Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 4 April 2014

P 103 : KEISTIMEWAAN PENGEMBUMIAN UMAT ISLAM

“Alhamdulillah, kos pengebumian kita tidaklah semahal itu. Setahu saya lebih kurang RM850 sahaja. Itu dah masuk semua sekali, dengan van jenazah sekali. Murah kan” saya menambah.
“Ya, murah je. Dan alhamdulillah, taman perumahan kita ni semuanya ditanggung oleh pihak surau tanpa keluarga waris perlu bayar apa-apa” sahabat saya yang merupakan AJK surau memberikan penjelasan tentang kaedah pengurusan jenazah di taman perumahan kami.
“Alhamdulillah. Itulah antara yang cantiknya Islam ni. Cara pengebumian orang Islam ni boleh jadi pintu hidayah kepada orang bukan Islam untuk masuk Islam. Mudah dan tidak menyusahkan waris” saya membalas sambil menyegerakan langkah kerana jenazah sudah mahu diangkat ke liang lahad. Tidak mahu ketinggalan untuk turut sama mengangkat jenazah.
Sedang talkin dibacakan oleh imam di perkuburan, saya merenung kembali kata-kata saya kepada sahabat saya tadi. Sungguh, memang cara pengebumian umat Islam boleh menjadi jalan hidayah kepada orang yang bukan Islam untuk tertarik dengan Islam. Cara pengebumiannya ringkas dan sederhana sifatnya. Dan kos pengurusannya tidak sehingga membebankan pihak waris.

Perlukah ini semua selepas mati?
Saya teringat akan dua kisah yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu tentang bagaimana dua orang yang beragama Kristian yang masuk Islam disebabkan oleh tertarik dengan cara pengebumian orang Islam yang cukup sederhana dan ringkas sifatnya.

Kisah Pertama

Kisah pertama berlaku kepada seorang paderi Kristian dari Itali. Beliau telah menyatakan hasrat untuk memeluk Islam setelah menonton dengan teliti cara pengebumian Raja Fahd bin Abdul Aziz, iaitu Raja Arab Saudi ketika itu. Cara pengebumian yang sangat sederhana itu telah ditayangkan ke seluruh dunia dan dapat disaksikan oleh ramai orang.

Perkuburan Raja Fahd bin Abdul Aziz

Seingat saya, faktor utama yang membuka pintu hidayah si paderi itu ialah bagaimana Islam bertindak tidak membeza-bezakan antara jenazah si pembesar dengan jenazah orang biasa. Telah ditayangkan bagaimana jenazah Raja Fahd disolatkan bersama-sama dengan jenazah yang lain tanpa upacara yang istimewa khas untuk jenazah Raja Fahd. Malah kain kapan dan kotak keranda serta keseluruhan proses pengebumian sama sahaja tanpa dibezakan darjat raja atau orang biasa. Walaupun sudah bertahun-tahun beliau diajak masuk Islam dan tetap berdegil, namun dengan melihat cara pengebumian yang cukup sederhana ini telah membuatkan beliau pasrah dengan keindahan Islam, seterusnya masuk Islam.

Kisah Kedua
Kisah kedua berlaku kepada seorang nenek di USA. Cucu beliau telahpun memeluk Islam dan menjadi salah seorang yang giat berdakwah di tempat mereka. Puas si cucu ini memujuk neneknya untuk masuk Islam, tetapi tidak berjaya dipujuknya. Pada suatu hari telah berlaku kematian di kalangan orang Islam di tempat mereka. Disebabkan orang Islam yang meninggal dunia itu adalah terdiri barangkali keluarga terdekat atau jiran mereka, maka si nenek pun hadir sama ke upacara pengebumian si muslim yang meninggal dunia itu.
Selepas upacara pengebumian tersebut, nenek itu telah berkata kepada cucunya tadi, “Kalau aku mati nanti, aku mahu kamu kebumikan aku macam itu juga,” beliau merujuk kepada cara pengebumian muslim tersebut. Dengan hidayah dan taufiq dari Allah, maka nenek itupun masuk Islam. Beliau masuk Islam lantaran tertarik dengan cara pengebumian Islam yang sederhana dan menginsafkan. Selang beberapa tahun kemudian, nenek itu meninggal dunia. Dan beliau dikebumikan dengan cara yang beliau mahukan iaitu meninggal dunia sebagai muslim dan dikebumikan dengan cara pengebumian muslim. Kisah ini telah disampaikan oleh cucu beliau yang merupakan seorang pendakwah Islam yang aktif berdakwah di USA.
Itulah dua kisah yang mungkin dapat kita pelajari dan ambil iktibar. Betapa kesederhanaan dan mudahnya Islam ini dapat menambat hati fitrah manusia.
Justeru, amalkanlah Islam mengikut contoh yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam. Jangan menyusah-nyusahkan dengan upacara tambahan dan rekaan. Sungguh, pada kesederhanaanlah, Islam ini dilihat cantik.

By: Blog Sebuah Kehidupan




Tiada ulasan:

Catat Ulasan