Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 22 November 2012

K 2 TIGA Cahaya hati yang lahir dari amalan kita seharian

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Antara penyakit yang amat merbahaya sehingga boleh menyuramkan masa depan seseorang ialah tekanan perasaan yang berpunca daripada hati yang sakit. Seorang guru yang tertekan boleh bersikap kejam dan melampau dalam mendisiplinkan murid-murid atau mungkin membiarkan mereka tanpa kawalan dan pengajaran. Seorang pegawai yang seharusnya melaksanakan amanah dengan dedikasi apabila terserang penyakit hati akan berbalik mengambil kesempatan lari dari tanggungjawab dan menangguhkan kerja yang menjadi kewajipannya. Seorang pemimpin di rumah atau di tengah masyarakat jika tidak bersih hati akan rosaklah apa yang dipimpinnya dan terabailah amanah. Seorang isteri yang tercemar hatinya suka menyusahkan suami, mengabaikan anak-anak dan mendedahkan diri kepada dosa dan maksiat. Seorang yang sembahyang, puasa dan sedekah dengan hati yang berpaling daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, hatinya akan mati, kotor dan menyimpan penyakit serta sudah tentu ibadahnya tidak memberi kesan pada keperibadiannya..

Pertanyaan yang paling mahal dan bernilai bagi seorang mukmin ialah: “Apakah aku telah kehilangan hati suciku hari ini?” Mengapa? Kerana hati menjadi asas segala sesuatu yang bernama kehidupan. Hidup ini tidak akan bermakna tanpa hati yang hidup. Jika hati mati maka semua amalan akan menjadi tempang, kerja-kerja mengejar dunia akan mengaburi pandangan ke akhirat dan ibadat pula hilang kemanisannya. Fokus utama hati hanya akan terarah untuk memenuhi kehendak nafsu, padahal ia diciptakan untuk sentiasa memandang keagungan Tuhannya, menerima hidayah dan kemudian mengawal semua gerak kerja seluruh anggota badan semata-mata untuk keredhaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Namun demikian, hati juga diciptakan dengan ciri-ciri sensitif seperti mudah terpengaruh oleh persekitaran, mudah berubah, berbolak-balik, kadang tersesat dan kadang terpimpin. Adalah menjadi tugas seorang mukmin menjaga hatinya, merawat dan menghidupkan semangat iman di dalam hati. Para sahabat Rasulullah SAW pernah menerima teguran langsung melalui wahyuNya, supaya mereka sentiasa mengurus hati dengan penjagaan yang baik agar ia dapat berfungsi dengan sempurna sebagai agen penerima hidayah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Menurut pendapat Abdullah ibn Mas’ud, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menegur mereka pada saat mereka baru empat tahun memeluk Islam. Dengan firmanNya yang bermaksud:

“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati ALLAH dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah al-Hadid ayat: 16)

Apabila hati dibiarkan tanpa penjagaan, lama-kelamaan ia menjadi keras lalu membentuk benteng kukuh yang tidak dapat ditembusi cahaya hidayah Allah. Terkunci mati dan menjadi sarang kejahilan dan kejahatan. Jika demikian keadaannya maka yang menjadi raja di dalam hati ialah iblis dan nafsu syahwat. Hasilnya semua amal dan kerja berorientasi pada kemahuan keduanya. Kalau keadaan sebegini dibiarkan sepanjang masa, boleh jadi seseorang akan kehilangan hatinya.

Pernahkan anda melihat manusia yang tidak memiliki hati? Orang yang langsung tidak mahu mendengar apa kata hatinya akibat nurani bersih hasil limpahan ilham daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sudah tiada lagi. Kerana dia sendiri telah meleburkan hatinya bersama kegelapan tanpa mahu menerima cahaya Ilahi.

Pada hakikatnya, cahaya yang menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya Al Quran, sembahyang dan mengingati mati. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Al-Imam Al-Ghazali, beliau telah berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca Al Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka pohonkanlah kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.”

Cahaya hati pertama, membaca Al Quran.

Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, dan tiada jalan yang paling dekat untuk mengenal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA selain mempelajari Al Quran. Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, tanpa bergantung kepadaNya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan. Kesuksesan itu ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan ikatan yang kuat. Maka Al Quranlah yang menjadi ikatan antara hamba dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak dari yang batil, dia mengetahui jalan yang terang dan mengikuti petunjuk Al Quran. Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan wahyu. Dia lahir menjadi manusia yang jujur, kuat bekerja dan memiliki misi yang jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaannya itu sebagai ibadah kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Kalaupun ada seseorang yang malas, miskin dan suka menyusahkan orang lain punca pertama penyakitnya ialah kerana dia jahil, jauh dari bimbingan Al Quran dan tidak mengenal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Begitu pula kalau ada orang yang kaya dan berpangkat tetapi sengsara hatinya punca utama keadaan itu ialah jauhnya ia daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, merasa asing dengan ayat-ayatnya dan membiarkan diri terus menerus dalam kekeringan ilmu.
Kejayaan atau kegagalan itu bermula dari usaha mengurus hati, mengenal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA lewat kalamNya yang suci.

Cahaya hati yang kedua, mendirikan solat.

Siapakah yang mahu berjaya dalam perniagaan, yang bercita-cita kariernya sentiasa naik ke puncak, yang mengimpikan pasangan hidupnya setia dan jujur, yang berharap anak-anak dan keluarga menjadi penyejuk matanya, yang mahu sentiasa bergembira dan bahagia? Semua itu hanya dapat dirasai dengan pertolongan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, yang memberi manfaat dan mudarat, membahagi dan mencabut rezeki bagi manusia, memberi petunjuk dan menyesatkan, mengatur segala urusan makhluk. Siapa yang bergantung kepada selain ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dia tidak akan mendapat faedah dari pergantungannya itu. Ibnu al-Qayyim Rahimahullah pernah berkata: “Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada ALLAH. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana ALLAH. Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih-kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai ALLAH dan ketika manusia pergi menghadap raja-raja dan pembesar-pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada ALLAH.”

Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia kepada ALLAH sedekat-dekatnya adalah sujud, permintaan yang tidak akan ditolak adalah doa yang ikhlas dan proses pembersihan dosa yang dilakukan terus-menerus adalah solat. Apakah kejayaan seseorang itu bergantung kepada kualiti solatnya? Mengapa tidak, jika solatnya itu melahirkan akhlak yang mahmudah. Solat yang didirikan dengan sempurna syarat, rukun dan khusyuknya layaknya stesen minyak yang bertugas mengisi kekosongan pada tangki kereta agar dapat meneruskan perjalanan sampai ke destinasi yang dituju. Solat adalah energi yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup yang mencabar. Solat yang berkualiti adalah yang boleh melahirkan jiwa yang reda sekaligus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba-lumba melakukan amal soleh dan membina kehidupan di dunia. Namun demikian, dunia tidak akan memperdayakan orang yang khusyuk hatinya serta menyerahkan diri sebulat-bulatnya kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Solat juga menjaga seseorang dari ancaman perhiasan dunia yang melekakan, dan menjadi salah satu cara kita mengingati diri supaya pandai merancang hidup yang selamat di dunia sampai ke akhirat.

Cahaya hati yang ketiga, mengingati mati.

Antara tanda kebijaksanaan orang mukmin ialah pandai merancang masa depan. Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat. Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang? Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik dari kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA seterusnya menggugah hati untuk sentiasa bertaubat. Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta-pesta keriangan, memenuhi pasar-pasar dan mengunjungi tempat-tempat peranginan yang indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai aktiviti rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian. Sebagaimana yang dilakukan baginda Rasulullah SAW yang melazimi ziarah kubur dan mendoakan kaum muslimin tidak kira siang ataupun malam hari.

Dengan membaca Al Quran, solat dan mengingati mati seorang mukmin telah melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya. Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini? Mesti hidupnya hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula tersiksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.

Rujukan :
http://darulruqyah.wordpress.com/2012/04/15/resipi-kejayaan-bekerja-dengan-hati-yang-bersih/
Rujukan Graf :

http://gubran777.maktoobblog.com/739/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan