Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Ahad, 24 Januari 2021

V 129 : ASMAUL HUSNA ( 36. AL ‘ALIYY )

 AL ‘ALIYY ( العلى )

 ALLAH Yaa ‘Aliyy Yang Maha Tinggi mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada yang ditakluki dan dikalahkan, sekaligus menakluki makhlukNYA. Kedudukan ALLAH Yaa ‘Aliyy mencapai puncak tertinggi di tempat yang tinggi. DIA Maha Tinggi disebabkan Dzat dan sifat-sifatNYA, lebih daripada gambaran makhlukNYA. DIA Yaa ‘Aliyy menganugerahkan darjat ketinggian kepada hamba-hamba pilhanNYA seperti para nabi dan rasul.

 Merendah diri kepada ALLAH Yaa ‘Aliyy dicapai melalui sujud dalam solat yang mana ianya simbol merendahkan dan menghinakan diri di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA. Sujud adalah darjat hamba yang paling tinggi. Seluruh makhluk di dunia ini sujud kepada ALLAH Yaa ‘Aliyy. Sujud adalah kondisi terbaik bagi seseorang mendekatkan diri kepada ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA.

 Menghayati sifat Al ‘Aliyy melahirkan manusia positif dalam meraih cita-cita, optimis apabila memandang masa depan dan tidak pernah mengundur ke belakang. Ia menjadi asas kukuh dalam usaha mendaki ke puncak yang mana banyak onak dan duri, ujian datang silih berganti, ada pujian dan ada cemuhan. Ianya akan menghasilkan sikap tabah dan tekad.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Aliyy yang Maha Tinggi, Hanya Engkau yang layak ditinggi-tinggikan kerana seluruh alam buana yang tingginya dan luasnya tidak bertepi adalah ciptaanMu Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir, semuanya milikMu Yaa Malik Yaa Malikul Mulk, semuanya tanda kebijaksanaanMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid. Kami makhlukMu datang  sujud merendah diri meninggikanMu, tidak layak sedikit pun kami seorang hamba, abdi, ciptaanMu yang hina dan rendah ini yang Engkau cipta dari tanah yang hina lagi rendah, tempat yang kami pijak itu menyombong diri meninggi-ninggikan diri kami yang serba dhaif, rendah, fakir, lemah, jahil lagi hina ini.

 Hanya Engkau yang layak ditinggi-tinggikan kerana seluruh hartabenda dan kekayaan yang ada pada kami adalah milikMu Yaa Ghoni Yaa Mughni, seluruh kekuatan yang ada pada tubuh kami yang membuatkan kami bergerak adalah kekuatan milikMu, seluruh gelaran-gelaran ketinggian yang ada pada kami ini adalah milikMu, Engkau memberi pinjam semua ini kepada kami agar kami sujud meninggi-ninggikan Mu Yaa ‘Aliyy dan merendah diri kami. Yaa ‘Aliyy, sujudkanlah jiwa dan jasad ini kepadaMu dan tundukkan jiwa yang suka meninggi-ninggi diri ini kepadaMu dan basahilah lidah ini untuk meninggi-ninggikanMu Yaa ‘Aliyy Yaa Muta’ali.

 Pancarkan cahaya makrifah pada pandangan matahati kami agar terang benderanglah ketinggian, keluasan dan kebesaranMu di sebalik alam yang tinggi, luas dan besar ini dan dengan itu hati ini sentiasa merendah diri di hadapanMu. Yaa ‘Aliyy, masukkan ketinggian cita-cita dalam jiwa ini untuk memimpin keluarga, masyarakat dan ummah agar mereka sujud kepadaMu sentiasa bagi meninggi-ninggikanMu Yaa ‘Aliyy Yaa Muta’ali dan menginsafi diri yang rendah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan