Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina
Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke
Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir
menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas,
Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata,“Jangan takut, ALLAH bersama kita.”
Itulah kehebatan
Rasulullah saw, ALLAH swt sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da’thur, seorang tentera musuh
menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan
bertanya, “Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?”
Informasi
iluvislam.com
Jadilah ‘blogstarz’ dan kunjungi http://web.iluvislam.com untuk meralisasikannya dan dapatkan
segera pakej hosting bermula serendah RM69 setahun dan promosi diskaun 50% merdeka DOMAIN .MY sekarang juga! Gunakan kod kuponMY50MERDEKA.
Jawab Rasulullah saw penuh yakin, “ALLAH.”
Mendengar jawapan itu, gementarlah
Da’thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah saw…
sentiasa ada DIA di hati baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu
ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di
sebuah padang pasir. “Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada
kambing-kambing yang banyak ini?”
“Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini
bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya
sahaja.”
“Kambing ini terlalu banyak dan tidak
ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan
kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala,
tuanmu tidak akan mengetahuinya,” desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
“Kalau begitu, di mana ALLAH?” ujar budak itu.
Saidina Umar terdiam dan kagum dengan
keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang
gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya,
dia punya kedudukan yang tinggi di sisi ALLAH swt. Jelas ada DIA di hatinya.
Ketika kamu tiada jawatan?
Satu ketika yang lain, Saidina Khalid
Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar
biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang
dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikitpun perasaan dan semangat
jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid
menjawab, “Aku berjuang bukan kerana
Umar.” Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH swt.
Ada DIA di hatinya.
Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku
terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH swt sentiasa menjadi
pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH swt ciptakan manusia hanya
dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH swt bersemi. Jika
cinta ALLAH swt yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi
jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH swt
akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!
Sering diri ini berbicara sendiri,
bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata
mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);
“Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah
memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang
hakiki.”
Kata-kata itu sangat menghantui
diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH swt
menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan
laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila bertembung antara kehendak-NYA
dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi
hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku
tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk
patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika
melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan
indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah
menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa
hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.
Dan aku juga tidak dapat mendustai
diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika
seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan,
“Apakah engkau takutkan ALLAH?”
Dia menangis dan menjawab, “Aku serba salah untuk menjawab ya atau
tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya
kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza
dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila
mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak…”
Maksudnya, jika seorang sufi yang
hatinya begitu hampir dengan ALLAHpun sukar bila ditanyakan apakah
ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.
Di hatiku masih ada dua cinta yang
bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH swt dan cinta dunia sedang
berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, “Adakah DIA di
hatimu?”
Aku hanya mampu menjawab, ”Aku seorang insan yang sedang bermujahadah
agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku
yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA.”
Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku
belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku
yakin ALLAH swt itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu
kemurkaan-NYA.
Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat.
Dan akhirnya… aku yakin… suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu
jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan