Di
negara-negara Arab khususnya di Timur Tengah yang dihuni bijak pandai agama
khasnya ulama-ulama besar, masih menerima-pakai undang-undang dan peraturan
manusia yang diistilahkan “man made law”, seolah-olah ia wajar dan tidak
bercanggah dengan Islam. Persoalannya mengapa di Malaysia timbul suara yang
menuntut undang-undang Islam dilaksanakan?
Islam
sebenar tidak boleh diukur dengan apa yang orang Islam hari ini lakukan. Jika
Islam hendak diukur dengan tingkah laku umat Islam hari ini, maka akan rosaklah
Islam itu. Lihatlah pada orang Islam yang melancong ke merata dunia. Apa yang
mereka lakukan? Sikap dan pakaian mereka yang tidak melambangkan budaya Islam
yang sebenar.
Oleh
kerana itu, apa dilakukan di negeri-negeri umat Islam di Timur Tengah, tidak
semestinya melambangkan Islam sebenar. Semua orang tahu sama ada orang Arab
atau bukan Arab, tidak boleh menjadi cermin kepada Islam. Kelakuan ramai orang
Islam hari ini, kebanyakannya jauh menyimpang daripada tuntutan Islam sebenar.
Demikian
juga dengan negara umat Islam sama ada di Timur atau di Barat. Keadaannya sama
sahaja. Selagi negara tidak melaksanakan Islam dengan sebaik-baiknya, selama
itu negara-negara itu tidak boleh dianggap Negara Islam yang sebenar.
Perlu
kita fahami bahawa negara umat Islam suatu ketika dahulu semuanya patuh dan
tunduk kepada Islam, sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w memerintah Madinah. Maka
berubahlah negara Madinah, Mekah dan seluruh Semenanjung Tanah Arab menjadi
Islam sehingga ke hari ini.
Kedudukan
negara Arab yang lainnya, sebuah demi sebuah menjadi negara Islam. Maka
ditubuhkan kerajaan Islam pada zaman sahabat, tabi’en yang digelar Khulafa’
ur-Raashidin, Daulah Umayyah, Daulah Abasiyah sehingga kepada kerajaan Islam
terakhir Khilafah Uthmaniyah yang tamat pada tahun 1924.
Semuanya
kerajaan-kerajaan ini melaksanakan pemerintahan berasaskan hukum-hukum Islam.
Pada 1924, berlaku tragedi di mana musuh-musuh Islam dapat mengatasi dan
menguasai kekuasaan Islam, seterusnya menukarkannya kepada pemerintahan
sekular.
Dasar
sekular tidak memberikan ruang penting kepada agama untuk menjadi asas
pemerintahan, undang-undang Islam diketepikan dan undang undang ciptaan manusia
diterima pakai. Berlaku perang dunia pertama dan kedua, yang berakhir dengan
kemenangan pihak Barat yang memusuhi Islam. Umat dan negara Islam dijadikan
harta rampasan Barat.
Wilayah
umat Islam difaraidkan sesama kuasa Barat, di antara mereka, Indonesia dijajah
oleh Belanda, Tanah Melayu dijajah British, demikian juga negara Arab,
kebanyakannya jatuh kepada kuasa Barat. Penjajah yang menguasai negara Islam
menukar keseluruhan sistem pemerintahan dan undang-undang kepada sistem mereka.
Sejak
daripada itu, meskipun negara umat Islam yang dijajah sudah merdeka kini,
termasuk negara-negara Arab, pengaruh penjajahan masih menebal. Barat tidak
akan memerdekakan sebuah negara umat Islam, melainkan dipastikan dahulu, negara
tersebut mesti berkiblat dan berundang-undangkan Barat.
Pelbagai
tekanan dan ugutan dilakukan ke atas pemerintah baru negara umat Islam, supaya
mereka ditabdir dengan kehendak Barat dengan tidak mcngembalikan pcrundangan
Islam asal. Buktinya jelas. Misalnya Algeria yang suatu ketika dahulu dimenangi
oleh Parti Penyelamat Islam (FIS) pada pilihan raya umum, tetapi dibatalkan
oleh pemerintah yang disokong Barat.
Palestin,
di mana Hamas yang menang dalam pilihan raya secara bebas dan demokrasi, tetapi
dinafikan Barat, khususnya Amerika Syarikat. Kuasa memerintah dan ekonomi
disekat.
Justeru
umat Islam perlu memahami dan bangun bersatu di bawah perjuangan Islam bagi
membolehkan Islam yang syumul dilaksanakan seperti yang dikehendaki Allah
Taala. Kayu ukur sebenar untuk mengukur Islam dilaksanakan atau tidak, adalah menerusi
al Quran dan as-Sunnah. Selagi kehendak kedua-dua ini tidak dilaksanakan, maka
selagi itulah Islam yang sebenar belum terlaksana.
Dalam
satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyebut (mafhumnya),
“Pada suatu zaman nanti, umat Islam akan berhadapan dengan
pelbagai percanggahan yang banyak, ingatlah ketika itu, pemerintah dengan al
Quran akan berpisah dan janganlah kamu berpisah daripada al Quran.”
Ertinya
Nabi pernah memberi peringatan bahawa pada suatu zaman selepas baginda,
pemerintah tidak lagi berpegang kepada al Quran dan as Sunnah, hukum al Quran terpisah
dan diketepikan oleh pemerintah. Nabi mengingatkan kita, jangan sesekali kita
terpisah daripada al Quran, kerana itu maka, perjuangan untuk mendaulatkan
Islam menjadi suatu keperluan untuk diperjuangkan sehingga akhirnya. Wallahu
a’lam.
Biodata
Penulis
Prof.
Dato’ Dr. Haron Din merupakan Naib Mursyidul ‘Am Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cemerlang daripada Universiti Darul Ulum
Kaherah (1972-1974). Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian
Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebagai satu pengiktirafan
terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor”
kepadanya sejak tahun 1986.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan