Allah Taala berfirman:
Ertinya : "Dan orang-orang yang
beriman itu sama meniarap dengan dagunya sambil menangis dan al Quran itu
menambah ketundukan mereka."
(al-lsra': 109)
Allah Taala berfirman lagi:
"Adakah dari pembicaraan(al Quran)
ini engkau semua menjadi hairan, lalu engkau semua ketawa dan tidak
menangis?"
(an-Najm: 59-60)
445. Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya:
"Nabi s.a.w. bersabda kepadaku:
Ertinya : "Bacakanlah al Quran
untukku." Saya berkata: "Ya Rasulullah, apakah saya akan membacakan
al Quran itu, sedangkan ia diturunkan atas Tuan?" Beliau s.a.w. bersabda:
"Saya senang kalau mendengarnya dari orang lain." Saya lalu
membacakan untuknya surat an-Nisa', sehingga sampailah saya pada ayat yang
ertinya: "Bagaimanakah ketika Kami datangkan kepada setiap umat seorang
saksi dan engkau Kami jadikan saksi atas umat ini?" - Surah an-Nisa' 41.
Setelah itu Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Sudah cukuplah bacaanmu
sekarang." Saya menoleh kepada beliau s.a.w., tiba-tiba kedua mata beliau
itu meleleh airmatanya."
(Muttafaq 'alaih)
446. Dari Anas r.a., katanya: "Rasulullah
s.a.w. berkhutbah, tidak pernah saya mendengar suatu khutbahpun yang semacam
itu kerana amat menakutkan. Beliau s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Andaikata engkau semua
dapat mengetahui apa yang saya ketahui, nescaya engkau semua akan ketawa
sedikit dan menangis banyak-banyak." Anas berkata: "Maka para sahabat
Rasulullah s.a.w. sama menutupi mukanya sendiri-sendiri dan mereka itu menangis
terisak-isak."
(Muttafaq 'alaih)
Keterangannya telah lampau dalam bab:
Takut.
447. Dari Abu Hurairah r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Tidak akan masuk neraka
seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga susu itu dapat
kembali ke teteknya menunjukkan suatu kemustahilan. Tidak akan berkumpullah
debu fisabilillah itu* dengan asap neraka Jahanam."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia
mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
448. Dari Abu Hurairah r.a. pula,
katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya : "Ada tujuh macam orang yang
akan dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan
melainkan naunganNya sendiri yakni hari kiamat, iaitu imam kepala atau
pemimpin yang adil. Pemuda yang tumbuh sejak kecilnya dalam beribadat kepada
Allah, orang yang hatinya tergantung sangat memperhatikan kepada masjid-masjid
dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas
keadaan sedemikian itu dan keduanya berpisah atas keadaan sedemikian itu pula,
orang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan berparas
cantik, lalu ia berkata: "Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah,"
demikian pula sebaliknya, iaitu wanita yang diajak lelaki lalu bersikap seperti
di atas, juga orang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan
sedekahnya itu sehingga seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang
dinafkahkan oleh tangan kanannya dan orang yang mengingat pada Allah di waktu
keadaan sunyi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya."
(Muttafaq 'alaih)
Maksudnya ialah berjihad memerangi musuh
agama Allah sewaktu-waktu untuk mengharapkan keredhaanNya.
449. Dari Abdullah bin asy-Syikhkhir
r.a., katanya:
Ertinya : "Saya mendatangi Rasulullah
s.a.w. dan beliau sedang bersolat dan dari dadanya itu terdengar suara bagaikan
mendidihnya kuali kerana beliau sedang menangis."
Hadis hasan shahih yang diriwayatkan
oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dalam
asy-Syamail dengan isnad yang shahih.
450. Dari Anas r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Ubay bin Ka'ab r.a., demikian:
Ertinya : "Sesungguhnya Allah
Azzawajalla menyuruh padaku supaya saya bacakan untukmu ayat ini, ertinya:
"Tidaklah akan dapat meninggalkan orang-orang kafir dari ahlul-kitab dan
musyrik itu akan kepercayaannya yang sesat sampai datang kepada mereka keterangan
yang jelas. "Albayyinah" 1-8. Ia berkata: "Apakah Allah
menjelaskan namaku pada Tuan?" Beliau s.a.w. bersabda: "Ya."
Kemudian Ubay r.a. menangis."
(Muttafaq 'alaih)
Dalam sebuah riwayat lain disebutkan:
"Maka Ubay mulai menangis." - Ubay adalah seorang dari golongan
sahabat Anshar.
Keterangan:
Sebabnya Ubay r.a. menangis ialah kerana
terharu hatinya, gembira bercampur rasa takut kepada Allah Taala, kerana merasa
masih kurang kebaktian serta ketaatan yang dilakukan olehnya. Adapun rasa
terharunya itu di antaranya disebabkan kerana dalam surat
"Albayyinah" bahagian terakhir dijelaskan bahawa orang-orang semacam
sahabat Ubay r.a. itu amat diredhai oleh Allah Taala dan orang itupun
benar-benar sudah redha kepadaNya. Manakala seseorang itu telah diredhai oleh
Allah, maka tiada lain tempatnya di akhirat nanti, kecuali syurga.
451. Dari Anas r.a. pula, katanya:
Ertinya : "Abu Bakar berkata kepada
Umar radhiallahu 'anhuma sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w.: "Mari kita
bersama-sama berangkat ke tempat Ummu Aiman untuk menziarahinya, sebagaimana
halnya Rasulullah s.a.w. juga menziarahinya." Ketika keduanya sampai di
tempat Ummu Aiman, lalu wanita ini menangis. Keduanya berkata: "Apakah
yang menyebabkan engkau menangis? Tidakkah engkau ketahui bahawasanya apa yang
ada di sisi Allah itu lebih baik untuk Rasulullah s.a.w." Ummu Aiman lalu
menjawab: "Sesungguhnya saya tidaklah menangis kerana saya tidak
mengetahui bahawasanya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik untuk
Rasulullah s.a.w., tetapi saya menangis ini ialah kerana sesungguhnya wahyu itu
telah terputus sebab Nabi s.a.w. telah wafat." Maka ucapan Ummu Aiman
menggerakkan hati kedua sahabat itu untuk menangis. Kemudian keduanya itupun
menangis bersama Ummu Aiman.”
Hadis di atas sudah disebutkan dalam
bab: Menziarahi orang-orang ahli kebaikan - lihat Hadis no. 359.
452. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma,
katanya:
Ertinya : "Ketika sudah sangat
geringnya Rasulullah s.a.w., lalu ditanyakan padanya siapa yang akan menjadi
imam solat. Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Perintahkanlah pada Abu Bakar,
supaya ia bersolat menjadi imam orang-orang banyak!" Aisyah radhiallahu
'anha berkata: "Sesungguhnya Abu Bakar itu adalah seorang lelaki yang
lemah, jikalau membaca Al Quran, maka bacaannya terkalahkan oleh tangisnya
sehingga bacaannya tidak jelas." Beliau s.a.w. lalu bersabda lagi:
"Perintahkanlah pada Abu Bakar supaya bersolat sebagai imam!"
Dalam lain riwayat disebutkan: Dari
Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: "Saya berkata:
Ertinya : "Sesungguhnya Abu Bakar itu
apabila mengganti kedudukan Tuan sebagai imam, ia tidak dapat memperdengarkan
suaranya kepada orang-orang banyak sebab tangisnya."
(Muttafaq 'alaih)
453. Dari Ibrahim bin Abdur Rahman bin
'Auf, bahawasanya Abdur Rahman bin 'Auf r.a. diberi hidangan makanan, sedangkan
waktu itu ia berpuasa, lalu ia berkata:
Ertinya : "Mus'ab bin Umair itu
terbunuh fisabilillah. Ia adalah seorang yang lebih baik daripadaku, tetapi
tidak ada yang digunakan untuk mengafaninya(membungkus jenazahnya) kecuali
selembar purdah. Jikalau kepalanya ditutup, maka nampaklah kedua kakinya dan
jikalau kedua kakinya ditutup, maka nampaklah kepalanya. Selanjutnya untuk kita
sekarang ini dunia telah dibeberkan seluas-luasnya(banyak rezeki). Atau ia
berkata: "Kita telah dikurniai rezeki dunia sebagaimana yang kita terima
ini amat banyak sekali. Kita benar-benar takut kalau-kalau kebaikan-kebaikan
kita ini didahulukan untuk kita sekarang sejak kita di dunia ini, sedang di
akhirat tidak dapat bahagian apa-apa." Selanjutnya ia lalu menangis dan
makanan itu ditinggalkan.”
(Riwayat Bukhari)
454. Dari Abu Umamah, iaitu Shuday bin
'Ajlan al-Bahili r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
Ertinya : "Tiada sesuatupun yang
lebih dicintai oleh Allah Taala daripada dua titisan dan dua bekas. Dua titisan
itu ialah titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang
dialirkan fisabilillah. Adapun dua bekas iaitu bekas luka fisabilillah dan bekas
dalam mengerjakan kefardhuan dari beberapa kefardhuan Allah Taala semacam bekas
sujud dan lain-lain."
Diriwayatkan Imam Termidzi dan ia
mengatakan bahawa ini adalah Hadis Hasan.
Dalam bab ini
masih banyak lagi Hadisnya, di antaranya ialah Hadisnya al-'Irbadh bin Sariyah
r.a., katanya: "Kita semua diberi nasihat oleh Rasulullah s.a.w., iaitu
suatu nasihat yang semua hati dapat menjadi takut kerananya dan matapun dapat
melelehkan airmata". Hadis ini telah lalu dalam bab: Melarang
kebidaahan-kebidaahan - lihat Hadis no. 157 dan 171.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan