Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 29 Januari 2021

V 137 : ASMAUL HUSNA ( 44. AL MUJIB )

AL MUJIB  ( المجيب )

 ALLAH Yaa Mujib Yang Maha Mengabulkan pasti menjawab dan memberi ‘response’NYA kepada setiap keluhan, permohonan dan rayuan. ALLAH memberi masalah dan ujian hanya semata-mata  untuk menguji tahap keimanan dan keyakinan hambaNYA. Yaa Mujib berhak mempercepat atau melambatkan pengabulan hajat hambaNYA kerana kebijaksanaanNYA dalam menentukan samada hajat itu membawa manfaat atau mudarat. Doa hajat hendaklah dipohon dengan penuh yakin dan sabar. ALLAH Yaa Mujib tidak pernah jemu dengan keluhan dan permintaan hamba-hambaNYA.

 Penghayatan kepada Al Mujib melahirkan insan yang berfikiran positif dan tidak berfikir negatif terhadap ALLAH dan janjiNYA, begitu juga dengan manusia lain dan hakikat kehidupan ini. Semuanya diterima sebagai ketentuan ALLAH dan sebagai seorang hamba, dia perlu redha sepenuhnya. Manusia hanya perlu berdoa kepada ALLAH bukan kepada manusia lain. Elakkan berputus ada, teruslah mengulangi doa dan hajat itu sekiranya masih tidak dimakbulkan. Dengan hubungan semasa manusia, lapangkanlah manusia lain dengan senyuman dan tunaikan permintaan manusia semampu mungkin.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Mujib, sesungguhnya Engkau Yang Maha Mengabulkan permintaan, doa dan rintihan hamba-hambaMu. Tiada suatupun permintaan kami yang Engkau abaikan walaupun banyaknya permintaanMu, arahanMu dan laranganMu yang kami abaikan. Engkau Yaa Mujib menunggu-nunggu kami di pagi hari untuk kami menadah tangan dan menyungkurkan diri kepadaMu memohon segala permintaan bagi segala masalah dan cabaran hidup kami.

 Yaa Allah Yaa Mujib, Engkau mengabulkan permintaan kami yang baik-baik untuk akhirat dan dunia kami kerana Engkau Maha Baik Yaa Barr dan Engkau tidak akan mengabulkan permintaan yang tidak baik bagi akhirat untuk kami walaupun kami rasakan ianya kebaikan untuk dunia kami. Engkau Yaa Mujib Yaa Baari' mengabulkan mengikut masa yang Engkau tentukan kerana Engkau Yaa ‘Alim Yaa Hakim Yaa Rashid Maha Mengetahui apa yang terbaik dan masa yang terbaik untuk hamba-hambaMu.

 Yaa Allah Yaa Mujib, walaupun Engkau memperkenalkan diriMu Maha Mengabulkan, seringkali kami masih juga mencari-cari manusia dan makhluk untuk memohon pertolongan kerana tidak yakin denganMu Yaa Allah, kadangkala berputus asa kerana tidak sabar dalam memohon kepadaMu, kadang-kadang meminta sesuatu yang tidak baik bagi kami kerana kejahilan dan ketidakyakinan kami kepadaMu Yaa Allah. Oleh itu Yaa Mukmin Yaa Mujib, masukkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa kami bahawa Engkau sentiasa mengabulkan permintaan hambaMu yang merayu merintih kepadaMu, yang memanggil-manggilMu dengan Nama-namaMu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan