AL KABIR ( الكبير )
ALLAH Yaa Kabir Yang Maha Besar merupakan
ungkapan kesempurnaan Zat. KebesaranNYA menyebabkan DIA tidak memerlukan kepada
sesiapapun, malah semua makhlukNYA memerlukan kepadaNYA.
Menghayati sifat Al Kabir akan melahirkan
manusia yang merendah diri, tidak menyombong diri kerana sedar kebesaran itu
hak mutlak ALLAH Yaa Kabir dan kita tidak ada apa-apa hak bagi mengakui
kebesaran diri. Bagi orang yang dikurniakan harta kekayaan sehingga merasa
sombong dan penguasa yang melakukan kezaliman dan penganiayaan akan menerima
balasan daripada ALLAH kerana mereka merasa diri lebih besar dari orang lain
dan merasa orang lain hina. Orang yang merendah diri akan diangkat ALLAH dan
orang takbur akan direndah oleh ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA.
Takbir ketika solat merupakan simbol
menafikan segala sesuatu selain ALLAH. Hanya ALLAH Yaa Kabir sahaja yang
dibesarkan dan kita hamba yang paling kecil, kerdil dan hina di hadapanNYA.
Takbir juga tanda seorang hamba itu sedia untuk bertemu dan berdialog dengan
ALLAH.
Penghayatan kepada sifat Al Kabir
melahirkan manusia berjiwa besar, bijak dan pantang menyerah kalah ketika
dilanda pelbagai masalah dan yakin semuanya dirancang ALLAH dan di akhirnya
kebahagian menanti.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Kabir Yang Maha Besar,
hambaMu ini semuanya kerdil, untuk membuka kelopak mata pun mengharapkan
pertolonganMu, hanya Engkau layak dibesar-besarkan, kami tidak layak sedikit
pun membesar-besarkan diri kami kerana setiap kebaikan yang kami buat adalah
kurniaanMu jua Yaa Barr, Engkau Yaa Qodir Yaa Baari' yang mendetikkan hati-hati
ini dan mengagendakan manusia untuk melakukan kebaikan, dengan kekuatanMu jua Yaa
Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin kaki ini digerakkan.
Hanya Engkau Yaa Kabir yang layak
dibesar-besarkan kerana Engkaulah Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq yang menunjuk
jalan kebenaran kepada kami, dengan itu dapat kami beriman, sujud kepadaMu,
taat kepadaMu, melakukan ketaatan kepadaMu dan menjauhi diri dari laranganMu.
Tanda kebesaranMu Yaa Kabir jelas terbentang pada alam buana dan seluruh isinya
ini. Engkaulah Yaa Kabir memiliki gelaran-gelaran kebesaran yang ada pada
manusia, Engkau juga mengurnia pelbagai kurniaan sehingga manusia
dibesar-besarkan. Semuanya itu milikMu Yaa Kabir dan hanya Engkau yang layak
dibesar-besarkan, kami hambaMu sangat kerdil. Yaa Kabir, basahilah lidah ini
untuk sentiasa membesarkanMu, Yaa Mani', cegahlah kami dari segala sifat membesar-besar
diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan