Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 22 Mei 2013

Bab 145 Ucapan Yang Dapat Digunakan Untuk Mendoakan Orang Sakit





898. Daripada Aisyah radhiallahu 'anha bahawasanya Nabi s.a.w. itu apabila ada seseorangyang mengeluh kerana ada sesuatu yang dirasa sakit pada dirinya atau ada luka, kecil atau besar, maka Nabi s.a.w. berdoa dengan menggunakan jari tangannya sedemikian. Sufyan bin 'Uyainah yang meriwayatkan Hadis ini menunjukkan cara menggunakan jari itu,  yakni telunjuknya diletakkan di bumi lalu diangkat dan di waktu meletakkan itu mengucapkan yang ertinya: ''Dengan menyebut nama Allah, ini adalah tanah bumi kita, dicampur dengan ludah sebahagian dari kita, dengannya dapat disembuhkan orang sakit di antara kita, dengan izin Tuhan kita."


899. Daripada Aisyah radhiallahu 'anha pula bahawasanya Nabi s.a.w. pada suatu waktu meninjau setengah dari keluarganya yang sakit. Beliau s.a.w. mengusap dengan tangannya yang kanan dan mengucapkan yang ertinya: "Ya Allah, Tuhan seluruh manusia, hilangkanlah kesukaran yakni penyakit ini. Sembuhkanlah, Engkau sajalah yang dapat menyembuhkan. Tiada kesembuhan kecuali kesembuhan daripadaMu, yakni kesembuhan yang tidak lagi meninggalkan penyakit."
(Muttafaq 'alaih)

900. Daripada Anas r.a. bahawasanya ia berkata kepada Tsabit rahima-hullah:

Yang Bermaksud : "Sukakah engkau saya beri ucapan mantera-mantera dengan mantera-mantera yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w.?" la menjawab: "Baiklah." Anas mengucapkan yang ertinya: "Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, yang dapat melenyapkan kesukaran penyakit. Sembuhkanlah, Engkau sajalah yang dapat menyembuhkan. Tiada yang kuasa menyembuhkan kecuali Engkau, suatu kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit."
(Riwayat Bukhari)

901. Daripada Saad bin Abu Waqqash r.a., katanya: "Saya ditinjau oleh Rasulullah s.a.w.  waktu ia menderita sakit lalu beliau s.a.w. mengucapkan yang ertinya:

Yang Bermaksud : "Ya Allah, sembuhkanlah Saad, ya Allah, sembuhkanlah Saad, ya Allah, sembuhkanlah Saad."
(Riwayat Muslim)

902. Daripada Abu Abdillah iaitu Usman bin Abul 'Ash r.a. bahawasanya ia mengadu kepada Rasulullah s.a.w. kerana adanya suatu penyakit yang diderita dalam tubuhnya, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda padanya:

Yang Bermaksud : "Letakkanlah tanganmu pada tempat yang engkau rasa sakit dari tubuhmu itu, kemudian ucapkanlah "Bismillah" tiga kali, lalu ucapkanlah pula sebanyak tujuh kali yang ertinya: "Saya mohon perlindungan dengan kemuliaan Allah dan kekuasaanNya dari keburukannya sesuatu yang saya peroleh dan saya takutkan."
(Riwayat Muslim)

903. Daripada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya:

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang meninjau orang sakit yang belum waktunya untuk didatangi oleh ajal kematiannya, lalu orang yang meninjau tadi mengucapkan untuk yang sakit itu sebanyak tujuh kali, iaitu ucapan yang ertinya: "Saya mohon kepada Allah yang Maha Agung, yang menguasai 'arasy yang agung, semoga Allah menyembuhkan penyakitmu, melainkan Allah akan menyembuhkan orang tadi dari penyakit yang dideritainya."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan. Imam Hakim berkata bahawa Hadis ini adalah shahih menurut syaratnya Imam Bukhari.

904. Daripada Ibnu Abbas r.a. pula bahawasanya Nabi s.a.w. masuk ke tempat Arab- penghuni pedalaman negeri Arab untuk meninjaunya kerana sakit dan Nabi s.a.w. itu apabila masuk ke tempat orang sakit untuk meninjaunya, maka beliau mengucapkan  yang ertinya:

Yang Bermaksud : "Tidak ada halangan apa-apa. Ini sebagai pencuci dosa-dosamu Insya Allah."
(Riwayat Bukhari)

905. Daripada Abu Said al-Khudri r.a. bahawasanya Jibril mendatangi Nabi s.a.w. lalu berkata:

Yang Bermaksud : "Hai Muhammad, adakah anda sakit?" Beliau s.a.w. menjawab: "Ya." Jibril lalu mengucapkan yang ertinya: "Dengan nama Allah, saya memberikan mantera-mantera padamu, dari segala macam bahaya yang menyakitkan dirimu, juga dari semua hati dan mata yang mendengki. Allah akan menyembuhkan penyakitmu. Dengan nama Allah, saya memberikan mantera-mantera padamu."
(Riwayat Muslim)

906. Daripada Abu Said dan Abu Hurairah radhiallahu 'anhuma bahawasanya keduanya itu menyaksikan Rasulullah s.a.w. bahawa beliau bersabda:

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang mengucapkan yang ertinya: "Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah adalah Maha Besar," maka ucapannya itu akan dibenarkan oleh Tuhannya dan Tuhan berfirman: "Tiada tuhan selain Aku dan Aku adalah Maha Besar." Kemudian jikalau orang itu mengucapkan yarig ertinya: "Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tidak ada sekutuNya," maka Tuhan berfirman: "Tiada Tuhan melainkan Aku yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiKu." Seterusnya apabila orang itu mengucapkan yang ertinya: "Tiada Tuhan melainkan Allah, bagiNya adalah segenap kerajaan dan baginya pula segala puji-pujian," maka Allah berfirman: "Tiada Tuhan melainkan Aku, bagiKu segenap kerajaan dan bagiKu pula segala puji-pujian." Dan jikalau orang itu mengucapkan yang ertinya: "Tiada Tuhan melainkan Allah dan tiada daya serta tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah." maka Allah berfirman: "Tiada Tuhan melainkan Aku dan tiada daya serta tiada kekuatan melainkan dengan pertolonganKu."

Selanjutnya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang mengucapkan semua di atas itu di waktu sakitnya lalu ia meninggal dunia, maka ia tidak akan dapat dimakan Oleh api neraka."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan