CARA MANDI HADAS YANG SEMPURNA DAN MUDAH
Soalan; macam mana
mandi hadas besar dengan betul, mudah dan mengikut sunnah nabi. Bolehkah kita menyentuh
kemaluan ketika mandi atau itu boleh membatalkan mandi kita tadi? Saya was-was
dalam hal ini.
Jawapan;
Kaifiyat mandi hadas yang sempurna dan
mudah diamalkan ialah dengan mengikut cara mandi Nabi s.a.w., antaranya yang
diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a sebagaimana berikut;
“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah,
baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke
tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri
itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wuduk sebagaimana
wuduk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan
jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi
seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan
menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke
seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya.”
(HR Imam Muslim).
Dari hadis di atas, dapat kita
simpulkan cara mandi hadas seperti berikut;
1.
Setelah
membaca Bismillah, mulakan dengan membasuh dua tangan. Di dalam hadis yang
lain, ada dinyatakan baginda membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga
kali.
2.
Kemudian
basuh kemaluan dan najis di badan jika ada dengan menggunakan tangan kiri.
3.
Setelah
itu ambil wuduk sebagaimana yang biasa dilakukan.
4.
Kemudian
mulakan mandian dari bahagian kepala terlebih dahulu hingga rata air di seluruh
kepala termasuk di celah-celah rambut.
5.
Selesai
bahagian kepala, lakukan mandian di bahagian badan pula; dari leher ke bawah.
Sunat menjirus bahagian kanan terlebih dahulu, kemudian baru diikuti sebelah
kiri.
6.
Semasa
mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian
yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.
7.
Akhiri
mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok di celah-celah jarinya.
8.
Ketika
mandi itu, jangan lupa berniat di dalam hati melakukan mandi yang diwajibkan atau
berniat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari badan.
Menyentuh kemaluan tidaklah membatalkan
mandi. Ia hanya akan membatalkan wuduk. Semasa mandi, jika menyentuh kemaluan
itu dilakukan dengan niat/tujuan meratakan air ke bahagian kemaluan, tidaklah
perlu mengulangi wuduk kembali selepas mandi kerana sentuhan itu terpaksa
dilakukan untuk menyempurnakan mandi wajib. Namun jika sentuhan itu berlaku
setelah bahagian kemaluan itu telah diratakan air (semasa mandi itu) atau
setelah selesai mandi, maka ketika itu barulah wajib mengambil wuduk kembali
selepas mandi. Adapun mandi, ia tidak terjejas semata-mata dengan menyentuh
kemaluan.
Walahu a’lam.
Rujukan
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/230.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan