AL SYAKUR ( الشكور )
ALLAH Yaa Syakur Yang Maha Mensyukuri dan
Menghargai sentiasa menghargai hamba-hambaNYA yang mentaatiNYA dan mengikut
perintahNYA serta melakukan kebaikan dan amal soleh. DIA Yaa Syakur akan
sentiasa menunjukkan penghargaanNYA membalasnya dengan mengalirkan kasih
sayangNYA, mengalirkan rezeki dan kekayaanNYA, memberikan perlindunganNYA serta
memberikan balasan syurga di Akhirat kelak.
Menghayati sifat Al Syakur akan
melahirkan seorang manusia yang suka menghargai sumbangan dan jasa seseorang
kepadanya. Dia mudah memberikan pujian sewajarnya sebagai adab sesama manusia
dan pujian yang hakiki ditujukan hanya kepada ALLAH Yaa Syakur yang sentiasa
menghargai hamba-hambaNYA.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Syakur, Sesungguhnya Engkau
Maha Menghargai, Engkau menghargai sumbangn kebaikan hambaMu walau sebesar
zarah sekalipun, Engkau catat dan akan Engkau balas dengan berlipat kali ganda.
Walau manusia tidak memandang sumbangan kami, Engkau tetap memandang dan
menghargainya. Kami menolong sesama manusia untuk mendapat penghargaan manusia,
upah mahupun anugerah tetapi semata-mata mencari redhaMu Yaa Rahman Yaa Rahim
Yaa Syakur, kami membesarkan dan mendidik anak-anak kami bukan untuk dihargai
dan dibalas oleh anak-anak, hanya semata tanda menghargai dan mensyukuri
kurniaanMu. Kami sujud di pagi-pagi hari tanda kesyukuran kami dan menghargai
kurniaan cahaya hidayah dan cahaya makrifah dariMu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq.
Yaa Syakur, jadikan kami hambaMu yang sentiasa
mensyukuri dan menghargai kurniaanMu kepada kami, walau ketika kami diuji
olehMu. Engkau Yaa Syakur Yaa Wahhab Yaa Razzaq Yaa Karim tetap menghantar
orang-orang menghargai dan menolong kami, tetap Engkau ingatkan kami untuk
rukuk dan sujud kepadaMu. Sesungguhnya kami sangat menghargaiMu Yaa Allah, setitik
air minum sangat berharga, sekiranya Engkau tidak memberi kepada kami, tiada
siapa boleh memberinya, walau air banjir melimpahi kami, namun air yang kotor
itu tidak akan dapat kami minum, Engkau menguji kami dengan dahaga dalam
limpahan air ketika banjir, dengan lapar dalam timbunan makanan yang
rosak, dengan miskin dalam timbunan duit yg tiada nilai, begitu kekuasaanMu Yaa
Aziz Yaa Jabbar Yaa Mutakabbir, Engkau zahirkan wujud ZatMu dengan kejadian
banjir yang luarbiasa ini agar manusia menghargai setiap kurniaanMu Yaa Syakur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan