Allah Taala berfirman:
Ertinya : "Maka jikalau orang-orang
itu bertaubat dan mendirikan solat serta menunaikan zakat, maka bebaskanlah
jalannya yakni merdekakanlah menurut kemahuan hatinya."
(at-Taubah: 5)
389. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma
bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Saya diperintah untuk
memerangi semua manusia, sehingga mereka suka menyaksikan bahawa tiada Tuhan
kecuali Allah dan bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah dan mendirikan
solat serta menunaikah zakat. Maka jikalau mereka telah melakukan yang
sedemikian itu, terpeliharalah daripadaku darah serta harta benda mereka,
melainkan dengan haknya Islam, sedang hisab(perhitungan amal) mereka adalah
terserah kepada Allah Taala.”
(Muttafaq 'alaih)
390. Dari Abu Abdillah iaitu Thariq bin
as-Syam r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Barangsiapa yang
mengucapkan La ilaha illallah dan kafir mengingkari dengan sesuatu yang
disembah selain daripada Allah, maka haramlah harta benda serta darahnya,
sedang hisabnya adalah terserah kepada Allah."
(Riwayat Muslim)
391. Dari Abu Ma'bad iaitu al-Miqdad bin
al-Aswad r.a., katanya:
Ertinya : "Saya berkata kepada
Rasulullah s.a.w.: "Bagaimanakah pendapat Tuan, jikalau saya bertemu
seseorang dari golongan kaum kafir, kemudian kita berperang, lalu ia memukul
salah satu dari kedua tanganku dengan pedang dan terus memutuskannya.
Selanjutnya ia bersembunyi daripadaku di balik sebuah pohon, lalu ia
mengucapkan: "Saya masuk Agama Islam kerana Allah," apakah orang yang
sedemikian itu boleh saya bunuh, ya Rasulullah sesudah ia mengucapkan kata-kata
seperti tadi itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Jangan engkau
membunuhnya." Saya berkata lagi: "Ia sudah memutuskan salah satu
tangan saya, kemudian mengucapkan sebagaimana di atas itu setelah
memutuskannya." Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Jangan engkau
membunuhnya, kerana jikalau engkau membunuhnya, maka ia adalah menempati
tempatmu sebelum engkau membunuhnya dan sesungguhnya engkau adalah di tempatnya
sebelum ia mengucapkan kata-kata yang diucapkannya itu."
(Muttafaq 'alaih)
Maknanya innahu bimanzilatika:
sesungguhnya ia di tempatmu ialah bahawa orang itu harus dipelihara darahnya
sebab telah dihukumi sebagai orang Islam. Adapun maknanya innaka biman zilatihi: sesungguhnya engkau di tempatnya
ialah bahawa halal darahnya dengan qishash untuk para ahli warisnya, bukan
kerana ia dalam kedudukannya sebagai orang kafir. Wallahu a'lam.'
392. Dari Usamah bin Zaid radhiallahu
'anhuma, katanya:
Ertinya : "Rasulullah s.a.w. mengirim
kita ke daerah Huraqah dari suku Juhainah, kemudian kita berpagi-pagi menduduki
tempat air mereka. Saya dan seorang lagi dari kaum Anshar bertemu dengan
seseorang lelaki dari golongan mereka(musuh). Setelah kita dekat padanya, ia
lalu mengucapkan: La ilaha illallah. Orang dari sahabat Anshar itu menahan diri
daripadanya tidak menyakiti sama sekali, sedang saya lalu menusuknya dengan
tombakku sehingga saya membunuhnya. Setelah kita datang di Madinah, peristiwa
itu sampai kepada Nabi s.a.w., kemudian beliau bertanya padaku: "Hai
Usamah, adakah engkau membunuhnya setelah ia mengucapkan La ilaha
illallah?" Saya berkata: "Ya Rasulullah, sebenarnya orang itu hanya
untuk mencari perlindungan diri saja yakni mengatakan syahadat itu hanya untuk
mencari selamat, sedang hatinya tidak meyakinkan itu." Beliau s.a.w.
bersabda lagi: "Adakah ia engkau bunuh setelah mengucapkan La ilaha
illallah?" Ucapan itu sentiasa diulang-ulangi oleh Nabi s.a.w., sehingga
saya mengharap-harapkan, bahawa saya belum menjadi Islam sebelum hari itu yakni
bahawa saya mengharapkan menjadi orang Islam itu mulai hari itu saja, supaya
tidak ada dosa dalam diriku."
(Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat lain disebutkan: Lalu
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bukankah ia telah mengucapkan La
ilaha illallah, mengapa engkau membunuhnya?" Saya menjawab: "Ya
Rasulullah, hanyasanya ia mengucapkan itu semata-mata kerana takut
senjata". Beliau s.a.w. bersabda: "Mengapa engkau tidak belah saja
hatinya, sehingga engkau dapat mengetahui, apakah mengucapkan itu kerana takut
senjata ataukah tidak yakni dengan keikhlasan". Beliau s.a.w.
mengulang-ulangi ucapannya itu sehingga saya mengharap-harapkan bahawa saya
masuk Islam mulai hari itu saja.
393. Dari Jundub bin Abdullah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
mengirimkan sepasukan dari kaum Muslimin kepada suatu golongan dari kaum
musyrikin dan bahawa mereka itu telah bertemu berhadap-hadapan. Kemudian ada
seseorang lelaki dari kaum musyrikin jikalau menghendaki menuju kepada seorang
dari kaum Muslimin lalu ditujulah tempatnya lalu dibunuhnya. Lalu ada seorang
dari kaum Muslimin menuju orang itu di waktu lengahnya. Kita semua
memperbincangkan bahawa orang itu adalah Usamah bin Zaid. Setelah orang Islam
itu mengangkat pedangnya, tiba-tiba orang musyrik tadi mengucapkan: "La
ilaha illallah." Tetapi ia terus dibunuh olehnya. Selanjutnya datanglah
seorang pembawa berita gembira kepada Rasulullah s.a.w. memberitahukan
kemenangan, beliau s.a.w. bertanya kepadanya perihal jalannya peperangan dan orang
itu memberitahukannya, sehingga akhirnya orang itu memberitahukan pula perihal
orang yang membunuh di atas, apa-apa yang dilakukan olehnya. Orang itu
dipanggil oleh beliau s.a.w. dan menanyakan padanya, lalu sabdanya:
"Mengapa engkau membunuh orang itu?" Orang tadi menjawab: "Ya
Rasulullah, orang itu telah banyak menyakiti di kalangan kaum Muslimin dan
telah membunuh si Fulan dan si Fulan." Orang itu menyebutkan nama beberapa
orang yang dibunuhnya. Ia melanjutkan: "Saya menyerangnya, tetapi setelah
melihat pedang, ia mengucapkan: "La ilaha illallah." Rasulullah
s.a.w. bertanya: "Apakah ia sampai kau bunuh?" Ia menjawab:
"Ya." Kemudian beliau bersabda: "Bagaimana yang hendak kau
perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia telah tiba pada hari kiamat?"
Orang itu berkata: "Ya Rasulullah, mohonkanlah pengampunan kepada Allah
untukku." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana yang hendak kau
perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia telah tiba pada hari kiamat?"
Beliau s.a.w. tidak menambahkan sabdanya lebih dari kata-kata:
"Bagaimanakah yang hendak kauperbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia
telah tiba pada hari kiamat?"
(Riwayat Muslim)
394. Dari Abdullah bin Utbah bin Mas'ud,
katanya:
Ertinya : "Saya mendengar Umar bin
Alkhaththab r.a. berkata: "Sesungguhnya sekalian manusia itu dahulu
diterapi dengan hukum sesuai dengan adanya wahyu yakni di zaman Rasulullah
s.a.w., dan sesungguhnya wahyu itu kini telah terputus tidak datang lagi, sebab
Nabi s.a.w. telah wafat. Maka hanyasanya kami Umar r.a. menuntut engkau semua
dengan dasar apa yang tampak pada kami iaitu mengenai perbuatan-perbuatan yang
engkau semua lakukan. Jadi barangsiapa yang menampakkan perbuatan baik pada
kami, maka kami berikan keamanan dan kami dekatkan kedudukannya pada kami,
sedang urusan apa yang dalam hatinya tidak sedikitpun kami persoalkan, kerana
Allah akan menghisabnya dalam hal isi hatinya itu. Tetapi barangsiapa yang
menampakkan kelakuan buruk pada kami, maka kami tidak akan memberikan keamanan
padanya dan tidak akan percaya ucapannya, sekalipun ia mengatakan bahawasanya
niat hatinya adalah baik."
(Riwayat Bukhari)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan