Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 31 Disember 2012

K 140 Hikmah disyariatkan pernikahan dalam Islam.

Sungguh ajaib ketentuan Allah SWT, menemukan dua hati berlainan jantina dalam sebuah ikatan pernikahan. Di dalamnya terdapat suatu rahsia yang sungguh luar biasa.
Bagi jiwa yang mendambakan redha RabbNya.
Menarik untuk dikongsikan. Seminggu dua ini, terpapar dibanyak saluran media eletronik, media maya dan juga media cetak tentang suatu isu yang evergreen sehingga kini, iaitu tentang perkahwinan. Menurut kajian yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seramai 2.5 juta penduduk di negara Malaysia yang berumur 25 tahun ke atas tidak berkahwin dengan beberapa faktor yang dinyatakan.
Saya terfikir dan merenung seketika pagi tadi. Akal menerawang jauh seolah-olah mengamati realiti itu. Ya. Sebenarnya soal jodoh, perkahwinan dan pembentukan keluarga itu sangat-sangat dekat dengan kita semua. Semua orang punyai impian, hasrat dan harapan untuk melalui fasa-fasa itu bukan?
Anda pula bagaimana?
Namun, ada sesuatu yang harus dilihat ialah tentang pandangan masyarakat tentang “dunia” perkahwinan itu sendiri. Wujudnya suatu kelompok dan golongan yang menyatakan bahawa tentang kesengsaraan, kesusahan, huru hara dan pahitnya dunia perkahwinan itu. Akibatnya, kini ramai mulai bertimbang-timbang dan berkira-kira untuk tidak memilih untuk berkahwin.
Saya terbaca banyak artikel-artikel yang menonjolkan beberapa public figure, tokoh korporat dan para artis-artis yang memilih untuk hidup membujang kerana pelbagai faktor. Dan menariknya, ada dikalangan mereka begitu “teruja” dan mengesyorkan agar hidup membujang tanpa pasangan itu sebagai suatu pilihan yang baik untuk anak-anak remaja hari ini. Terdiam saya membacanya.
Lihatlah di dada akhbar hari ini, yang ditonjolkan ialah konflik rumahtangga, isu-isu pergaduhan suami isteri, cerita-cerita naik turun-naik turun mahkamah antara pasangan artis dalam menyelesaikan kemelut rumahtangga mereka, perebutan harta antara keluarga-keluarga dan sebagainya. Justeru, akhirnya imej perkahwinan itu kian tercemar dan tercalar.
Lalu, timbullah slogan-slogan dan imej-imej yang negatif tentang perkahwinan. Saya sendiri dihubungi oleh beberapa orang adik serta kenalan yang mengutarakan suatu perasaan bahawa mereka sangat-sangat takut, gerun dan bimbang untuk melalui alam perkahwinan ini.
“ Abang, saya rasa takutlah dan bimbang untuk berkahwin. Bolehkah kalau kita tak kahwin?”
“ Ustaz,  jika kita memilih untuk membujang sehingga akhir hayat agak-agak boleh diterimakah dalam pandangan Islam?”

Lebih kurang begitu bentuk-bentuk perkongsian yang diterima. Ia membuatkan saya terfikir, termenung jauh juga. Agak sukar untuk merespon tentang hal-hal sebegini.

Imej Perkahwinan : Ia harus “dicerahkan” sebersih-bersihnya. Sahabat pembaca, bagaimanakah kalian memandang tentang dunia perkahwinan itu sendiri? Adakah ia suatu yang mesti dan perlu dilalui? Atau kita akan berkahwin kerana semua orang disekeliling kita berkahwin?
Atau, ada yang berpandangan ia hanya pelengkap dalam lalui kehidupan kita sahaja. Terpulang kepada kita sendiri dengan pengalaman, pendapat dan kebijaksanaan “akal” kita dalam menilainya. Justeru, usahlah kita terlalu mementingkan fasa ini dalam kehidupan. Adakah begitu?
Jika itulah yang kita fahami setakat ini, harusnya kita lihat ia dengan kacamata Islam dan bagaimana Islam meletakan perkahwinan sebagai salah satu aspek terpenting dalam peradaban kemanusiaan. Menurut, Sheikh Tariq Ismail Kakhia dalam bukunya,Az-Zauji al-Islamy (Perkahwinan di dalam Islam) menyatakan bahawa Islam sungguh-sungguh mementingkan soal perkahwinan ini. Sehingga, perkahwinanlah dapat memenuhi separuh keagamaan dan keimanan seseorang muslim. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud :

“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telahpun melengkapi separuh daripada agamanya. Maka bertakwalah ia kepada Allah di separuh yang belum lagi.”
( Riwayat Baihaqi)

Seruan Rasulullah SAW  kepada para pemuda-pemudi dengan suatu signal yang sangat jelas dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud :

“Wahai golongan pemuda-pemudi! Siapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, maka hendaklah dia berkahwin, kerana dari perkahwinan boleh menyelamatkan penglihatan dan kemaluan kamu. Dan siapa yang tidak mempunyai kemampuan, maka hendaklah ia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu boleh melemahkan syahwatnya.”
( Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud)

Apa hebatnya dengan perkahwinan dan pernikahan ini?

(1) Berkahwin dapat mendekatkan dan menghampirkan kita dengan Allah SWT. Kemanisan iman itu akan tertingkat jika kita meletakkan matlamat pernikahan itu pada asasnya yang betul dan benar.

(2) Bernikah itu akan memberikan suatu jalan yang bersih, suci dan halal dalam kita melempiaskan keinginan hawa nafsu kita. Malah, hubungan suami isteri itu dikira sebagai ibadah dan diganjari pahala daripada Allah SWT.

(3) Ia juga akan memberikan suatu perasaan yang sungguh membahagiakan, menenangkan dan melapangkan bagi pasangan suami isteri. Indahnya apabila ada insan yang mencintai, menyayangi dan melindungi kita.

(4) Berkeluarga itu adalah suatu anugerah Allah SWT. Ia akan mendewasakan dan mematangkan lagi suami isteri dalam mengurus hal-hal rumahtangga secara bersama. Anugerah ini jika dilalui dengan bersama, wujudnya persefahaman dan serasian ia adalah bentuk-bentuk kejayaan yang akan membawa ahli-ahli keluarga kepada keredhaan Allah SWT.
(5) Suami isteri adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Titik-titik kelemahan dan kekurangan yang ada akan dibantu oleh pasangan untuk sama-sama perbaiki dari satu tahap ke satu tahap. Hal ini, amat sukar difahami kecuali hanya bagi yang telah berkahwin. Nak tahu lebih lanjut? Anda kenalah kahwin dulu.

(6) Satu lagi, perkahwinan itu boleh menambahkan rezeki manusia. MasyaAllah, benar. Ini sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : Dari Aisyah Radiallahu-Anha, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: 

"Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta."
 (Riwayat Al-Imam Al-Bazzar).

(7) Perkahwinan itu satu perkongsian. Bak kata pepatah : Sharing is caring. Dengan berkongsi cita-cita, harapan dan impian. Kita akan lebih kuat, hebat, luar biasa dan bersemangat untuk mencapai serta menggapainya. Itulah hebatnya perkahwinan, jika pasangan hidup kita adalah pasangan yang hebat maka kita akan tertempias aura atau gelombang kehebatannya.

(8) Manusia itu akan sunyi dan sepi tanpa pendamping, teman dan pasangan. Islam memberikan suatu kaedah dalam mengubati kesunyian itu melalui perkahwinan. Melaluinya, pasangan suami isteri dapat berkongsi perasaan, cerita dan segala-galanya secara bersama.

(9) Melalui perkahwinan, insyaAllah. Allah SWT akan anugerahkan cahaya mata dan anak. Ia adalah buah hati yang tidak tergambar bagaimanakah perasaan bagi yang memilikinya. Anak bukanlah bebanan, tetapi suatu amanah yang harus dipelihara dengan sebaiknya.

(10) Rumahtangga ini adalah umpama suatu bentuk organisasi berskala kecil yang di dalamnya terdapat suatu sistem pengurusan yang menyeluruh. Bagi yang berkahwin, mereka akan berusaha mengurusnya sebaik mungkin agar keluarga yang dibina dapat dikendalikan dengan seimbang, teratur dan sistematik.
MasyaAllah – inilah sunnah yang besar manfaat, pahala dan kebaikan bagi yang melihatnya melalui kacamata keimanan dan ketakwaan.

Tips : Harus milik 3 kunci sebelum bernikah
Saya teringat, ketika bersembang-sembang dengan beberapa orang sahabat saya pada suatu hari. Isu yang paling diminati oleh kebanyakan orang.
“ Sebelum berkahwin, biasanya seseorang itu perlu ada tiga “kunci”,” Kata seorang sahabat saya. Ajuan pertanyaan kepada kami semua yang ada.
“ Apa tiga kunci itu?,” Sampuk seorang daripada kami.
“ Haa.. cuba teka,” Katanya.
Semua berfikir-fikir sambil berusaha menjawab. Bicara kami diteruskan sambil menikmati juadah rojak ayam dan nasi ayam di kedai D’Bagan yang sangat menyelerakan.
Terus dia berkata :
“ Pertama, kunci pejabat”,
“ Kedua, kunci kereta”,
“ Ketiga, kunci rumah”,
Kemudian dengan spontan saya berkata, :
“ Ada satu lagi, cuba teka?,”
“ Kunci Syurga!”, Ada yang cuba menambah.
Saya tersenyum sambil menyuap makan ke mulut.
“ Ada satu lagi, tahu apa dia?”
“ Kunci spare!”, Kata Saya.
Masing-masing ternaik kening dan riak muka sedikit teruja. – Smile -
Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti sebelum ini adakah saya benar-benar bersedia atau tidak di saat melangkah kaki ke alam rumahtangga. Namun, dengan ilmu serta pengalaman yang amat-amat sedikit dan terbatas saya melalui dengan penuh usaha untuk lakukan yang terbaik serta meletakan sepenuhnya pergantungan hanya kepada Allah SWT. Kepada-Nya jualah diri ini kembali.
Dan, selain itu juga hasilnya ialah tanggapan saya tentang dunia perkahwinan sebelum berkahwin amat berbeza dengan tanggapan saya tentang alam perkahwinan selepas melaluinya.
Mungkin benarlah, apa yang murabbi saya sebut : “Lalui dunia perkahwinan dengan persepsi yang sederhana, dan di saat-saat melaluinya teruslah belajar dan belajar serta perbaiki diri dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.”
Justeru, apakah yang seharusnya kita lakukan?
Wallahu’alam, berdasarkan bual bicara bersama mereka-mereka yang telah lama dalam fasa ini. Bersedialah bersungguh-sungguh sebelum melangkah ke alam berumahtangga. Ia meliputi minda, hati, fizikal dan rohani. Saya ringkaskan ia berdasarkan apa yang pernah dikongsikan oleh murabbi saya melalui cetusan pandangan oleh Sheikh Hisham al-Wady. Katanya 3 kunci persediaan yang harus ada bagi bakal pengantin sebelum mendirikan rumah tangga iaitu :

(1) Memahami dan mendalami Deen Islam sebagai cara hidup
(2) Mengamati dan fahami perbezaan antara lelaki dan perempuan
 (Serius : Hal ini sangat-sangat penting & ramai yang terlepas pandang)
(3) Mengutip kefahaman sedalamnya tentang dunia perkahwinan itu sendiri

Dan, antara persedian dan persiapan yang paling penting ialah persediaan kejiwaan. Di sinilah titik kekuatan yang paling utuh dan ampuh dalam menghadapi rumahtangga kelak.
3 kunci ini harus kita pegang dan miliki sebelum melangkah ke alam pernikahan atau perkahwinan. 
Rujukan:




K 139 Di manakah Allah SWT di saat kita melakukan maksiat?




Mudah merasa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ada ketika solat, tetapi ketika ingin bermaksiat, bagaimana?

Bukan mudah untuk merasai ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sentiasa mengawasi kita 24/7 dalam kehidupan kita. Rasa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sentiasa Mengawasi. Dalam bahasa Arabnya, disebut muraqabatullah. Tahu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Maha Memerhati dan Maha Mengawasi. Tahu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA itu sentiasa ada, tidak pernah mati. Tetapi, kadang-kadang tindakan kita selalunya tidak menampakkan seolah-olah kita merasai ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Maha Mengawasi. Mudah merasai pengawasan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA bila berada di tengah ramai, tetapi bila seorang diri, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA baginya seolah-olah tidak wujud lagi. Mudah merasai pengawasan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ketika berada dalam terdesak dan kesusahan, tetapi ketika senang dan lapang, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA pun ditinggalkan.
Adakah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA hanya wujud ketika kita bersama dengan kawan-kawan yang soleh sahaja?
Atau adakah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA hanya wujud ketika solat, ketika kita benar-benar terdesak?
Adakah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak wujud pada waktu-waktu lain?

Ambillah Ibrah Daripada Kisah 3 Orang Bani Israil Yang Diuji ALLAH SUBHANAHU WA TAALA

Kisah yang telah kita biasa dengari. 3 orang daripada Bani Israil telah diuji ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan penyakit-penyakit yang menyebabkan masyarakat telah menyisihkan mereka. Mereka adalah yang biasa kita dengari dengan Si Sopak, Si Botak dan Si Buta. Saya tidak akan ceritakan keseluruhan kisah itu di sini. Kisah ini boleh dirujuk dalam kitab Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi. Kisah ini diceritakan oleh NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. Mereka ini semuanya telah didatangi oleh malaikat untuk mendoakan kesembuhan bagi diri mereka. Bahkan, mereka telah ditawarkan dengan binatang ternakan yang mereka inginkan.
Kesemua mereka mendapat apa yang mereka inginkan. Setelah sembuh dan binatang ternakan masing-masing berkembang biak, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah menguji mereka sekali lagi. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA datangkan malaikat sekali lagi dalam keadaan menyerupai manusia yang miskin dan susah untuk menguji mereka.
Setelah berada dalam keadaan yang senang dan sihat, ternyata mereka telah lupakan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Si Sopak dan Si Botak telah gagal dalam ujian itu. Ketika susah, mereka berharap penuh kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Setelah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA anugerahkan kesenangan dan kesihatan kepada mereka, mereka melupakan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Si Buta, tetap dalam keadaan celiknya itu, dalam keadaan beliau yang telah kaya raya itu, masih tetap terus mengingati ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan membenarkan malaikat yang datang mengujinya untuk mengambil sebanyak manapun daripada binatang ternakan yang dimilikinya. Dia tahu yang menilai dirinya semasa dia buta dan semasa dia celik adalah Tuhan yang sama, iaitu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Yang Merasa Longgar Dengan Pengawasan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, Ingatlah Yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Sentiasa Cemburu

Ramai yang tahu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Maha Memerhati. Tetapi berapa ramaikah yang benar-benar merasai dan menjiwai pengawasan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA itu 24/7?
Kadang-kadang, bila berada dalam suasana yang soleh, suasana yang wujudnya peringatan, jiwa kita seolah-olah terasa begitu dekat dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Tetapi, bila pulang ke rumah, tidak ada suasana-suasana yang mengingatkan, kitapun merasa longgar daripada ikatan dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Dalam solat, mampu mewujudkan perasaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Maha Mengawasi. Tetapi, bila keluar daripada solat, perasaan itu seolah-olah tidak pernah wujud. Di celah-celah kelonggaran ikatan kita dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA itulah, syaitan sentiasa mengambil peluang untuk menjauhkan lagi kita daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Maka, kita kembali bermaksiat kepada Allah swt ketika seorang diri. Kita kembali melazimi diri dengan dosa setelah keluar daripada solat. Mampu menjaga ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ketika dalam solat, tetapi gagal menjaga ALLAH SUBHANAHU WA TAALA pergaulan dan percakapan.

Mampu merasa
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ada ketika dalam suasana soleh, tetapi gagal merasa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ada ketika menonton movie, ketika melayari internet. Ingatlah yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA itu sentiasa cemburu dengan hamba-Nya. Kehidupan yang Dia anugerahkan, tetapi kita habiskan majoritinya untuk dosa dan maksiat. Kita jauhkan kehidupan kita daripada pengawasan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA pun merasa cemburu terhadap kita. Bagaimana?
Dalam satu hadis NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang mafhumnya :

‘Sesungguhnya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA itu cemburu dan kecemburuan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA itu ialah apabila seseorang manusia mengerjakan apa-apa yang diharamkan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ke atasnya.’
[Muttafaq Alaih]

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Itu Sentiasa Ada Ketika Kau Ingin Bermaksiat

Ketika ingin bermaksiat, ingatlah balasan yang akan menimpa dirimu di akhirat nanti. Api neraka dengan kepanasannya yang menggelegak sentiasa menunggu hidangannya. Buah zaqqum dan cairan tembaga yang nantinya akan menghancurkan isi perutmu. Ketika ingin bermaksiat, segeralah detikkan pada hati yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sedang Memerhati. Jika masih ada rasa untuk bermaksiat, maka kita memang telah bersedia untuk menanggung seksa kubur, dibelit ular, disengat kala dan disebat malaikat sehingga terbenam ke dalam bumi. Dengan segalanya yang telah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berikan untuk kita layakkah kita membalas ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan dosa-dosa kita yang mengenepikan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA di waktu-waktu senang kita?
Lalu fikirkan pula, setelah kita sentiasa melupakan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, maka ketika saat terdesak, ketika tidak ada siapa yang mampu menolong melainkan hanya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, maka apakah layak bagi kita untuk memohon pertolongan daripadaNya ketika itu? Ingatlah yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sentiasa ada, tidak pernah mati. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang kita sembah ketika solat, adalah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang sama melihat kita ketika ingin bermaksiat. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sentiasa kekal tidak pernah fana.
Kalau menunggu terdesak, baru hendak merasa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ada, baru hendak kembali kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, bimbang kita akan jadi orang yang tidak mempunyai kesempatan untuk kembali seperti Firaun.
Sementara kesempatan masih ada, maka segeralah perbaiki.

Penutup : Yang Berjuang Menjaganya, Akan Mendapat Cinta ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Adakah Yang Lebih Besar Daripada Itu?

Yang terus berjuang menjaga muraqabatullah, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan anugerahkan hadiah untuknya. Dalam segenap kehidupannya, dia sentiasa merasa diperhatikan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Rasa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sedang menilai amal-amalnya. Bila dia merasai ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sentiasa menilai dirinya, maka dirinya sentiasa tergerak untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupannya.
Satu ketika, NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda kepada Ibn Abbas :

“Hai anakku, sesungguhnya saya hendak mengajarkan kepadamu beberapa kalimat iaitu : Peliharalah perintah ALLAH nescaya Dia akan memeliharamu (sepanjang masa), peliharalah larangan ALLAH, nescaya engkau akan dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada ALLAH dan apabila engkau hendak memohon maka mohonlah pertolongan dari ALLAH.”

Yang berjuang menjaga ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam senang dan susahnya, dalam ramai dan seorangnya, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA juga akan menjaganya setiap masa dan di mana jua dia berada.
Lihatlah, yang berjuang menjaga muraqabatullah pastinya akan mendapat cinta ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Maka, ketika ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ingin menganugerahkan cintaNya kepada kita, adakah yang lebih besar daripada itu?
Pasti. Pastinya tidak ada. Jadi, apa lagi yang ditunggu?
Segeralah rebut nilaian ALLAH SUBHANAHU WA TAALA!
Rujukan:



K 138 Hati yang basah mengingati Allah SWT.

Ikhlas dalam kebaikan merupakan suatu tuntutan. Namun, ia adalah perkara yang paling sukar untuk dipraktikkan kerana ia wujud bukan dari percakapan atau perbualan tetapi dari dalam hati sanubari yang diterjemah dalam amalan sehari-hari. Ikhlas merupakan barisan dari barisan amalan hati bahkan ia berada pada titik permulaan disebabkan ia penentu ganjaran bagi setiap perbuatan.

Tauhid

Mungkin kita tidak sedari sebenarnya ikhlas merupakan buah tauhid yang murni. Lawan bagi keikhlasan adalah riak dan ia merupakan syirik yang tersembunyi. Oleh yang demikian, jika manusia melakukan sesuatu perbuatan bukan keranaNya, maka ia seolah-olah meminta pertolongan daripada yang lain. Ia amat bertentangan dengan tujuan sebenar kita dicipta di atas muka bumi ini. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(Surah 51  ADZ DZAARIYAAT : 56)

Peranan

Niat yang ikhlas memainkan peranan yang penting dalam amalan. Oleh sebab itu, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberi pilihan bagi manusia untuk menentukan arah niat yang mereka hajati tetapi ia bakal diadili nanti. Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :

“Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu.”
(Surah 3  ALI  IMRAN :145)

NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM juga ada bersabda daripada Umar Al-Khattab ra:

“Setiap amal disertai dengan niat. Setiap amal seseorang bergantung dengan apa yang diniatkannya.”
(HR Bukhari)

Melalui dua sumber utama umat Islam ini menjelaskan peranan niat yang ikhlas dan kaitannya dalam setiap tingkahlaku kita. Justeru, keikhlasan amat dituntut bagi memastikan amalan yang dikerjakan lebih sempurna dan mendapat ganjaran dariNya kerana jika amalan kita lucut dari keikhlasan maka ia suatu yang merugikan. 
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman:

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”
(Surah 25  AL FURQAAN : 23)

Berbeza

Suatu amal kebajikan yang dibuat oleh sebilangan manusia boleh jadi berbeza ganjarannya. Boleh jadi si fulan melakukan amal itu mendapat lebih ganjaran pahala atau sekadar secukupnya, bahkan boleh jadi ia bertukar menjadi dosa. Hal ini disebutkan dalam maksud hadis kepemilikan kuda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari hadis Abu Hurairah:

Kuda itu ada tiga jenis:
1.    Kuda bagi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA : Kuda yang dipersiapkan untuk tujuan jihad di jalan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Setiap urusan yang berkaitan dengannya merupakan pahala.
2.    Kuda bagi syaitan : Kuda yang dipersiapkan untuk tujuan taruhan. Setiap urusan yang berkaitan dengannya merupakan dosa.
3.    Kuda bagi manusia : Kuda yang dipersiapkan untuk tujuan mata pencarian. Maka kuda ini merupakan penghalang bagi menutup lubang kemiskinan.
Begitu gambaran kepada manusia, bahawa kepentingan berniat dengan perkara yang baik dan melaziminya untuk sentiasa diperbaharui bagi mengejar darjat keikhlasan.

2H – 1H?

2H adalah perkara yang halal dan harus yang mana keduanya boleh berubah hukum berdasarkan niat seseorang. Manakala 1H adalah haram yang mana hukum tetap dan tidak berubah.
Sebagai contoh dalam perkara yang halal bertukar menjadi haram ialah penyembelihan. Asal penyembelihan adalah halal jika diniatkan kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan disebutkan namaNya dan dilakukan di tempat yang sepatutnya. Namun ia bertukar menjadi haram apabila dilakukan kerana selainNya ditambah dilakukan di tempat yang tidak dibenarkan seperti di tanah perkuburan.

Harus seperti yang diketahui jika melakukannya tidak mendapat apa-apa begitu juga jika ditinggalkan. Amatlah rugi bagi kita melazimi rutin seharian namun tiada sebarang ganjaran yang mana hanya dibezakan dengan niat. Sebagai contoh dalam hal makan dan minum. Ia boleh bertukar menjadi ibadat yang ada padanya ganjaran kebaikan dengan diniatkan agar makanan yag kita jamahi memperkuatkan tubuh badan dalam beramal kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Bukankah lebih baik? Justeru, jangan biarkan kehidupan seharian anda tanpa ada imbalan pahala.

Bagi perkara yang jelas pengharamannya seperti arak, zina, mencuri dan sebagainya, niat tidak memberi sebarang kesan kerana permulaan bagi amalan-amalan ini merupakan perkara yang dilarang walaupun semurni manapun niat seseorang itu. Sebagai contoh seseorang itu mencuri untuk ia sedekahkan kepada orang yang memerlukan. Niat sucinya tidak menghalalkan perbuatannya itu. Justeru, hanya kebaikan yang terzahir dari sumber yang baik sahaja yang diterimaNya. NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM ada bersabda daripada Abu Hurairah ra :

“Sesungguhnya ALLAH itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik.”
(HR Muslim)

Dasar penerimaan amal

Dalam kita melaksanakan sesuatu amalan kebaikan, pusat penerimaan amalan kita dinilai secara batin (dalaman) dan zahirnya (luaran). Oleh yang demikian, ulama menggariskan paksi penerimaan sesuatu amalan kepada 2:

1.    Niat yang ikhlas dan benar.
Sebagaimana hadis yang disebutkan di atas setiap amalan disertai dengan niat yang mewakili ruangan batin manusia dalam penerimaan amal.

 2. Bertepatan dengan Al Quran dan Sunnah
Mewakili ruangan zahir manusia sebagaimana hadis NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM:

“Barangsiapa mengerjakan sesuatu amalan yang tidak mengikut perintah kami, maka ia tertolak.”
(HR Muslim)

[Matlamat tidak menghalalkan cara]
Mungkin kaedah ini sesuai digunakan kerana ia menggambarkan kepada kita bahawa setiap amalan itu bukan sahaja diterima atas keikhlasan niat tetapi melalui cara yang bertepatan dengan nas agama.

Salah Faham

Kebaikan adalah fitrah dalaman bagi setiap insan. Tiada manusia tidak sukakan kebaikan kecuali jasadnya manusia tetapi berhati syaitan. Namun, dalam melakukan kebaikan sudah tentu datang bisikan-bisikan yang menjadi gangguan. Bagi mereka mempunyai hati yang cekal, kebaikan itu terus-menerus dikerjakan sambil diiringi dengan semaian keikhlasan. Bagi mereka yang meninggalkannya, ketahuilah maka syaitan telah berjaya menewaskan anda! Ironinya, jangan pernah berhenti melakukan kebaikan kerana ia dapat menghapuskan keburukan. Sabda NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM melalui lisan Muaz bin Jabal:

“Bertakwalah kepada ALLAH di mana saja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu menghapus keburukan dan pergauilah manusia dengan akhlak yang baik.”
(HR Tirmidzi, hasan sahih)

Hakikat keikhlasan itu dipandu oleh niat yang murni. Namun, satu perkara yang perlu ditekankan iaitu niat itu bukan melalui lafaz bukan juga aturan minda. Oleh itu, lafaz yang baikpun bukan penentu keikhlasan. Lafaz niat melalui gerakan lidah tidak membawa erti sebenar niat bukan juga melalui permainan minda. Ia hanya salah satu tanda manusia itu berniat. Berapa ramai dewasa kini, melafazkan niat dalam sesuatu akad kewangan contohnya namun dalam sistem operasinya masih mengamalkan riba dan seumpamanya.
Adapun niat sebenarnya ditentukan melalui keazaman seseorang dalam ingin melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya mengandungi segala yang tersirat mengenai sesuatu perlaksanaan. Selari dengan pendapat Dr Yusuf Qardawi dalam karyanya. 

‘Konsep Niat dan Ikhlas Menurut Islam’.

“Niat merupakan amal hati secara murni, bukan amal lidah.”

Percampuran

Manusia lemah. Kadang permulaan amalan ikhlas muncul. Di pertengahan ada yang gugur ada yang masih bertahan. Namun, keikhlasan sebenarnya paling sukar dijaga selepas suatu amalan itu dikerjakan kerana ia diselimuti oleh gambaran perkara baik yang cuba kita kongsikan kepada orang lain.
Bagi perkara yang dilaksana hanya kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, tiada masalah kerana sudah tentu beroleh ganjaran. Begitu pula sebaliknya jika buat kerana yang lain (riak) maka amalan itu tertolak bahkan membawa kepada syirik. Mungkin timbul suatu persoalan bagaimana amalan yang terdapat pecampuran ikhlas dan riak kerana hati manusia sentiasa bergolak? Saya mengambil pendapat imam ibn Rajab dalam menjelaskan perkara ini.

Kebaikan tidak selari dengan keburukan. Jika salah satu naik semestinya turun bagi yang lain. Dalam hal ini, manusia yang dipermulaannya ikhlas kemudian didatangi bibit riak tidak lupus terus ganjarannya tetapi ia berkurangan. Di sini istighfar atau taubat itu memainkan peranan untuk melengkapi semula segala amalan. Bagi yang awalnya riak kemudian ia bertaubat maka kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA lah tempat berserah. Moga-moga amal kita yang dahulunya diterima kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman:

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, ALLAH akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan.”
(Surah 25  AL FURQAAN : 70)

Ketaatan yang dinampakkan dan disembunyikan

Mungkin ramai kita beranggapan bahawa semua amalan jika ingin keikhlasan secara total perlu disembunyikan. Dari satu sudut ada benarnya. Namun saya memandang sudut yang lain iaitu jika manusia menampakkan amalan yang wajib (dengan keikhlasan terjaga) atas sebab menampakkan kecantikan Islam, bagi saya ia merupakan suatu usaha dakwah yang berjaya terutama orang yang jauh dari fahaman islam sama ada orang islam sendiri mahupun bukan islam.

Adapun dalam amalan sunat, kita lebih digalakkan untuk melakukan secara sembunyi dan sebab itu jugalah adanya ibadah qiam( bangun malam) sunat bagi menguji keikhlasan para hamba. Tambahan bagi bab dosa pula, kita amat dituntut untuk menutup aib kita sendiri lebih-lebih lagi orang lain kerana disebutkan dalam hadis baginda tidak bersua dengan wajah penzina kecuali selepas beberapa kali penzina itu mengaku. Ia menggambarkan kepada kita dosa yag kita lakukan dan sedar ia merupakan suatu kesalahan maka adalah lebih baik kita sendiri yang sembunyikan dan memohon keampunan.

Kayu ukur

Hakikatnya ukuran keikhlasan bukan terletak pada bahu manusia. Kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA jua untuk menilainya. Cuma mungkin beberapa perkara yang boleh kita teliti untuk memuhasabah diri sendiri bukan menjadi bukti untuk menidakkan  keikhlasan orang lain. Antaranya adalah takut populariti. Namun perlu dijelaskan juga takut populariti bukan bermaksud lari dari dunia popular kerana jika itu menjadi tafsirannya bagaimana imam-imam besar terdahulu dikenali hingga kini jika mereka tiada populariti?

Apa yang perlu kita faham, terutama pada aktiviti dakwah adalah bukan tujuan popular itu menjadi batu tanda namun penyampaian maklumat itu lebih utama. Adapun populariti itu datang dari masyarakat yang menilai bukan melalui diri sendiri yang cuba menggapai (melalui jalan yang salah seperti membesarkan diri). Amatlah rugi bagi seseorang yang mempunyai idea yang matang namun tidak boleh sampai ke tengah masyarakat hanya kerana bertopengkan maksud keikhlasan yang cetek.
Antara kayu ukur lain adalah seseorang itu tidak tenggelam dengan pujian dan tidak pula lokek untuk memberi pujian pada yang selayaknya. Di samping itu, orang yang ikhlas berusaha berbuat selayaknya dalam memimpin selain menjadikan reda ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebagai tujuan.

Dorongan dan hasil dapatan

Sebagai kesimpulan, keikhlasan merupakan suatu perkara yang amat sukar diperoleh tetapi ia bukan suatu yang mustahil. Insan sememangnya lemah. Oleh itu, sebagai usaha kita menuju keikhlasan, usahalah mencari pendorong-pendorong yang boleh mengingatkan kita kepentingan sifat ini. Antaranya kita bolehlah bertemankan dengan orang-orang yang kita merasai keikhlasannya, selain membaca sirah orang yang mukhlis dan memperkuatkan ilmu kita bagi memudahkan melawan hawa nafsu yang bermaharajalela.
Adapun hasil dapatan di akhirat sudah tentu berupa nikmat yang tidak dapat kita lihat. Namun di dunia ini, orang yang ikhlas dan cuba ke arah keikhlasan akan merasai ketenangan jiwa yang abadi serta memperoleh kekuatan rohani yang tidak boleh ditandingi di samping kesinambungan amal yang terus-menerus kekal.
Wallahualam~

http://langitilahi.com/9848