Satu
perkara yang mendukacitakan berlaku di tengah-tengah masyarakat Islam mutakhir
ini ialah hilangnya keyakinan terhadap hukum Allah. Adalah satu perkara yang
tidak munasabah dan haram berlaku di kalangan umat Islam bahawa orang-orang
yang mengaku Islam, tidak yakin kepada hukum Allah, kerana ia bermakna juga
tidak yakin kepada Allah dan tidak yakin kepada Rasulullah s.a.w sebagai
pembawa dasar perundangan Ilahi.
Tidak
terkumpul di dalam hati orang yang beriman dengan keraguan dan syak terhadap
ajaran Islam kerana kesangsian kepada ajaran Islam dan tidak yakin kepada hukum
itu adalah perkara yang boleh merosakkan dan membatalkan iman. Firman Allah
dalam ayat 65 surah an-Nisa’:
فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّىَ يُحَكِّمُوكَ
فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ
وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيمًا
“Maka
demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka
menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara
mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan
daripada apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu
dengan sepenuhnya.”
Di
tengah-tengah masyarakat Islam hari ini terkeluar kata-kata dan tulisan-tulisan
yang berani mencabar hukum Allah, ada yang berani mengatakan hukum Allah itu
sudah lapuk, hukum “hudud” yang ada dalam al Quran itu tidak lebih daripada
hukum yang diamalkan oleh kabilah-kabilah Arab pada zaman dahulu yang
dipanjangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka
tidak menyedari bahawa kedatangan Rasulullah s.a.w ialah untuk menentang
hukum-hukum kabilah yang zalim, mengapa mereka mengatakan al Quran itu ajaran
yang diamalkan oleh kabilah-kabilah Arab? Ini adalah satu tuduhan jahat
terhadap al Quran al Karim dan hukum Islam.
Dan
apa yang mendukacitakan, umat Islam yang begitu ramai di dalam negara ini tidak
terasa apa-apa orang menghina Islam dan mengejek hukum Islam di hadapan mereka.
Di manakah kasih mereka terhadap Islam sehingga tidak ada perasaan cemburu
sedikitpun di dalam hati mereka terhadap Allah?
Mereka
akan melenting sekiranya harta dan kepunyaan mereka daripada harta benda dunia
diganggu-gugat, tetapi mereka tidak melenting sekiranya agama mereka diberikan
kedudukan yang tidak selayaknya. Beginilah rendahnya maruah umat Islam hari
ini.
Di
manakah letaknya kemanisan iman yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud,
“Tiga
perkara yang sesiapa ada padanya, maka dia mempunyai kemanisan iman. Pertama
bahawa Allah dan RasulNya terlebih kasih kepadanya daripada yang lain. Kedua
dia tidak kasih kepada seseorang melainkan kerana Allah. Ketiga dia benci kalau
dicampak di dalam kekufuran sebagaimana dia benci kalau dicampak ke dalam api
neraka.”
Di
mana kemanisan iman? Di mana ketiga-tiga perkara ini di dalam hati umat Islam
hari ini? Adakah di dalam hati mereka perasaan kasih kepada Allah dan kasih
kepada Rasulullah s.a.w? Sekiranya mereka kasih kepada Allah dan cinta
Rasulullah, sudah tentu mereka kasih kepada hukum Allah dan kasih kepada ajaran
yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Ke
manakah perginya kasih mereka kerana Allah? Di mana perginya cinta Rasul? Kasih
mereka tidak lain kerana kemahsyuran dan penghormatan dunia semata-mata. Ke
manakah perginya benci mereka kepada kekufuran? Bahkan mereka berlumba-lumba
untuk menuju kepada kekufuran sekiranya kekufuran itu mengenyangkan mereka dan
menambahkan keseronokan di dalam hidup mereka.
Adakah
mereka tidak sedar dalam perkara seperti ini, Allah telah mewajibkan kepada
Nabi Muhammad s.a.w dan kepada umat Islam supaya menegakkan hukum Allah di atas
muka bumi ini.
Allah
berfirman menerusi ayat 105 daripada surah an-Nisa’ :
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ
لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلاَ تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
“Sesungguhnya
Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al Quran) dengan membawa
kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah
tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela
bagi orang-orang yang khianat.”
Manusia
hari ini terlalu suka menjadi penolong dan penyokong kepada orang-orang yang
khianat kepada hukum Allah. Di manakah kasih mereka kepada Allah dan kepada
Rasulullah s.a.w?
Dan
Allah menamakan hukum yang lain selain daripada hukumNya adalah jahiliyah
sebagaimana yang disebut dalam ayat 50 surah al-Maidah :
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ
مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Sesudah
itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal –
kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat
hukum yang lebih baik daripada Allah.”
Orang-orang
yang yakin ialah orang-orang yang yakin kepada Allah dan Rasulullah s.a.w,
iaitu yakin kepada Islam mestilah yakin juga kepada hukum Allah dan tidak yakin
kepada yang lain daripada hukum Islam.
Allah
juga menamakan hukum yang lain daripada Islam sebagai jahiliyah atau hukum yang
menurut hawa nafsu. Dan yakin kepada hukum yang lain bermakna tidak yakin
kepada Allah.
Allah
menjanjikan kelebihan, kurniaan, pahala dan syurga serta kebahagiaan di dunia
dan di akhirat kepada siapa yang beriman dan beramal soleh. Di antaranya mereka
yang menegakkan hukum Allah.
Sementara
syaitan pula menjanjikan kemiskinan, kepapaan, kesusahan dan kemunduran kepada
siapa yang beramal dengan hukum Allah. Yang mana kamu lebih percaya? Kamu
percaya kepada janji Allah atau kepada janji syaitan?
Tepuklah
dada kamu dan tanyalah iman yang ada di dalam hati kamu itu. Sekiranya kamu
bertanya iman yang sebenar, sudah tentu iman yang sebenar akan menerima hukum
Allah.
Biodata Penulis
Y.A.B
Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam
SeMalaysia (PAS). Beliau pernah memangku jawatan sebagai Menteri Besar
Terengganu. Pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun
1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat
M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan
Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr.
Abdul Satar Al Qudsi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan