Allah
Taala berfirman:
Yang
bermaksud : "Maka berikanlah berita gembira kepada
hamba-hambaKu yang suka mendengarkan ucapan, lalu mengikuti mana yang
sebaik-baiknya."
(az-Zumar:
17-18)
Allah
Taala berfirman lagi:
Yang
bermaksud : "Tuhan mereka memberikan kegembiraan kepada
mereka yakni orang-orang yang beriman dan berjihad dengan memperoleh
kerahmatan, keredhaan dan syurga daripadaNya; di dalam syurga itu mereka
mendapatkan kenikmatan yang abadi."
(at-Taubah:
21)
Juga
Allah Taala berfirman:
Yang
bermaksud : "Bergembiralah engkau semua hai orang-orang
yang bertuhankan Allah dan berpendirian teguh dengan memperoleh syurga yang
telah dijanjikan kepadamu semua."
(Fushshilat:
30)
Allah
Taala berfirman pula:
Yang
bermaksud : "Kami memberikan berita gembira padanya iaitu
Ibrahim bahawa ia akan memperoleh anak yang berhati sabar."
(as-Shaffat:
101)
Allah
Taala juga berfirman:
Yang
bermaksud : "Nescayalah benar-benar telah datanglah
utusan-utusan Kami kepada Ibrahim dengan membawa berita gembira."
(Hud: 69)
Lagi
Allah Taala berfirman:
Yang
bermaksud : "Dan isterinya yakni Ibrahim berdiri dengan
tersenyum, lalu Kami sampaikan kepadanya berita gembira dengan kelahiran Ishaq
dan sesudah Ishaq lahir pulalah Ya'qub."
(Hud: 71)
Allah
Taala berfirman pula:
Yang
bermaksud : "Kemudian malaikat memanggilnya yakni Zakaria
dan di waktu itu ia sedang berdiri melakukan solat di Mihrab bahawa Allah
memberikan berita gembira kepadamu dengan kelahiran Yahya."
(Ali-lmran:
39)
Allah
Taala berfirman lagi:
Yang
bermaksud : "Ketika malaikat berkata: "Hai Mariam,
sesungguhnya Allah memberikan berita gembira padamu dengan kalimat dari Tuhan,
iaitu kelahiran anak bernama al-Masih Isa anak Mariam sampai habisnya ayat.
(ali-lmran:
45)
Ayat-ayat
dalam bab ini banyak sekali dan dapat dimaklumi. Adapun Hadis-hadisnya maka
banyak sekali dan semuanya itu termasyhur dalam kitab Hadis shahih, di
antaranya ialah:
706. Dari
Abu Ibrahim, dikatakan pula bahawa namanya ialah Abu Muhammad dan ada yang
mengatakan Abu Mu'awiyah iaitu Abdullah bin Aufa radhiallahu 'anhuma bahawasanya
Rasulullah memberikan berita gembira kepada Khadijah isterinya dengan
memperoleh sebuah rumah di dalam syurga yang terbuat dari mutiara berlubang. Di
situ tidak ada teriakan apapun dan tidak pula ada kelelahan.
(Muttafaq
'alaih)
Al-Qashab di sini ertinya ialah mutiara
berlubang; as-Shakhab ertinya teriakan dan jeritan; an-Nashab iaitu
kelelahan.
707. Daripada
Abu Musa al-Asy'ari r.a. bahawasanya ia berwuduk di rumahnya kemudian keluar
lalu berkata:
Yang
bermaksud : "Nescayalah saya akan menetap bersama
Rasulullah s.a.w. dan selalu berada di sisinya pada hari ini." la
mendatangi masjid, lalu menanyakan perihal Nabi s.a.w. Orang-orang sama
berkata: "Beliau menuju ke sana." Abu Musa berkata: "Saya lalu
keluar mengikuti jejaknya sambil menanyakan perihal beliau, sehingga masuklah
beliau ke perigi atau sumur Aris. Saya duduk di sisi pintu sehingga Rasulullah
s.a.w. menyelesaikan hajatnya dan berwuduk. Selanjutnya saya berdiri menuju ke
tempatnya, beliau di saat itu sudah duduk di atas perigi Aris dan berada di
tengah-tengah dinding perigi tersebut. Beliau membuka kedua betisnya dan
melemberehkan keduanya itu di perigi. Saya lalu memberikan salam padanya,
kemudian saya kembali terus duduk di sisi pintu. Saya berkata:
"Benar-benar saya akan menjadi juru penjaga pintu Rasulullah s.a.w. pada
hari ini." Kemudian datanglah Abu Bakar r.a. lalu menolakkan pintu. Saya
bertanya: "Siapakah ini?" la menjawab: "Abu Bakar". Saya
berkata: "Tunggu sebentar." Sayapun pergilah lalu berkata: "Ya
Rasulullah. Ini Abu Bakar datang meminta izin". Beliau s.a.w. menjawab:
"Izinkan ia dan sampaikanlah berita gembira padanya bahawa ia akan
memperoleh syurga." Saya menghadap kembali sehingga saya berkata kepada
Abu Bakar: "Masuklah dan Rasulullah memberikan berita gembira pada anda
bahawa anda akan memperoleh syurga". Abu Bakar lalu masuk, sehingga
duduklah ia di sebelah kanan Nabi s.a.w. yakni berjajar dengannya di dinding
perigi dan melemberehkan kedua kakinya di perigi itu. Saya telah meninggalkan
saudaraku iaitu Abu Burdah berwuduk lalu menyusulku lagi. Saya berkata:
"Jikalau Allah itu menghendaki kebaikan pada seseorang(yang dimaksudkan
ialah saudaranya itu), maka Allah mendatangkannya untuk dapat hadir di tempat
Nabi s.a.w. Tiba-tiba ada orang lain lagi yang menggerak-gerakkan pintu. Saya
bertanya: "Siapakah ini?" la menjawab: "Umar bin
al-Khaththab". Saya berkata: "Tunggu sebentar," lalu saya
mendatangi Rasulullah s.a.w., memberikan salam padanya dan saya berkata:
"Ini Umar datang meminta izin." Beliau s.a.w. bersabda: "Izinkanlah
ia dan sampaikanlah berita gembira bahawa ia memperoleh syurga." Kemudian
saya mendatangi Umar lalu berkata: "Rasulullah s.a.w. mengizinkan.
Masuklah dan Rasulullah s.a.w. menyampaikan berita gembira pada anda bahawa
anda memperoleh syurga." Umar masuk lalu duduk bersama Rasulullah s.a.w.
di dinding perigi di sebelah kirinya dan melemberehkan pula kedua kakinya di
perigi tadi. Seterusnya saja kembali lagi lalu duduk dan berkata: "Jikalau
Allah menghendaki kebaikan pada seseorang yang dimaksudkan ialah
saudaranya itu, maka Allah mendatangkannya untuk dapat hadir di tempat Nabi
s.a.w. Seterusnya datang pula seorang lagi lalu menggerak-gerakkan pintu, saya
berkata: "Siapakah ini?" la menjawab: "Usman bin Affan."
Saya berkata: "Tunggu sebentar." Saya mendatangi Nabi s.a.w. lagi dan
memberitahukan padanya kedatangan Usman. Beliau s.a.w. lalu bersabda:
"Izinkanlah ia dan sampaikanlah berita gembira padanya bahawa ia akan
memperoleh syurga dengan mendapatkan beberapa bencana yang akan mengenai
dirinya." Saya datang lalu berkata: "Masuklah dan Rasulullah s.a.w.
menyampaikan berita gembira pada anda bahawa anda akan memperoleh syurga dengan
adanya beberapa bencana yang akan mengenai anda." Usman masuklah dan
didapatinya bahawa dinding perigi telah penuh. Maka dari itu ia duduk menghadap
mereka yang datang dulu itu di tepi yang sebelah lainnya." Said bin
al-Musayab berkata: "Kemudian saya mentakwilkan sedemikian itu akan
makam-makam mereka yakni bahawa Rasulullah s.a.w. beserta kedua sahabatnya
yakni Abu Bakar dan Umar radhiallahu 'anhuma menjadi satu dalam sebuah tempat
iaitu di bilik Sayyidah Aisyah radhiallahu 'anha."
(Muttafaq
'alaih)
Dalam
sebuah riwayat lain ditambahkan;
"Rasulullah
menyuruh saya(Abu Musa al-Asy'ari) untuk menjaga pintu." Juga dalam Hadis
ini disebutkan bahawasanya Usman ketika diberitahu kabar bahawa ia akan
memperoleh syurga, ia lalu mengucapkan puji-pujian kepada Allah Taala kemudian
berkata: "Allah yang dimohoni pertolongan," sebab ia tahu akan
memperoleh bencana di belakang hari nanti.
708. Daripada
Abu Hurairah ra, katanya:
Yang
bermaksud : "Kita semua duduk-duduk di sekitar Rasulullah
s.a.w., beserta kita ada pula Abu Bakar dan Umar radhiallahu 'anhuma yakni
dalam sekelompok sahabat. Kemudian Rasulullah s.a.w. berdiri dari hadapan kita
lalu lambat benar kembalinya pada kita itu. Kita semua takut kalau-kalau
mendapatkan suatu bencana tanpa sepengetahuan kita. Kitapun mulai takut lalu
kita semua berdiri untuk mencarinya. Sayalah pertama-tama orang yang merasa
takut itu. Saya keluar mencari Rasulullah s.a.w. sehingga datanglah saya di
suatu dinding pagar milik Bani Najjar. Saya berkeliling di sekitar dinding
tadi, barangkali saya boleh mendapatkan pintunya, tetapi tidak saya temukan.
Tiba-tiba di situ tampaklah suatu rabi' yang masuk ke tengah dari perigi yang
ada di luar (rabi' ialah selokan atau aliran air kecil). Sayapun lalu menggali
tanah kemudian masuk menemui Rasulullah s.a.w. Beliau s.a.w. bersabda:
"Abu Hurairah?" Saya berkata: "Ya, benar hai Rasulullah."
Beliau bertanya: "Ada apakah engkau ini?" Saya berkata: "Tadi
Tuan berada di muka kita semua, lalu Tuan berdiri, kemudian Tuan amat lambat
datang kembali pada kita. Kita takut kalau-kalau Tuan mendapat sesuatu bencana
tanpa sepengetahuan kita. Sayalah pertama-tama orang yang merasa ketakutan itu.
Kerana itu saya mendatangi dinding ini lalu saya menggali tanah sebagaimana
musang menggalinya. Orang-orang itu semua ada di belakang saya." Beliau
s.a.w. lalu bersabda: "Hai Abu Hurairah," dan beliau memberikan dua
buah terumpahnya, lalu bersabda lagi: "Pergilah dengan dua buah terumpahku
ini. Maka barangsiapa yang engkau temui dari balik dinding ini yang menyaksikan
bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dengan hati yang meyakinkan benar-benar akan
hai itu, hendaklah engkau berikan berita gembira padanya bahawa orang tersebut
akan memperoleh syurga."
Selanjutnya Abu Hurairah menyebutkan Hadis ini selengkapnya yang
panjang.
(Riwayat
Muslim)
Ar-Rabi' ialah sungai kecil iaitu
selokan(jadwal) dengan menggunakan fathahnya jim, sebagaimana yang ditafsirkan
dalam Hadis.
Ucapan
Abu Hurairah r.a.: Ihtafartu, diriwayatkan dengan ra' dan
dengan zai. Kalau dengan zai maknanya ialah saya menyusutkan
diri dan saya mengecil sehingga dapatlah saya masuk ke dalam.
709. Daripada
Abu Syumasah, katanya:
Yang
bermaksud : "Kita mendatangi 'Amr bin al-'Ash r.a. dan ia
sedang dalam keadaan dihadiri oleh kematian yakni tidak lama lagi akan
meninggal dunia. la menangis panjang yakni lama sekali. Anaknya berkata:
"Hai ayahku, bukankah Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan berita gembira
kepada anda, demikian. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan berita
gembira kepada anda, demikian." 'Amr lalu menghadapkan muka kepada anaknya
itu, kemudian berkata: "Sesungguhnya seutama-utama apa yang kami sediakan
untuk pulang kembali ke alam akhirat ialah bersyahadat bahawasanya tiada Tuhan
melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah. Sesungguhnya
saya ini telah mengalami tiga tingkat. Dahulu sekali saya telah melihat diriku
sendiri iaitu bahawa tiada seorangpun yang paling saya benci melebihi kebencian
saya kepada Rasulullah s.a.w. dan tiada sesuatu yang lebih saya inginkan
daripada sekiranya saya dapat menguasai beliau s.a.w. lalu saya membunuhnya.
Maka andai kata saya mati dalam keadaan sedemikian itu, nescayalah saya
termasuk golongan ahli neraka. Selanjutnya setelah Allah menetapkan Agama Islam
dalam hatiku, maka saya mendatangi Nabi s.a.w., lalu saya berkata:
"Beberkanlah tangan kanan Tuan, supaya saya dapat berbai'at kepada
Tuan." Beliau s.a.w. membeberkan tangan kanannya lalu saya menangkapkan
tanganku yakni menjabat tangan beliau s.a.w. itu. Beliau bertanya: "Ada
apakah anda ini, hai 'Amr?" Saya berkata: "Saya menghendaki supaya
diberi syarat." Beliau bertanya: "Dengan syarat apakah yang anda
inginkan?" Saya menjawab: "Iaitu supaya saya diberi pengampunan
segala kesalahan yang lalu". Beliau bersabda: "Tidakkah anda ketahui
bahawa Islam itu merosakkan apa-apa yang ada sebelumnya yakni bahawa dosa-dosa
yang dilakukan sebelum masuk Islam akan lenyap setelah seseorang itu masuk
dalam Agama Islam itu. Juga bahawasanya hijrah itu merosakkan apa-apa yang
sebelumnya dan bahawasanya haji juga merosakkan apa-apa yang sebelumnya."
Sejak saat itu tiada seorangpun yang lebih saya cintai daripada Rasulullah
s.a.w. Tidak ada pula seseorang yang lebih agung dalam pandangan mataku
daripada beliau itu. Bahkan saya tidak dapat memenuhi kedua mataku dari
kebesaran beliau itu, kerana sangat menjunjung tinggi padanya. Andai kata saya
diminta untuk menguraikan sifat beliau, tentu saya juga tidak dapat
melakukannya, kerana saya tidak dapat memenuhi kedua mataku daripada
keperibadian dirinya itu. Jikalau sekiranya mati dalam keadaan sedemikian ini,
nescayalah saya dapat mengharapkan bahawa saya akan termasuk dalam golongan
ahli syurga. Tetapi sesudah itu kami diberi kekuasaan untuk mengatur beberapa
macam persoalan, yang saya sendiri tidak mengetahui bagaimana keadaanku dalam
macam-macam persoalan tadi yakni apakah saya di pihak benar atau salah. Oleh
sebab itu, jikalau saya meninggal dunia, maka janganlah saya disertai oleh
tangisan yang keras-keras dan jangan disertai api sebab mayat akan memperoleh
siksa api neraka, jikalau keluarganya menangis melebihi batas yang dibolehkan
dalam syariat Islam. Seterusnya jikalau engkau semua menanam tubuhku, maka
tuangkanlah air sedikit demi sedikit di atas tanah. Kemudian beradalah engkau
semua di sekitar kuburku sekadar lamanya menyembelih binatang lalu
dibagi-bagikan dagingnya maksudnya jangan terlampau lama di kubur itu, sehingga
dengan demikian saya dapat merasa tenang dalam pertemuanku denganmu tadi dan
saya dapat melihat apa yang akan saya berikan sebagai jawapan kepada para
utusan Tuhanku yakni para malaikat yang akan menanyainya dalam kubur."
(Riwayat
Muslim)
Ucapannya: syunnu diriwayatkan
dengan menggunakan sin mu'jamah berbunyi syunnu dan ada
yang dengan menggunakan sin muhmalah berbunyi sunnu, ertinya ialah tuangkanlah
air sedikit demi sedikit.
Wallahu
Subhanahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan