AL GHAFFUR ( الغفور )
ALLAH Yaa Ghaffur Yang Maha Pengampun
mengampuni hambaNYA walaupun dosa hambaNYA seluas buih di lautan. Setiap kali
hambaNYA melakukan dosa dan kemudian memohon ampun kepada ALLAH Yaa Ghaffur, pasti
DIA akan mengampunkan dosa mereka. Seorang hamba semestinyalah sentiasa memohon
keampunan daripada ALLAH Yaa Ghaffur kerana tanpa keampunanNYA, pastilah
seseorang itu akan menerima azab api NerakaNYA di Akhirat kelak.
Menghayati sifat Al Ghaffur dalam diri
seseorang akan melahirkan seorang yang sentiasa memaafkan kesilapan dan
kesalahan orang lain. Seseorang itu amat mudah memaafkan kerana mengingati akan
dosa-dosanya yang diampunkan ALLAH atas sifatNYA yang Maha Pengampun. Sifat
suka memaafkan orang akan menjalin hubungan baik sesama manusia dan mampu
mengubah seseorang daripada kelakuan yang buruk kepada kelakuan yang baik.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Ghaffur, sesungguhnya
Engkau Maha Pengampun, ampunilah dosa hambaMu yang banyak dan pelbagai jenis
dosa ini samada yang kami sengaja kerana kalahnya kami dengan nafsu kami atau
yang tidak sengaja kerana kelalaian kami, dosa yang kami tahu atas ilmu yang
Engkau kurniakan mahupun yang kami tak ketahui kerana kejahilan kami, dosa yang
kami ulangi kerana sifat degilnya kami, dosa yang pelbagai jenis yang tak mampu
kami bilang, dosa seluruh anggota tubuh ini, dosa terhadap ibubapa kami, suami,
anak-anak, adik beradik, saudara mara, jiran tetangga, anak-anak yatim, fakir
miskin, orang-orang sakit yang kami abaikan, masukkan rasa pemaaf dalam jiwa
mereka untuk memaafkan kami, dan bersihkan kami dari dosa syirik yang mana kami
menyekutukanMu Yaa Allah dengan makhluk tanpa kami sedar sehingga kami
rasa hebat diri ini ketika melakukan kebaikan sedangkan Engkaulah yang
melakukan kebaikan itu melalui kami, kami menyekutukanMu tanpa sedar dengan
makhluk sekeliling kami kerana kami sangkakan merekalah yang hebat mencipta
pelbagai ciptaan, kehebatan ilmu, dan pelbagai kehebatan lagi sehingga kami
kagumi mereka, sedangkan itu semua kehebatanMu, hanya Engkau yang layak
dikagumi, kami juga sering menyekutukanMu dengan makhluk kerana yakin mereka
boleh memberi mudharat, sedangkan yang memberi mudharat itu hanya Engkau Yaa
Dharru, maka bersihkanlah segala kotoran dosa-dosa kami agar hati ini bersih.
Sesungguhnya Engkau mengampuni dosa seluas buih di
lautan, Yaa Baaqi Yaa Ghaffur, kekalkan kami dalam keampunanMu sentiasa, ampuni
juga Yaa Ghaffur dosa ibubapa, suami/isteri, anak-anak, masyarakat dan pemimpin
kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan