AL HAFIDZ ( الحفيظ )
ALLAH Yaa Hafidz Yang Maha Memelihara dan
menjaga seluruh ciptaanNYA. Tidak ada satu pun yang terlepas daripada
jagaanNYA. DIA memelihara langit dan bumi dan setiap apa yang ada di antara
keduanya. Manusia dijaga oleh Malaikat atas perintah ALLAH. Di antara
pemeliharaan ALLAH ke atas manusia adalah dikurniakan kesihatan yang baik.
Walaupun begitu melalui kesakitan, ALLAH Yaa Hafidz memelihara jiwa kita agar
sentiasa ingat kepadaNYA dan ketika sakit manusia mampu merenungi apa yang
berlaku di sekelilingnya terutama berinteraksi dengan tuhan yang selama ini
dilupakannya. Ujian kesusahan dan kesakitan adalah cara ALLAH menyelamatkan
hamba-hambaNYA dari azab api neraka. ALLAH Yaa Hafidz juga mampu melindungi
kita daripada bisikan hawa nafsu dan syaitan.
Penghayatan kepada sifat Al Hafidz adalah
sentiasa ingat yang memelihara kita, anak-anak kita, suami/isteri kita, ibubapa
kita, sahabat-sahabat kita dan seluruh manusia di dunia ini adalah ALLAH Yaa Hafidz,
bukan sesekali makhluk. Penghayatan Al Hafidz juga menjadikan manusia
mengeluarkan seluruh potensi yang ada pada dirinya dengan pemeliharaan dan
perlindungan Al Hafidz, menjadi manusia yang yakin diri dengan bantuan dan
pemeliharaan ALLAH.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Hafidz Yang Maha
Memelihara, sesungguhnya Engkaulah yang memelihara alam buana ini agar semuanya
tetap bergerak dan berfungsi dan manusia dapat hidup dengan aman dan sejahtera.
Yaa Hafidz, Engkaulah yang memelihara tubuh badan kami sehingga masih boleh
berdegup jantung ini, masih boleh bernafas, darah masih mengalir, makanan masih
boleh ditelan dan diproses, anggota tubuh semuanya masih berfungsi, semuanya
atas pemeliharaanMu Yaa Hafidz.
Allahumma Yaa Hafidz, peliharalah kami
dari azab NerakaMu nanti, dari huru-hara Mahsyar, dari jatuh ke dalam api
semasa meniti titian sirat, peliharalah kami dari azab kubur yang sempit lagi
menghimpit, gelap gelita dan tiada peneman. Yaa Hafidz Yaa Mukmin,
peliharalah iman kami, Yaa Quddus, pelihara kesucian hati kami agar kami setiap
saat ingat kepadaMu dan bersandar hidup denganMu. Yaa Hafiz Yaa Rahman Yaa
Rahim Yaa Jami', peliharalah kesatuan hati-hati kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan