Surah
Al Fatihah (Pembukaan) yang diturunkan di Mekah dan terdiri dari 7 ayat
adalah surah yang pertama-tama diturunkan dengan lengkap di antara surah-surah
yang ada dalam al Quran dan termasuk golongan surah Makiyah. Surah ini disebut
Al Fatihah (Pembukaan), kerana dengan surah inilah dibuka dan
dimulainya al Quran. Dinamakan Ummul Quran (induk al Quran) atau Ummul
Kitaab (induk Al Kitab) kerana dia merupakan induk dari semua isi al
Quran, dan kerana itu diwajibkan membacanya pada tiap-tiap solat.
Dinamakan pula As Sab'ul matsaany (tujuh yang berulang-ulang) kerana ayatnya tujuh dan dibaca berulang-ulang dalam solat.
Surah ini mengandung beberapa unsur pokok yang mencerminkan seluruh isi al Quran, iaitu :
1. Keimanan:
Beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa terdapat dalam ayat 2, di mana dinyatakan dengan tegas bahawa segala puji dan ucapan syukur atas suatu nikmat itu bagi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA adalah Pencipta dan sumber segala nikmat yang terdapat dalam alam ini. Di antara nikmat itu ialah: nikmat menciptakan, nikmat mendidik dan menumbuhkan, sebab kata Rab dalam kalimat Rabbul-'aalamiin tidak hanya bererti Tuhan atau Penguasa, tetapi juga mengandung erti tarbiyah iaitu mendidik dan menumbuhkan. Hal ini menunjukkan bahawa segala nikmat yang dilihat oleh seseorang dalam dirinya sendiri dan dalam segala alam ini bersumber daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, kerana Tuhanlah Yang Maha Berkuasa di alam ini. Pendidikan, penjagaan dan Penumbuahan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA di alam ini haruslah diperhatikan dan difikirkan oleh manusia sedalam-dalamnya, sehingga menjadi sumber pelbagai macam ilmu pengetahuan yang dapat menambah keyakinan manusia kepada keagungan dan kemuliaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, serta berguna bagi masyarakat. Oleh kerana keimanan (ketauhidan) itu merupakan masalah yang pokok, maka di dalam surah Al Fatihah tidak cukup dinyatakan dengan isyarat saja, tetapi ditegaskan dan dilengkapi oleh ayat 5, iaitu: Iyyaaka na'budu wa iyyaka nasta'iin (hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan). Janji memberi pahala terhadap perbuatan yang baik dan ancaman terhadap perbuatan yang buruk.
Yang dimaksud dengan Yang Menguasai Hari Pembalasan ialah pada hari itu Allahlah yang berkuasa, segala sesuatu tunduk kepada kebesaranNya sambil mengharap nikmat dan takut kepada siksaanNya. Hal ini mengandung erti janji untuk memberi pahala terhadap perbuatan yang baik dan ancaman terhadap perbuatan yang buruk. Ibadat yang terdapat pada ayat 5 semata-mata ditujukan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, selanjutnya lihat no. [6].
2. Hukum-hukum:
Jalan kebahagiaan dan bagaimana seharusnya menempuh jalan itu untuk memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Maksud "Hidayah" di sini ialah hidayah yang menjadi sebab dapatnya keselamatan, kebahagiaan dunia dan akhirat, baik yang mengenai kepercayaan mahupun akhlak, hukum-hukum dan pelajaran.
3. Kisah-kisah:
Kisah para Nabi dan kisah orang-orang dahulu yang menentang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Sebahagian besar dari ayat-ayat al Quran memuat kisah-kisah para Nabi dan kisah orang-orang dahulu yang menentang. Yang dimaksud dengan orang yang diberi nikmat dalam ayat ini, ialah para Nabi, para shiddieqiin (orang-orang yang sungguh-sungguh beriman), syuhadaa' (orang-orang yang mati syahid), shaalihiin (orang-orang yang soleh). Orang-orang yang dimurkai dan orang-orang yang sesat, ialah golongan yang menyimpang dari ajaran Islam.
Perincian dari yang telah disebutkan di atas terdapat dalam ayat-ayat al Quran pada surah-surah yang lain.
1. Dengan menyebut nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang[1].
[1] Maksudnya: saya memulai membaca al-Fatihah ini dengan menyebut nama ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Setiap pekerjaan yang baik, hendaknya dimulai dengan menyebut asma ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, seperti makan, minum, menyembelih haiwan dan sebagainya. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ialah nama zat yang Maha Suci, yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya, yang tidak memerlukan makhlukNya, tetapi makhluk yang memerlukanNya. Ar Rahmaan (Maha Pemurah): salah satu nama Allah yang memberi pengertian bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melimpahkan kurniaNya kepada makhlukNya, sedang ar Rahiim (Maha Penyayang) memberi pengertian bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sentiasa bersifat rahmah yang menyebabkan Dia selalu melimpahkan rahmatNya kepada makhlukNya.
2. Segala puji[2] bagi ALLAH, Tuhan semesta
alam[3].
[2]
Alhamdu (segala puji). Memuji orang adalah kerana perbuatannya yang baik
yang dikerjakannya dengan kemahuan sendiri. Maka memuji ALLAH SUBHANAHU WA TAALA bererti:
menyanjungNya kerana perbuatanNya yang baik. Lain halnya dengan syukur yang bererti:
mengakui keutamaan seseorang terhadap nikmat yang diberikannya. Kita
menghadapkan segala puji bagi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ialah kerana
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sumber dari segala kebaikan yang patut dipuji.
[3] Rabb (Tuhan) bererti: Tuhan yang
ditaati Yang Memiliki, Mendidik dan Memelihara. Lafal rabb tidak dapat dipakai selain untuk Tuhan, kecuali kalau ada
sambungannya, seperti rabbul bait
(tuan rumah).
'Alamiin
(semesta alam): semua yang diciptakan Tuhan yang terdiri dari berbagai jenis
dan macam, seperti: alam manusia, alam haiwan, alam tumbuh-tumbuhan,
benda-benda mati dan sebagainya. Allah pencipta semua alam-alam itu.
3. Maha Pemurah lagi
Maha Penyayang.
4. Yang menguasai[4] di Hari Pembalasan[5].
[4] Maalik (Yang Menguasai) dengan
memanjangkan mim,ia bererti: pemilik. Dapat pula dibaca dengan Malik
(dengan memendekkan mim), ertinya: Raja.
[5] Yaumiddin (Hari Pembalasan): hari yang diwaktu itu masing-masing manusia menerima pembalasan amalannya yang baik mahupun yang buruk. Yaumiddin disebut juga yaumulqiyaamah, yaumulhisaab, yaumuljazaa' dan sebagainya.
[5] Yaumiddin (Hari Pembalasan): hari yang diwaktu itu masing-masing manusia menerima pembalasan amalannya yang baik mahupun yang buruk. Yaumiddin disebut juga yaumulqiyaamah, yaumulhisaab, yaumuljazaa' dan sebagainya.
5. Hanya
Engkaulah yang kami sembah[6],
dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan[7].
[6]
Na'budu diambil dari kata 'ibaadat: kepatuhan dan ketundukkan
yang ditimbulkan oleh perasaan terhadap kebesaran ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, sebagai Tuhan yang
disembah, kerana berkeyakinan bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA mempunyai kekuasaan yang mutlak
terhadapnya.
[7]
Nasta'iin (minta pertolongan), terambil dari kata isti'aanah:
mengharapkan bantuan untuk dapat menyelesaikan suatu pekerjaan yang tidak
sanggup dikerjakan dengan tenaga sendiri.
6.
Tunjukilah[8] kami
jalan yang lurus,
[8] Ihdina (tunjukilah kami), dari kata
hidayaat: memberi petunjuk ke suatu jalan yang benar. Yang dimaksud
dengan ayat ini bukan sekadar memberi hidayah saja, tetapi juga memberi taufik.
7. (iaitu)
Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan)
mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.[9]
[9] Yang dimaksud dengan mereka yang
dimurkai dan mereka yang sesat ialah semua golongan yang menyimpang
dari ajaran Islam.
Surah
Al Fatihaah ini melengkapi unsur-unsur pokok syariat Islam, kemudian
dijelaskan perinciannya oleh ayat-ayat al Quran yang 113 surah berikutnya.
Persesuaian surah ini dengan surah Al Baqarah dan surah-surah sesudahnya ialah surah Al Faatihah merupakan titik-titik pembahasan yang akan diperinci dalam surah Al Baqarah dan surah-surah yang sesudahnya.
Di bahagian akhir surah Al Faatihah disebutkan permohonan hamba
supaya diberi petunjuk oleh Tuhan ke jalan yang lurus, sedang surah Al Baqarah
dimulai dengan penunjukan al Kitaab (al Quran) yang cukup sempurna
sebagai pedoman menuju jalan yang dimaksudkan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan