runei
Bertudung: Fesyen lawan Syari‘at
(Bahagian Pertama)
(Bahagian Pertama)
(Dengan nama ALLAH, Segala puji bagi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, Selawat dan salam ke atas RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda).
Menutup aurat merupakan kewajipan utama setiap orang Islam. Bagi kaum wanita, wajib ke atas mereka menutup seluruh badan mereka selain muka dan dua pergelangan tangan apabila berada di hadapan lelaki bukan mahram. Ini bermakna bahagian kepala wanita termasuk rambut dan telinga adalah wajib ditutup.
Antara cara yang digunakan untuk menutup aurat di bahagian tersebut adalah dengan memakai tutup kepala yang lebih dikenali sebagai tudung di kalangan masyarakat kita.
Tidak dinafikan, kebanyakan wanita di negara kita sekarang menunjukkan kesedaran mereka dalam menutup aurat. Kecenderungan mereka untuk memakai pakaian menutup aurat kini didukung pula oleh kemajuan dunia fesyen yang menyajikan pelbagai jenis busana muslimah dan tudung yang nampaknya seperti cendawan tumbuh di pasaran. Ada yang murah dan ada yang mahal, ada yang besar dan ada yang kecil, ada yang tebal dan ada yang nipis, ada yang polos dan ada yang berwarna-warni, bercorak, berkerawang, berlabuci, beropol dan sebagainya. Tidak kurang juga cara atau gaya pemakaian tudung, terdapat bermacam fesyen yang boleh kita lihat. Ada yang dilipat, ada yang dililit, ada yang dimasukkan sahaja, ada yang berlapis-lapis dan ada pula yang hanya diletak di atas kepala dan disidai pada bahu,
boleh turun boleh naik dengan sekelip mata. Semua ini tergantung kepada citarasa si pemakai.
Terdapat fesyen atau cara bertudung yang tidak menepati maksud sebenar menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Sebahagian wanita kadang-kadang tersilap dalam memilih cara seorang muslimah dengan memakai tudung mengikut arus moden atau up-to-date. Pada hakikatnya mereka masih belum menepati gaya sebenar yang dituntut dalam menutup aurat. Ini mungkin disebabkan mereka kurang memahami konsep sebenar pemakaian tudung dalam Islam kerana lebih mengutamakan fesyen.
Maka ruangan Irsyad Hukum pada kali ini akan menjelaskan cara yang patut diikuti dalam pemakaian tudung supaya kesilapan mengenainya tidak berterusan dilakukan oleh orang Islam, khususnya para wanita Islam.
Pensyari‘atan Memakai Tudung
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”
(Surah an-Nur: 31)
Menurut Imam al-Qurthubi, ayat di atas diturunkan sebagai panduan dan teguran kepada wanita-wanita Islam dahulu yang menutup kepala mereka dengan khimar atau tudung dengan melabuhkannya ke belakang sehingga menyebabkan bahagian dada terbuka, leher dan telinga juga kelihatan.
Menurut Imam Ibnu Katsir, ayat di atas merupakan kewajipan yang diperintahkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ke atas setiap wanita Islam untuk membezakannya dari sifat dan perbuatan wanita Jahiliyah yang bertudung tetapi masih mendedahkan dada, leher, telinga dan rambut.
Lantaran turunnya ayat tersebut, para wanita Muhajirin yang awal terus mematuhi apa yang diperintahkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan memakai tudung yang labuh melimpasi dada dan menutupi seluruh anggota aurat mereka sebagaimana yang dikhabarkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:
“ALLAH SUBHANAHU WA TAALA merahmati wanita-wanita Muhajirin yang awal kerana apabila ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menurunkan ayat yang bermaksud “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka,” lantas mereka segera mengoyakkan pakaian (kain) bulu mereka dan mereka menutup kepala dengannya.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum Memakai Tudung
Menutup kepala bagi wanita Islam apabila di hadapan lelaki bukan mahram adalah wajib. Ini bererti, tidak boleh tidak, seorang wanita Islam wajib memakai tudung apabila berada di khalayak ramai atau di hadapan lelaki asing. Pada dasarnya, wanita yang memakai tudung itu akan mendapat pahala kerana telah menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebagaimana yang dituntut oleh syarak. Sekalipun demikian kita perlu mengetahui ciri-ciri dan cara memakai tudung yang menepati kehendak hukum syarak.
Ciri-Ciri Tudung dan Cara Pemakaian Tudung Yang Dikehendaki Oleh Syarak
Agama Islam telah menggariskan ciri-ciri tudung dan cara pemakaian tudung yang perlu diikuti. Antaranya adalah seperti berikut:
i. Memakai tudung labuh yang menutupi aurat di bahagian kepala sehingga ke bahagian dada. Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA :
“Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”
(Surah an-Nur: 31)
Berdasarkan ayat di atas, wajib ke atas wanita Islam memakai tudung yang menutupi seluruh kepala dengan melabuhkannya sehingga ke dada kecuali kawasan muka. Ini termasuk menutupi seluruh rambut, kedua cuping telinga, tengkuk dan leher. Belahan baju itu letaknya di kawasan leher dan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian leher dan dada. Ini bererti tidak memadai memakai tudung itu jika masih nampak rambut, leher, tengkuk, telinga dan bahagian dada.
ii. Memakai tudung yang diperbuat daripada material tebal yang menutupi warna kulit dan rambut dari kelihatan. Maksud tudung yang tebal ialah tudung tersebut tidak jarang, tidak nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat.
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM ada mengingatkan perkara tersebut dengan bersabda:
“Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama).”
(Hadits riwayat Muslim)
Ulama dalam mensyarahkan hadits ini mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bertelanjang itu adalah wanita yang berpakaian nipis yang masih menampakkan warna kulit dan berpakaian menutupi sebahagian anggota aurat dan membuka sebahagiannya lagi.
Oleh itu ketahuilah bahawa memakai tudung yang nipis atau yang jarang itu tidak menepati kehendak sebenar cara bertudung untuk menutup aurat kerana ia masih menampakkan warna kulit. Selain itu, tudung yang terlalu nipis dan ringan juga mudah tersingkap apabila ditiup oleh angin dan menyebabkan aurat terbuka.
Selain itu, terdapat juga telekung yang diperbuat dari material nipis dan jarang serta mempunyai kerawang yang besar dan banyak. Telekung sebegini boleh menyebabkan solat tidak sah kerana syarat menutup aurat masih tidak terlaksana dengan sempurna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan