Segala
puji bagi ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA serta
selawat dan salam buat imamul muttaqin, panglima para mujahidin, junjungan kita
RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, seorang Nabi yang amanah serta buat kaum keluarganya, para sahabatnya
dan mereka yang mengikut pimpinan mereka hingga ke hari kiamat.
Ini
adalah perutusan saya kepada para mujahid di kalangan Ikhwan al-Muslimin.
Mereka yang meyakini kemuliaan dakwah mereka serta kesucian gagasan mereka.
Mereka yang mempunyai tekad yang suci untuk hidup bersama dan mati di jalannya.
Khusus buat mereka ini saya tujukan tulisan yang ringkas ini. Tulisan ini
bukanlah pelajaran yang perlu dihafal tetapi ia adalah taklimat yang perlu
dilaksanakan. Ayuh ke medan amal, wahai saudara yang jujur.
“Dan katakanlah (wahai MUHAMMAD): Bekerjalah kamu (akan segala yang
diperintahkan), maka ALLAH dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan
melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang
Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan
kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”
(Al-Taubah:
105)
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus,
maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang
lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu
dari jalan ALLAH. Dengan yang demikian itulah ALLAH perintahkan kamu, supaya
kamu bertakwa.”
(Al-An‘am:
153)
Buat yang
lain selain daripada mereka ini ada pengajian, ceramah, buku dan artikel, gaya
dan kaedah yang khusus untuk mereka. Setiap umat ada arah yang dituju. Oleh itu
berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan. Semuanya dijanjikan ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA
kebaikan.
Salam
serta rahmat dan keberkatan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA untuk kamu semua.
Hasan
al-Banna
Rukun
baiah kamu ada sepuluh, hayati dan hafallah:
1. Faham.
2.
Ikhlas.
3. Amal.
4. Jihad.
5.
Berkorban (Tadhiyah).
6. Taat.
7. Tabah
(Thabat). (***390)
8. Tajarrud (Jatidiri).
9.
Bersaudara (Ukhuwwah).
10.
Menaruh kepercayaan (Thiqah).
Wahai
Saudara Yang Jujur,
1. Faham
Apa Yang
Saya Maksudkan Dengan Faham:
Faham
yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya
berlandaskan Islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami faham, dalam skop
dua puluh usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini:
1. Islam
adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam
adalah negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan
kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang
atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan
kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu
Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.
2.
Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk
memahami hukum-hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab
tanpa mengada-adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami
melalui ahli hadis yang dipercayai.
3. Iman
yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan
yang diberikan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA ke dalam
hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi
bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak
bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama.
4.
Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara
melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara
ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang
menggunakan ayat Al-Quran atau hadis yang ma’thur.
5.
Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut
mempunyai pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan
umum) boleh dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat
ini mungkin berubah mengikut keadaan, budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat
ialah pengabdian (ta’abbud) tanpa perlu melihat kepada maksud. Sementara
dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab (***391), hikmah dan maksud.
6.
Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia
yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang
diredai ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA jika
bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA dan
sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan
mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita
serahkan kepada niat mereka. Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka
kemukakan..
7. Setiap
orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu
dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu’ hendaklah mengikut salah
satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia
berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu
menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan
orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan.
Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam
bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.
8.
Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab
untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan
dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak
salah untuk membuat kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang dipertikaikan
selagimana ia dilakukan dalam suasana penuh kemesraan dan saling bekerjasama
untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang
tidak diingini dan budaya taksub.
9. Setiap
masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam
kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini
termasuklah tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji
maksud ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang
mengenai kemuliaan seorang sahabat berbanding sahabat yang lain dan
persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap sahabat ada kelebihan
mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala bergantung
kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan.
10. Mengenali,
mengesakan dan mensucikan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA adalah akidah Islam yang paling suci. Semua ayat
dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan apa sahaja yang berkenaan
dengannya kita yakini seperti mana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan
mengikut kehendak kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan
diri kita dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru
sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.
“Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam
ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari
sisi Tuhan kami.”
(Aali
Imran: 7)
11.
Setiap amalan bidaah yang dimasukkan ke dalam agama ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA dan
tidak berasas (diamalkan oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada
mereka menokok tambah atau mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi
serta dihapuskan dengan cara yang terbaik dan tidak membawa kepada keadaan yang
lebih buruk.
12.
Bidaah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam
dengan mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari
sudut fikah. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak
salah untuk mencari kebenaran dengan berpandukan dalil dan bukti.
13.
Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik
yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA. Apa
yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA:
“(Wali-wali ALLAH itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula
sentiasa bertakwa.”
(Yunus:
63)
Karamah
berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun
perlu diyakini mereka yang diredhai oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ini tidak mampu mendatangkan
kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan
juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain.
14.
Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan
oleh sunnah. Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun
mereka atau menyeru nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari
dekat atau jauh atau bernazar untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau
menyelimutkan kubur atau memasang lampu di kubur atau menyentuh dan mengucup
kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain daripada nama ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA atau apa
sahaja bidaah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang perlu diperangi.
Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul
perkara yang lebih buruk.
15. Doa
yang dikaitkan dengan tawasul kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA
menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan
perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah
dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.
16. Adat
sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah
apa yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan
dilaksanakan menurut erti istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan
istilah perlu dielak dalam seluruh aspek dunia dan agama. Perkara yang diambil
kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh nama tersebut.
17.
Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan
anggota badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah
tuntutan syarak walaupun wujud perbezaan pada sejauh mana ia dituntut.
18. Islam
membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam
mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang
baik dan bermanfaat.
“Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana
sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.”
19. Ada
pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan
syarak tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah
tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak
dipastikan oleh akal atau oleh syarak, ia perlu disesuaikan supaya bertepatan
dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat dipastikan oleh syarak dan
oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat membuktikan
kebenarannya atau sebaliknya.
20. Kita
tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih
mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu –sama
ada mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika
dia mengeluarkan ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang
menjadi asas agama atau tidak mempercayai kenyataan Al-Quran yang jelas, atau
mentafsir Al-Quran menurut cara yang tidak bertepatan sama sekali dengan gaya
bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh diandaikan kecuali sebagai
kufur.
Setelah
seorang muslim memahami agamanya berpandukan asas ini barulah dia memahami apa
yang sering dilaungkannya:
“Al-Quran adalah perlembagaan kami dan rasul adalah ikutan kami.”
2. Ikhlas
Apa Yang
Saya Maksudkan Dengan Ikhlas:
Ikhlas
ialah saudara muslim itu meniatkan setiap kata, tindakan dan jihad yang
dilakukan hanya untuk ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA, mencari
keredhaan dan ganjaranNya tanpa mengharapkan harta atau kemasyhuran atau
kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Ini bermakna dia
merupakan pejuang fikrah dan akidah bukan memperjuangkan matlamat dan
kepentingan peribadi.
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku,
hanyalah untuk ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan.”
(Al-An‘am:
162-163)
Dengan
ini saudara muslim akan memahami maksud apa yang sering dilaungkannya:
“ALLAH matlamat kami” dan “ALLAH Maha besar dan segala puji bagi ALLAH.”
3. Amal
(Kerja)
Apa Yang
Saya Maksudkan Dengan Amal:
Amal
ialah hasil yang diperolehi daripada ilmu dan ikhlas.
“Dan katakanlah (wahai MUHAMMAD): Beramallah kamu (akan segala yang
diperintahkan), maka ALLAH dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan
melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang
Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan
kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”
(Al-Taubah:
105)
Peringkat
kerja yang perlu dilakukan oleh saudara yang jujur ialah:
1.
Memperbaiki diri sendiri sehingga dia memiliki tubuh yang kuat, akhlak yang
mantap, berpendidikan, mampu berdikari, akidah yang sejahtera, ibadah yang
betul, bermujahadah melawan diri, menjaga masa, segala urusannya tersusun dan
berguna kepada orang lain. Semua ini wajib bagi saudara semua.
2.
Pembinaan keluarga muslim. Mendidik ahli keluarganya supaya menghormati
gagasannya. Memelihara setiap adab Islam dalam setiap sudut hidup
berumahtangga. Teliti ketika memilih isteri. Didik isteri tentang hak dan
tanggungjawabnya. Didik anak dan pengasuh dengan baik dan besarkan mereka
berdasarkan prinsip Islam. Ini juga wajib bagi saudara semua.
3.
Membimbing masyarakat dengan cara mengembangkan aspek yang baik dalam
masyarakat. Menghapuskan segala amalan yang tidak baik di samping menggalakkan
amalan yang baik. Menyuruh masyarakat melakukan perkara yang baik. Bertindak
segera melakukan kebajikan. Menagih sokongan masyarakat supaya berpihak kepada
gagasan Islam. Sentiasa berusaha menyemai budaya masyarakat menurut budaya
Islam. Semua ini wajib dilakukan oleh saudara semua dan oleh jamaah sebagai
badan pelaksana.
4.
Membebaskan tanahair dengan cara mengusir kuasa asing (bukan Islam) daripada
menguasai aspek politik atau ekonomi atau moral.
5.
Memulihkan kerajaan supaya benar-benar bercirikan Islam. Dengan itu kerajaan
ini akan menjalankan peranannya sebagai khadam kepada rakyat atau orang upahan
rakyat dan bekerja demi kepentingan rakyat. Kerajaan Islam ialah kerajaan yang
dianggotai oleh orang Islam dan melaksanakan segala fardhu Islam dengan tidak
berterus terang melanggar perintah Islam. Kerajaan ini sebagai pelaksana hukum
dan ajaran Islam.
Namun
tidak salah jika kerajaan ini meminta bantuan orang bukan Islam ketika keadaan
terdesak tetapi bukan untuk melantik mereka sebagai pemimpin. Kerajaan ini
tidak perlu terikat kepada bentuk atau jenis tertentu. Apa yang penting ia
mesti bertepatan dengan dasar pemerintahan Islam.
Sifat-sifat
kerajaan ini ialah peka dengan tanggungjawab, prihatin dengan nasib rakyat,
bertindak adil kepada semua, menjaga harta negara dan berjimat ketika
menggunakannya.
Tanggungjawab
kerajaan ini ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, memberikan
pendidikan kepada rakyat, membina kekuatan negara, menjaga mutu kesihatan,
memelihara kepentingan rakyat, membangunkan sumber negara, menjaga keselamatan
sumber negara, memantapkan akhlak rakyat dan mengembangkan dakwah.
Hak
kerajaan (setelah menunaikan tanggungjawabnya) ini ialah rakyat perlu
memberikan kesetiaan dan ketaatan. Kerajaan ini perlu dibantu dengan nyawa dan
harta.
Jika
kerajaan ini cuai, ia perlu dinasihat dan ditunjuk ajar. Jika tidak ia perlu
dipecat dan disingkir. Tidak dibenarkan mentaati makhluk untuk menderhakai ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA.
6.
Mewujudkan kembali sebuah negara untuk umat Islam dengan cara memerdekakan
semua tanahair umat Islam, menghidupkan semula sejarah kegemilangan mereka,
merapatkan jurang budaya mereka dan menyatukan suara mereka sehinggalah muncul
kembali khilafah Islam yang telah lama lenyap dan lahir semula perpaduan umat
Islam yang dicitakan.
7.
Menjadi tonggak dunia (ustaziatul ‘alam) dengan cara menyebarkan Islam
ke seluruh pelusuk dunia.
“Sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu
seluruhnya (bebas) bagi ALLAH semata-mata.”
(Al-Anfal:
39)
“Sedang ALLAH tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya.”
(Al-Taubah:
32)
Empat
peringkat yang terakhir ini wajib dilaksanakan oleh sebuah jamaah dan oleh
setiap saudara dengan kedudukan mereka sebagai anggota jamaah. Betapa beratnya
tanggungjawab ini dan betapa besarnya peranan ini. Manusia akan melihat semua
ini suatu khayalan namun saudara muslim melihatnya sebagai suatu kenyataan.
Kita tidak akan berputus asa dan tetap menaruh harapan yang tinggi kepada ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA.
“Dan ALLAH Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya,
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Yusuf:
21)
4. Jihad
Apa Yang
Saya Maksudkan Dengan Jihad:
Jihad
adalah satu kefardhuan yang akan terus diwajibkan sehingga hari kiamat. Selain
itu jihad juga ialah apa yang dimaksudkan oleh sabda RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM :
“Orang yang mati tetapi tidak pernah berperang atau tidak pernah berniat
untuk berperang dia mati dalam keadaan jahiliyah.”
Tahap
pertama jihad ialah mengengkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah
perang di jalan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA. Di
antara dua tahap tadi ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan
kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam. Dakwah ini tidak akan bererti tanpa
jihad. Sehebat mana dan seluas mana dakwah ini sehebat itulah juga jihad yang
diperlukan dan sebesar itu jugalah pengorbanan yang diperlukan untuk menyokong
dakwah ini. Namun ganjarannya juga besar untuk mereka yang berusaha.
“Dan berjihadlah kamu pada jalan ALLAH dengan jihad yang
sebenar-benarnya.”
(Al-Haj:
78)
Dengan
ini barulah anda faham apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan:
“Jihad adalah jalan kami.”
5.
Berkorban (Tadhiyah)
Apa Yang
Saya Maksudkan Dengan Berkorban:
Berkorban
ialah menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi
mencapai matlamat. Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan.
Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan
sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih
baik. Sesiapa yang tidak mahu berkorban bersama kita dia akan menanggung dosa.
“Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang yang beriman akan
jiwa mereka dan harta benda mereka.”
(Al-Taubah:
111)
“Katakanlah (wahai MUHAMMAD): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu…”
(Al-Taubah:
24)
“Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai
dahaga, dan merasai penat lelah..”
(Al-Taubah:
120)
“Jika kamu taat (menjalankan perintah ALLAH ini), ALLAH akan
mengurniakan kamu dengan balasan yang baik.”
(Al-Fath:
16)
Dengan
ini anda memahami apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan:
“Mati di jalan ALLAH adalah cita-cita utama kami.”
6. Taat
Apa yang
saya maksudkan dengan taat:
Taat
ialah akur kepada perintah dan melaksanakan secara sepontan dalam keadaan sukar
atau senang, rela atau terpaksa. Ini adalah kerana fasa dakwah ini ada tiga:
Pengenalan
(Takrif)
Fasa ini
dilaksanakan dengan menyebarkan fikrah Islam kepada masyarakat. Dalam fasa ini
dakwah disusun melalui pertubuhan. Peranannya ialah bekerja untuk kebajikan
masyarakat. Wahana atau wasilah yang digunakan adakalanya dalam bentuk nasihat
dan tunjuk ajar, adakalanya dalam bentuk membina prasarana yang berguna untuk
masyarakat dan pelbagai lagi wasilah yang praktikal. Semua cawangan Ikhwan yang
wujud pada hari ini berada dalam fasa dakwah ini. Semuanya disusun oleh satu
undang-undang asas yang dihuraikan oleh risalah-risalah dan akhbar-akhbar
Ikhwan. Dakwah dalam fasa ini bersifat umum.
Dalam
fasa ini, jamaah berhubung dengan sesiapa sahaja yang mahu mengambil bahagian
dalam kerja-kerja jamaah serta bersedia berjanji memelihara dasar-dasar jamaah.
Dalam fasa ini ketaatan penuh tidak diperlukan. Cukup sekadar ia menghormati
sistem dan dasar am jamaah.
Pembinaan
(Takwin)
Memilih
individu-individu yang sesuai untuk memikul tanggungjawab jihad dan mereka
kemudiannya digabungkan dalam saf. Dalam fasa ini, dakwah disusun menggunakan
kaedah sufi sepenuhnya dalam sudut rohani dan menggunakan kaedah ketenteraan
sepenuhnya dalam sudut amali. Slogan bagi kedua-dua sudut ini ialah “perintah
dan taat” tanpa ada rasa teragak-agak, bersoal jawab, ragu-ragu dan keberatan.
Katibah-katibah Ikhwan merupakan pelaksana kepada fasa dakwah ini. Sebelum ini
katibah ini disusun menurut Risalah al-Manhaj dan sekarang
risalah ini.
Dakwah
dalam fasa ini adalah bersifat khusus. Dakwah hanya berhubung dengan orang yang
sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab jihad yang akan
berlangsung dalam tempoh yang lama dan menuntut pelbagai tanggungjawab. Tanda
pertama kesediaan ini ialah “ketaatan mutlak”.
Pelaksanaan
(Tanfiz)
Dakwah
dalam fasa ini adalah jihad tanpa kompromi, kerja yang berterusan ke arah
mencapai matlamat, ujian dan cubaan yang akan hanya ditempuh dengan sabar oleh
mereka yang jujur. Kejayaan dalam fasa ini hanya akan diperolehi melalui
“ketaatan mutlak”. Barisan Ikhwan al-Muslimin yang pertama memberikan baiah
ialah pada 5 Rabiul Awal 1359.
Apabila
anda bergabung dalam katibah ini dan menerima risalah ini serta berikrar dengan
baiah ini anda telah berada di tahap kedua dan hampir dengan tahap ketiga. Oleh
itu nilailah tanggungjawab yang anda laksanakan. Siapkanlah diri anda untuk
memenuhi tanggungjawab ini.
7. Tabah
(Thabat)
Apa Yang
Saya Maksudkan Dengan Tabah;
Tabah
bermakna seorang akh terus menerus bekerja dan berjihad untuk mencapai matlamat
walau sejauhmana tempoh yang ditempuh dan memakan masa bertahun-tahun lamanya,
sehingga dia bertemu dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Dia akan memperolehi dua kejayaan, sama ada dia
mencapai matlamatnya atau dia mencapai syahid di akhir nanti.
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar
menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada ALLAH (untuk berjuang membela
Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu
(lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka
pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”
(Al-Ahzab:
23)
Bagi
kita, masa adalah salah satu penyelesai masalah. Jalan ini memang jauh apatah
lagi apabila ia terpaksa melalui pelbagai peringkat dan pelbagai rintangan.
Namun demikian ini sahaja jalan yang mampu membawa kita kepada destinasi kita.
Ditambah pula dengan ganjaran dan pahalanya yang besar.
Ini
kerana kesemua enam wasilah atau wahana kita memerlukan kita membuat persediaan
yang rapi, menunggu masa yang sesuai dan merancang pelaksanaan yang teliti.
Semua ini bergantung kepada masa.
“Mereka bertanya secara mengejek: Bila berlakunya? Katakanlah:
Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!”
(Al-Isra’:
51)
8.
Jatidiri (Tajarrud)
Apa Yang
Saya Maksudkan Dengan Jatidiri
Jatidiri
ialah anda memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fikrah atau gagasan anda dan
anda ketepikan semua prinsip dan tokoh lain selain daripada gagasan anda kerana
gagasan anda adalah yang paling mulia, paling lengkap dan paling tinggi.
“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami
telah sebati dengannya ialah): celupan ALLAH yang mencorakkan seluruh kehidupan
kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada ALLAH?”
(Al-Baqarah:
138)
“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan
pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada
kaumnya (yang kufur ingkar): Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan
daripada apa yang kamu sembah yang lain daripada ALLAH; kami kufur ingkarkan
(segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan
kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah ALLAH
semata-mata.”
(Al-Mumtahanah:
4)
Bagi
saudara yang jujur, manusia terbahagi kepada enam kumpulan:
1. Muslim
yang berjihad.
2. Muslim
yang berdiam diri.
3. Muslim
yang melakukan dosa.
4. Ahli
zimmi yang membuat perjanjian.
5.
Manusia yang berkecuali.
6.
Manusia yang memusuhi.
Bagi
setiap kumpulan ini ada hukum yang tersendiri menurut neraca Islam. Pengkelasan
ini akan menjadi landasan dalam menilai individu ataupun pertubuhan, sahabat
ataupun lawan.
9.
Persaudaraan (Ukhuwwah)
Apa Yang
Saya Maksudkan Dengan Persaudaraan;
Persaudaraan
itu ialah hati-hati dan roh-roh dihubungkan dengan ikatan akidah. Akidah adalah
hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan
perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan
perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang
yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi
ialah mengutamakan orang lain.
“Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada
dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang Berjaya”.
(Al-Hasyr:
9)
Saudara
yang jujur akan merasakan saudara-saudaranya lebih utama dari dirinya sendiri
kerana segala hidupnya bersama mereka. Sedangkan mereka, jika tidak bersamanya
akan bersama dengan orang lain. Serigala akan hanya menerkam kambing yang
bersendirian. Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain umpama bangunan yang
saling kuat memperkuat antara satu sama lain.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi
penolong bagi setengahnya yang lain.”
(Al-Taubah:
71)
Inilah
yang sepatutnya kita lakukan.
10.
Percaya (Thiqah)
Apa Yang
Saya Maksudkan Dengan Thiqah;
Seorang
tentera menaruh kepercayaan penuh kepada kewibawaan dan keikhlasan pemimpin
hingga ke tahap lahir rasa kasih, menyanjung tinggi, hormat dan taat.
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman
sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang
timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka
sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima
keputusan itu dengan sepenuhnya”.
(Al-Nisa’:
65)
Pimpinan
adalah sebahagian daripada dakwah. Dakwah pula tidak akan wujud tanpa pimpinan.
Sejauhmana wujud hubungan saling percaya-mempercayai antara pimpinan dan
tentera ini akan menentukan kekuatan sistem sesebuah jamaah, kekemasan
strateginya, kejayaannya untuk mencapai matlamat dan sejauhmana ia mampu
mengatasi segala rintangan dan cabaran.
“Maka kebinasaanlah lebih hampir kepada mereka. (Mereka selalu berkata:
Pendirian kami) mematuhi perintah dan memperkatakan perkataan yang baik (yang
diredhai Allah).”
(Muhammad:
20-21)
Dalam
dakwah Ikhwan, seorang pemimpin ibarat seorang ayah dari segi hubungan hati,
seorang guru dari segi penyaluran ilmu, seorang syeikh dari segi didikan
rohani, seorang ketua dari segi menentukan dasar am dakwah. Dakwah kita
menggabungkan semua elemen ini. Kepercayaan kepada pemimpin merupakan asas
kepada kejayaan mana-mana gerakan. Oleh itu, setiap akh yang jujur perlu
menyoal dirinya soalan-soalan berikut bagi mengetahui sejauhmana kepercayaannya
kepada pimpinannya:
1. Adakah
dia mengenali siapakah pemimpinnya sebelum ini dan telah mengkaji latar
belakangnya?
2. Adakah
dia yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya?
3. Adakah
dia bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan
syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak
boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, di samping bersedia
memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik?
4. Adakah
dia bersedia untuk merasakan kemungkinan bahawa pendapatnya salah dan pendapat
pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan
apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas
syarak?
5. Adakah
dia bersedia untuk meletakkan kehidupan hariannya di bawah telunjuk dakwah?
Adakah pemimpin pada pandangannya berhak menentukan apa yang lebih penting
antara kepentingan peribadinya dengan kepentingan dakwah?
Berdasarkan
jawapan kepada soalan-soalan ini atau yang seumpama dengannya, seseorang akh
akan meyakini sejauhmana hubungannya dengan pimpinan dan sejauhmana dia
mempercayai kewibawaannya. Namun hati-hati manusia di tangan ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA dan Dia
mentadbir hati-hati ini menurut kehendaknya.
“Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi,
nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan
tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Anfal:
63)
Wahai
Saudara yang jujur,
Keyakinan
anda dengan baiah ini telah mewajibkan anda supaya menunaikan segala
tanggungjawab berikut agar anda menjadi seketul bata yang kukuh dalam pembinaan
ini:
1. Anda
hendaklah mempunyai wirid harian, tidak kurang daripada satu juzuk Al-Quran.
Berusahalah supaya menghabiskannya tidak melebihi sebulan dan tidak kurang
daripada tiga hari.
2. Anda
hendaklah memperelokkan bacaan Al Quran anda atau mendengar dan mentadabbur
maknanya. Anda hendaklah mempelajari sirah dan sejarah generasi silam mengikut
kelapangan masa yang ada pada anda. Sekurang-kurangnya buku yang dibaca ialah,
“Humatul Islam”. Anda hendaklah banyak membaca hadis RASULULLAH SHALLALLAHU
‘ALAIHI WASSALLAM dan
hafallah sekurang-kurangnya empat puluh hadis, terutama hadis empat puluh Imam
Nawawi. Anda hendaklah mempelajari buku-buku tentang asas akidah dan cabang
fikah.
3. Anda
hendaklah melakukan pemeriksaan perubatan yang menyeluruh dan berusaha merawat
segala penyakit yang ada pada diri anda. Anda hendaklah mengambil berat aspek
kekuatan dan penjagaan badan serta jauhkanlah daripada segala punca yang
melemahkan tubuh badan.
4. Anda
hendaklah menjauhkan tabiat mengambil minuman kopi, teh atau minuman perangsang
secara berlebihan. Janganlah anda minum minuman seperti ini kecuali jika perlu
dan jauhi sama sekali tabiat merokok.
5. Anda
hendaklah mengambil berat soal kebersihan dalam semua keadaan, kediaman,
pakaian, makanan, tubuh badan dan tempat kerja. Kebersihan adalah teras agama
ini.
6. Anda
hendaklah sentiasa bercakap benar dan tidak akan sekali-kali menipu.
7. Anda
hendaklah bersikap amanah pada janji dan setiap percakapan. Janganlah anda
mungkiri janji walau apa keadaan sekalipun.
8. Anda
hendaklah bersikap berani dan bersemangat waja. Sikap berani yang paling baik
ialah lantang menyatakan kebenaran, bersedia menyembunyikan rahsia, mengakui
kesilapan, jujur dengan diri sendiri dan mengawal diri ketika marah.
9. Anda
hendaklah bersikap serius dan sentiasa bersungguh-sungguh. Walau bagaimanapun
sikap serius ini tidak bermakna anda mengenepikan senda gurau yang benar dan
gelak ketawa.
10. Anda
hendaklah bersikap pemalu dan sensitif, amat peka dengan perkara yang baik dan
yang tidak baik. Gembira melihat yang baik dan sedih melihat yang tidak baik.
Anda juga hendaklah bersikap merendah diri tetapi bukan menghina diri atau
mengampu. Jika apa yang anda minta itu lebih rendah daripada kedudukan anda
nescaya apa yang anda minta itu pasti akan tercapai.
11. Anda
hendaklah bersikap adil dan mampu memberikan keputusan yang betul dalam semua
keadaan. Janganlah kerana kemarahan anda melupakan kebaikan dan jangan juga
anda melelapkan mata melihat keburukan. Janganlah kerana persengketaan, anda
melupakan nilai-nilai murni. Nyatakanlah kebenaran walaupun kepada diri anda
sendiri atau kepada orang yang paling hampir dengan anda, walaupun ia pahit.
12. Anda
hendaklah bergiat cergas dan terlatih untuk berkhidmat kepada masyarakat. Anda
perlu merasa seronok dan gembira jika anda mampu memberikan sesuatu khidmat
kepada orang lain. Anda hendaklah melawat orang sakit, membantu mereka yang
memerlukan bantuan, orang yang lemah dan orang yang ditimpa malapetaka walaupun
sekadar mengucapkan kata-kata yang baik. Sentiasalah berusaha untuk melakukan
kebaikan.
13. Anda
hendaklah mempunyai hati yang penyayang, pemurah dan pemaaf, sedia memaafkan,
melayan dengan baik dan bersabar dengan manusia dan haiwan. Anda hendaklah
memberikan layan yang baik kepada semua manusia. Anda hendaklah memelihara
adab-adab pergaulan dalam Islam. Dengan ini bermakna anda perlu mengasihi
anak-anak kecil, menghormati orang tua, memberikan orang lain ruang untuk duduk
dalam majlis. Janganlah anda mengintip, mengumpat dan mengangkat suara. Minta
izinlah ketika ingin masuk dan keluar. Begitulah seterusnya.
14. Anda
hendaklah berkemampuan untuk membaca dan menulis dengan baik. Perbanyakkanlah
membaca tulisan-tulisan, akhbar, majalah atau sebagainya yang ditulis oleh
Ikhwan. Anda sendiri hendaklah mempunyai sebuah perpustakaan walaupun kecil.
Anda hendaklah meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran anda jika anda
merupakan orang yang berkepakaran. Anda hendaklah menguasai keseluruhan
permasalahan Islam secara mendalam sehingga anda mampu memahami dan memberikan
jawapan yang tepat sesuai dengan kehendak fikrah anda.
15. Anda
hendaklah menjalankan kerja-kerja ekonomi walaupun anda seorang yang kaya. Anda
hendaklah berusaha untuk bekerja sendiri walaupun secara kecil-kecilan. Anda
hendaklah tumpukan usaha anda dalam kerja tersebut walau setinggi mana
sekalipun pencapaian akademik anda.
16.
Elaklah jawatan dalam kerajaan dan anda hendaklah menjadikan jawatan dalam
kerajaan ini sebagai pintu rezeki yang terakhir. Walau bagaimanapun janganlah
anda menolak jika anda diberi peluang dan janganlah anda melepaskan jawatan
tersebut kecuali jika jawatan tersebut bertentangan sama sekali dengan
kewajipan dakwah anda.
17. Anda
hendaklah bersungguh-sungguh menjalankan tugas anda dengan menjaga aspek
kualiti, tekun, tidak korup dan hendaklah menepati janji.
18. Anda
hendaklah menunaikan segala hak-hak anda dengan baik dan menunaikan segala hak
orang lain tanpa perlu diminta dan tidak melewat-lewatkannya sama sekali.
19. Anda
hendaklah menjauhi segala bentuk judi walau apa sekalipun tujuan di sebaliknya.
Anda hendaklah menjauhi segala sumber rezeki yang haram walaupun ia memberikan
keuntungan yang segera.
20. Anda
hendaklah menjauhi semua urusan yang membabitkan riba dan bersihkanlah diri
anda daripada segala unsur riba.
21. Anda
hendaklah menggunakan kekayaan umat Islam dengan cara menggalakkan sektor
perusahaan dan prasarana ekonomi Islam. Anda hendaklah memastikan tiada satu
senpun wang anda yang jatuh ke tangan bukan Islam dalam apa keadaan sekalipun.
Anda hendaklah hanya memakai dan memakan hasil buatan negara Islam.
22. Anda
hendaklah memberikan sebahagian harta anda sebagai sumbangan kepada dakwah dan
tunaikanlah zakat yang diwajibkan. Jadikanlah sejumlah harta anda sebagai
sumbangan kepada orang yang memerlukan walau sekecil mana sekalipun pendapatan
anda.
23. Anda
hendaklah menyimpan sebahagian pendapatan anda walaupun sedikit untuk masa
kecemasan. Janganlah anda terjerumus dalam kemewahan sama sekali.
24. Anda
hendaklah berusaha sedaya upaya anda untuk menghidupkan budaya Islam dan
menghapuskan budaya asing dalam setiap sudut hidup masyarakat. Budaya tersebut
termasuklah cara mengucap salam, bahasa, sejarah, pakaian, perhiasan, waktu
bekerja dan berehat, makan dan minum, waktu datang dan balik, waktu sedih dan
gembira atau sebagainya. Berusahalah untuk mengamalkan sunnah dalam semua aspek
tersebut.
25. Anda
hendaklah memulaukan mahkamah tempatan dan semua undang-undang yang tidak
Islamik. Anda juga perlu memulaukan semua kelab, akhbar, pertubuhan, sekolah
dan badan yang bertentangan dengan fikrah Islam anda.
26. Anda
hendaklah sentiasa merasai kehadiran ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, mengingati akhirat dan bersedia
menghadapinya. Anda hendaklah melalui fasa bersuluk menuju keredaan ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA dengan
penuh hemah dan azam yang tinggi. Anda hendaklah mendekatkan diri anda dengan ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA dengan
cara mendirikan ibadah sunat, antaranya sembahyang malam, puasa tiga hari
setiap bulan sekurang-kurangnya, membanyakkan zikir dalam hati dan lidah,
membaca doa yang disebutkan pada setiap masa.
27.
Bersucilah dengan cara yang baik dan dalam banyak ketika cubalah berada dalam
keadaan berwuduk.
28.
Lakukanlah solat dengan baik dan cubalah dirikan solat pada waktunya.
Berusahalah sedaya upaya untuk mendirikan solat secara berjemaah di masjid.
29.
Berpuasalah di bulan Ramadan dan kerjakanlah haji jika anda berkemampuan.
Berusahalah jika boleh untuk merealisasikannya.
30. Anda
hendaklah sentiasa semaikan niat untuk berjihad, cintakan mati syahid dan
bersedia sedaya upaya anda untuk merealisasikannya.
31. Anda
hendaklah sentiasa memperbaharui (***403) taubat dan memohon keampunan serta
berwaspada supaya tidak melakukan dosa-dosa kecil apatah lagi dosa-dosa besar.
Anda perlu peruntukkan sejumlah masa sebelum tidur untuk anda menilai apakah
amalan baik dan tidak baik yang telah anda lakukan. Berusahalah menjaga masa
kerana masa adalah hayat anda. Janganlah gunakan masa anda untuk sesuatu yang
tidak berfaedah. Anda hendaklah bersifat warak terhadap perkara yang meragukan
supaya anda tidak terjerumus melakukan perkara yang haram.
32. Anda
hendaklah melawan diri anda dengan tegas supaya anda mampu memimpinnya. Anda
perlu menutup pandangan mata anda, kawal emosi anda dan naluri semulajadi anda.
Anda perlu sentiasa membawa diri anda hanya kepada yang dihalalkan. Anda perlu
menjauhkan dirinya daripada perkara haram walau apa keadaan sekalipun.
33. Anda
hendaklah menjauhi sama sekali semua minuman arak, minuman yang memabukkan dan
yang mengkhayalkan walau apa jenisnya sekalipun.
34. Anda
hendaklah menjauhi sahabat-handai yang tidak baik serta tempat-tempat yang
penuh noda dan dosa.
35. Anda
hendaklah menghapuskan tempat-tempat hiburan apatah lagi untuk mendekatinya.
Jauhkanlah diri anda daripada segala gaya hidup yang mewah.
36. Anda
hendaklah mengenali anggota katibah anda seorang demi seorang secara mendalam.
Anda juga hendaklah memperkenalkan diri anda kepada mereka secara mendalam.
Anda hendaklah menunaikan hak-hak persaudaraan mereka seperti kasih sayang,
hormat, saling bantu-membantu dan sentiasa berikan mereka keutamaan. Anda
hendaklah menghadiri perjumpaan bersama mereka dan janganlah anda menguzurkan
diri kecuali kerana terpaksa. Anda perlu sentiasa berikan mereka keutamaan
dalam setiap urusan anda.
37. Anda
hendaklah menghentikan segala hubungan anda dengan mana-mana badan atau
pertubuhan yang tidak membawa kepentingan kepada gagasan atau fikrah anda
terutama apabila anda diminta untuk berbuat demikian.
38. Anda
hendaklah berusaha untuk mengembangkan dakwah anda di mana jua dan memaklumkan
kepada pimpinan anda setiap perkembangan anda. Jangan anda lakukan sesuatu yang
boleh memberikan kesan yang besar kepada dakwah melainkan setelah anda terlebih
dahulu meminta izin. Anda perlu sentiasa menjalin hubungan rohani dan amali
dengan pimpinan. Anda hendaklah sentiasa merasakan anda adalah seorang tentera
yang sedang berada dalam kem yang sentiasa menunggu arahan.
Wahai
Saudara Yang Jujur,
Inilah
dakwah anda secara ringkas. Inilah penjelasan ringkas tentang gagasan anda. Anda
boleh simpulkan keseluruhan asas ini di dalam lima ayat:
ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA adalah
matlamat kami.
Rasul
adalah ikutan kami.
Al Quran
adalah panduan kami.
Jihad
adalah jalan kami.
Mati
syahid adalah cita-cita kami.
Anda juga
mungkin boleh gabungkan gagasan ini dalam lima perkataan berikut:
Sederhana,
membaca, solat, ketenteraan dan akhlak.
Didiklah
semua nilai-nilai ini ke dalam diri anda dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak
ruang untuk berpeluk tubuh bagi orang yang malas dan tidak berpendirian
sentiasa terbuka luas.
Saya
yakin jika anda amalkan semua nilai ini dan anda jadikan nilai ini sebagai
impian serta matlamat hidup, anda pasti akan beroleh kegemilangan di dunia dan
kesenangan serta keredhaan di akhirat. Di kala itu, anda menjadi sebahagian
daripada kami dan kami menjadi sebahagian daripada anda. Namun jika anda
menolak dan berpeluk tubuh tiada lagi hubungan di antara anda dan kami walaupun
anda begitu menonjol dalam majlis kami atau anda menjawat jawatan yang tinggi
di kalangan kami atau anda terkenal dengan penampilan yang hebat. Anda akan
dihisab oleh ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA
sekeras-kerasnya kerana sikap anda yang berpeluk tubuh. Buatlah pilihan dan
kami memohon semoga kita semua beroleh hidayah dan taufik ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA.
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu
perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi
sakitnya?”
1.
“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya.”
2.
“Serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
“Serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
Al-Saf:
10-11.
1.
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu.”
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu.”
2.
“Dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik
dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar.”
Rujukan:
http://www.muslimdiary.com/articles.php?article_id=1531
Tiada ulasan:
Catat Ulasan