Apabila aku melihat manusia
begitu teliti dengan prestasi anak buahnya serta kerjanya, begitu teliti dan
halus kerjanya sehingga setiap dokumen yang dihantar, akan dilihat satu persatu
sehingga setiap baris-baris yang ditulis diperbetulkan.
Apabila aku melihat mereka
yang mengejar prestasi dan markah di dalam pekerjaan, mereka sentiasa
memastikan sampai tepat pada waktunya di pejabat kerana takutkan bos marah dan
kurangnya markah prestasi demi mendapatkan kenaikan pangkat dan tangga gaji. Mereka
bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab yang diberikan.
Apabila kerja tidak disiapkan
seperti yang diminta, kita akan mendengar suara-suara yang berbunyi,
"habislah kita," "bos akan marah kita," "kuranglah
markah kita tahun ni," dan sebagainya.
Apabila aku melihat mereka
yang bersungguh-sungguh menjaga penampilan diri, sehingga benar-benar diteliti
bentuk tudungnya, warna pakaiannya, warna kasutnya, kotoran yang terdapat pada
pakaian dan tubuh badan mereka, make up dan sebagainya.
Begitu juga mereka yang benar-benar
teliti di dalam menghiasi kereta, rumah dan sebagainya. Semuanya dilakukan
dengan sangat teliti.
Terlintas dalam hati aku, Yaa
ALLAH alangkah baiknya jika mereka juga begitu teliti dalam urusan akhirat
serta hubungan mereka denganMu seperti mana mereka begitu teliti di dalam
urusan dunia mereka, nescaya mereka akan menjadi hamba yang hebat di sisiMu. Malangnya
mereka sangat teliti dengan kehidupan dunia mereka tetapi mereka tidak begitu
teliti dengan kehidupan akhirat mereka.
Kita sanggup berkejar-kejar
ke pejabat untuk memastikan sampai tepat pada waktunya tetapi kita tidak
berkejar-kejar kepada ALLAH apabila sampai seruanNya hanya untuk solat. Kita
risau kalau prestasi kita akan jatuh dan dimarahi bos tetapi kita tidak risau
jika prestasi kita dengan ALLAH berkurangan dan dimarahiNya, kita boleh
meninggalkan solat dengan sengaja dan melewat-lewatkannya mengikut kehendak
kita.
Kita begitu teliti di dalam
menjaga penampilan diri tetapi kita tidak begitu teliti di dalam penjagaan hati
sedangkan ALLAH SWT sentiasa melihat hati kita.
Berapa ramai di kalangan kita
yang tidak pandai membaca al Quran, tidak betul bacaan al-fatihah, tidak
sempurna ilmu tentang solat, tidak menutup aurat dengn sempurna, tidak
mendalami hukum hakam agama dan sebagainya. Urusan agama sering kita tangguhkan
sedangkan urusan dunia sering kita dahulukan.
Kita sering memberi alasan,
kita sibuk!!! Tiada masa, banyak kerja yang belum siap dan sebagainya, tetapi
ingatlah malaikat maut itu tidak pernah memberi alasan sibuk, tiada masa dan
sebagainya apabila sampainya ajal kematian kita, apakah segala alasan kita itu
dapat melepaskan diri kita di hadapanNya kelak serta dari kemurkaanNya?
Kesimpulannya, kita sangat
teliti dengan urusan dunia tetapi kita sering lalai dengan urusan akhirat kita
serta hubungan kita dengn ALLAH, sedangkan urusan dunia pasti akan ditinggalkan
suatu hari nanti dan urusan akhiratlah tempat yang kekal abadi yang kita semua
akan kembali ke sana suatu hari nanti.
Manusia begitu sibuk dengan
urusan dunia mereka seolah-olah mereka akan hidup di dunia ini buat selama-lamanya
dan mereka tidak sibuk dengn urusan akhirat mereka seolah-olah mereka tidak
akan kembali ke sana.
Alangkah ruginya manusia yang
tertipu daya dengan kehidupan dunia yang hanya sementara.
TETAPI alangkah bertuahnya
kita apabila setiap perbuatan, kelakuan, pemikiran, tindakan, ibadah dan
lain-lain yang kita lakukan di dunia ini, hanya semata-mata kerana ALLAH SWT.
Semoga kita mendapat kerahmatan dan keredaan ALLLAH SWT di dunia mahupun di
akhirat.
Muhasabah diri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan