mengerjakan
solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu.”
Setelah
mendengar hal tersebut, Jibrail pun kembali bertanya kepada Allah, “Ya Rabbku,
apakah yang Engkau berikan kepada mereka sebagai ganjaran atas ibadah mereka
kepadaMu?” Maka Allah berfirman yang ertinya, “Ya Jibrail, akan Aku berikan
syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal mereka.” Malaikat Jibril kemudian meminta
izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa tersebut.
Setelah
Allah memberikan izin kepadanya, maka malaikat Jibrail pun mengembangkan sayapnya
dan terbang menuju syurga Ma’waa. Satu hayunan sayap malaikat Jibrail adalah
sama dengan jarak perjalanan selama 3000 tahun. Maka terbanglah malaikat
Jibrail selama beberapa lama perjalanan, malaikat Jibrail akhirnya kepenatan
dan turun untuk singgah dan berteduh di bawah sebuah pohon. Di sana ia bersujud
kepada Allah lalu berkata, “Ya Rabbku, apakah aku telah menempuh setengah atau
sepertiga atau seperempat dari perjalanan menuju ke syurga Ma’waa?”
Maka
Allah pun berfirman, “Wahai Jibrail, meskipun kamu mampu terbang selama 3000
tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang
engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu
tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa puluhan yang telah kuberikan
kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.”
Sabda
Rasulullah saw, “Sebelah kanan sayap Jibrail terdapat gambar syurga berserta
dengan segala isinya termasuk bidadari-bidadari, istana, pelayan dan sebagainya
manakala sayapnya yang sebelah kiri terdapat gambar neraka dan segala isinya
yang terdiri daripada beberapa macam ular yang cukup bisa, kala jengking dan
neraka yang bertingkat-tingkat serta penjaganya yang terdiri daripada malaikat
yang garang dan ganas yakni malaikat Zabaniyah.”
Kata
Rasulullah saw lagi, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan
masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang kecil pada badan manusia
kemudian mereka akan menarik rohnya dari kedua telapak kaki hingga lutut dan
mereka pun keluar. Setelah itu datang lagi sekumpulan malaikat masuk menarik
roh dari lutut ke perut. Begitulah seterusnya dari perut ke dada dan dada ke
kerongkongnya. Itu saat nazak seseorang.”
“Kalau
orang yang nazak itu orang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan
sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang itu dapat melihat kedudukannya di
syurga sehingga terlupa orang-orang di sekelilingnya. Jika orang yang nazak itu
orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap sebelah kiri untuk
menunjukkan tempatnya di neraka sehingga ia menjadi sangat takut serta lupa
kepada keluarganya,” kata Rasulullah.
Kita
sebagai umat Islam mesti mengakui kebenaran
ini dan ia adalah sama seperti kita beriman kepada perkara ghaib. Tidaklah
mustahil bagi Allah untuk menciptakan segala sesuatu kerana Dia maha pencipta.
Cukuplah sekadar kita melihat langit yang tidak bertiang, bukankah ia perkara
mustahil bagi manusia untuk membuatnya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan