Pintu
masuk Islam adalah kalimah syahadah. Ini merupakan fakta yang diketahui umum.
Apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, maka sucilah dia dari
dosa-dosanya yang lepas, diharamkan dirinya untuk dibunuh oleh Muslim yang
lain, wajib ke atasnya solat lima waktu, berpuasa, zakat dan haji. Wajib juga
ke atasnya menurut segala yang diarahkan Allah swt, dan juga meninggalkan
segala yang dilarang Allah swt.
Dua
kalimah yang pendek dan ringkas ini, nyata-nyata mempunyai pengertian dan
falsafah yang sangat mendalam, yang mana mampu menambahkan keimanan, keyakinan
dan iktiqad seorang Muslim. Di dalam tulisan kali ini, penulis ingin mengajak
kita bersama menghayati falsafah dan makna dua kalimah syahadah La Ilaha
Illallah, Muhammadur Rasulullah.
Sebagaimana
kaedah yang selalu penulis gunakan di tulisan-tulisan yang lepas, kali ini juga
kita akan menggunakan kaedah yang sama, iaitu kita akan melihat satu per satu
perkataan-perkataan di dalam dua kalimah syahadah serta hikmah dan pengajaran
di sebaliknya, insyaAllah.
Kalimah
syahadah La Ilaha Ilallah, terbahagi kepada dua bahagian:-
1) La
ilaaha (An-Nafyu, iaitu penafian)
Selalu
diertikan dengan ‘tiada Tuhan’. Namun pengertian ini tidak begitu tepat, kerana
perkataan ‘Tuhan’ di dalam bahasa Arab ialah ‘Ar-Rob’, sebagaimana di dalam
surah Al-Fatihah, “Alhamdulillahi rabbil ‘alamin”, ‘Segala puji bagi Allah,
Tuhan sekalian alam’. Adapun perkataan ‘ilah’, sebagaimana di dalam syahadah
bermaksud ‘Tuhan yang selayaknya disembah’. Oleh itu, la ilaaha bermaksud
‘tiada Tuhan yang selayaknya disembah’.
Adapun
bahagian pertama kita kenali sebagai An-Nafyu, iaitu penafian, kerana di
dalamnya kita menafikan akan wujud sebarang Tuhan yang layak disembah, dan
ditujukan segala amal ibadah.
2) Illa
Allah (Al-Itsbaat, iaitu penetapan)
Diertikan
dengan maksud ‘melainkan Allah’. Terdapat dua pandangan dari nama datangnya
kalimah nama ‘Allah’ itu sendiri, iaitu:-
i)
pendapat pertama, mengatakan bahawa perkataan Allah itu berasal dari perkataan
‘Ilah’ yang penulis tuliskan di atas. Dari kata akar ‘Ilah’, datang perkataan
Allah. Pendapat ini bukan pendapat yang tepat.
ii)
Pendapat kedua, mengatakan bahawa perkataan Allah itu singular, dan plural bagi
perkataan Allah ialah ‘Ilah’. Ini juga merupakan pendapat yang kurang tepat.
iii)
Adapun pandangan yang ketiga, merupakan pendapat Al-Imam Syafi’e rahimahullah,
dan juga majority para ‘ulama, iaitu perkataan Allah itu tiada kata asalnya,
dan tiada sebarang perkataan lain yang terbit dari perkataan Allah. Bahkan
Allah itu merupakan namanya yang agung, sebagaimana Dia memperkenalkan diriNya
kepada Adam, dan juga sebagaimana Dia menggelarkan diriNya di dalam kitab-kitab
yang diturunkanNya. Ini merupakan pandangan yang paling tepat dan paling
cantik, bersesuaian dengan Allah yang Maha Esa dan mutlak kuasaNya ke atas
segala sesuatu, selayaknya dengan kemuliaanNya.
Rukun
atau bahagian kedua ini, dipanggil ‘Al-Itsbaat’, iaitu penetapan, kerana di
dalamnya kita menetapkan kepercayaan ‘selain Allah’. Bahagian kedua ini, datang
secara bersusulan dengan bahagian yang pertama, ‘La Ilaaha’ tadi.
Mengapakah
kalimah syahadah ini datang dengan dua bahagian, iaitu penafian, dan kemudian
penetapan?
Ini
adalah kerana pernyataan yang datang secara gandingan penafian dan penetapan,
merupakan pernyataan yang paling kukuh dan tepat. Sebagai contoh, kita katakan,
‘Azri ada
di dalam kelas’.
Pernyataan
ini menyatakan bahawa Azri ada di dalam kelas, akan tetapi dalam masa yang sama
ia tidak menafikan kehadiran orang lain, atau dengan kata lain, mungkin
bersama-sama Azri itu, ada orang yang lain di dalam kelas tersebut. Begitu juga
kita katakan,
‘Tiada
sesiapapun di dalam kelas’.
Kenyataan
ini menyatakan bahawa tiada sesiapapun di dalam kelas, iaitu menafikan secara
100% kehadiran seorang manusiapun di dalam kelas.
Sekarang,
cuba kita gandingkan,
‘Tiada
seorang manusiapun di dalam kelas tersebut, melainkan Azri’.
Secara
tepat dan mutlak, kita fahami dari ayat ini bahawa Azri ada di dalam kelas,
wujud, dan tiada seorangpun manusia yang lain selain dari Azri di dalam kelas.
Struktur yang kukuh inilah yang digunakan Allah swt di dalam kalimah syahadah,
iaitu,
‘Tiada
Tuhan yang selayaknya ditujukan segala bentuk ibadah, melainkan Allah’.
Kerana
itulah, kita katakan bahawa pernyataan ini adalah struktur yang paling kukuh di
dalam menetapkan tiada Tuhan yang selayaknya disembah, melainkan Allah.
Penulis
merasakan juga bahawa penting untuk kita ketahui tauhid apakah yang terkandung
di dalam syahadah ini. Sebelum itu, secara ringkas akan penulis bawakan tiga
pembahagian tauhid, iaitu:-
i) tauhid
rububiyah, iaitu tauhid ketuhanan. Sebagaimana namanya, tauhid ini merupakan
keimanan manusia bahawa Allah lah Tuhan yang menciptakan bumi dan langit serta
segala apa yang ada di dalamnya, seluruh perkara ghaib, dan juga sekalian
alam-alam yang kita ketahui dan tidak ketahui, seperti alam rahim, alam roh, alam
akhirat, alam barzakh, alam manusia, alam jin dan lain-lain lagi. Tauhid ini
merupakan tauhid yang am, kerana hatta orang-orang kafir juga terkandung di
dalam hati mereka tauhid ini. Firman Allah swt,
“Dan jikalau engkau bertanya kepada mereka (hai Muhammad), ‘siapakah
yang mencipta bumi dan langit?’ Secara pasti, mereka akan menjawab ‘Allah’”.
Begitu
juga dengan hal Iblis, dia juga beriman dengan tauhid ini. Firman Allah swt
tatkala Iblis enggan sujud kepada Adam as,
“Engkau (Ya Allah) MENCIPTAKAN DIA (ADAM) DARI TANAH, DAN KAU CIPTAKAN
AKU DARI API”.
Perhatikan
dengan teliti bahawa secara langsung Iblis mengiktiraf bahawa Allah swt lah
yang telah menciptakan dirinya dan juga Adam as.
Oleh
kerana itu, bukan tauhid ini yang kita katakan terkandung di dalam syahadah
kita ‘La Ilaaha Illa Allah’.
ii)
tauhid asma’ wa as-sifaat, iaitu tauhid nama-nama dan sifat-sifat Allah swt.
Tauhid ini bermakna kita beriman dan mengakui bahawa Allah swt mempunyai
sifat-sifat dan nama-nama yang baik, 99 yang kita ketahui, dan juga nama-nama
dan sifat-sifat Allah swt yang ghaib dan tidak kita ketahui. Kita hanya
mengetahui 99 daripadanya, kerana itu sahaja jumlah yang dibertahukan kepada
kita oleh Allah swt di dalam Al-Quran, dan Rasulullah saw di dalam hadis
baginda. Adapun yang selebihnya tidak kita ketahui.
Iblis
juga beriman dengan tauhid ini. Firman Allah swt “Dia (Iblis) berkata:
Maka dengan KEKUATANMU, (aku bersumpah) akan aku sesatkan mereka (Adam
as dan keturunannya) kesemuanya”.
Perhatikan
bahawa Iblis bersumpah menggunakan nama dan sifat Allah, iaitu kekuatan
(‘Izzah), dan ini merupakan sebahagian dari nama dan sifat Allah swt. Maka
kerana itu, kita katakan bahawa bukan tauhid ini yang kita selitkan di dalam
syahadah kita.
iii)
tauhid uluhiyyah, iaitu tauhid yang bersifat ‘Ilah. Perhatikan di dalam
perbincangan di atas, ‘Ilah itu bermaksud ‘tiada Tuhan yang selayaknya disembah’.
Maka dengan itu, pengertian tauhid ini ialah tauhid mengesakan Allah swt,
dengan mengakui dengan hati kita bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang
selayaknya disembah, dan ditujukan segala bentuk amalan kita, sama ada keimanan
kita denganNya, solat, puasa, haji dan zakat kita, kesemuanya adalah demi Allah
swt, tiada selain dariNya.
Tauhid
inilah yang membezakan kita dengan orang kafir, kerana hanya orang Islam yang
mukmin sahaja yang menunjukan segala ibadah mereka hanya kepada Allah Yang
Satu.
Maka
dengan itu, tauhid jenis inilah, yang kita sertakan di dalam ucapan kita,
“Tiada Tuhan yang selayaknya ditujukan segala ibadah kita, melainkan kepada
Allah”.
Adapun
syahadah kedua, ‘Muhammadur Rasulullah’, ia tidak mempunyai perbahasan yang
kukuh dan mendalam seperti mana halnya syahadah pertama.
Ini
adalah kerana Yang Esa itu hanyalah Allah swt, adapun para rasul datang dengan
silih berganti. Ucapan Muhammad Rasulullah merupakan ucapan yang khas bagi kita
umat Muhammad. Ini kerana ucapan beriman dengan rasul ini, silih berganti
dengan nabi yang diutuskan kepada umat tersebut.
Sebagai
contoh, umat nabi Nuh as akan mengucapkan ‘was asyhadu anna Nuh Rasulullah”,
‘dan aku bersaksi bahawa Nuh itu rasulullah’. Begitu juga dengan umat Musa as,
‘was asyhadu anna Musa Rasulullah’, umat nabi Isa as ‘was asyhadu anna Isa
Rasulullah’, dan begitulah dengan kita, ‘was asyhadu anna Muhammada
Rasulullah’.
Maka
andaikata kita cuba menghuraikan dua kalimah syahadah secara terperinci, maka
ianya adalah:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang selayaknya aku tujukan segala
bentuk amal ibadahku, dari hatiku, lidahku, amalanku, melainkan kepada Allah,
dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah, yang telah Allah lantik
untuk menyampaikan risalah dan syariatNya, dan dengan pengakuan ini aku
cerminkan di dalam setiap tingkah laku seharianku sebagai orang yang berserah
diri kepada Allah dan mengikuti ajaran Rasulullah saw”.
Persoalan
terakhir, apakah kaitannya di antara dua kalimah syahadah dan amal ibadah kita?
Penulis
teringat satu falsafah dan pandangan yang dikemukakan oleh Imam Ibnul Qayyim
rahimahullah. Beliau menyebut bahawa syarat diterima ibadah kita oleh Allah
swt, mempunyai dua syarat yang boleh kita fahami dari dua kalimah syahadah yang
mana kita berpegang dengannya, iaitu:-
i) dari
syahadah pertama, la ilaaha illa Allah, terkandung di dalamnya ikhlas. Dan
ikhlas yang dimaksudkan di dalam pengertian syariat ialah tauhid, bukan
‘membuat sesuatu tanpa mengharapkan balasan’. Itu cuma merupakan istilah awam
yang kita guna pakai seharian.
Ertikata
ikhlas yang sebenar, sebagaiman firman Allah swt,
“Dan tidaklah mereka (manusia) itu diarahkan (dengan sesuatu), melainkan
agar mereka menyembah Allah dengan hati yang ikhlas kepadanya, agama yang
murni”.
Al-Quran
sendiri telah menafsirkan ertikata ikhlas ini, di dalam surah yang sangat
masyhur, iaitu “Qul huwaallahu ahad, Allahus samad, Lam yalid walam yuulad,
walam yakuullahu kufuan ahad”. ((Katakanlah (hai Muhammad) bahawa Allah
itu Esa, Allah tempat meminta, Dia tidak melahirkan (anak) dan tidak pula Dia
dilahirkan (oleh ibu atau bapa), dan tidak ada baginya saingan walau seorangpun)).
Perhatikan
bahawa kandungan surah ini padat dengan ajaran tauhid, dan nama bagi surah ini
ialah AL-IKHLAS. Maka jelas, bahawa erti al-ikhlas yang paling tepat ialah
AT-TAUHID.
ii)
syahadah yang kedua mengandungii maksud ‘ittiba’, iaitu mengikuti cara dan
garis panduan yang telah digariskan oleh pesuruh Allah, Muhammad Rasulullah
saw. Sesungguhnya Allah lah yang menurunkan kepada Rasulullah, apakah ibadah
yang Dia mahukan dari hambaNya, bagaimanakah ibadah tersebut, dan bagaimanakah
cara perlaksaan ibadah tersebut. Seterusnya Rasulullah saw menunjukkan kepada
kita bagaimana cara perlaksanaannya, maka WAJIBLAH bagi kita mengikuti secara
tepat cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Ini kerana andai kita cuba
melakukan sesuatu selain dari yang diajarkan Rasulullah, bererti kita telah
lari dari konteks yang Allah mahukan dari kita, atau dengan kata lain, ibadah
kita tidak diterima.
Benarlah
sabda Nabi saw di dalam menyokong hal ini, di dalam hadis riwayat Imam Bukhari
dan Muslim, “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari kami (iaitu
bukan dari contoh yang ditunjukkan Nabi saw dan para sahabat) maka amalan itu
tertolak (tidak diterima Allah)”. Juga sabda baginda saw “Sesiapa yang
mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam hal kami ini (iaitu Islam) maka ianya
tertolak (tidak diterima Allah)”.
Kerana
itu, Ibnu Qayyiim menyimpulkan bahawa dua syarat diterima ibadah ialah, 1)isi
hati yang tauhid kepada Allah swt, dan 2) mengikut cara ibadah yang ditunjukkan
Muhammad Rasulullah saw.
Sambung
Imam Ibnu Qayyim juga, syirik itu adalah musuh ketat dan lawan kepada tauhid,
oleh itu sesiapa yang berlaku syirik kepada Allah, bererti dia telah
mengingkari pengakuaanya syahadahnya yang pertama. Kerana itu kita dapati
bahawa amalan syirik merupakan amalan yang mengeluarkan seseorang itu dari
Islam.
Begitulah
juga, lawan dan musuh ketat bagi mengikuti cara Rasul saw, ialah bidaah (iaitu
mengada-adakan bentuk ibadah yang baru, yang tidak pernah ditunjukkan rasul
saw). Maka sebagaiman syirik adalah pembatal syahadah pertama, amalan bidaah
merupakan pembatal syahadah kedua.
Kesimpulannya,
syirik dan bidaah, merupakan musuh no 1 bagi setiap Muslim yang beriman dengan
Allah, RasulNya dan Hari Pembalasan.
Demikianlah
sahaja coretan penulis buat masa kini. Semoga dapat dimanfaatkan bersama.
Sesungguhnya
di dalam diri penulis, amat-amat mengharapkan agar kita semua bersama-sama
mencari semula sunnah baginda saw. Hanya melalui sunnah baginda saw, kita semua
mampu beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat.
Yaa
Allah…sesungguhnya setiap hati yang bernyawa di muka bumi ini, samada dari
kalangan jin atau manusia, adalah milikMu sepenuhnya. Engkau berikan hidayah
kepada sesiapa yang Kau mahu, dan Kau sesatkan sesiapa sahaja yang Kamu mahu.
Maka hindarkanlah kami dari najis syirik dan bidaah, sesungguhnya kami
berlindung denganMu darinya.
Yaa
Allah…mencintai sunnah nabiMu Muhammad saw adalah sebahagian dari keimanan,
bahkan itulah kunci bagi kami beroleh rahmat dan kasih sayangMu, di dunia dan
di akhirat.
Yaa
Allah…kecintaanku padaMu melampaui kecintaanku kepada segala sesuatu, dan
sungguh cintaku kepada kekasihMu Muhammad saw melebihi kecintaanku kepada
sesiapapun di dunia ini. Sungguh aku berharap agar dapat kupupuk diri ini
mengikuti jejak langkahnya…Yaa Allah bantulah aku dalam merindui dan menyintai
dirinya.
Yaa
Allah…bantulah aku di dalam mengerjar cintaMu…Engkau berkata bahawa mereka yang
banyak beramal dengan sunnah akan Engkau cintai…Yaa Allah di saat aku membandingkan
amalanku dengan kemurnian para rasul dan sahabat-sahabat mereka, terasa diriku
jauh dariMu…maafkanlah kesalahan dan kekuranganku, dan walau sejauh manapun
diriku dariMu, Engkau tetap tempat aku bergantung harapan, tempat aku meminta,
mengadu dan memohon belas simpati.
Yaa
Allah…perkenankanlah doaku…andaikata Kau enggan mendengar permintaanku, maka
kepada siapa lagi harus aku memohon…?
Allahumma
Amin.
Yaa
Allah…sudahkah aku sampaikan pesananMu…?
Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin
merupakan salah seorang ahli pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D)
Madrasah Al-Wahidah yang bertanggungjawab menggubal sukatan pelajaran bagi
Program Pendidikan I-LIFT yang menawarkan pakej pendidikan berteraskan Islamisasi
dan Integrasi Ilmu di peringkat taska, tadika & KAFA. Beliau juga merupakan
fellow UniMAP, sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D Al-Quran &
Sunnah (USIM). Penulis boleh dihubungi melalui www.al-wahidah.com & www.abu-intisaar.blogspot.com
By: Ustaz Mohd Azri Bin Mohd Nasaruddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan