Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Ahad, 2 September 2012

H 90 Bahaya Lidah

BERCAKAP PERKARA SIA-SIA

Ketahuilah bahawa modal seseorang hamba itu ialah waktunya. Selagi ia menghabiskan waktunya pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah atau menguntungkan pahala di akhirat, maka orang itu telah mensia-siakan modal pemberian Allah SWT.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Antara kebaikkan Islam seseorang, ialah meninggalkan apa yang tiada berkaitan dengan dirinya.”

Sebabnya berlaku yang demikian ialah keinginan seseorang untuk mengambil tahu terhadap sesuatu yang tidak perlu ia tahu, ataupun menghabiskan masa dengan menceritakan hal-ehwal yang tidak ada faedah baginya. Ubat dan penawar bagi penyakit ini, ialah bahawa seseorang itu hendaklah mengetahui setiap nafas yang dihembuskannya itu ialah modalnya, manakala lidahnya adalah jaringan, yang mana dengannya ia akan memburu segala kebaikan yang berbagai-bagai. Oleh itu hendaklah ia faham benar, bahawa mencuaikan lidah itu atau mensia-siakannya, merupakan suatu kerugian yang amat besar.

Mengambil tahu tepi kain orang  lain

Mengambil tahu tentang hal orang lain merupakan perkara yang tercela juga, iaitu mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengan diri kita, ataupun jika perkara itu memang ada berkaitan dengan diri kita, tetapi kita telah berlebih-lebihan bercakap dari kadar yang perlu. Perkara yang mengenai diri kita itu dapat dibicarakan dengan kata-kata yang ringkas  dan dapat juga dihuraikan terlalu panjang  atau berulang-ulang. Maka kalau boleh, dapat dihuraikan dengan satu perkataan sahaja, jika ditambah menjadi dua perkataan, maka perkataan yang kedua itu adalah fudhul, yakni berlebih-lebihan dari kadar yang perlu dan ini ini juga adalah tercela sebagaimana yang telah diterangkan di atas, meskipun ia bukanlah dosa atau bahaya.

Ketahuilah bahawa  fudhul atau kata-kata yang berlebihan-lebihan itu tidak ada batasan yang tertentu, tetapi yang penting untuk kita mengetahui ialah apa yang tertera di dalam kitab Allah Taala dalam firmanNya:

“Tidak ada gunanya pada kebanyakkan dari bisikan-bisikan mereka, melainkan sesiapa yang menyuruh memberi sedekah atau berbuat baik ataupun mengadakan perdamaian antara bangsa manusia.” 
(an-Nisa’: 114)

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Berbahagialah sesiapa yang menahan fudhul (berlebih-lebihan) dari lidahnya dan membelanjakan kelebihan dari hartanya.”

Cuba anda perhatikan bagaimana manusia menterbalikkan perkara ini. Mereka lebih suka menahan kelebihan harta kekayaan mereka dan melepaskan secara sewenang-wenangnya  kata yang berlebihan-lebihan dari lisannya.

Berkata Atha’: Orang-orang yang mulia sebelum kamu sangat membenci berlebihan-lebihan dalam tutur kata. Mereka menganggap semua kata-kata itu adalah fudhul, selain kata-kata dari kitab Allah, sunnah Rasulullah, ataupun suruhan berbuat kebajikan, cegahan dari berbuat kemungkaran, ataupun berkata sesuatu yang perlu dalam kehidupanmu yang tidak boleh tidak mesti kamu lakukan. Apakah kamu mahu mengingkari adanya Malaikat penjaga Kiraman Katibin (Malaikat-malaikat yang mulia sebagai pencatat). Berada di kanan dan di kiri. Apa yang disebutkan dari kata-kata melainkan ada di sisinya Raqib dan Atid. Tidakkah seseorang kamu merasa malu bila diserahkan buku catatannya kelak, telah terpenuhi di dalamnya bahawa segala perbuatannya di siang hari kebanyakkannya bukan daripada urusan-urusan agamanya ataupun dunianya.

Berkata Ibnul Umar:
Perkara yang paling patut disucikan oleh seseorang ialah lidahnya.
Dalam sebuah atsar pula:
Tiada seseorangpun yang diberikan sesuatu yang paling keji daripada sifat berlebihan-lebihan dari lidahnya.

Melibatkan diri dalam kebatilan

Iaitu berbual-bual dalam hal-hal yang berkaitan dengan maksiat, seperti menceritakan hal dan keadaan kaum wanita, menceritakan tentang parti minuman arak, duduk bersama orang-orang yang fasik, menceritakan tentang kebanggan  orang-orang yang takbur dan rancangan-rancangan mereka yang terkeji dan tingkah laku mereka yang buruk. Semua ini tidak patut dilibatkan diri di dalamnya.
Kebanyakkan orang memang suka bersenang-senang mendengar cerita-cerita dan perbualan-perbualan kosong. Ini tidak mengapa selagi perbualan mereka tiada lebih dari bergurau senda sahaja, tidak mencampuri hal-ehwal orang lain, ataupun mendalami dalam perkara-perkara kebatilan.

Perkara-perkara kebatilan itu pula sangat banyak, sehingga tidak dapat dihitung. Sebab itu tidak ada seorangpun yang boleh terlepas daripadanya, kecuali jika ia hanya memadai dengan melakukannya apa yang perlu sahaja dari urusan-urusan keagamaan dan keduniaannya.

Dalam sebuah Hadis. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sebesar-besar dosa seseorang di Hari Kiamat ialah orang yang banyak melibatkan diri dalam perkara-perkara kebatilan.”

Maksud Hadis ini telah dikuatkan dengan ayat al-Quran dengan firman Allah Taala:

Dan kami bercakap-cakap kosong bersama dengan orang-orang yang bercakap kosong.”  
 (al-Muddatstsir: 45)

FirmanNya lagi:

“Jangan kamu semua duduk bersama-sama mereka, sehingga mereka mula dengan perbicaraan yang lain, kalau tidak tentulah kamu semua sama dengan mereka.”           
(an-Nisa’: 140)

Sabda Rasul Junjungan lagi:

“Seseorang itu akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang diredhai oleh Allah, dia tiada menyangka bahawa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatatkan oleh Allah kata-kata itu mendapat keredhaanNya hingga ke Hari Kiamat.   Dan seorang lain akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang dimurkai oleh Allah, dia tiada menyangka bahawa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatatkan oleh Allah dengan kata-kata itu kemurkaanNya ke atas orang itu hingga ke Hari Kiamat.”

Berbantah-bantahan dan bertengkar.

Perbuatan dan kelakuan seperti  ini adalah terlarang dalam agama.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Jangan banyak membantah saudaramu, jangan terlampau bersenda-gurau dengannya dan jangan membuat janji kepadanya, lalu anda memungkirinya.”

Sabda rasulullah saw :

“Tiada akan sesat sesuatu golongan manusia sesudah diberi Allah kepadanya petunjuk, melainkan bila mereka selalu sahaja berbantah-bantahan.”

Sabda rasulullah saw:

“Tidak akan sempurna hakikat keimanan seseorang, sehingga ia meninggalkan sifat berbantah-bantahan, sekalipun perbantahan tentang  tentang kebenaran.”

Berkata Bilal bin Saad:

Kiranya anda melihat seorang yang pintar berbicara, suka membantah dan suka membanggakan pendapatnya, maka ketahuilah bahawa ia termasuk dalam golongan yang telah mendapat kerugian yang sempurna.

Berkata Ibnul Alu Laila:

Saya tidak akan membantah sahabatku, kecuali saya telah mendustakannya ataupun saya yang telah menimbulkan punca  kemarahan kepada orang lain.
Berita-berita yang menunjukkan tercelanya sifat suka berbantah-bantahan dan pertengkaran terlalu  banyak, sehingga tidak dapat dikira banyaknya.
Sempadan sifat suka berbantah-bantahan ialah menyanggah percakapan orang lain dengan melahirkan kekurangan dalam percakapan mereka, sama ada berbentuk lafaz atau makna ataupun dalam maksud percakapan.  Cara meninggalkan sifat berbantah-bantahan ialah dengan menjaga diri supaya tidak mengingkari orang lain atau membantahnya. Setiap perbicaraan yang anda dengar sekiranya  ia memang dari pihak yang benar, maka hendaklah anda mempercayainya. Tetapi jika ia dari pihak yang salah, ataupun dari pendusta, sedangkan ia tidak  bersangkut-paut dengan urusan agama, maka hendaklah anda mendiamkan diri.
Yang perlu jika berlaku sesuatu perbahasan dalam masalah ilmiah lebih baik anda mendiamkan diri sahaja, ataupun jika mahu menyoal, soallah sekadar mahu mengambil tahu sahaja, bukan kerana sebab hendak mengingkari atau menyanggah. Ataupun bertanya dengan nada yang lemah-lembut kerana ingin mengetahui kedudukan perkara tersebut bukan dengan tujuan untuk menyangkal atau membantah.

Jika pertanyaan  dengan tujuan untuk mengalahkan hujah orang lain dan mezahirkan  kelemahannya, sehingga ia tidak sanggup menjawab, ataupun untuk mengurangi kedudukannya dengan mendedahkan kecacatan dalam perbicaraannya dan menisbahkan kepada kecuaian dan kejahilan dalam percakapannya, maka inilah perbantahan dan pertengkaran yang dilarang oleh agama dan ianya pasti  tidak akan terlepas daripada dosa  kecuali dengan cara  berdiam diri itu lebih baik.

Sebab utama yang menjadikan seseorang itu bersikap seperti itu ialah kerana hendak meninggikan diri dengan menunjukkan banyak ilmu atau kelebihannya, manakala ia menyerang orang lain itu kerana hendak menunjukkan kekurangan dan kecetekan pengetahuan orang yang diserangnya. Kedua-duanya adalah sifat yang membinasakan.

Berbantah-bantahan itu tentu sekali akan menyakiti hati orang lain dan menimbulkan kemarahannya dan memaksa orang yang ditentang itu supaya kembali menyokong percakapannya, semampu yang boleh, sama ada percakapan itu benar atau batil. Dia akan mengurangi kedudukan orang yang sedang  berbicara atau sedang menyampaikan kuliah dengan apa cara sekalipun  sehingga terjadilah suatu pertengkaran antara dua orang yang berbantah-bantahan itu.

Sementara  ubat dan penawarnya ialah dengan mematahkan atau memadamkan perasaan membesar diri, yang muncul dari sebab suka menunjukkan kelebihan diri sendiri. Dan juga dengan menghapuskan sifat buas atau ganas  yang ada pada dirinya sendiri, kerana suka merendahkan peranan dan kedudukan orang lain.


Pertelingkahan adalah di antara sifat-sifat yang terkeji dan dilarang oleh agama. Ia adalah ekoran dari sebab pertengkaran dan berbantah-bantahan. Hakikat permusuhan itu adalah disebabkan kerana terlampau banyak perbantahan dan mengadu pendapat, untuk memperoleh harta benda dunia ataupun sesuatu hak yang tertentu.
Dalam sebuah Hadis sabda Rasulullah s.a.w:

Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah Taala, ialah orang yang paling degil dan suka bertelingkah.”

Sifat pertelingkahan itu tiada cela, melainkan kerana ingin menegakkan kebatilan, ataupun untuk memenangkan sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang cukup terlebih dulu, seperti orang ingin mempertahankan sesuatu perkara sebelum faham benar-benar, bahawa yang hak itu berada di pihak mana. Ataupun ia mencampuradukkan pertelingkahannya dengan kata-kata yang menyakiti hati yang tidak perlu ditonjolkan dalam membenarkan hujah-hujah atau mengajukan kebenaran. Ataupun yang menariknya kepada pertelingkahan itu, semata-mata kerana sengaja hendak menundukkan musuh dan mematahkan harapannya, sedangkan ia sendiri memandang kecil terhadap kadar wang yang dipertelingkahkan itu.

Dalam perkara yang dipertelingkahkan itu, ada orang yang memang dengan terang-terang telah menyatakan hasratnya, bahwa maksudnya ialah tiada lain, kecuali untuk menundukkan lawannya, atau mematahkan kehendak lawan itu. Kadang-kadang ia berkata: Kalau saya menang dalam perkara ini dan mendapat wang tersebut, barangkali saya akan buangkan wang itu ke dalam perigi buta saja, asalkan saya puas hati. Nyatalah bahawa maksudnya tiada lain, melainkan untuk melahirkan perasaan degil dan suka bertelingkah yang akan menimbulkan permusuhan sesudah itu. Kelakuan ini amat dicela.

Adapun orang yang teraniaya yang ingin mempertahankan hujahnya menerusi jalan syariat, tanpa disertai sifat degil dan melampaui batas, ataupun tidak menambah hujah-hujahnya dengan kata-kata yang tidak perlu dalam persoalannya dan tidak pula bertujuan memaksa atau menyakiti lawannya, maka perbuatannya itu diharuskan dan tidak haram. Tetapi yang sebaiknya hendaklah dijauhi, selagi ada jalan lain yang boleh ditempuhnya, tanpa melakakukan salah satu dari sifat-sifat tadi. Sebab menjaga lidah dengan hanya menyebutkan kata-kata yang perlu saja dalam pertelingkahan sekadar sederhana adalah diterima keuzurannya. Pertelingkahan itu akan menyempitkan dada dan menimbulkan perasaan marah. Apabila perasaan marah telah menguasai jiwa akan terlupalah orang yang bertelingkah itu akan dirinya dan yang tinggal hanya dendam khusumat dalam diri masing-masing dari kedua-dua orang yang bertelingkah itu, sehingga tiap-tiap seorang akan merasa senang jika mendengar keburukan lawannya, dan merasa dukacita jika mendengar kebaikannya, dan masing-masingpun bebas memainkan lidahnya untuk menjatuhkan kehormatan yang lain. Maka orang yang memulakan permusuhan ini ialah orang yang menempa segala larangan-larangan ini.
Mula-mula sekali hatinya akan terganggu sehingga dalam sembahyangnya sekalipun ia akan diganggu oleh pemikiran mencari hujah-hujah untuk mengalahkan lawannya. Kalau demikianlah halnya, maka sudah nyatalah bahawa perkara yang dipertelingkahkan itu tidak lagi berdiri atas batas atau had yang wajib.

Ingatlah bahawa permusuhan itu adalah punca dari segala kejahatan, begitu juga dengan sikap suka berbantah-bantahan atau suka bertengkar-tengkaran. Oleh itu janganlah hendaknya dibukakan pintu untuk perkara-perkara yang terlarang ini, kecuali dalam keadaan yang amat dharurat sekali. Maka ketika itu hendaklah dipelihara baik-baik lidah dan hati dari kata-kata ketelanjuran yang disebabkan oleh permusuhan itu, dan memanglah hal serupa itu amat sukar dapat dilakukan. Bahkan sekiranya boleh, biarlah sikap yang diambil dalam menghadapi permusuhan, berbantah-bantahan atau bertengkar-tengkaran itu, ialah sifat lunak hati dan manis tutur kata.

Allah Taala telah berfirman:

“Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik.” 
(al-Baqarah: 83)

Ibnu Abbas r.a. telah berkata: Jika seseorang makhluk Allah swt memberi salam  kepadamu, maka hendaklah engkau membalas salamnya, meskipun orang itu seorang Majusi.

Berfirman Allah s.w.t.:

“Apabila kamu sekalian diberikan penghormatan dengan sesuatu salam, maka hendaklah kamu membalas salam itu dengan lebih baik daripadanya ataupun dengan yang sepertinya.” 
(an-Nisa‘: 86)
Berkata Ibnu Abbas r.a. lagi: Andaikata yang berkata baik kepadaku itu Firaun sekalipun, niscaya aku akan membalasnya.

Dalam sebuah Hadis berbunyi: Kata-kata yang baik itu adalah sedekah.
Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: Kebajikan itu adalah seperkara yang paling mudah sekali, iaitu dengan bermuka manis dan berkata lemah-lembut.
Berkata setengah ahli pendita: Kata-kata yang lemah-lembut itu mencuci hasad dengki yang berselaput di dalam anggota-anggota badan.
Berkata yang lain pula: Semua ucapan yang tidak menyebabkan kemurkaan Tuhan, malah boleh menjadikan temanmu redha kepadamu, maka hendaklah jangan lokek mengucapkannya, moga-moga Allah swt akan membalasmu dengan pahala orang-orang yang berbuat kebajikan.

Yang dimaksudkan dengan percakapan yang indah-indah itu ialah bercakap fasih yang dibuat-buat dan memaksa diri berkata-berkata dengan bersajak atau berfasih atau meniru cara orang lain bercakap; semua ini termasuk memaksa diri dengan tercela dan terlarang dalam agama. Sepatutnya bila seseorang itu berkata, cukuplah dengan menerangkan maksud perkara yang dicakapkan itu. Yang dikatakan maksud dari percakapan ialan memahamkan tujuannya, tidak lebih dari itu. Apabila ditambah lebih dari itu, ataupun disampaikan segera berbunga-bunga yang tak perlu, maka itu termasuk perkara yang dicela. Dan tidak terkira dalam perkara-perkara yang terlarang itu, mengindahkan peringatan ataupun pidato di hadapan khalayak ramai, tetapi mestilah tanpa berlebih-lebihan atau menggunakan kata-kata yang sukar difahami oleh mereka. Adapun kata-kata yang sedap didengar itu akan meninggalkan kesan dan pengaruh kepada pendengaran orang ramai.

Sifat-sifat ini juga amat dilarang oleh agama, dan ia dikira antara sifat-sifat yang tercela yang bersumber dari kejahatan dan kedurjanaan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Waspadalah kamu dari kata-kata yang kotor, kerana sesungguhnya Allah Taala tiada suka kepada kata-kata yang kotor dan perilaku yang cabul.”

Rasulullah s.a.w. pernah melarang para sahabatnya supaya jangan memaki kaum Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar, sabdanya: Janganlah kamu memaki-maki mereka itu, yakni orang-orang Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar itu, sebab caci-makimu itu tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada mereka, malah sebaliknya kamu akan menyakiti hati orang-orang yang masih hidup (dari keluarga si mati itu). Ketahuilah bahwasanya kata-kata yang kotor itu adalah suatu kejahatan.

Sabdanya lagi dalam sebuah Hadis:

“Bukanlah seorang Mukmin itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.”

Lagi sabdanya:

“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bercakap kotor, berlaku cabul, suka berteriak-teriak dalam pasar.”

Batasan bercakap kotor itu, memadailah dengan membicarakan sesuatu perkara dengan menggunakan ibarat-ibarat yang buruk yang tak senang didengar oleh telinga. Hal-hal serupa ini sering berlaku sekitar membicarakan tentang persoalan-persoalan seks dan liku-likunya. Ibarat-ibarat yang keji itu sering menjadi permainan di mulut orang-orang yang memang buruk kelakuannya, yang biasa diperbualkan antara sesama mereka. Manakala orang-orang yang baik perilakunya sentiasa menjaga diri dari menyebut kata-kata yang kotor serupa itu. Andaikata perlu disebutkan juga, maka mereka tidak pernah menyebutnya secara terang-terangan, malah mereka menggunakan kata-kata sindiran atau kata-kata semakna dengannya saja.

Berkata Ibnu Abbas r.a.: Sesungguhnya Allah Taala itu Maha Hidup, Maha Mulia dan Maha Pemaaf. Digunakan maksud persetubuhan itu dengan perkataan bersentuh kulit.
Maka perkataan-perkataan seperti masis atau mas (menyentuh), dukhul (masuk) adalah kata-kata yang dipakai untuk maksud bersetubuh atau berjimak. Ini semua untuk menjaga bahwa kata-kata yang dipakai dalam al-Quran itu jangan ada yang berbau kotor.

Di sana ada banyak lagi ibarat-ibarat yang kotor, yang tidak layak disebutkan di sini, kebanyakan daripadanya digunakan dalam caci-maki, ataupun untuk menunjukkan tanda tidak senang kepada orang yang dilemparkan kata-kata itu. Apabila orang itu merasa malu jika kata-kata seperti itu dilemparkan kepadanya, maka janganlah hendaknya ia berani menyebutnya secara terang-terangan kepada orang lain. Sebab semuanya itu merupakan perkara-perkara yang keji yang harus dijauhi.

Dan punca dari segala kelakuan ini, sama ada bertujuan untuk menyakiti orang lain, ataupun tersebab oleh kebiasaan yang dihasilkan oleh percampurgaulan yang tak sihat dengan orang-orang yang buruk akhlak dan kelakuannya, yang sudah sememang menjadi tabiat mereka suka mencaci-maki dan berbuat pekerjaan-pekerjaan yang keji.
Sekali Peristiwa datang seorang Arab dusun kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: Wahai Rasulullah! Berikanlah aku suatu wasiat! Maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda:

Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau lantaran sesuatu keaiban yang diketahuinya ada padamu, maka janganlah hendaknya engkau membalasnya dengan memalukannya lantaran sesuatui keaibannya yang engkau mengetahui pula, kelak bencananya akan tertimpa atas orang itu, manakala pahalanya pula akan dicatatkan bagimu. Juga jangan sekali-kali memaki sesuatu.”

Setelah mendengar wasiat Rasulullah s.a.w., maka orang dusun itu pun berkata pula: Sesudah itu saya tak pernah memaki-maki lagi.
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

“Pencacian seseorang Mu’min adalah fasik (perkara jahat) dan pembunuhnya adalah kekufuran.”

Lagi sabdanya:

“Orang yang memaki kedua ibu bapanya adalah terlaknat.”
Dan pada riwayat yang lain:
“Seberat-berat dosa besar, ialah bila seseorang itu memaki-maki kedua ibubapanya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah seseorang itu akan memaki-maki kedua ibu bapanya? Jawab Rasulullah s.a.w.: Bila seseorang memaki-maki bapa orang lain, maka orang itu akan membalas memaki-maki bapanya pula.”

Melaknat binatang atau benda yang mati (beku), ataupun melaknat manusia, semua ini adalah dilarang dan terkira sifat yang tercela dalam agama. Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Seseorang Mukmin yang sejati, bukanlah orang yang suka melaknat.”

Pengertian laknat ialah tersingkir dan terjauh dari rahmat Allah Taala dan melemparkan laknat ke atas seseorang itu tidak diharuskan, kecuali kiranya orang itu memang mempunyai sifat tersebut, yakni terjauh dari rahmat Allah azzawajalla. Terjauh dari rahmat Allah swt boleh disebabkan kerana kekufuran ataupun penganiayaan. Tetapi melaknat seorang fasik yang tertentu masih dikira merbahaya juga, sebaik-baiknya ditinggalkan saja, meskipun sesudah kematiannya. Malah lebih-lebih dilarang lagi jika melemparkan laknat itu akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang dari keluarganya yang hidup.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jangan sekali-kali kamu memaki-maki orang yang sudah mati, supaya kamu tidak menyakiti hati orang-orang yang hidup.”

Perkara lain yang dikira hampir sama seperti laknat, ialah mendoakan ke atas seseorang dengan kejahatan (hal-hal yang baik), sekalipun ia seorang yang zalim, maka mendoakan ke atasnya masih dilarang juga.
Dalam suatu khabar dikatakan, Rasulullah s.a.w. pernah berkata:


“Orang yang teraniaya itu akan mendoakan ke atas si zalim (yang menganiayai) sehingga Allah membalasnya.”



Tiada ulasan:

Catat Ulasan