"Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut
serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung
belatuk (hud-hud)? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?"
(Surah 27, AN NAML : ayat 20)
"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya
dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia
membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia
tidak hadir)."
(Surah 27, AN NAML : ayat 21)
Dua ayat dalam surah an-Naml di atas menceritakan tentang
kisah Nabi Sulaiman ‘alaihissalam dengan salah seekor tenteranya, iaitu burung
belatuk (hud-hud). Dua ayat yang sangat ringkas jika dibaca, namun sebenarnya,
banyak pengajaran dalam dua ayat ini khususnya berkenaan disiplin dalam berorganisasi.
Pemimpin harus peka tentang keadaan
orang di bawahnya. Pemimpin harus tahu dan mengambil tahu tentang keadaan anak
buahnya yang tidak dapat hadir ke sesuatu program, pertemuan atau mesyuarat.
Pemimpin harus mengambil berat tentang keadaan semua orang di bawahnya
walaupun ia mungkin insan biasa yang tidak menonjol dalam organisasi. Tidak
boleh double-standard dalam memberikan perhatian.
Salah satu cara untuk membantu para
pemimpin mengetahui tentang kehadiran orang bawahannya seterusnya mengetahui
keadaan mereka adalah dengan mengambil kehadiran mereka dalam program,
mesyuarat dan lain-lain aktiviti, atau bertanya kepada sahabat-sahabat lain
jika mereka tidak dapat hadir. Sangat mudah namun sangat memberi kesan kepada
hubungan pemimpin-orang bawahan (qiadi-jundi) dan kelansungan sesuatu
organisasi itu.
Dalam organisasi, sistem
hukuman ataupun ‘iqab haruslah wujud dan berfungsi jika ada di kalangan ahli
organisasi, baik orang bawahan mahupun pemimpin yang melanggar peraturan
organisasi. Namun, kelonggaran dan rasional manusiawi haruslah ada jika alasan
dan sebab yang kukuh dikemukakan atas kesalahan tersebut. Pemimpin juga
harus bertindak tegas ke atas kesalahan yang dilakukan tanpa sebarang sikap
pilih kasih.
Antara
adab yang penting dalam berorganisasi adalah adab memaklumkan sebarang
ketidakhadiran ke sesuatu program atau aktiviti kepada orang yang sepatutnya
seperti pemimpin, pengarah program ataupun pengerusi majlis. Adalah lebih baik
memaklumkannya lebih awal, jika tidak mampu, hendaklah dimaklumkan selepasnya.
Indahnya hidup berorganisasi. Saling melengkapi dan
dilengkapi. Tiada jundi tanpa qiadi, tiada qiadi tanpa jundi. Semoga dua ayat
yang pendek ini memberi ibrah kepada kita dalam menguruskan kehidupan seharian.
Allahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan