Ramai
tidak sedar dalam al Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang
sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman,
حَتَّى
إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى
أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ
أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ
إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
"Apabila dia telah dewasa
dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku
jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan
kepada ibubapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau
redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku.
Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang
muslim.”
(Surah
46, ALAHQAF: ayat 15)
Usia
40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai
puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun
spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia
dewasa yang sebenar.
Doa
yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang
berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas
bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal
yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk
bertaubat dan kembali kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Pada
ayat yang lain, firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ;
أَوَلَمْ
نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ
Apakah Kami tidak memanjangkan
umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu
berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan?
(Surah
35, AL FATHIR : ayat 37)
Menurut
Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang
dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam
ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.
Menurut
Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia
40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA dengan bersungguh-sungguh.
Apabila
itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberikan
janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) Kematangan.
Usia
40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup.
Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang
kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah
dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara
matang pada usia ini. Bahkan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, seperti
yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:
“Dibangkitkan RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM pada usia 40 tahun.”
(riwayat
al-Bukhari)
NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.
Banyak
negara menetapkan untuk menduduki jabatan-jabatan elit seperti ketua negara,
disyaratkan bakal calon harus telah berusia 40 tahun. Masyarakat sendiri
mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah berusia 40 tahun.
Soekarno menjadi presiden pada usia 44 tahun. Soeharto menjadi presiden pada
umur 46 tahun. J.F. Kennedy 44 tahun. Bill Clinton 46 tahun. Paul Keating 47
tahun. Sementara Tony Blair 44 tahun.
Mengapa umur 40 tahun begitu
penting.
Menurut
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period,
iaitu :
1.
Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2.
Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3.
Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4.
Tua atau syaikhukhah ( 60 tahun hingga mati )
Usia
40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan
beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40
tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa
mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini
ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.
Salah
satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM,
لعَبْدُ
الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ،
وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ،
وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ
ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ،
وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا
تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى
السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد
"Seorang hamba muslim bila
usianya mencapai 40 tahun, ALLAH akan meringankan hisabnya (perhitungan
amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, ALLAH akan memberikan anugerah berupa
kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para
penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, ALLAH
akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila
usianya mencapai 90 puluh tahun, ALLAH akan mengampuni dosa-dosanya yang telah
lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, ALLAH juga akan memberikan pertolongan
kepada anggota keluarganya, serta ALLAH akan mencatatnya sebagai tawanan ALLAH
di bumi.
(Riwayat
Ahmad)
Hadis
ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan
kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sekaligus konsisten terhadap Islam, maka ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40
tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40
tahun merupakan saat harus berhati-hati juga. Ibarat waktu, orang yang berumur
40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat
berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap
dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap
ke neraka.”
Imam
asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai
tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir.
Demi ALLAH, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang
dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak
kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti
itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia.
Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia.
Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk
dunia, kecuali hal yang menurut syarak lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada ALLAH.”
Lantas,
apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2.
Meningkatkan daya spiritual
3.
Menjadikan uban sebagai peringatan
4.
Memperbanyak bersyukur
5.
Menjaga makan dan tidur
6.
Menjaga istiqamah dalam ibadah.
Jika
ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat
kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri
kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus
sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa
alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40
tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan
sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.
Maksud
sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ALAIHI WASALLAM,
"Orang yang bijak adalah
orang yang selalu mengingati mati."
Ramai
manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat sementara.
Sejak Nabi Adam as sehingga kini, kesemuanya telah kembali kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak.
Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan
mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Janganlah
menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana
mati boleh datang pada bila-bila masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan