Kita tidak benci kepada pendosa, tetapi kita benci kepada dosa yang dilakukannya.
Dalam kehidupan ini, kita memang tidak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Orang yang terpelihara dari kesalahan, dari dosa hanyalah para Nabi dan Rasul.
Kita, sebagai manusia biasa, akan
sentiasa ada salah dan silap.
Tidak ada yang maksum. Hatta seorang
syeikh, seorang wali, seorang sayyid, seorang ulamak, seorang habib, seorang
perdana menteri, semuanya tetap ada kesalahan yang pernah dilakukan dalam
kehidupan masing-masing.
Syurga itu pun nanti akan dimasuki
oleh orang-orang yang tidak maksum. Yang bakal memasukinya adalah orang-orang
yang sepanjang kehidupannya pernah melakukan dosa dan kesilapan.
Orang-orang yang merasakan dirinya
bersih daripada dosa sepanjang hidupnya dan maksum selain Nabi dan Rasul, maka
dia tidak perlu lagi kepada syurga.
Kerana sejak di dunia lagi, Dia tidak
ada dosa. Untuk apa lagi syurga baginya?
KITA, KAU DAN AKU SEMUANYA PUNYA SALAH
Semua orang punya kesalahan
masing-masing. Ada dosanya masing-masing. Bezanya hanyalah pada level berbuat
dosa. Ada orang mungkin berbuat dosa kerana kejahilannya. Ada orang berbuat
dosa dalam keadaan sudah mengetahui dan menyedarinya.
Contoh yang mudah, level seorang ulamak
yang berzina dengan seorang rakyat jalanan yang berzina, sudah pastinya tidak
sama, bukan?
Seorang ulamak dalam keadaan dia sudah
mengetahui hukum hakam, mengetahui halal dan haram, sudah tentulah sesuatu yang
berat jika dia terlibat dalam dosa-dosa besar yang dia sendiri sudah
mengetahuinya.
Seorang rakyat jalanan, yang
barangkali Allahpun tidak pernah dikenalinya, maka dosa zina yang dilakukannya
itu walaupun berat, tetapi sebenarnya tidak sama berat dengan dosa zina yang
dilakukan oleh ulamak yang lebih mengetahui daripada dirinya tadi.
Maka, tidak padanlah kalau kita
menghukum semua orang dengan amal yang kita nampak secara zahir itu saja. Kita
tidak pernah tahu keadaan hatinya bagaimana.
Barangkali, dia inginkan kepada
kebenaran. Cuma tidak ada yang menunjuk dan membimbingnya menyebabkan dia jauh
daripada kebenaran dan terjatuh dalam dosa.
BEZAKAN ANTARA SALAH DAN PESALAH
Salah dan pesalah. Bezakan keduanya.
Yang salah adalah perbuatan. Pesalah pula adalah orangnya.
Kadang-kadang, saya sangat risau
melihat orang begitu mudah menghukum orang yang melakukan dosa ataupun orang
yang terjebak dengan dosa dengan hukum neraka.
‘Tak buat ini, dosa!’
‘Tak buat itu, masuk neraka!’
‘Kenapa kau buat benda tu, hah? Kau
nak masuk neraka ke?’
Sewaktu kelas Madkhal Ila Dakwah saya,
pensyarah saya, Doktor Adnan Khutotobah telah menceritakan kisah dua orang Bani
Israil yang bersaudara. Salah seorangnya orang yang rajin beribadah, salah
seorangnya lagi pula orang yang selalu berfoya-foya dan rajin bermaksiat.
Suatu hari, orang yang rajin beribadah
ini pergi kepada saudaranya yang bermaksiat itu. Maka ditanya saudaranya itu, “Kenapa
kau lakukan maksiat ni, hah? Kau nak masuk neraka ke?”
Jawab saudaranya itu, “Kau
tahu mana aku akan masuk neraka?”
Maka dibalas kembali orang itu tadi, “Allah
tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurga dan akan memasukkan kamu ke dalam
neraka kerana maksiat kamu itu”.
Di hari perhitungan, Allah telah
campakkan orang yang rajin beribadah itu ke dalam neraka. Saudaranya yang rajin
berfoya-foya itu pula Allah masukkan ke dalam syurga.
Kenapa?
Bukankah orang yang rajin beribadah
itu selalu taat kepada Allah?
Ya, tetapi dia tidak menunjukkan sifat
rahmah Allah kepada temannya yang telah melakukan kesalahan itu. Hukuman yang
dia telah katakan pada temannya itu boleh mengakibatkan temannya itu bergerak
lebih jauh daripada kebenaran, menyebabkan Allah campakkannya ke dalam neraka
walaupun dia seorang yang rajin beribadah.
Kita perlu belajar membezakan antara
salah dan pesalah. Memang yang melakukan perbuatan salah itu adalah manusia.
Tetapi manusia tetap adalah manusia.
Selagi belum tertutup pintu taubat,
selagi belum kiamat, maka dia masih tetap punya hak untuk memperbaiki dirinya
dan memperbetulkan kesalahannya. Tidak layak untuk kita menghukum syurga atau
neraka pada dirinya, kerana semua itu hanya di bawah pengetahuan Allah. Maka,
bagaimana mungkin sesuatu perkara yang ghaib seperti itu kita pula yang boleh
tentukan?
Dia adalah manusia. Kita juga adalah
manusia.
Dia ada kesilapannya. Kita juga ada
kesilapan kita. Sealim atau sehebat manapun ilmu kita, kita tetap tidak layak
untuk menghukum orang yang berdosa itu ‘confirm-confirm’ masuk neraka.
Hari ini, mungkin dia berdosa. Hari
esok, siapa yang tahu kalau-kalau dia pula yang jadi lebih baik dari kita?
Maka, kalau hendak ditegur dan
dikritik, tegur dan kritiklah pada kesalahan yang dilakukannya. Bukan pada
pelakunya. Teguran dan kritikan kita mestilah bertujuan untuk memperbetulkan
kesalahannya, bukanlah dengan niat menjatuhkan peribadi dan mendedahkan aibnya
pula.
Kita tidak pernah tahu balasan yang
akan menimpa diri kita di hari muka. Barangkali, di hari muka kita menjadi
lebih teruk daripada dia.
Siapakah yang dapat menjangka?
PENUTUP : MAKA, BELAJARLAH BERLAPANG
DADA
Antara masalah segelintir orang-orang
yang mempelajari teks-teks agama, adalah memahaminya hanya secara literal.
Kemudian, dengan senang menghukum manusia dengan perasaan.
Tanpa mempertimbangkan kematangan dan
logik akal, dengan mudahnya sebahagian orang menghukum orang yang berdosa ‘confirm-confirm’
masuk neraka.
Barangkali dia tidak sedar dirinya
juga ada berdosa. Manusia selain Nabi dan Rasul semuanya tidak maksum. Kalaulah
semua manusia yang tidak maksum pernah melakukan dosa akan dimasukkan ke
neraka, maka tidak ada manusia yang akan masuk syurga kecuali hanya Nabi dan
Rasul termasuklah dia juga akan dicampak ke neraka.
Bersederhana dan berlapang dadalah.
Barangkali orang itu berbuat dosa
dalam keadaan jahilnya dia ataupun dalam keadaan terlupanya dia, maka kita
tidak ada hak untuk menghukumnya selain hanya mengingatkan dan memperbetulkan
kesalahannya.
Lagipun, syurga dan neraka bukanlah di
bawah kekuasaan kita. Bukan tangan-tangan kita yang akan menyampaikan manusia
di dalamnya. Itu adalah kerja Allah, dan Allah tahu dan tidak pernah silap
dalam memberi hukuman kepada manusia.
Kita tinggalkan saja kerja-kerja
menghukum kepada Allah, dan kita lakukan kerja yang sepatutnya kita lakukan.
Antara salah dan pesalah,
Masih tetap ada ruang untuk mereka
tetap kembali kepada Allah,
Yang penting, kita teruskanlah memberi
peringatan dan berdakwah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan