AL HASIB ( الحسيب )
ALLAH Yaa Hasib Yang Maha Menghisab,
Menghitung atau Maha Mencukupi. ALLAH Yaa Hasib mencukupkan segala keperluan
makhlukNYA tidak lebih dan tidak kurang, semuanya telah ditetap dan diatur oleh
ALLAH. Apabila ALLAH Yaa Hasib mencukupkan anugerah dan keperluan seseorang,
tiada siapapun yang boleh mengurangkannya. ALLAH Yaa Hasib juga menghitung
setiap perbuatan manusia walau sebesar biji zarah sekalipun dan setiap kebaikan
itu akan dibalas dengan adil, begitu juga dengan keburukan dan kejahatan.
Penghayatan Al Hasib akan menjadikan
seorang hamba itu sentiasa berwaspada dengan setiap apa yang ingin dilakukan
kerana semuanya akan dihisab dan dihitung setiap masa dan saat ALLAH Yaa Hasib.
Menghayati sifat Al Hasib adalah
mencukupkan keperluan orang lain dengan membantu mereka. Kita adalah nakhoda
kapal yang membawa manusia menuju pantai bahagia dan damai. Kita perlu
bermasyarakat dan menentukan hala tuju masyarakat, mengeluarkan masyarakat
daripada kegelapan jahiliyah kepada cahaya Islam yang membahagiakan. Walaupun
kita merasa lemah dan tidak mampu, yakinlah ALLAH Yaa Hasib akan mencukupkan
segala keperluan kita.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Hasib, sesungguhnya Engkau
Maha menghisab, setiap perbuatan kami Engkau hisab, hitung, kira dan timbang di
atas timbangan dan neraca keadilan. HisabMu sangat teliti dan tepat, tiada
sezarahpun kebaikan yang tertinggal, pasti akan dihisab dan ditimbang, begitu
juga kejahatan kami, akan dihisab semuanya.
Sesungguhnya setiap sen duit yang Engkau
pinjamkan kepada kami akan dihisab ke manakah ia dibelanjakan. Setiap saat kami
bersama anak dan suami/isteri, setiap saat akan dihisab apakah yang kami
lakukan untuk mereka. Setiap saat anggota tubuh yang Engkau pinjamkan ini akan
Engkau hisab, apakah yang dipandang oleh mata kami, apakah yang didengar oleh
telinga kami, apakah yang diberi oleh tangan ini, apakah yang diungkap oleh
lidah ini, apakah yang difikir oleh akal ini, ke mana kaki ini dilangkahkan,
semuanya dihisab olehMu tanpa tertinggal walau sezarahpun kebaikan mahupun
kejahatan. Segala pahala dan dosa itu akan ditimbang di atas timbangan amal
yang sangat adil.
Yaa Allah, kami tak akan mampu berhadapan
denganMu nanti di hari hisab dalam keadaanku sebegini, banyaknya dosa yang kami
lakukan setiap masa dan sedikitnya amal soleh. Sesungguhnya walau seberat bumi
amalan kami, nescaya harga sebelah mata kurniaanMu ini pun tak mampu kami
bayar, apatah lagi untuk membayar harga SyurgaMu. Oleh itu Yaa Allah Yaa Rahman
Yaa Rahim Yaa Hasib, kami mohon belas kasihMu di hari hisab nanti, padamkan
segala catatan kejahatan kami Yaa Quddus Yaa Jalil Yaa Bathin, dan permudahkan
kami untuk melakukan amal soleh sebanyak-banyaknya di dunia ini, kurniakan kami
solat yang khusyuk dan amalan yang ikhlas, disertai hati yang redha dan sabar
atas apa jua ujianMu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan