Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 1 Oktober 2012

1 76 Bertafakur Dapat mengatasi Masalah Keras Hati

SUNGGUH, manusia amat memerlukan ruang dan waktu untuk dirinya bertafakur; menenggelamkan hati dan jiwanya ke alam yang jauh dari unsur keserabutan duniawi. Tekanan dihadapi setiap hari boleh menyebabkan hati manusia menjadi kasar dan bengis sehingga dirinya kehilangan ‘sentuhan manusiawi’. Apabila orang lain berasa tidak seronok dengan ‘ganasnya hati dan tingkah laku kita’, maka sebenarnya kita berada dalam keadaan iman yang mencorot pada peringkat terendah dalam cartanya.

Apabila hati menjadi keras ia boleh mempengaruhi amal perbuatan yang dilakukan. Orang akan berasa ketajaman lidahnya apabila si keras hati bercakap, unsur maki hamun, menuduh tanpa fakta benar, mencaci dan merendah-rendahkan musuhnya semata-mata hendak menunjukkan kekuatan egoisme sendiri.

Dia sentiasa berada dalam keadaan tegang kerana konflik yang diciptakannya dengan orang lain. Jika bermuamalah – menzalimi; kalau berniaga – suka menipu; jika bersahabat – cari peluang berkhianat; apabila kuat – menindas orang lemah; hidupnya untuk memanipulasi orang lain demi kepentingan sendiri.

Betapa kerasnya hati orang yang tidak mahu mengakui kebenaran dan hidup di dalam kepura-puraan. Solatnya tegak bersama kaum Muslimin, namun selepas habis ibadatnya itu, ia kembali menyakiti orang di sekelilingnya. Puasanya panjang setiap Ramadan, namun sungguh sayang puasanya itu menyebabkan hatinya semakin berlagak suci dan bersih dari dosa.

Haji dan umrahnya setiap tahun berulang, tetapi rezeki yang dibawa ke tanah suci itu hasil penindasan dan kezaliman atau kerana sikap kedekut dan bakhil terhadap si miskin dan sanak saudaranya. Apakah orang seperti ini merasai kenikmatan ketika ia beribadah?

Tanda kekerasan hati sesungguhnya boleh difahami menerusi tafakur yang mendalam terhadap keperibadian kita sebenar. Tidak dinafikan juga khidmat nasihat orang lain yang mahu memberi komen yang ikhlas walaupun pahit untuk didengar. Tetapi, jarang manusia mengamalkan dua petua itu, tafakur dan dengar nasihat. Padahal kedua-duanya sama penting untuk mematangkan iman seseorang.

Di dalam tafakur kita hanya memikirkan hubungan kita dengan Allah swt. Orang bertafakur cuba menjawab persoalan menyentuh jiwa kemanusiaannya. Seperti hendak menilai ‘siapakah aku’ di sisi Allah swt dan di tengah-tengah umat manusia?
Siapakah diri yang berada pada jasadku ini?

Seorang wanita pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah: “Mengapa hatiku keras dan jiwaku tidak tenang?” Aisyah berkata: “Perbanyaklah mengingati mati, ia boleh melembutkan hati.”
Ubat bagi kekerasan hati adalah membuang setiap ego dan kekuatan yang dimiliki dan sentiasa ingat kepada kemusnahan dan kelemahan diri di hadapan Tuhan Yang Maha Kuasa.

Orang yang keras hati berasa dirinya tidak perlukan orang lain, hartanya boleh menjamin kebahagiaan, pangkat membuatnya rasa aman dan selamat. Sehingga ia tidak berasa takut menzalimi dan menindas sesiapa saja yang tidak penting bagi dirinya. Tetapi, dia lupa ada yang lebih kuat dan berkuasa daripada harta dan pangkatnya itu, tidak ingatkah ia kepada Tuhannya? Yang memberi segala-gala kepada dirinya dan akan mengambil kembali semuanya itu?
Firman Allah swt mengingatkan kita mengenai ‘kuasa hebatNya’:

“Wahai Tuhan Yang memiliki kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. DitanganMu segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
(Surah Ali Imran ayat: 26)

Ayat ini boleh membantu melembutkan hati ketika kita bertafakur. Ia mengandungi mesej begitu mendalam – kelemahan kita dan kekuatan Allah swt. Ia mengingatkan kita bahawa kebahagiaan itu hanya dapat dirasai nikmatnya dengan mengakui kelemahan diri di hadapan Allah swt sambil berbuat kebaikan di tengah-tengah umat manusia. Kekerasan hati boleh membunuh iman secara perlahan-lahan.

Tanda awalnya boleh dirasa, iaitu ketika manusia berasa kuat dan hebat hingga menolak yang hak dan suka mengikut yang batil. Kemudian taat pada perintah nafsu dan gelojoh memuaskan keinginannya, jauh dari ilmu dan cahaya iman, lupakan akhirat dan akhirnya lari daripada Allah swt bahkan berlagak hebat melebihi kekuasaan Tuhan.

Allah swt mengingatkan mereka yang memiliki hati sekeras batu menerusi firmanNYA:

“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu itu sungguh ada yang mengalir sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Baqarah ayat: 74)

Sedangkan batu boleh pecah terbelah kerana takut kepada Allah swt di samping itu daripadanya manusia mendapat manfaat. Mengapa si keras hati tidak memikirkan tanda kebesaran Allah swt supaya hatinya lembut dan tunduk? Hati yang keras dapat diubati dengan tafakur menilai diri sambil mengingati Allah swt. Tidak cukup setakat itu saja, bahkan kita juga memerlukan tunjuk ajar dan nasihat orang lain untuk menyelongkar ke dasar hati siapakah diri kita sebenarnya menurut perspektif insan di sekeliling kita.

Rujukan :
http://bliss-infinity.blogspot.com/2009/10/bertafakur-atasi-masalah-keras-hati.html




Tiada ulasan:

Catat Ulasan