Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 25 Disember 2012

K 118 SyafaatMu Ya Rasulullah.




Daripada Usman bin Affan daripada Abbas, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda, 

“Aku adalah orang yang paling awal dibangkitkan dari kubur pada hari kiamat yang tiada kebanggaan. Bagiku ada syafaat pada hari kiamat yang tiada kemegahan. Bendera pujian di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya berada di bawah benderaku. Umatku adalah umat yang terbaik. Mereka adalah umat yang pertama dihisab sebelum umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur, mereka akan membuang tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka semua akan berkata, ‘Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan kami bersaksi bahawa MUHAMMAD itu Rasulullah. Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah serta dibenarkan oleh para rasul’. Ibnu Abbas berkata, “Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat ialah MUHAMMAD. Malaikat Jibril akan datang kepadanya bersama seekor Buraq. Israfil pula datang dengan membawa bersama bendera dan mahkota. Izrail pula datang dengan membawa bersamanya pakaian-pakaian surga.”

Malaikat Jibril akan menyeru, “Wahai dunia! Di mana kubur MUHAMMAD?” Bumi menjawab, 

“Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikan aku hancur. Telah hilang segala lingkaran, tanda dan gunung-ganungku. Aku tidak tahu di mana kubur MUHAMMAD.”

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda, 

“Lalu diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari kubur Nabi MUHAMMAD ke awan langit. Maka, empat malaikat berada di atas kubur.” Israfil bersuara, “Wahai roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!” Maka, kubur terbelah dua. Pada seruan yang kedua pula, kubur mula terbongkar. Pada seruan yang ketiga, ketika RASULULLAH berdiri, beliau telah membuang tanah di atas kepala dan janggut beliau. RASULULLAH melihat kanan dan kiri. Beliau dapati, tiada lagi bangunan. Beliau menangis sehingga mengalir air matanya ke pipi.
Malaikat Jibril berkata kepada RASULULLAH, “Bangun wahai MUHAMMAD! Sesungguhnya kamu di sisi ALLAH di tempat yang luas.” RASULULLAH bertanya, “Kekasihku Jibril! Hari apakah ini?” Jibril menjawab, “Wahai MUHAMMAD! Janganlah kamu takut! Inilah hari kiamat. Inilah hari kerugian dan penyesalan. Inilah hari pembentangan ALLAH.”

RASULULLAH berkata, “Kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!” Jibril bertanya, “Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?” RASULULLAH berkata, “Bukan seperti itu pertanyaanku.” Jibril berkata, “Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?” RASULULLAH berkata, “Bukan itu maksud pertanyaanku. Aku bertanya kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian mereka?” Jibril berkata, “Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan terbongkar oleh bumi daripada manusia, sebelummu?” RASULULLAH berkata, “Nescaya akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku.” Jibril berkata, “Tungganglah Buraq ini wahai MUHAMMAD dan pergilah ke hadapan Tuhanmu!”

Malaikat Jibril datang bersama Buraq ke arah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Buraq meronta-ronta, lalu Jibril berkata kepadanya, “Wahai Buraq! Adakah kamu tidak malu dengan makhluk yang paling baik dicipta oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA? Sudahkah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA perintahkan kepadamu agar mentaatinya?” Buraq menjawab, “Aku tahu semua itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki surga sebelum dia menunggangku. Sesungguhnya, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan datang pada hari ini dalam keadaan marah. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini”. Rasulullah bersabda kepada Buraq, “Ya! Sekiranya kamu berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu”.
Setelah berpuas hati, Buraq membenarkan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap langkahan Buraq sejauh pandangan mata. Apabila RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM  berada di Baitul Maqdis di atas bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil menyeru, “Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut binatang buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan ALLAH Yang Maha Perkasa.
Roh-roh telah diletakkan di dalam sangkakala. Di dalamnya ada beberapa tingkat dengan bilangan roh makhluk. Setiap roh, akan didudukkan berada di dalam tingkat. Langit di atas bumi akan menurunkan hujan dari lautan kehidupan akan air yang sangat pekat seperti air mani lelaki. Dengan demikian, tersusunlah tulang-tulang, urat-urat memanjang, daging kulit dan bulu akan tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal ke atas sebahagian tubuh tanpa roh.

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman, “Wahai Israfil! Tiup sangkakala tersebut dan hidupkan mereka dengan izinKu akan penghuni kubur. Sebahagian mereka adalah golongan yang gembira dan suka. Sebahagian dari mereka adalah golongan yang celaka dan derita”. Malaikat Israfil menjerit, “Wahai roh-roh yang telah hancur! Kembalilah kamu kepada tubuh-tubuhmu. Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA”.

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman, “Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan setiap roh pada tubuh-tubuhnya!” Apabila roh-roh mendengar sumpah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, roh-roh pun keluar untuk mencari jasad mereka. Maka, kembalilah roh pada jasadnya. Bumi pula terbongkar dan mengeluarkan jasad-jasad mereka. Apabila semuanya sedia, masing-masing melihat.
Rasulullah duduk di padang pasir Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk. Mereka berdiri seperti belalang yang berterbangan. 70 umat berdiri. Umat RASULULLAH merupakan satu umat. RASULULLAH berhenti memperhatikan ke arah mereka. Mereka seperti gelombang lautan. Jibril menyeru, “Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke tempat perhimpunan yang telah disediakan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA”.

Umat-umat datang di dalam keadaan satu-satu kumpulan. Setiap kali RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM berjumpa satu umat, beliau akan bertanya, “Di mana umatku?” Jibril berkata, “Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir”. Apabila nabi Isa datang, Jibril menyeru, “Tempatmu!” Maka nabi Isa dan Jibril menangis.

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bertanya, “Mengapa kamu berdua menangis.” Jibril berkata: “Bagaimana keadaan umatmu, MUHAMMAD?” RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bertanya, “Di mana umatku?” Jibril menjawab, “Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan”.
Apabila mendengar cerita demikian, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menangis lalu bertanya, “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?” Jibril menjawab, “Lihatlah mereka wahai Muhammad!” Apabila RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM melihat mereka, mereka gembira dan mengucapkan selawat kepada beliau dengan apa yang telah Allah muliakannya. Mereka gembira kerana dapat bertemu dengan beliau. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM juga gembira terhadap mereka. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru, “Wahai MUHAMMAD!” Air mata mereka mengalir di pipi. Orang-orang zalim memikul kezaliman mereka. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM berkata, “Wahai umatku”. Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis.
Ketika mereka di dalam keadaan demikian, terdengar dari arah Allah seruan yang menyeru, “Di mana Jibril?” Jibril berkata, “Jibril di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA”. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi, “Di mana umat Muhammad?” Jibril berkata, “Mereka adalah sebaik umat”. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman, “Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu Muhammad bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanKu”.
Malaikat Jibril kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata, “Wahai MUHAMMAD! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA”. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM berpaling ke arah umatnya lalu berkata, “Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA”.

Orang-orang yang berdosa menangis kerana terkejut dan takut akan azab Allah. Rasululah memimpin mereka sebagaimana pengembala memimpin ternakannya menuju di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman, “Wahai hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan apa-apa yang telah diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan dosa!”

Hamba-hamba ALLAH terdiam. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman, “Hari ini, Kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan siapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab siapa yang durhaka terhadapKu. Wahai Jibril! Pergi ke arah Malik, penjaga neraka! Katakanlah kepadanya, bawakan Jahanam!” Jibril pergi berjumpa Malik, penjaga neraka lalu berkata, “Wahai Malik! ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah memerintahkanmu agar membawa Jahanam.” Malik bertanya, “Apakah hari ini?” Jibril menjawab, “Hari ini adalah hari kiamat. Hari yang telah ditetapkan untuk membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan”. Malik berkata, “Wahai Jibril! Adakah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah mengumpulkan makhluk?” Jibril menjawab, “Ya!” Malik bertanya, “Di mana Muhammad dan umatnya?” Jibril berkata, “Di hadapan Allah!”

Malik bertanya lagi, “Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan nyalaan Jahanam apabila mereka melintasinya sedangkan mereka semua adalah umat yang lemah?” Jibril menjawab, “Aku tidak tahu!” Malik menjerit ke arah neraka dengan sekali jeritan yang menggerunkan. Neraka berdiri di atas tiang-tiangnya. Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras, kuat dan panjang. Api dinyalakan sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk melainkan bercucuran air mata mereka (semuanya menangis). Air mata sudah terhenti manakala air mata darah manusia mengambil alih. Anak-anak mulai beruban rambutnya. Ibu-ibu yang memikul anaknya mencampakkan mereka. Manusia kelihatan mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk.


Hari kiamat adalah waktu terakhir semua manusia, tidak ada lagi kesempatan untuk bertaubat, padahal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Maha Pengampun. Satu-satunya penolong hanyalah syafaat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, dan syafaat itu berlaku untuk umat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang mengikuti sunnahnya. Oleh kerana itu, marilah kita cintai dan ikuti RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM mulai sekarang sebelum datangnya hari kiamat itu, jangan menganggap hari akhir itu masih lama datangnya, tidak usah menunggu tanda-tanda kiamat dahulu untuk bertaubat, kerana dosa sebesar apapun akan diampuni oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA selagi hayat masih di kandung badan. Semoga kita terhindar dari keganasan malaikat Malik dan Neraka Jahanam. Amin Ya Rabb Al-’Alamin…


Tiada ulasan:

Catat Ulasan