Ikhlas dalam kebaikan merupakan suatu tuntutan. Namun, ia adalah perkara yang paling sukar untuk dipraktikkan kerana ia wujud bukan dari percakapan atau perbualan tetapi dari dalam hati sanubari yang diterjemah dalam amalan sehari-hari. Ikhlas merupakan barisan dari barisan amalan hati bahkan ia berada pada titik permulaan disebabkan ia penentu ganjaran bagi setiap perbuatan.
Tauhid
Mungkin kita tidak sedari sebenarnya ikhlas merupakan buah tauhid yang murni. Lawan bagi keikhlasan adalah riak dan ia merupakan syirik yang tersembunyi. Oleh yang demikian, jika manusia melakukan sesuatu perbuatan bukan keranaNya, maka ia seolah-olah meminta pertolongan daripada yang lain. Ia amat bertentangan dengan tujuan sebenar kita dicipta di atas muka bumi ini. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(Surah 51 ADZ DZAARIYAAT : 56)
Peranan
Niat yang ikhlas memainkan peranan yang penting dalam amalan. Oleh sebab itu, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberi pilihan bagi manusia untuk menentukan arah niat yang mereka hajati tetapi ia bakal diadili nanti. Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :
“Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu.”
(Surah 3 ALI IMRAN :145)
NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM juga ada bersabda daripada Umar Al-Khattab ra:
“Setiap amal disertai dengan niat. Setiap amal seseorang bergantung dengan apa yang diniatkannya.”
(HR Bukhari)
Melalui dua sumber utama umat Islam ini menjelaskan peranan niat yang ikhlas dan kaitannya dalam setiap tingkahlaku kita. Justeru, keikhlasan amat dituntut bagi memastikan amalan yang dikerjakan lebih sempurna dan mendapat ganjaran dariNya kerana jika amalan kita lucut dari keikhlasan maka ia suatu yang merugikan. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman:
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”
(Surah 25 AL FURQAAN : 23)
Berbeza
Suatu amal kebajikan yang dibuat oleh sebilangan manusia boleh jadi berbeza ganjarannya. Boleh jadi si fulan melakukan amal itu mendapat lebih ganjaran pahala atau sekadar secukupnya, bahkan boleh jadi ia bertukar menjadi dosa. Hal ini disebutkan dalam maksud hadis kepemilikan kuda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari hadis Abu Hurairah:
Kuda itu ada tiga jenis:
1. Kuda bagi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA : Kuda yang dipersiapkan untuk tujuan jihad di jalan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Setiap urusan yang berkaitan dengannya merupakan pahala.
2. Kuda bagi syaitan : Kuda yang dipersiapkan untuk tujuan taruhan. Setiap urusan yang berkaitan dengannya merupakan dosa.
3. Kuda bagi manusia : Kuda yang dipersiapkan untuk tujuan mata pencarian. Maka kuda ini merupakan penghalang bagi menutup lubang kemiskinan.
Begitu gambaran kepada manusia, bahawa kepentingan berniat dengan perkara yang baik dan melaziminya untuk sentiasa diperbaharui bagi mengejar darjat keikhlasan.
2H – 1H?
2H adalah perkara yang halal dan harus yang mana keduanya boleh berubah hukum berdasarkan niat seseorang. Manakala 1H adalah haram yang mana hukum tetap dan tidak berubah.
Sebagai contoh dalam perkara yang halal bertukar menjadi haram ialah penyembelihan. Asal penyembelihan adalah halal jika diniatkan kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan disebutkan namaNya dan dilakukan di tempat yang sepatutnya. Namun ia bertukar menjadi haram apabila dilakukan kerana selainNya ditambah dilakukan di tempat yang tidak dibenarkan seperti di tanah perkuburan.
Harus seperti yang diketahui jika melakukannya tidak mendapat apa-apa begitu juga jika ditinggalkan. Amatlah rugi bagi kita melazimi rutin seharian namun tiada sebarang ganjaran yang mana hanya dibezakan dengan niat. Sebagai contoh dalam hal makan dan minum. Ia boleh bertukar menjadi ibadat yang ada padanya ganjaran kebaikan dengan diniatkan agar makanan yag kita jamahi memperkuatkan tubuh badan dalam beramal kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Bukankah lebih baik? Justeru, jangan biarkan kehidupan seharian anda tanpa ada imbalan pahala.
Bagi perkara yang jelas pengharamannya seperti arak, zina, mencuri dan sebagainya, niat tidak memberi sebarang kesan kerana permulaan bagi amalan-amalan ini merupakan perkara yang dilarang walaupun semurni manapun niat seseorang itu. Sebagai contoh seseorang itu mencuri untuk ia sedekahkan kepada orang yang memerlukan. Niat sucinya tidak menghalalkan perbuatannya itu. Justeru, hanya kebaikan yang terzahir dari sumber yang baik sahaja yang diterimaNya. NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM ada bersabda daripada Abu Hurairah ra :
“Sesungguhnya ALLAH itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik.”
(HR Muslim)
Dasar penerimaan amal
Dalam kita melaksanakan sesuatu amalan kebaikan, pusat penerimaan amalan kita dinilai secara batin (dalaman) dan zahirnya (luaran). Oleh yang demikian, ulama menggariskan paksi penerimaan sesuatu amalan kepada 2:
1. Niat yang ikhlas dan benar.
Sebagaimana hadis yang disebutkan di atas setiap amalan disertai dengan niat yang mewakili ruangan batin manusia dalam penerimaan amal.
2. Bertepatan dengan Al Quran dan Sunnah
Mewakili ruangan zahir manusia sebagaimana hadis NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM:
“Barangsiapa mengerjakan sesuatu amalan yang tidak mengikut perintah kami, maka ia tertolak.”
(HR Muslim)
[Matlamat tidak menghalalkan cara]
Mungkin kaedah ini sesuai digunakan kerana ia menggambarkan kepada kita bahawa setiap amalan itu bukan sahaja diterima atas keikhlasan niat tetapi melalui cara yang bertepatan dengan nas agama.
Salah Faham
Kebaikan adalah fitrah dalaman bagi setiap insan. Tiada manusia tidak sukakan kebaikan kecuali jasadnya manusia tetapi berhati syaitan. Namun, dalam melakukan kebaikan sudah tentu datang bisikan-bisikan yang menjadi gangguan. Bagi mereka mempunyai hati yang cekal, kebaikan itu terus-menerus dikerjakan sambil diiringi dengan semaian keikhlasan. Bagi mereka yang meninggalkannya, ketahuilah maka syaitan telah berjaya menewaskan anda! Ironinya, jangan pernah berhenti melakukan kebaikan kerana ia dapat menghapuskan keburukan. Sabda NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM melalui lisan Muaz bin Jabal:
“Bertakwalah kepada ALLAH di mana saja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu menghapus keburukan dan pergauilah manusia dengan akhlak yang baik.”
(HR Tirmidzi, hasan sahih)
Hakikat keikhlasan itu dipandu oleh niat yang murni. Namun, satu perkara yang perlu ditekankan iaitu niat itu bukan melalui lafaz bukan juga aturan minda. Oleh itu, lafaz yang baikpun bukan penentu keikhlasan. Lafaz niat melalui gerakan lidah tidak membawa erti sebenar niat bukan juga melalui permainan minda. Ia hanya salah satu tanda manusia itu berniat. Berapa ramai dewasa kini, melafazkan niat dalam sesuatu akad kewangan contohnya namun dalam sistem operasinya masih mengamalkan riba dan seumpamanya.
Adapun niat sebenarnya ditentukan melalui keazaman seseorang dalam ingin melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya mengandungi segala yang tersirat mengenai sesuatu perlaksanaan. Selari dengan pendapat Dr Yusuf Qardawi dalam karyanya.
‘Konsep Niat dan Ikhlas Menurut Islam’.
“Niat merupakan amal hati secara murni, bukan amal lidah.”
Percampuran
Manusia lemah. Kadang permulaan amalan ikhlas muncul. Di pertengahan ada yang gugur ada yang masih bertahan. Namun, keikhlasan sebenarnya paling sukar dijaga selepas suatu amalan itu dikerjakan kerana ia diselimuti oleh gambaran perkara baik yang cuba kita kongsikan kepada orang lain.
Bagi perkara yang dilaksana hanya kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, tiada masalah kerana sudah tentu beroleh ganjaran. Begitu pula sebaliknya jika buat kerana yang lain (riak) maka amalan itu tertolak bahkan membawa kepada syirik. Mungkin timbul suatu persoalan bagaimana amalan yang terdapat pecampuran ikhlas dan riak kerana hati manusia sentiasa bergolak? Saya mengambil pendapat imam ibn Rajab dalam menjelaskan perkara ini.
Kebaikan tidak selari dengan keburukan. Jika salah satu naik semestinya turun bagi yang lain. Dalam hal ini, manusia yang dipermulaannya ikhlas kemudian didatangi bibit riak tidak lupus terus ganjarannya tetapi ia berkurangan. Di sini istighfar atau taubat itu memainkan peranan untuk melengkapi semula segala amalan. Bagi yang awalnya riak kemudian ia bertaubat maka kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA lah tempat berserah. Moga-moga amal kita yang dahulunya diterima kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman:
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, ALLAH akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan.”
(Surah 25 AL FURQAAN : 70)
Ketaatan yang dinampakkan dan disembunyikan
Mungkin ramai kita beranggapan bahawa semua amalan jika ingin keikhlasan secara total perlu disembunyikan. Dari satu sudut ada benarnya. Namun saya memandang sudut yang lain iaitu jika manusia menampakkan amalan yang wajib (dengan keikhlasan terjaga) atas sebab menampakkan kecantikan Islam, bagi saya ia merupakan suatu usaha dakwah yang berjaya terutama orang yang jauh dari fahaman islam sama ada orang islam sendiri mahupun bukan islam.
Adapun dalam amalan sunat, kita lebih digalakkan untuk melakukan secara sembunyi dan sebab itu jugalah adanya ibadah qiam( bangun malam) sunat bagi menguji keikhlasan para hamba. Tambahan bagi bab dosa pula, kita amat dituntut untuk menutup aib kita sendiri lebih-lebih lagi orang lain kerana disebutkan dalam hadis baginda tidak bersua dengan wajah penzina kecuali selepas beberapa kali penzina itu mengaku. Ia menggambarkan kepada kita dosa yag kita lakukan dan sedar ia merupakan suatu kesalahan maka adalah lebih baik kita sendiri yang sembunyikan dan memohon keampunan.
Kayu ukur
Hakikatnya ukuran keikhlasan bukan terletak pada bahu manusia. Kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA jua untuk menilainya. Cuma mungkin beberapa perkara yang boleh kita teliti untuk memuhasabah diri sendiri bukan menjadi bukti untuk menidakkan keikhlasan orang lain. Antaranya adalah takut populariti. Namun perlu dijelaskan juga takut populariti bukan bermaksud lari dari dunia popular kerana jika itu menjadi tafsirannya bagaimana imam-imam besar terdahulu dikenali hingga kini jika mereka tiada populariti?
Apa yang perlu kita faham, terutama pada aktiviti dakwah adalah bukan tujuan popular itu menjadi batu tanda namun penyampaian maklumat itu lebih utama. Adapun populariti itu datang dari masyarakat yang menilai bukan melalui diri sendiri yang cuba menggapai (melalui jalan yang salah seperti membesarkan diri). Amatlah rugi bagi seseorang yang mempunyai idea yang matang namun tidak boleh sampai ke tengah masyarakat hanya kerana bertopengkan maksud keikhlasan yang cetek.
Antara kayu ukur lain adalah seseorang itu tidak tenggelam dengan pujian dan tidak pula lokek untuk memberi pujian pada yang selayaknya. Di samping itu, orang yang ikhlas berusaha berbuat selayaknya dalam memimpin selain menjadikan reda ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebagai tujuan.
Dorongan dan hasil dapatan
Sebagai kesimpulan, keikhlasan merupakan suatu perkara yang amat sukar diperoleh tetapi ia bukan suatu yang mustahil. Insan sememangnya lemah. Oleh itu, sebagai usaha kita menuju keikhlasan, usahalah mencari pendorong-pendorong yang boleh mengingatkan kita kepentingan sifat ini. Antaranya kita bolehlah bertemankan dengan orang-orang yang kita merasai keikhlasannya, selain membaca sirah orang yang mukhlis dan memperkuatkan ilmu kita bagi memudahkan melawan hawa nafsu yang bermaharajalela.
Adapun hasil dapatan di akhirat sudah tentu berupa nikmat yang tidak dapat kita lihat. Namun di dunia ini, orang yang ikhlas dan cuba ke arah keikhlasan akan merasai ketenangan jiwa yang abadi serta memperoleh kekuatan rohani yang tidak boleh ditandingi di samping kesinambungan amal yang terus-menerus kekal.
Wallahualam~
http://langitilahi.com/9848
Tiada ulasan:
Catat Ulasan