Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 13 Mei 2013

Bab 129 Adab-adab Kesopanan Dalam Majlis Dan Kawan Duduk.



822. Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Janganlah seseorang di antara engkau semua itu menyuruh berdiri pada seseorang dari tempat duduknya kemudian ia sendiri duduk di situ, tetapi berikanlah keluasan tempat serta kelapangan pada orang lain yang baru datang."
Ibnu Umar itu apabila ada seorang yang berdiri dari tempat duduknya kerana menghormatnya, ia tidak suka duduk di tempat orang tadi itu.
(Muttafaq 'alaih)

823. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Jikalau seseorang di antara engkau semua itu berdiri dari tempat duduknya, kemudian ia kembali ke situ, maka ia memang lebih berhak untuk menempati tempat duduknya tadi."
(Riwayat Muslim)

824. Daripada Jabir bin Samurah radhiallahu'anhuma, katanya:

Yang Bermaksud : "Kita semua itu apabila mendatangi Nabi s.a.w., maka setiap seseorang dari kita itu duduk di tempat mana ia berakhir maksudnya tidak sampai melangkahi bahu orang lain untuk menuju ke tempat yang lebih muka."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.

825. Daripada Abu Abdillah iaitu Salman al-Farisi r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Tidaklah seseorang itu mandi pada hari Jumaat dan ia bersuci sekuasa yang dapat ia lakukan, juga berminyak dari minyaknya ataupun mengenakan sesuatu dari minyak harum yang ada di rumahnya, kemudian ia keluar  ke masjid, lalu ia tidak memisah-misahkan antara dua orang yang sedang duduk, selanjutnya ia bersolat apa yang ditentukan atasnya yakni solat sunnah tahiatul masjid dan seterusnya ia mendengarkan jikalau imam berbicara atau berkhutbah, melainkan orang yang melakukan semua itu tentu diampunkan untuknya antara hari Jumaat yang dilakukan itu dengan hari Jumaat yang lainnya iaitu hari Jumaat berikutnya."

826. Daripada 'Amr bin Syu'aib dari ayahnya dari nenek lelakinya r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Tidak halallah bagi seseorang itu kalau memisahkan tempat duduk antara dua orang, melainkan dengan izin kedua orang itu."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Dalam riwayat Abu Daud disebutkan: Nabi s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Janganlah seseorang itu duduk antara dua orang yang sudah duduk lebih dulu, melainkan dengan izin keduanya."

827. Daripada Hudzaifah al-Yaman r.a. bahawasanya Rasulullah melaknat kepada orang yang duduk di tengah lingkaran maksudnya orang-orang banyak duduk di tepi melingkari sesuatu tempat lalu orang itu datang belakangan terus melangkahi bahu mereka dan duduk di tengah-tengah orang banyak.
(Riwayat Abu Daud dengan isnad hasan)

Imam Termidzi juga meriwayatkan dari Abu Mijlaz bahawasanya ada seorang lelaki duduk di tengah lingkaran, lalu Hudzaifah berkata:

Yang Bermaksud : "Dilaknat atau lisannya Muhammad s.a.w. atau Allah melaknat atas lisannya Muhammad s.a.w. pada orang yang duduk di tengah-tengah lingkaran."
Imam Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

828. Daripada Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah bersabda:

Yang Bermaksud : "Sebaik-baik tempat duduk yakni majlis ialah yang terlebar yakni terluas ruangannya."
Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dengan isnad shahih menurut syarat Imam Bukhari.

829. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang duduk di dalam suatu majlis, lalu banyak senda guraunya yang tidak bermanfaat dalam majlis tadi, lalu ia mengucapkan sebelum berdiri meninggalkan majlis itu, demikian yang ertinya: "Maha Suci Engkau, ya Allah dan saya mengucapkan puji-pujian padaMu. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, saya mohon ampun serta bertaubat padaMu, melainkan orang tersebut pasti diampunkan untuknya apa-apa yakni dosa yang diperolehnya dari majlis yang sedemikian tadi."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

830. Daripada Abu Barzah r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda pada penghabisannya jikalau beliau s.a.w. hendak berdiri dari majlis yang ertinya:

"Maha Suci Engkau ya Allah dan saya mengucapkan pujian-pujian padaMu. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, saya mohon ampun serta bertaubat padaMu."
Kemudian ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Tuan mengucapkan sesuatu ucapan yang tidak pernah Tuan ucapkan sebelum ini?" Beliau s.a.w. bersabda:

"Yang sedemikian itu adalah sebagai penebus dari apa saja yakni kekurangan-kekurangan atau kesalahan-kesalahan  yang ada di dalam majlis itu."
Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, juga diriwayatkan oleh Imam Hakim iaitu Abu Abdillah dalam kitab Al-Mustadrak dari riwayat Aisyah radhiallahu 'anha dan ia mengatakan bahawa Hadis ini adalah shahih isnadnya.

831. Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya:

Yang Bermaksud : "Jarang sekali Rasulullah s.a.w. itu berdiri meninggalkan sesuatu majlis, sehingga lebih dulu beliau s.a.w. berdoa dengan doa-doa di bawah ini yang ertinya:
"Ya Allah, bagikanlah kepada kita dari takut kita padaMu sesuatu yang menghalang-halangi antara kita dengan bermaksiat padaMu. Juga dari taat kita padaMu sesuatu yang dapat menyampaikan kita kepada syurgaMu. Demikian pula dari keyakinan yang dapat meringankan kita menghadapi bencana-bencana di dunia ini. Ya Allah, berikanlah kenikmatan kepada kita dengan adanya pendengaran, penglihatan dan kekuatan kita, selama Engkau masih menghidupkan kita dan jadikanlah semua itu sebagai yang tertinggal dari kita yakni sampai di akhir hayat hendaklah masih dapat digunakan sebaik-baiknya. Jadikanlah pembalasan kita itu tertuju kepada orang yang menganiaya kepada kita. Berilah kita pertolongan kepada orang yang memusuhi kita dan janganlah dijadikan bencana kita ini menimpa agama kita. Jangan pula menjadikan dunia ini sebagai sebesar-besar perhatian yang kita menuju padanya atau puncak dari ilmu pengetahuan kita sehingga tidak memberikan kemanfaatan sama sekali untuk urusan akhirat. Demikian pula janganlah memberikan kekuasaan untuk memerintah kita kepada orang yang tidak belas kasihan kepada kita."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

832 Daripada Abu Hurairah r.a., Katanya: 'Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Tiada sesuatu kaumpun yang berdiri meninggalkan sesuatu majlis dan tidak sama berzikir kepada Allah Taala dalam majlis itu, melainkan semua itu berdiri bagaikan bangkai keldai dan mereka semuanya memperoleh penyesalan."
(Riwayat Abu Daud dengan isnad shahih)

833. Daripada Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya:

Yang Bermaksud : "Tiada sesuatu kaumpun yang duduk di suatu majlis yang mereka itu tidak berzikir kepada Allah Taala dalam majlis tadi, juga tidak mengucapkan bacaan selawat kepada Nabi mereka di dalamnya, melainkan atas mereka itu ada kekurangannya. Jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan menyiksa kepada mereka dan jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan mengampunkan pada mereka."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

834. Daripada Abu Hurairah r.a. pula dari Rasulullah s.a.w., sabdanya:

Yang Bermaksud : “Barangsiapa yang duduk di suatu tempat duduk dan ia tidak berzikir kepada Allah Taala dalam duduknya itu, maka atasnya adalah kekurangan dari Allah dan barangsiapa yang berbaring di suatu tempat pembaringan dan ia tidak berzikir kepada Allah Taala dalam berbaringnya itu, maka atasnya adalah kekurangan dari Allah."
(Riwayat Abu Daud)

Sudah terdahulu uraian perihal erti Attirah baru-baru ini yakni dalam Hadis no. 813.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan